Monday, September 28, 2009

Tazkirah Aidul Fitri

Walaupun sudah seminggu lebih kita menyambutnya, rasanya masih tak terlambat untuk mengucapkan salam aidilfitri. Bukan main seronok kita sambut raya. Dengan baju barunya. Dengan gaya barunya. Semua serba serbi baru.

Namun, penulis ingin mengutarakan satu persoalan kepada semua yang membaca artikel ini. Kenapa kita sambut aidlifitri? Sebab ia satu adat? Sebab sejak dari dulu, zaman datuk nenek kita pun sambut? Sebab setiap kali 1 syawal, umat islam memang akan berhari raya?

Kalau ditanya, kenapa sambut hari kemerdekaan? Pasti jawapannya ialah, untuk memperingati segala jasa, peristiwa untuk mencapai merdeka. Kalau ditanya apa sekali perayaan pun, pasti akan ada sebab. Bukan saja suka-suka nak seronok berhari raya.

Berapa ramai dari kita, yang boleh jawab soalan pokok tadi? Percayalah, cubalah tanya anak muda dan remaja sebaya penulis, memang susah nak menjelaskan persoalan tadi. Pasti dan pasti, jawapan yang akan keluar ialah sebab memang dah orang lain sambut, kita pun sambutlah. Tiada makna lain. Maka, jadilah perayaan itu hanya seronok semata-mata. Seronok kumpul duit raya. Seronok pakai baju baru. Seronok dapat jumpa kawan-kawan. Seronok memanjang.

Itulah yang hilang dalam umat islam khususnya di Malaysia. Maka jadilah 1 syawal itu tiada erti melainkan untuk berseronok belaka. Seronok yang belum tentu ke syurga dan belum pasti dapat elak dari seksa api neraka.

Dan masa musim raya ini juga, kita dapat tengok ibadat yang jadi adat. Apa dia? Solat sunat aidilfitri, lawat kubur, lawat jiran tetangga, memaafkan kesalahan. Kenapa jadi adat? Sebab kalau tak buat, bukan hari raya namanya.

Solat sunat aidlifitri, masjid penuh sampai jemaah terpaksa solat atas jalan tar, tempat parking. Tapi cuba tanya jemaah-jemaah kita, berapa ramai yang solat subuh pagi tu. Tak perlu kiralah, sama ada berjemaah atau pun tak, di masjid atau di rumah. Yang penting, solat atau tidak?

Justeru, mereka yang menjawab ya, solat sunat itu jadi ibadat. Dan jika sebaliknya, solat sunat hanyalah adat semata-semata. Bukan adat orang Islam, tapi adat orang Melayu. Sebab itu, Islam di negara kita tersangatlah rapuh. Kalau dihembus, pasti berderai. Apatah lagi kalau dijentik, disepak, ditendang.

Khutbah aidilfitri di masjid tempat penulis, di masjid manapun, pasti akan cakap, bersyukurlah di negara kita, aman damai, tiada kekacauan. Namun, ketenangan dan aman damai inilah yang membunuh iman Muslim di Malaysia, perlahan-lahan, secara diam-diam.

Kenapa sambut aidilfitri
Ibaratkan kita ini mempunyai sehelai baju seragam, yang perlu dipakai 5 hari seminggu. Pasti kotor, dan perlu dicuci, bukan? Jadi, hari ke 6, adalah hari untuk mencuci baju. Dan esoknya, baju itu kembali bersih. Dan kita selesa untuk memakainya semula.

Itulah ibarat diri kita. Setelah 11 bulan, hati dan iman perlu dicuci dan dibersihkan. Dan Allah kurniakan, Ramadhan sebagai waktu mencuci yang paling sesuai. Selepas dicuci, kita akan guna dan pakai untuk 11 bulan berikutnya. Lalu, hari raya itu disambut untuk menyatakan hasil pencucian kita selama bulan Ramadhan.

Tapi, berapa ramai yang betul-betul mencuci di bulan Ramadhan? Berapa ramai yang betul kembali bersih hati dan iman sebagaimana fitrah ia dilahirkan? Sebab itu hari raya ini dipanggil aidul fitri. Kembali pada fitrah.

Nah, sahabat. Sudah cucikah hati dan iman kalian? Kita ni nak menempuh 11 bulan lagi. Kalau hati dan iman belum bersih, maka makin kotor dan kotor lagi dalam 11 bulan akan datang. Dan tak perlulah nak berseronok sambut hari raya. Tiada makna hari raya ini bagi mereka yang tak tahu atau tak ambil tahu tentang perkara ini.

Friday, September 11, 2009

Sahabat

Sahabat,
Mahukah kamu aku ceritakan satu kisah
Sekumpulan manusia yang berkumpul kerana Allah
Bekerja tanpa abai akhlak dan ibadah
Biah solehah menghidupkan sunnah

Sahabat,
Sematkanlah dalam hati
Ukhwah kita hingga mati nanti
Jangan di tengah jalan sudah berhenti
Angkara sikap pentingkan diri

Sahabat,
Jasad dan jiwa rela dikorban
Namun ikhlas sentiasa jadi persoalan
Itulah sebab kita disatukan
Supaya saling menasihatkan

Ukhwah...

Antara kata-kata hikmah yang kita boleh jadikan sebagai pengajaran; hadiah yang paling berharga adalah nasihat yang berguna. Ukhwah ialah ikatan persaudaraan antara sesama muslim, itu secara mudahnya. Ikatan ini antara manusia yang asalnya dari latar yang berbeza, dialek yang berlainan, gaya personaliti yang tak mungkin akan sama setiap orang. Pengikat antara semua manusia ini ialah ukhwah. Semua orang tahu pasal ukhwah. Tapi berapa ramai yang berhati-hati dalam kehidupan demi menjaga ukhwah? Berapa ramai yang setiap malam memafkan teman-teman semata-mata kerana ukhwah?

Secara jujurnya, sebelum saya IPT, saya adalah seorang yang pendendam. Sekali saya menyesal berinteraksi dengan seseorang, selama-lamanya saya tak akan berhubung lagi. Mungkin sebab itu juga, saya tak ramai kawan baik. Kalau ada pun, persahabatan itu malas nak dikenang. Tapi ada sesuatu nilai dalam sebuah persahabatan yang saya dapat dulu, jangan percaya pada sesiapa.

Ya, jangan percaya pada sesiapa. Termasuklah kawan baik sendiri. Mungkin ayat ini agak keras bunyinya. Tapi itu hakikatnya, dalam realiti hidup. Memang ada kawan yang akan membantu kita bila dalam kesusahan, tapi ingat, pertolongan itu mengharapkan sesuatu. Dan bila harapan itu tidak dapat ditunaikan, hilanglah semua kawan-kawan. Tapi ini bukan suatu masalah pada saya, sebab saya memandang secara positif. Untuk perlukan kawan, kena ada win-win situation, saya perlu sesuatu, mereka perlukan sesuatu. Saya dapat sesuatu, dan mereka dapat sesuatu.

Alhamdulillah, Allah tunjukkan jalan ke IPT. Dan akhirnya saya dapat bersama dengan orang-orang yang saya percaya adalah hebat-hebat belaka di sekeliling saya. Pada permulaannya, saya masih dengan pandangan skeptikal iaitu jangan percaya pada sesiapa. Tapi, cara orang-orang yang berpengalaman di sini telah menarik minat saya untuk belajar dan memahami konsep bersahabat.

Ukhwah yang mengekalkan saya dan memberi ruang untuk belajar mengenai perjuangan Islam. Kalaulah saya hidup di sisi Hasan al-Banna, saya akan suruh dia tukar ukhwah itu ke rukun baiah yang lebih tinggi berdasarkan pemikiran dangkal saya sebagai seorang manusia. Tetapi memang benar. Kalaulah saya diberi peluang untuk menyusun semula rukun baiah, saya akan letak ukwah di tempat lebih tinggi.

Sebab sedar atau tidak, mahu percaya atau tidak, semua orang, tak kira sehebat Hasan al-Banna sehinggalah sedaif insan seperti saya, masing-masing perlukan sokongan. Adakah Rasulullah sendiri berjuang berseorangan menegakkan Islam? Tidak. Allah letakkan Abu Bakar sebagai pendamping. Terfikir tak, kenapa insan semulia Nabi kita pun Allah menetapkan pendokong di sisinya. Sedangkan Allah boleh nak takdirkan Rasul itu berseorangan memperjuangkan Islam. Sebab apa? Sebab Rasulullah sendiri manusia biasa. Bila sibuk perlukan bantuan. Bila sakit perlukan pengganti. Bila lemah perlukan sokongan.

Apatah lagi kita yang bukan menuntut di Fakulti Pengajian Islam malah lebih jauh untuk menyamai taraf sahabat. Lalu apa? Semua akan bersetuju jika saya katakan kita perlukan sokongan. Tanpa sokongan, kita ibarat pohon renek, yang ditiup angin kencang. Bila-bila masa boleh tercabut akarnya. Dan sokongan ini asasnya adalah ukhwah.

Dan apa yang menghiasi dan membajai benih-benih ukhwah? Baja yang paling baik dan paling bagus adalah nasihat yang berguna untuk sahabat di sekeliling kita. Dan paling penting, ini bukan gerak kerja individu tertentu sahaja. Atau peranan AJK tertentu sahaja. Semua kena bertindak. Semua yang mengaku dia pejuang agama Allah perlu mainkan peranan sebagai penasihat kepada seseorang yang lain.

NASIHAT....NASIHAT....NASIHAT....BUKAN KRITIK!!!

Inilah salahnya kita. Kita bukan menasihati tapi lebih cenderung untuk mengkritik. Pantang nampak salah sahabat sikit, ada saja ayat yang kita kata nasihat untuk sahabat tadi. Pandang dan renunglah diri dalam cermin. Pernahkah ada usaha untuk kita membantu? Atau cukup sekadar tunjuk prihatin dengan beri nasihat?

Dalam buku Dr Fadzilah Kamsah, Bagaimana Menjadi Orang Yang Menarik, beliau ada tekankan mengenai cara-cara untuk menjadi orang yang menarik melalui nasihat. Antaranya ialah jangan terus kepada orang yang dituju, walau kita marah sekalipun. Contoh, kita terdengar ada sahabat pecahkan gelas, lalu kita bergegas sama. Jangan sesekali kata "Apa kau dah buat?", katakanlah "Apa yang dah terjadi?" Nasihat yang diiringi tanda-tanda untuk menyalahkan seseorang tak akan diterima. Lebih baik tutup mulut dari berkata-kata. Boleh juga nasihat itu didahulukan dengan pujian. Barulah orang akan membuka minda untuk mendengar nasihat.

Tak salah nak cakap direct, cuma perlu kena cara. Tidak menunjukkan kita menyalahkan dia. Susah, memang susah. Tapi itulah dia hakikat sebuah persahabatan, yang perlu diwarnai dengan sikap berlapang dada supaya ukhwah berkekalan.

Namun, dari sehari ke sehari, bila ada tekanan sedikit, kita mudah nak lemparkan pada sahabat-sahabat. Tambah pula bila sahabat ini memang ada masalah, kita dengan lagaknya untuk bagi nasihat. Sambil nasihat itu sendiri dicemari dengan emosi yang tak menentu. Adilkah kita? Ini zalim namanya. Zalim pada sahabat sendiri. Tak setuju? Tapi itu yang ada sekarang. Jangan nafi, jangan melenting. Buat sesuatu, ubahlah diri sebelum ubah orang lain.

Jadi, sahabat-sahabat. Setuju tak kalau saya katakan, jangan percayakan sesiapa termasuk sahabat sendiri? Sebab sahabat sendiri pun bersikap zalim.



P/s: maaf fiddarbi yasir...saya rasa memang saya lebih sesuai dengan tulisan semacam ini. Baru lebih terkesan rasanya. :)

Saturday, September 5, 2009

Dakwah dan kita

Hari ini, musuh Islam telah melancarkan pelbagai taktik untuk menjatuhkan Islam. Antaranya ialah dengan mengelirukan pemikiran dan menggoyahkan pegangan umat Islam. Remaja adalah sasaran utama bagi mencapai matlamat mereka. Sebabnya ialah remaja adalah tunggak dan juga aset utama dalam membina agama dan bangsa.

Sahabat, mari sama-sama kita nilai diri balik. Berdakwah kita? Kita kata kita sudah ditarbiyah. Sedangkan kita tahu tarbiyah untuk melahirkan pendakwah. Namun, apa betul kita ditarbiyah? Jika betul, sejauh mana usaha dakwah kita.

Kembangkanlah kelompok dan sasaran dakwah. Jangan hanya tertumpu kepada mereka yang memang kaki masjid. Bagaimana, saudara-saudara, dengan rakan-rakan kita yang masih leka dengan dunia. Masih seronok dengan kepalsuan yang dicipta manusia. Siapa yang mahu mengislahkan mereka? Apa usaha kita?

Dakwah secara definisinya ialah menyeru orang ke arah kebaikan. Justeru, mari kita koreksi diri, berapa ramai yang kita dakwahkan agar mereka kembali pada Islam? Satu? Dua? Atau tiada langsung?

Yang hanya terucap di bibir kita yang mengaku ditarbiyah ini, 'aku tak mampu lagi' atau nak lebih selamat 'dah dakwah dah'. Kalau begini gayanya, kesudahan episod sang pejuang pasti akan berakhir tak lama lagi.

Pernahkah membandingkan usaha kita dengan orang-orang yang terdahulu? Nabi Nuh As, berdakwah ratusan tahun. Pengikutnya? Hanya 80 orang. Anak dan isteri baginda pun masih tak mahu ikut ajakannya. Nabi Muhammad Saw, pernah berdarah dilempar batu di Thaif. Bila ditawarkan Jibril untuk membalas perlakuan penduduk Thaif, Nabi Muhammad Saw tak benarkan.

Jadi, apa perbandingan kita dengan mereka? Memang tak terbandingkan. Sudahlah sekarang ini, pelbagai cara boleh menjadi medium dakwah. Alasan kita lagi, ' belum sempurna diri untuk jadi pendakwah'. Imam Said bin Jubair berkata, "jika seseorang tak mahu beramar makruf dan nahi mungkar sehingga dirinya sempurna, maka tidak ada orang pun akan mengajak makruf dan mencegah kemungkaran." Imam Malik menambah, "dan siapa di antara kita yang lengkap dan sempurna?" Sedangkan Rasulullah sendiri semasa berdakwah, adakah sudah lengkap al-Quran diturunkan?