Tuesday, March 31, 2009

Wanita bekerja? Salah ke?

Wanita, Aurat, Kerjaya & Suami Nusyuz

( artikel ini pernah disiar di Metro Ahad & juga disiarkan di web Feb 2007 yang lalu )

Oleh

Ust Hj Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

"Ustaz mengapa kami kaum wanita kena tutup aurat banyak dan sukar, tapi lelaki sikit aja. Adil ke begitu ustaz?" Tanya seorang wanita yang bertitle PhD dalam bidang ekonomi kepada saya.

"Dr tahu tak berapa jarak matahari ke bumi? " Tanya saya membalas.

"Emm, tak ingat la ustaz, kenapa pulak? Bagaimana soalan saya tadi" Pakar ekonomi ini cuba mengingatkan saya.

adakah anda pernah menggunakan ini ke tempat kerja? Apa pandangan Islam tentangnya?"Cuba Dr bayangkan, kalau jarak antara matahari dan bumi ini tiba-tiba berubah jadi seinchi rapat, apa agaknya akan jadi kat kita?" Soal saya mengajaknya berfikir.

"Rasanya jika ikut teorinya, mesti hancur lebur dan cair penduduk bumi kot, ustaz" katanya.

"Jadinya, Dr setuju tak kalau saya kata bahawa Allah SWT begitu mahir dan amat tepat dalam seluruh urusannya, jika tidak..sudah tentu kita tak boleh hidup di dunia ni, bumi asyik berlaga, siang malam tak tentu hala dan tumbuhan semuanya kelam kabut tumbuhnya" Jelas saya sedikit panjang.



"Benar ustaz, saya amat bersetuju tentang Allah maha mengetahui dan berkuasa" katanya sambil mengangguk.

"Jika demikian, mengapa Dr boleh timbul rasa sangsi tentang keadilan dan kebijaksanaan Allah dalam mengarahkan wanita menutup aurat begini, dan lelaki begitu?" Saya cuba membawa semula kepada topik awalnya.

"Hmmm, ye tak ye jugak ustaz kan, betul-betul tak patut saya rasa begitu, astahgfirullahah azim " sambil menggeleng kepalanya perlahan.

Bagi sesetengah orang yang bijak, mungkin fakta ringkas saya tadi sudah cukup untuk memberi faham kepada jiwa dan hati. Walau bagaimanapun, ia mungkin sekali tidak berkesan buat setengah yang lain.

Jawapan lazim yang kerap digunakan oleh rakan-rakan saya apabila ditanya soalan sebegini adalah kembali kepada pengertian adil dalam Islam. Iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Contohnya ‘favorite'nya pula, menyebut "adil tak meletakkan kupiah di atas kepala lutut?."

Benar dan saya bersetuju itulah takrif adil tersebut, iaitu "meletakkan seseuatu pada tempatnya", lalu tak semua benda patut kita letakkan pada tahap yang sama, seperti kita mengharapkan anak kita berumur 14 bulan untuk mengerti bahayanya memakan semua benda kecil yang dijumpainya di atas lantai.

"EEee, budak ni tak reti ke benda-benda ni kotor? " tempik seorang ibu kepada anaknya kerana memasukkan dalam mulutnya kotoran di lantai dapur rumahnya.

Saya yakin, kita semua faham bahawa tidak adil untuk kita memarahinya kerana ia baru berusia 14 bulan. Berbeza jika ia berusia 14 tahun dan cergas aqalnya tetapi masih memungut dan makan semua yang dijumpainya di atas lantai. Itu sememangnya patut dikesali.

Dari sudut Islam, kita harus memahami bahawa Allah SWT maha bijak dalam mengatur hukum di atas dunia ini. Apa yang memudaratkan manusia secara tersurat dan tersirat akan diletakkan had dan batasan untuk dikurangi atau dijauhi. Apa yang bermanfaat dan baik sahaja yang akan digalakkan dan dibenarkan.

Firman Allah SWT :

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ

Ertinya : "Mereka menanyakan kepadamu: ""Apakah yang dihalalkan bagi mereka?"" Katakanlah: ""Dihalalkan bagimu yang baik-baik" ( Al-Maidah : 4)

Justeru, apa yang ‘neutral' atau ‘harus' hukumnya akan dibiarkan terbuka (tanpa sebarang larangan) sebagai rahmat dan kemudahan kepada umat manusia. Fakta ini datang dari sabda Nabi SAW :

إن الله فرض فرائض فلا تضيعوها وحدّ حدوداً فلا تعتدوها وحرّم أشياء فلا تنتهكوها وسكت عن أشياء رحمة بكم غير نسيان فلا تسألوا عنها

Ertinya : "Sesungguhnya Allah telah memfardhukan pelbagai perkaar wajib, maka janganlah kamu mengabaikannya, dan telah menetapkan had bagi beberapa keharusan, maka janganlah kamu melewatinya, dan juga telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah kamu mencerobihinya, dan juga telah mendiamkan hukum bagi sesuatu perkara, sebagai rahmat kemudahan buat kamu dan bukan kerana terlupa, maka janganlah kamu menyusahkan dirimu dengan mencari hukumannya" ( Riwayat Ad-Dar Qutni, ; Ad-Dar Qutni : Sohih, An-Nawawi : Hasan )

Perempuan Lebih Sukar?

Pernah sekali di Brunei, selepas tamat kursus yang saya kendalikan, datang seorang peserta wanita lalu berkata :

"Tapi ustaz, orang lelaki mudah le dapat tutup aurat dengan sempurna, sebab depa senang, sikir benor auratnya". Tegasnya.

"Jika puan rasa susah, tapi buat juga kerana Allah, lagi banyak pahala puan dapat, untung orang perempuan, tutup je aurat terus dapat pahala setiap saat, berganda dari pahala orang lelaki kerana mereka tidak berapa sukar" jawap saya menarik minatnya.

"eh, betul ke ni ustaz" sambil tersenyum luas.

Berminat betul nampaknya dia kali ini sehingga nampak jelas raut wajahnya ingin penjelasan lanjut.

"Benar, InshaAllah.." Kata saya.

Kata saya ini berdasarkan satu hadith yang menyebut

إن لك من الأجر على قدر نصبك ونفقتك

Ertinya : "Sesungguhnya bagi kamu ganjaran pahala berdasarkan kepada kadar keletihan dan belanja ikhlas kamu" (Riwayat Ad-Dar Qutni dan Al-Hakim)

Menurut Imam Ibn Hajar di dalam Fath al-bari menjelaskan bahawa hadith ini pernah disebutkan oleh Nabi SAW kepada Aisyah r.a berkenaan umrah yang dilakukan oleh Aisyah. Dimana Nabi SAW diriwayatkan menyebut :

إنما أجرك في عمرتك على قدر نفقتك

Ertinya : "Sesungguhnya ganjaran pahalamu (wahai Aisyah) ketika umrahmu ini adalah berdasarkan kadar kesukaran dan wang yang dibelanjakan"

Imam An-Nawawi pula berkata :-

الحديث أن الثواب والفضل في العبادة يكثر بكثرة النصب والنفقة

Ertinya : "Zahir hadith ini menunjukkan ganjaran dan pahala dalam ibadah akan bertambah dengan bertambahnya keletihan dan belanja yang dikeluarkan"

Bagaimanapun ulama sepakat menyatakan bahawa konsep pahala lebih besar apabila amalan lebih sukar dan letih" ini, tidaklah terpakai di dalam semua keadaan, kerana terdapat beberapa jenis ibadat yang ringan tetapi mempunyai pahala yang amat besar, seperti ucapan zikir tertentu yang disebut oleh Nabi SAW, demikian juga berbezanya solat tahajjud di bulan biasa dan di bulan Ramadhan. Kelebihan solat sunat Witr atas solat sunat tasbih yang jauh lebih sukar dan lain-lain. Demikian juga yan ditegaskan oleh Imam Izzudin Abd Salam ( Qawaid al-Ahkam fi Masalihil Anam)

Lelaki Duduk Rumah Wanita Kerja?

semakin meningkat satu duniaYakinilah bahawa Allah SWT maha adil dalam menentukan tanggungjawab kepada lelaki dan wanita. Sememangnya Allah SWT memerintahkan kaum Hawa untuk menutup auratnya dengan begitu luas; ia bersesuaian dengan hukum Islam yang asal iaitu kerja mencari nafqah buat keluarga adalah merupakan tanggungjawab asas kaum lelaki yang disebut oleh Allah sebagai salah satu faktor "qiwamah"nya. Malah terdapat pandangan yang menyatakan lelaki yang gagal menyempurnakan tanggungjawab ini bukan kerana uzur adalah suami yang NUSYUZ.

Ini bermakna jika menurut hukum asal dalam Islam, haram hukumnya bagi lelaki yang sudah berumah tangga (tanpa sebab yang diktiraf Islam) tidak bekerja mencari nafqah, wanita tidak pula diharamkan untuk bekejra jika menjaga hukum yang ditentukan Islam. Jika wanita bekerja, pendapatan itu adalah milik mereka dan tiada sebarang tanggung jawab untuk memberi makan kepada suami kecuali atas dasar ihsan sahaja.

Adakah lelaki yang sudi memakan belas ihsan isteri? sedangkan lelaki dipenuhi dengan ego yang cukup tinggi secara puratanya. Saya sebut ihsan kerana ia BUKAN TANGGUNGJAWAB ISTERI untuk memberikan suaminya yang sihat tubuh badan untuk makan dan pakaian.!

Lelaki secara umumnya berbanding wanita, diberikan oleh Allah SWT lebih kemampuan fizikal, mental dan kemudahan dalam menutup aurat agar mudah ia ke hulu dan ke hilir mencari nafqah buat keluarganya. (Fatawa Az-Zarqa, hlm 290, cet Dar Al-Qalam)

"Habis ustaz nak orang perempuan duk rumah je la ni?" desak seorang wanita, sambil menjeling saya dengan jelingan kurang puas hati.

"jawapannya bukan semudah itu" jawab saya.

"Begini, saya kata ikut hukum asal yang Allah letak memang begitu, cuba bayangkan betapa sukarnya wanita bekerja hari ini untuk melaksanakan tugasnya dalam keadaan ‘senggugut', sakit perut, mengandung dan bersalin. Sekiranya ia telah menopos pula, sukarnya tiba-tiba perlu ke sana sini seorang diri, bermesyuarat bersama lelaki berdua-duaan dan sebagainya"

"Mereka sepatutnya lebih dimuliakan dengan diberi kerehatan cukup di rumah sambil membina pimpinan dan generasi soleh masa depan, iaitu anaknya dan keluarganya" Ulas saya, walaupun saya tahu, isu ini amat panjang untuk dibincang serta amat sukar untuk memuaskan hati kaum wanita moden zaman ini.

Nabi SAW bersabda :

لأن تصلى المرأة في بيتها خير من أن يصلى في حجرتها , ولأن تصلى في حجرتها , خير من أن تصلى في الدار , ولأن تصلى في الدار خير من أن تصلى في المسجد

Ertinya : "Bagi seorang wanita untuk menunaikan solat di tempat tidurnya adalah lebih baik dari menunaikannya di biliknya, dan menunaikannya di biliknya lebih baik dari menunaikannya di rumahnya, dan menunaikannya di rumahnya lebih baik dari menunaikannya di masjid" ( Riwayat Abu Daud, Ahmad, 6/371 ; Ibn Athir : Hasan 11/200 )

Hadith di atas jelas membuktikan betapa tempat yang sebaiknya bagi wanita untuk mendapatkan pahala terbesar adalah di rumahnya. Manakala, bidang institusi keluarga, pendidikan anak dan menjaga keamanan rumah tangga WAJIB TIDAK DIPANDANG REMEH, malah ia sebenarnya amat sukar, malah ia menyamai kepimpinan sebuah negara.

Pandangan remeh terhadapnya adalah kesilapan utama wanita moden zaman kini hingga terlalu berhasrat menjaga syarikat dan berbakti kepada negara sedangkan ; mendidik anak-anak dengan cemerlang adalah sumbangan terhebat kaum wanita buat Negara yang tidak mampu disaingi sama sekali oleh kaum lelaki. Wanita dikira silap apabila meletakkan 'standard' dan 'silibus' kejayaan lelaki (yang ditentukan Allah tentunya) sebagai 'standard' kejayaannya juga. Sedangkan, 'silibus' dan 'standard' kejayaan wanita adalah tidak sama dengan lelaki dalam banyak hal, saya tidak nafikan ada yang sama tetapi bukan dalam hal kerjaya.

Akibatnya berbondong wanita bekerja kerana menggangapnya sebagai satu KEJAYAAN dan kemuliaan baginya. Apabila kaum wanita hari ini didedahkan dengan pelbagai hadith Nabi berkenaan adab Islam yang perlu dituruti olehnya. Ramai yang merasakan ia seolah-olah mustahil dan tidak ‘up to date' sehinggakan dirasakan Nabi SAW tidak tepat dalam kata-katanya. Lebih buruk, adalah dituduhnya Nabi SAW bersikap ‘bias' atau berat kepada kaum lelaki, kerana baginda sendiri adalah lelaki. Lebih serius dari itu, yang menuduh Islam sudah ‘out dated'. La hawala wal quwwata Illa Billah.

Keperluan Wanita Bekerja & Anak Lelaki

Siti Khadijah juga adalah peniaga yang berjaya, tapi adakah sudah ditinjau kaedah beliau berjaya? Adakah beliau masih aktif berniaga selepas Nabi dilantik menjadi Rasul? Adakah disedari tatkala itu Islam belum disempurnakan kerana wahyu masih turun sedikit demi sedikit. Adakah Aisyah dan isteri Nabi yang lain berniaga? Adakah sahabat wanita berniaga dan meninggalkan suaminya di rumah?

"ala ustaz, suasana kan dah berubah" Kata wanita tentunya.

"baiklah, tapi ada beberapa displin hukum bagi wanita diluar rumah, tanggung jawab asas terhadap suami yang tidak berubah sehingga kiamat, sudah dijaga?" Tanya saya

Saya tidak menafikan keperluan wanita untuk bekerja hari ini, ia adalah satu fenomena yang sudah terlewat dan hampir tidak boleh untuk dielakkan. Namun, pandangan peribadi saya menyatakan, keperluan wanita untuk bekerja timbul hari ini adalah apabila timbul masalah kekurangan kaum lelaki yang berkemampuan untuk menjalankan semua tugasan yang sepatutnya dijalankan oleh mereka di luar rumah.

Walaubagaimanapun, adakah kita sedar antara punca kelemahan anak-anak lelaki dalam hal ini antaranya berpunca dari rumahnya ?.

"habis anak perempuan kenapa boleh berjaya pulak, sedangkan dari rumah yang sama?" mungkin itu yang akan dibalas oleh wanita kepada saya.

Pernahkah anda mempunyai anak lelaki ? Bagi yang pernah, saya kira perbezaan dalam menumpukan perhatian dan penjagaan anak lelaki sejak kecil adalah ketara berbanding kanak-kanak wanita.

Hasilnya, keagresifan anak-anak lelaki memerlukan lebih didikan dan tumpuan, tanpa tumpuan sebaiknya, anak lelaki berpeluang untuk menjadi kaki buli di sekolah, malas belajar, bermain lebih dari belajar, perosak anak wanita orang lain dan akhirnya mendapat ijazah rempitan di atas jalan raya dan dadah di pusat serenti. Nauzubillah.

Ia berbeza dengan anak wanita yang secara umumnya lebih mudah dibentuk ketika kecil.

Kerana itu, rumah atau pendidik di rumah yang terbaik adalah seorang IBU. Pendidikan di rumah teramat penting bagi mencorakkan sikap dan sifat anak-anak di hari kemudian, terutamanya kemampuan anak lelaki. Jangan harapkan lelaki untuk bijak mendidik anak mereka di rumah, secara UMUMnya, serba serbi dan sifat naluri lelaki memang kurang mampu menjadi pendidik anak di rumah dengan berkesan. Saya sebut secara umum tanpa menafikan ada yang berjaya juga.

Kelembutan & Kasih Yang Luntur

Apabila wanita yang mempunyai ciri hebat tadi menggunakan tenaga fitrahnya untuk mentadbir syarikat dan luar rumah, maka sudah pasti jarang yang mampu memberikan perhatian cukup kepada anak di rumah.

Suami tidak banyak boleh diharapkan dalam hal ini kerana sifat semulajadi mereka. Saya bukan ingin sentiasa memberi alasan, "sifat semulajadi" dan "fitrah"; tidak dinafikan ia boleh diubah dan dilatih, tetapi ia bakal gagal berfungsi sebagaimana yang dikehendaki walau sehebat manapun 'adjustment' dan 'latihan' yang cuba dilakukan. Malah ia mungkin boleh lebih memburukkan keadaan, seumpama memaksa kaum lelaki menjadi 'ballet dancer', dia mungkin berjaya dengan dedikasi latihan, tapi akhirnya ia menjadi 'lelaki lembut' yang bertentangan dengan kehendak Islam.

Anak lelaki tidak mendapat perhatian, kasih dan tumpuan secukupnya sejak kecil. Ia akan mengakibatkan berterusannya kekurangan tenaga lelaki yang mahir dan rajin di dalam industri pekerjaan, dalam masa yang sama pula peranan wanita yang lebih mudah dibentuk sejak kecil dan rajin, pasti terkehadapan. Lalu berbondong-bondonglah kaum wanita di tawar bekerja.

Di ketika itulah timbulnya isu, sukarnya wanita untuk menjaga auratnya semasa ia bekerja, ke sana ke sini, bermesyuarat di sana sini. Walhal, Allah SWT sememangnya tidak memperuntukannya untuk kaum wanita terlalu sibuk dan terbuka sedemikian. Malah juga tidak begitu tepat menurut fizikal dan mentalnya. Kemantapan mental, ketabahan sabarnya, kelembutannya pada hakikatnya adalah khas untuk anak-anaknya demi melahirkan keluarga, masyarakat dan Negara yang dipimpin oleh individu yang cukup kasih saying ibunya. Malangnya, sifat lembut, taat, sabar dan kehebatan 'pshcology' itu telah dihabiskan dan digunakan kepada kerjaya, ‘boss' dan kakitangan yang lain. Tinggallah yang 'hampas' dan sisa buat anak-anaknya dan suaminya mungkin.

Kaum lelaki secara purata sememangnya agak kurang mampu untuk bersabar dengan tangisan anak dan karenah mereka. Lalu dihantarlah anak-anak ini ke pusat penjagaan kanak-kanak. Kesan jangkan panjangnya, akan lahir anak-anak lelaki yang tidak ‘menjadi' akibat dididik oleh individu yang tidak professional lagi melepas batuk di tangga. Iaitu di kebanyakan TASKA yang menghimpunkan berpuluh kanak-kanak sekaligus dengan 3-4 orang wanita muda bujang sebagai pendidiknya. Mampukah anak-anak dididik dengan berkesan dalam suasana begini.?

Wanita dan Wangian Di Tempat Kerja

Antara kesilapan kerap yang dilakukan oleh kaum wanita apabila sudah keluar bekerja hari ini adalah berwangian dengan pelbagai jenis ‘perfume' sewaktu keluar dari rumahnya.

" Ala ustaz, takkan ustaz nak kami busuk ustaz" Tanya seorang wanita kepada saya.

Busuk atau tidak itu adalah bergantung kepada sikap kebersihan seseorang. Diharuskan wanita memakai sabun ketika mandi, dan bauannya yang seidkit juga harus. Bagaimanapun, yang menjadi masalah kini adalah yang bergeluman dengan wangian, sehinggakan 30 meter jarak darinya pun sudah dapat dihidu baunya.

Nabi SAW mengingatkan kaum wanita dengan sabdanya :

أيما امرأة استعطرت , فمرت على قوم ليجدوا ريحها فهي زانية , وكل عين رأت زانية

Ertinya : "Mana-mana wanita yang berwangian dan kemudian lalu dikhalayak lelaki bagi menarik lelaki dengan wangiannya, maka ia adalah seperti wanita penzina, dan setiap mata (lelaki) yang (tertarik lalu) memandangkan adalah mata yang berzina" ( Riwayat Abu Daud, At-Tirmidzi dan Albani : Hasan Sohih)

Tahukah kaum wanita bahawa lelaki normal mudah terangsang dan naik syahwatnya apabila menghidu bauan wangi si wanita?

"Tapi memang itu tujuan sebahagian mereka pakai wangian" Kata seorang wanita.

Jika itulah tujuannya, ia harus berdepan dengan seghala masalah dan bahaya dari kaum lelaki yang buas, ketika itu...janganlah ia marahkan lelaki tersebut.

Apabila sudah bekerja juga, banyak aurat yang terbuka di sana sini dengan hujjah ‘panas', sukar nak jaga, sukar nak bergerak, permintaan boss dan syarikat, ‘untuk nampak elegan' , supaya tak nampak macam mayat berjalan dan lain-lain lagi. Akhirnya dikorbanan hukum dan akhiratnya UNTUK DUNIANYA. Amat simpati saya terhadap kaum hawa sebegini. Allahul Musta'an.

Nabi SAW pernah bersabda :

ما من امرأة تضع ثيابها في غير بيت زوجها إلا هتكت الستر بينها وبين ربها

Ertinya : Tiada seorang wanita pun yang membuka auratnya (pakaiannya) di rumah atau tempat selain rumah suaminya (atau ayahnya tanpa kewujudan orang luar) kecuali dia telah merempuh tabir (sempadan yang digariskan) di antaranya dan tuhannya" (Riwayat Ahmad, 6/301 ; Albani : Sohih)

Komen Pedas

Mungkin ada wanita yang akan berkata :

"Apa le ustaz ni, orang sedang cerita benda besar iaitu bab sumbangan wanita, tiba-tiba dia sibuk ulas benda-benda kecil tentang aurat pula, tak berkembang pemikiran langsung"

Saya kira, kata-kata begini perkara biasa bagi orang yang telah tersemat dunia dalam hatinya, sama macam orang yang sudah berjaya di dunia perniagaan, tiba-tiba dikingatkan tentang halal haram. Pastinya melenting dan memarahi orang yang mengingat sambil dicop 'ketinggalan' zaman, otak kuno dan lain-lain.

Pandangan rendah kerap diletakkan kepada isu-isu keagamaan, ia juga dipandang sebagai isu remeh temeh menurut akal manusia yang rosak. Aqal akan mengikut jalan yang betul bila bertpatan dengan kehendak Allah SWT. Pernah disebut sikap merendah sebarang perbincangan isu agama bagi mereka yang di kemuncak kejayaan dunia sebagai berikut : -

أَن كَانَ ذَا مَالٍ وَبَنِينَ , إِذَا تُتْلَى عَلَيْهِ آيَاتُنَا قَالَ أَسَاطِيرُ الْأَوَّلِينَ

Ertinya : Kerana dia mempunyai (banyak) harta dan anak, lalu apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, ia berkata: ""(Ini adalah) dongeng-dongengan orang-orang dahulu kala.( Al-Qalam : 14-15 )

Nasihat Penghujung

Fikirlah tentang kehidupan menurut cara, priority dan kaedah yang ditunjukkan Allah dan RasulNya.

Akhir kata ; Saya tidak sesekali anti-wanita bekerja, sekadar memberikan beberapa sudut pandang agar sama-sama kita berfikir sahaja. Saya juga tidak meletakkan kesalahan kepada wanita, mereka perlu terus rajin dan maju dalam pendidikan mereka. Cuma harapan saya mereka jangan lupa 'silibus' kejayaan mereka berbeza dengan lelaki dalam beberapa hal. Pelajarilah..

Wanita yang terbaik adalah Maryam, Fatimah dan Khadijah...pelajarilah tentang mereka bagaimana untuk mendapatkan hidup indah di akhirat yang kekal buat selamanya. Ameen..

Sekian

Ust Zaharuddin Abd Rahman

4 Safar 1428 H

22 Februari 2007 (Updated on 22 Ogos 2007)

http://www.zaharuddin.net/

Friday, March 27, 2009

Oscar Award...

Dunia ini ibarat pentas lakonan,
Manusia itulah pelakon dan pengarah utamanya,
Al-Quran itu dan as-sunnah itulah skripnya,
Malaikat itu jurugambarnya,
Islam itulah jalan ceritanya,
Kiamat itulah kesudahan penggambarannya,
Padang Mahsyar tempat penganugerahannya,
Rasulullah saw adalah penerima anugerah terbaiknya,
Allah SWT adalah hakimnya,
Syurga atau neraka adalah trofinya....

Thursday, March 26, 2009

Promosi...iLuvislam

Salam,

Umat Islam hari ini dilabel dengan pelbagai gelaran; ekstrimis, pengganas, fundamentalis. Lebih malang lagi, umat Islam tidak ambil peduli akan hal ini lantaran leka dengan dunia hiburan.

Buku ini ditulis atas kesedaran Dr Zakir Naik untuk memperbetulkan tanggapan terhadap umat Islam. Dia juga memberi tip-tip untuk menjawab pertanyaan media, terutamanya selepas peristiwa 11 September.


Buku ini memang sangat sesuai dibaca untuk mereka yang ingin ambil peduli tentang ummah. Jangan hanya mahu berdebat dengan orang bukan Islam, tapi ilmu tak ada dalam diri. Harganya pun sangat berpatutan. RM11 sahaja.

Siapa yang berminat, boleh kirim dengan penulis. RM 11 sahaja. Untuk ilmu yang tiada nilainya. Cepat, sebelum kehabisan stok.

Beritahu rakan anda, info ini sangat berguna. Boleh tinggalkan komen untuk tempahan.

Isu Perak 1


Dinyatakan di dalam kitab suci Al-Quran, surah Ali-‘Imran, ayat 140,

"....Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran), dan agar Allah membezakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) dan agar sebahagian kami dijadikanNya (gugur sebagai) syuhada. Dan Allah tidak menyukai orang-orang zalim."

Rapi tersusunnya ayat daripada Yang Maha Pencipta, yang telah menentukan nasib, jatuh dan bangun seseorang hambaNya. 10 bulan tempoh pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) di Perak, akhirnya goyah dek dibuai angin daripada mereka yang ‘melompat'. Isu lompat parti yang suatu ketika dahulu pernah digalakkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Manusia hanya akan bercakap dengan gembira apabila sesuatu itu membawa kepada keuntungan mereka. Apabila apa yang dikatakan itu akhirnya memakan diri mereka, langsung mereka dengan lantangnya akan menyuarakan ketidakpuasan hati mereka. Begitulah manusia, yang telah diciptakan oleh Allah SWT; yang tidak pernah puas dengan apa yang telah dimiliki.

Menyoroti rentetan krisis dan kekalutan yang berlaku di utara tanah air pada waktu ini, satu demi satu perundangan dan perlembagaan telah di kaji dan di dedahkan kepada rakyat. Datuk Seri Nizar Jamaluddin, (mantan) Menteri Besar Perak, berpegang dengan Perkara 16 (6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, iaitu,

menteri besar (apabila hilang keyakinan dan majoriti) serta barisan exco nya harus meletakkan jawatan.

Kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat Perak kepada PR, tidak perlu untuk dipertikaikan setelah kemenangan berpihak kepada mereka pada Mac 2008. Hak beliau sebagai menteri besar selepas Pilihan raya Umum ke-12, terus di pertahankan. Hak yang cuba dipertahankan oleh beliau adalah kerana pada masa ini, tidak jelas dek mata mereka dan rakyat, bahawa PR telah kehilangan kepercayaan daripada rakyat seperti yang diwar-warkan. Hilangnya 5 orang ADUN dari PR ini, telah menyebabkan Barisan Nasional (BN) mengisytiharkan ‘kemenangan' mereka dengan alasan yang mengatakan bahawa 5 orang ini telah memihak kepada BN.

Penulis cuma terfikir, bagaimana kah pengisytiharan ‘kemenangan' ini dibuat? Adakah semata-mata kerana bilangan kerusi PR telah berkurang, maka kepercayaan rakyat juga dianggap sudah berkurang? Apa yang bermain di ruang legar pemikiran penulis ialah berlakunya ketidak adilan di sini. Hal ini adalah kerana, pada pilihan raya umum ke 12 (PRU 12), rakyat setempat telah ‘dikerah' untuk membuang undi, dengan alasan agar "hak dan kepentingan rakyat akan terus terbela". Maka, rakyat bersusah payah keluar mengundi. Golongan tua, muda semuanya keluar mengundi dengan harapan yang berbunga, supaya kerajaan yang mereka impikan selepas PRU 12 ini, akan menjadi kenyataan. Maka, jika pihak kepempinan masih mahu menjaga "hak dan kepentingan rakyat" seperti yang mereka ucapkan sebelum PRU 12, mengapa ianya tidak diimplemen kan ke dalam situasi sekarang? Iaitu memilih kerajaan negeri yang baru dengan pilihan raya yang baru.

10 bulan tampuk pemerintahan yang diketuai oleh Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Perak tidak mengalami masalah yang rumit. Apabila berita yang mengatakan bahawa 5 orang ADUN PR telah menjadi wakil bebas tersebar, pemerintahan beliau telah menampakkan sedikit kegoyahan. Kegoyahan yang dicipta daripada mereka yang berkuasa, yang akhirnya membawa kepada kecelaruan politik di sana. Tanpa persetujuan ataupun suara ramai daripada rakyat, kerajaan negeri telah pun bertukar. Persoalan yang timbul disini ialah, ‘bagaimana seseorang atau sesuatu kuasa yang besar di Malaysia, telah sesuka hati memanipulasikan suara rakyat'. Sedangkan semasa PRU 12 yang dahulu, rakyat telah disogokkan dengan ‘keadilan' yang akan diberikan, namun setelah apa yang berlaku baru-baru ini, mengapa suara rakyat tidak diambil pusing semula? Mengapa mesti ‘si kuasa besar' yang menentukan tampuk pemerintahan yang baru? Yang konon nya telah ‘menawan' semula Perak? Formula apakah yang telah diguna pakai? Persoalan-persoalan ini keluar daripada benak fikiran penulis sebagai seorang yang kurang arif dalam perkara-perkara sebegini. Mohon penjelasan daripada pihak yang bertanggungjawab.

Pada saat ini, apabila Sivakumar mengadakan perbincangan di bawah pokok, pihak pro-kerajaan membuka mulut mempertikaikan sama ada sah atau tidak perbincangan mereka itu. Mereka cuba mengaitkan satu demi satu perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tidak kurang pula, dengan pernyataan yang mengatakan bahawa ‘persidangan di bawah pokok itu sebagai sesuatu yang memalukan". Apabila Dr Zambry dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baru, pihak pro- pembangkang mempersoalkan pelantikan beliau. Hal ini adalah kerana, Menteri Besar Perak pada masa itu, masih lagi berkuasa dan mempunyai mandat untuk memerintah. Hasilnya, Perak kini di tadbir oleh 2 orang menteri besar. Mungkin pada saat ini solusi yang ternampak oleh mereka ialah dengan merujuk kepada perlembagaan dan undang-undang. Penulis tidak menafikan kedudukan Perlembagaan Persekutuan adalah lebih tinggi kedudukannya daripada Yang Di Pertuan Agong.

Apabila penulis merujuk kepada kitab suci Al-Quran, iaitu panduan yang telah ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW, didalam surah Ali-Imran, ayat 159,

"Maka berkat rahmat Allah engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonkanlah ampunan untuk mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakkal."

Al-Quran mengajar manusia untuk bermusyawarah dengan sebaik mungkin, kemudian meletakkan segala keputusan yang telah disepakati dalam mesyuarat tersebut kepada Allah, sebagai ketawakkalan pemimpin kepada Allah. Kini terpulanglah kepada pucuk pimpinan untuk memandang ayat-ayat Allah ini. JIka benar seperti yang dikatakan oleh pemimpin-pemimpin negara bahawa Malaysia adalah sebuah negara islam, maka, berpegang teguhlah kita dengan 2 tinggalan Rasulullah SAW kepada kita, iaitu Al-Quran dan Sunnah. Bermusyawarah ini juga adalah salah satu elemen yang diterapkan dalam demokrasi, dan bermusyawarah adalah salah satu titik pertemuan di antara syura dan demokrasi!

Ayat yang dibawah, menguatkan lagi bahawa seorang pemimpin, hendaklah mengikut Al-Quran dan Sunnah. (bukan sahaja mengikut perlembagaan dan undang-undang yang dicipta oleh manusia sendiri.)

Surah An-Nisa', ayat 59.

"Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul (Muhammad), dan ulil amri (pemegang kekuasaan) diantara kamu. Kemudian, jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu, lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya."

Keputusan tegar Sultan Perak untuk tetap tidak mahu mengadakan pilihan raya yang baru dikecam oleh sesetengah pihak. Walaupun ada pihak yang masih menentang, tetapi penulis percaya bahawa Sultan Perak mempunyai alasan konkrit yang menyebabkan baginda terus bertahan dengan pendirian baginda. Jika dilihat semula keputusan PRU 12 dan bagaimana sulitnya untuk baginda memilih seorang Menteri Besar, penulis yakin baginda ‘nampak' apa yang berlaku dan disebabkan itu, baginda telah memilih untuk tidak mengadakan pilihan raya yang baru. Pada pendapat penulis, baginda sultan telah melihat rentak yang dimainkan oleh golongan bukan bumiputera. Jika dilihat semula keputusan PRU 12, PR menang, tetapi majoriti kerusi dipegang oleh DAP iaitu pemimpin bukan bumiputera. Pada saat ini, dapat dilihat bahawa golongan bukan bumiputera telah berani membuka mulut dengan mempertikaikan segala apa yang ada dalam perlembagaan. Kontrak sosial dan hak Raja-raja Melayu juga pernah dipersoalkan oleh mereka pada suatu masa dahulu. Terkini, YB Karpal Singh (daripada pihak pembangkang) telah dikecam kerana menghina institusi Beraja. Mungkin baginda sultan menjangkakan bahawa jika pilihan raya diadakan golongan bukan bumiputera akan terus menguasai kerusi dewan, yang akhirnya akan menyulitkan lagi keadaan. Maka, baginda berkeputusan untuk terus sahaja menabalkan BN sebagai kerajaan negeri yang baru. Namun adakah itu keputusan yang terbaik?

Jika ianya adalah yang terbaik, mengapa mesti ada rakyat yang masih memberontak? Mengapa ada rakyat yang menuntut untuk mengadakan semula pilihan raya baru? Dan, jika ianya adalah keputusan yang terbaik, mengapa hingga kini, masalah ini masih tidak dapat diselesaikan, malah semakin besar? Dalam usaha murni baginda memberikan keputusan yang terbaik kepada rakyat bumiputera Perak, masih ada golongan bumiputera Perak yang teraniaya dan dizalimi. Haknya sebagai menteri besar diambil begitu sahaja, tanpa mengambil kira Perkara 16 (6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Bukankan itu terang-terangan ditentang dan ditegah oleh Islam? Adakah Malaysia yang diiktiraf dunia sebagai negara Islam telah memberikan contoh yang terbaik kepada negara-negara lain? Kita berkata negara kita adalah negara Islam, tetapi pada masa yang sama, negara Islam kita ini terus-terusan hidup dengan rasuah[1] dan masalah jenayah[2] yang semakin hari semakin meruncing.

Menyelami sirah Kerajaan Islam Madinah yang telah bertahan selama 10 tahun, kita dapat melihat kebangkitan negara Islam Madinah ini berlaku dengan sangat cepat. Persefahaman yang telah dimeterai antara orang-orang Islam dan orang-orang bukan Islam, telah membolehkan daulah Islam dibentuk buat pertama kalinya. Piagam ini telah menjaga hak kedua-dua pihak yang akhirnya, telah membuatkan Islam dihormati oleh mereka yang bukan Islam. Qudwah hasanah (perlakuan baik) yang cuba ditonjolkan oleh Rasulullah SAW, sebagai pemimpin dan ahli politik, juga telah menyebabkan bilangan umat Islam bertambah. Dalam masa 10 tahun itu, bilangan orang Islam bertambah menjadi 124 000 orang, berbanding 300 orang pada 10 tahun yang sebelumnya. Apa yang mahu penulis katakan, pemerintahan yang dijalankan oleh Baginda SAW, adalah mengikut apa yang di suruh oleh Allah SWT, Tuhan seluruh alam. Baginda bersama para pemimpin yang turut bersama baginda seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, semuanya bekerja untuk Islam. Objektif dan matlamat mereka jelas, iaitu mengEsakan Allah SWT, dan menanamkan perasaan cinta akan Islam. Pemimpin sebegini lah yang sebenarnya diperlukan oleh Malaysia, malah dunia! Malam hari nya bertahajud kepada Allah SWT, meminta pertolongan hanya kepada Yang Maha Mendengar dan kepentingan bersama di utamakan.

Penulis juga teringat tentang sebuah kisah dimana pada zaman Khulafa' Ar-Rasyidin, iaitu pada zaman pemerintahan Umar Al-Khattab. Beliau sangat menjaga pemimpin-pemimpin yang telah ditugaskan oleh beliau untuk mentadbir sesebuah kawasan. Harta pemimpin ini akan sentiasa di kira dan perlu di isytiharkan. Amat tidak bersesuaian untuk menggunakan ungkapan ‘menjaga tepi kain orang' dalam hal ini. Hal ini adalah kerana apa yang dilakukan oleh beliau adalah untuk memastikan bahawa anak-anak buah beliau tidak makan hak rakyat atau pun berlebihan harta mereka. Adakah cara ini di implankan di negara kita? Jika benar, mengapa pernah suatu ketika dulu, timbul isu, rumah pemimpin yang disewa dengan harga RM 345,833.33 sebulan, sedangkan pada masa yang sama, ada rakyat di Gambang yang tidak mampu untuk membayar sewa rumah sebanyak RM50 sebulan, lalu dibiarkan merempat ke reban ayam!

Wa aqimussolah, tawa atuzzakah. Yang bermaksud, dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat. Ayat ini acap kali dinyatakan dalam Al-Quran yang bertujuan untuk menyuruh orang-orang beriman, menjaga hubungan mereka dengan Allah melalui solat, dan hubungan mereka dengan manusia melalui zakat. Maka, memang sudah dinyatakan oleh Allah SWT bahawa melalui zakat, manusia berupaya untuk menjaga hubungan sesama mereka. Bahkan bagi orang-orang bukan islam, mereka dikenakan untuk membayar jizyah, sebagai bayaran perlindungan kepada yang bernaung dibawah kerajaan islam. Malaysia negara islam. Jadi, tepuk dada, tanya iman. Sejauh mana kita sebagai umat islam, khususnya pemimpin telah berusaha untuk menanamkan benih islam ke dalam kepimpinan kita.

Sesuci-suci tempat iaitu masjid, hinggalah di bawah pokok mempelam dan beringin, rakyat terus menerus menampakkan ketidakpuasan hati mereka. Penulis sedikit keliru dengan cara pengusaian yang telah digunakan oleh pihak polis terhadap mereka yang berkumpul di bawah pokok beringin dan mempelai, dikawasan seluas 10X10 meter itu. Mengikut Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan, semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata. Inilah yang termaktub di bawah perlembagaan yang sering diguna pakai sebagai rujukan. Hal ini menyebabkan penulis berasa hairan dengan tindakan polis yang menggunakan gas pemedih mata kepada mereka yang berhimpun dalam ‘persidangan' itu secara aman dan tanpa menggunakan sebarang senjata.

Penulis kagum dengan alasan individu yang mengatakan bahawa jika pilihan raya diadakan semula, ia hanya akan menyebabkan ekonomi semakin teruk. Tidak dinafikan, bahawa jika pilihan raya diadakan semula, pemimpin akan kembali berusaha keras, untuk memancing undi. Kesana kemari, tidak kira siang atau malam; untuk menawan hati rakyat. Undian rakyat ini kelak akan membawa kepada penguasaan si pemimpin terhadap sesuatu kawasan. Jika benar si pemimpin seorang yang adil, seorang yang di puji cara pemerintahannya, penulis kira, segala macam manifesto memang tidak di perlukan. Semasa zaman kegemilangan Islam dahulu kala, tidak ada sistem pilihan raya digunakan untuk menentukan seseorang khalifah. Majlis syura yang dianggotai oleh mereka yang cerdik pandai dan berpengetahuan, sama sekali telah menunjukkan keberkesanannya, apabila khalifah-khalifah yang dilantik, berjaya menangani satu persatu masalah yang dialami pada zaman mereka. Salah satu contohnya ialah semasa pemerintahan Saidina Abu Bakar yang berjaya memerangi golongan murtad.

Melalui peristiwa-peristiwa yang berlaku di Perak pada ketika ini, satu perkara yang membuka mata penulis ialah, bagaimana kuasa dan harta berjaya menyamarkan pandangan seseorang. Penulis ingin membawakan satu hadis riwayat Abu Daud,

"Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda; "Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-­orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi saw. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan"'. Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi kita menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".

Apa yang mahu penulis bawakan disini ialah tentang perkataan ‘wahan' itu sendiri. Jelas dan nyata melalui apa yang telah terjadi, jika sesuatu pemerintahan yang dijalankan atas dasar kuasa, harta dan dunia semata-mata, maka, kaum-kaum lain tidak akan gentar untuk memerangi umat Islam. Tanpa meletakkan Allah dan hari akhirat sebagai matlamat, umat Islam yang kononnya berjuang untuk Islam tanpa menggunakan hukum-hukum Islam secara MENYELURUH, tidak mungkin akan dihormati oleh masyarakat sekeliling. Maka terjadilah dan bangkitlah golongan bukan Islam dalam usaha mereka untuk membolak balikkan umat Islam. Sungguh senang untuk musuh masuk jarum, jika umat Islam tidak berusaha untuk mendalami Islam secara keseluruhan.

Penulis secara keseluruhannya tidak menyokong kepada mana-mana pihak, tetapi penulis cenderung untuk menyokong corak pemerintahan Islam. Tetapi realitinya sekarang ialah sejauh mana pembawaan sesebuah pihak (sama ada kerajaan ataupun pembangkang) dalam usaha mereka menegakkan Islam di bumi Malaysia. Pihak pembangkang mungkin mempunyai agenda mereka yang tersendiri dalam menegakkan pemerintahan Islam di bumi Malaysia, namun mungkin kerana bukan mereka yang menguasai negara pada waktu ini, maka, apa yang cuba mereka tegakkan, tidak dapat dilihat oleh masyarakat sekeliling. Mungkin juga sebenarnya penulis yang masih samar-samar tentang pembawaan oleh pihak pembangkang ini. Maaf dipinta.

Cuma sebagai kata-kata semangat, "Islam dahulunya bukanlah bangkit daripada golongan yang majoriti, tetapi minoriti. Bermula daripada penyebaran Islam secara sembunyi-sembunyi, akhirnya turun wahyu daripada Allah, yang menyuruh Baginda SAW untuk berdakwah secara terus-terang." Dalam usaha kita untuk membawa Islam, dasarnya jagalah hubungan kita dengan Allah SWT dan sesama manusia. Patuhi suruhanNya dan jauhi laranganNya. Kuatkan dan tanamkan di dalam diri, keluarga dan anak-anak buah, iaitu daulah Islam sebagai matlamat. Bukannya dunia semata-mata. Kerana hasil yang dapat dilihat jika duit, harta dan dunia yang dijadikan matlamat ialah seperti apa yang terjadi sekarang.

Kerana kuasa, hak orang pun mahu direbut. Kerana kuasa juga, pemerintah di tentang dan keamanan dibiarkan. Kerana duit dan harta, kebajikan rakyat terabai. Bukankah pemimpin yang dimahukan ialah pemimpin yang adil dan bijak dalam mengatasi masalah-masalah kebajikan rakyat? Tidak salah memiliki kuasa, asalkan tahu menggunakan kuasa itu. Tidak salah memiliki duit dan harta, asalkan tahu cara untuk menyalurkan nya.

Konklusi yang dapat penulis buat ialah semua pihak sebenarnya perlu meneliti kembali perjuangan parti mereka. Memang tidak salah untuk memperjuangkan nasib bangsa seperti yang telah di buat oleh Bhagat Singh untuk memperjuangkan kemerdekaan India. Namun, Malaysia, sebagai sebuah negara Islam (seperti yang diiktiraf dunia), sepatutnya memiliki pucuk pimpinan yang benar-benar mahu menerapkan Islam di dalam sistem pemerintahannya dan bukan menidakkan segala hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Keyakinan dalam diri setiap individu Muslim, termasuk pemerintah; terhadap setiap baris ayat yang dinyatakan oleh Allah, dalam kitab suci Al-Quran, perlu di yakini, diikuti dan BUKAN dipertikaikan. Kita kata "kita belajar daripada sejarah", namun sejauh mana kita mengaplikasikannya? Sejarah Islam menunjukkan pemerintahan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW, dengan termetrainya Piagam Madinah dan Perjanjian Hudaibiyah, Islam berjaya dikembangkan ke seluruh pelusuk negeri, malah Islam dihormati oleh mereka yang bukan Islam! Bukankah ini yang kita mahukan? Maka, pastikanlah apa yang diperjuangkan oleh parti adalah betul dan sebenar-benar ikhlas kerana Allah SWT. Tanamkan pengetahuan Islam di dalam diri, keluarga dalam anak-anak buah supaya apa yang diperjuangkan oleh parti adalah jelas.

Disediakan oleh,
Nur Syamimi Mohamad Napis
Setiausaha Media I iLuvislam.com



Komen:


Pertamanya, saya mahu nyatakan disini bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara Islam. Malaysia amat bangga sekali dengan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi, maka saya ingin menjustifikasikan kelakuan para pemimpin Malaysia dan status Malaysia sebagai sebuah negara Islam atau tidak berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. Semasa Tunku Abdul Rahman mahu meminta kemerdekaan daripada pihak British di London, beliau telah berjanji bahawa Tanah Melayu akan kekal sebagai negara sekular, bukan negara islam,Islam hanyalah seperti yang termaktub dalam perkara 11 Perlembagaan Persekutuan sebagai agama rasmi negara.

Krisis politik di Perak yang semakin meruncing sebenarnya bermula apabila apabila 2 orang Adun PR dari PKR 'tiba-tiba hilang' dan kemudian bila muncul mengumumkan diri mereka sebagai wakil bebas dan mempertahankan kerusi masing-masing. Namun masalah makin meruncing apabila Tuanku Sultan Perak tidak memperkenankan pembubaran DUN serta baginda sendiri meminta Nizar meletakkan jawatan, setelah baginda mendengar kenyataan dari DS Najib dan Adun-adun yang melompat parti. Rasanya saya tak perlu lagi menjelaskan tntang peruntukan undang-undang tubuh Perak di sini kerana sudah dibincangkan di atas, dan dimana-mana ruang juga. Ya, tuanku sultan boleh saja menggunakan kuasa budi bicara baginda dalam membuat keputusan, namun perlu diingatkan bahawa kuasa budi bicara sultan atau YDPA bukan lah berkuasa mutlak(absolute discretion)

Sultan Perak pun sendiri mengakui bahawa tidak wujud apa yang dinamakan budi bicara mutlak kerana pernah di dalam satu kes yang beliau putuskan semasa menjadi hakim iaitu kes Pengarah Tanah dan Galian, Wilayah Persekutuan v Sri Lempah Enterprise Sdn Bhd (1979) 1 MLJ 135 menyatakan seperti berikut:

a33;Setiap kuasa di sisi undang-undang mesti mempunyai had dan batasannya di sisi undang-undang. Dengan lain perkataan setiap budi bicara tidak boleh bebas dari had dan batasan undang-undang. Kalau sekiranya budi bicara salah digunakan adalah menjadi tugas Mahkamah untuk campurtangan. Mahkamah sahajalah satu-satunya pembela kepada kebebasan rakyat di atas mana-mana salah laku dan kerakusan kuasa jabatan. Budi bicara yang tidak dikawal adalah satu istilah yang mengandungi percanggahan. Kuasa cenderung untuk merosakkan. Kuasa yang mutlak akan rosak juga secara mutlak."

Skiranya Sultan Perak enggan membubarkan Dun dan bertindak begini atas dasar untuk menyelamatkan bumiputera adakah ia merupakan satu tindakan yang 'justified'? Kerana seperti yang saudari penulis nyatakan, selepas saja Sultan membuat keputusan begitu, kita melihat dimana-mana saja rakayt menyaurakan rasa tidak puas hati mereka.

Mengenai tindakan Karpal singh yang mengambil tindakan menyaman Sultan Perak, dari sudut 'morality' kita mmg melihat telah bertindak menghina institusi beraja. Namun begitu tindakan beliau ini dari sudut undang-undang adalah 'legal' kerana, selepas tahun 1993 hak immuniti Raja-raja telah ditarik balik melalui pindaan perlembagaan. YDPA/sultan boleh didakwa atas kesalahan rasmi ataupun kesalahan peribadi di Mahkamah khas. Tindakan Karpal bolehlah dikatakan sebagai 'legally right and morally wrong'. Namun tindakan Karpal seorang bukanlah mewakili tindakan ataupun pandangan setiap orang dari pemimpin PR, dan Karpal juga menyaman Sultan atas kapasiti beliau sebagai seorang peguam yang sensitif dengan perkara 'ultra vires' dgn perlembagaan.

Mengenai sidang Dun bawah pokok. Secara legal, perkara ini adalah tidak bersalahan dengan perlembagaan, sebab tiada satupun peruntukan perlembagaan yang mengatakan bahawa persidangan di tempat selain DUN adalah tidak sah. Namun begitu, tindakan Sivakumar yang menggantung MB Zambry dan 27 Adun yang lain adalah tidak sah. Begitu juga tindakan beliau yang melantik Misbahulmunir sebagai setiausaha dewan yang baru bagi menggantikan setiausaha yang digantung adalah tidak selari dengan peruntukan perlembagaan. Mereka juga bersidang secara tidak sah, berdasarkan perkara 10 P.P apabila berhimpun tanpa permit. Namun begitu, persoalan di sini ialah atas alasan apakah injunksi dibenarkan oleh pihak Mahkamah untuk tidak membenarkan DUN bersidang? Dan kenapakah Sivakumar tidak dibenarkan melantik peguam beliau sendiri, melainkan beliau diwakili oleh peguam yang telah mewakili Dr Zambry.

Kesimpulan yang boleh saya berikan disini ialah seperti berikut:
1. bagi mengelakkan perkara ini terus berlaku pada masa akan datang, undang-undang lompat parti perlulah diwujudkan(walaupun seakan bersalahan dengan perkara 10 P.P, namun kuasa mahkamah boleh digunakan untuk menjustifikasikan maksud 'morality' sila rujuk tulisan saudara Imakubex dalam Isu Perak dan Falsafah Politik)

2. Apa yang terbaik boleh dilakuakn sekarang ialah Sultan Perak haruslah membubarkan DUN, sebagai satu langkah yang adil untuk semua pihak, samada pembangkang, kerajaan dan rakyat.

Bagi mereka yang mempelajari undang-undang Perlembagaan, mereka pasti mahir dengan istilah 'convention' (amalan). Secara mudahnya 'convention' di dalam konteks Undang-Undang Perlembagaan bermaksud amalan-amalan yang telah diterima pakai sebagai salah satu kaedah untuk menafsirkan peruntukan Perlembagaan.

Menurut Geofrrey Marshall, 'conventions' adalah apa yang kita namakan sebagi satu akhlak positif Perlembagaan (positive morality of the Constitution). 'Conventions' menurut sarjana tersebut adalah satu peraturan yang mana para aktor politik wajib mematuhinya.

Di dalam konteks apa yang berlaku di Perak, apakah 'convention' yang patut dipatuhi oleh Sultan apabila MB Perak meminta baginda membubarkan Dun Perak? Jawapannya 'convention' yang terpakai adalah Sultan dengan penuh hormat, sewajarnya membubarkan Dun apabila dengan secara munasabah diminta berbuat demikian oleh MB Perak iaitu Datoa33; Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

Philip T.N Koh, salah seorang peguam Perlembagaan di dalam tulisannya "Constitutional conundrums and conventions" (The Edge, 23 Feb 2009 di m/s 55) menyatakan seperti berikut:

"Adalah berfaedah untuk dicatatkan di sini berdasarkan amalan-amalan di negara Komanwel boleh dikatakan tidak pernah berlaku keadaan di mana Gabenor (di Malaysia Sultan) menolak mana-mana permintaan yang munasabah (untuk membubarkan dewan) oleh Menteri Besar. Di United Kingdom, kini telah diterima dan diakui meskipun keistimewaan diberikan kepada Raja untuk membubar Parlimen namun perlaksanaannya bergantung, dalam keadaan biasa bergantung kepada perkiraan dan keputusan Perdana Menteri."
(Mohammad Hanipa Maidin)

Ya, pilihanraya semula akan melibatkan duit yang banyak. Tapi rasanya ini lebih baik dari terus bergolak begini, dan menyebabkan rakyat terus resah dan cemas. Sekiranya keadaan sekarang terus dikekalkan, saya percaya, lebih byk lagi tindakan yang bersalahan dari segi undang-undang akan terus dibuat dari pihak BN ataupun PR.

3. Jumlah kerusi yang banyak di Parlimen tak menjamin keutuhan dankekuatan jiwa sesebuah parti. Ini yang dapat kita lihat dari PKR(memiliki kerusi yang paling banyak, diikuti dgn DAP). Secara peribadi, DS Anwar perlu mentarbiyyah ahli-ahlinya supaya tidak terlalu mencintai wang dan pangkat.

wallaha'lam.

Tuesday, March 24, 2009

Harga sekuntum cinta

Pada redup renungan berkaca
Terkolam riak sesal dan kecewa
Dialah yang semalam ditewas dunia
Tergetis keasyikan dosa

Perjalanan hidup terpaksa disukai
Biarpun penuh onak yang melukai

Dalam remang senja kau mencari
Seorang kekasih menghilang diri
Dialah yang semalam menabur janji
Dibuai kesamaran mimpi

Lupakanlah dia pendusta yang setia
Kembalilah pada hidup lebih bermakna

Mudahnya kau bayar harga sekuntum cinta
Mekar merona tubir sukma
Walau dengan hanya tercium harumannya

Leraikan gelora lepas di laut rasa
Nyala asmara telah sirna
masih ada sinar suluh hidup bahagia
Rayulah cinta-NYA

Monday, March 23, 2009

Kenapa insan mudah berburuk sangka?

"Kenapa ye, dia tak datang kelas tadi?" tanya salah seorang ahli kelas k58, Safuan.
"Alah, dia tu tak ada kerja lainlah. Pontenglah tu. Main game dalam bilik," kata Amir, seorang lagi ahli kelas k58. "Aku tahulah dia tu," sambungnya lagi.


"Kita mesti jalankan hukum hudud," tegas seorang Menteri Besar.
"Habislah kudung rakyat kita. Habislah batu-batu jalan dibuat rejam penzina," balas seorang ahli politik.


Ragam manusia. Belum tahu pokok pangkal, sudah diterjah. Inikah yang dikatakan umat akhir zaman? Dari golongan inikah lahirnya ikhwan Nabi Muhammad?
Nabi bersabda, aku merindui ikhwanku. Sahabat berkata, kamilah ikhwanmu. Balas Nabi, kamu bukan ikhwanku. Kamu sahabatku. Sahabat merasa cemburu, lalu bertanya, siapakah ikhwanmu itu? Jawab Nabi, ikhwanku ialah orang yang tidak pernah melihat aku, tetapi mencintai dan merindui aku sepenuh hatinya. Sesungguhnya aku tidak sabar untuk bertemu dengan ikhwanku di syurga nanti.



Agak-agaklah, siapa yang jadi ikhwan Nabi Muhammad itu ye? Kita? Kita yang penuh dengan buruk sangka? Yang tak tahu apa-apa lalu menghukum orang lain? Jangan mimpilah sahabat. Sunnah Nabi pun jauh sekali, ini nak bertemu Nabi di syurga nanti?

Nabi ada suruh kita berburuk sangka? Tak ada bukan? Nabi pernah berburuk sangka? Tak ada. TIDAK ADA. Tapi kenapa kita sekarang, senang sangat nak berburuk sangka pada orang? Kalau kawan kita tak pergi kelas, mungkin dia ada masalah. Kita bukan nak ambil tahu pun. Entah-entah kawan kita dah meninggal dunia kat bilik dia, kita tak tahu pun. Tapi kita, main tuduh saja. Kalau dia betul-betul mati, bila nak minta maaf? Menyesallah sudah. Dosa dengan Allah, kita boleh taubat. Allah maha pengampun. Dosa dengan manusia, Allah tak akan ampun selagi kita tak minta maaf dengan orang tersebut. Habis, kalau orang tu dah mati? Nak minta maaf dengan mayat?!

Sudahlah tu, kita ni dahlah amalan pun kurang. Ibadah pun jarang-jarang. Dosa-dosa kering macam tu pun kita nak kutip free? Aduh...susahlah macam tu. Amalan kurang, dosa banyak. Timbangan di padang mahsyar nanti dah tentu senget sebelah. Jatuh tergolek masuk nerakalah jawabnya. Kalau setakat tergolek tak apalah, ini dicampak, dihumban masuk neraka. Na'uzubillah...minta dijauhkan.

Bagi sesiapa yang baca ni, sedarlah... Penulis sendiri pun tak terlepas dari kesilapan sama. Tapi, usaha perlu ada. Usaha untuk tidak berprasangka. Jangan hanya berserban atau bertudung labuh saja, tapi hati busuk. Hitam. Angkara buruk sangka...

Sunday, March 22, 2009

CGPA atau kabel?

Terasa lama benar tak menulis. Tapi, apa boleh buat. Kesibukan menguasai diri. Sehinggakan pada satu tahap terasa 'akulah orang paling sibuk di dunia'. Penat. Pening. Kadang-kadang perit. Perit nak memikirkan bagaimana nak bahagi masa dengan sebetul-betulnya.

Tapi bila kita bekerja, ikhlas kerana Allah. Kita sibuk bagaimanapun kita akan sentiasa tenang. Semua gerak kerja rasa mudah. Tapi bak kata seorang ahli sufi, keikhlasan itu ibarat seekor semut hitam yang berada di atas batu hitam, terletaknya dalam gua yang dalam, di malam yang gelap gelita. Nak mencari semut hitam itu pada ketika ini adalah mustahil. Begitu juga nak menilai keikhlasan dalam diri. Ikhlas ini adalah anugerah Allah.

Jadi, apa boleh kita buat? Buat saja kerja kita. Biar sibuk. Biar tak tenang. Biar orang kata kita tak ikhlas. Biar orang lain kata kita buat kerja sia-sia. Tapi yang penting, Allah menjadi pemantau kita. Ini yang kena sentiasa ingat.

Geram juga bila orang kata, "Sudahlah kerja-kerja tu, tumpu pada akademik saja." Nak tanya sikit, semua yang kita belajar ni, berapa peratus yang dapat dipraktikkan di luar, selepas graduasi? 100%? 80%? 50%? Salah. Semua salah. Paling banyak pun 20% sahaja.

Lagi satu, berdasarkan pengalaman orang-orang lain. Banyak pelajar yang diterima bekerja tu, sebab dia dapat 3.50 ke atas ke? Tak juga. Ada je yang dapat 2.50, tapi dapat kerja. Kerja hebat-hebat pula tu. Apa kita kata? Kita kata, "Alah, diorang tu guna kabel, bolehlah."

Guna kabel tu bermaksud kita ada hubungan (connection) dengan orang yang cari kerja tu ke? Habis tu, bagaimana nak cipta hubungan dengan mereka?! Belajar dalam kelas? Buat tugasan? TIDAK. Bila kita sudah aktif, buat aktiviti itu ini. Banyak orang besar-besar (jawatan tinggi, bukan badan besar) kita kenal, kan lagi mudah nak ada kabel tu. Tak dinafikan orang yang dapat 3.50 banyak peluang pekerjaan. Tapi jaminan? Ada ke? Tak ada bukan?

Jadi, mana lagi utama? CGPA atau kabel?