Wednesday, October 28, 2009

Sebat kerana arak: adilkah?

Wacana ilmiah yang bertajuk ‘sebat kerana arak: adilkah?’ yang berlangsung minggu lepas di UIA mendapat respon yang pelbagai. Tak kiralah yang positif atau negatif. Keseluruhannya forum ini memang padat dan sendat dengan fakta dan hujah serta input yang penting bagi kita semua, khususnya pada yang mengaku sebagai pembela agama Islam.

Audien yang begitu ramai menunjukkan betapa masyarakat prihatin tentang masalah yang melanda negara kita. Isu ini sepatutnya tidak diperbesarkan sehingga ke tahap ini, kerana ia memang telah termaktub di dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri. Jadi, tiada apa lagi yang perlu dipersoalkan. Tambahan pula yang mempersoalkan itu adalah dari kalangan yang bukan pakar dalam bahagian perundangan ini sendiri. Namun, disebabkan dengki dan takut Islam yang semakin naik, digunakan juga apa saja hujah, termasuk yang tak masuk akal, untuk menghalang perkara sebegini.

Biarkan apa yang berlaku di negara ini dengan ragamnya. Yang penting di sini, penulis ingin mengupas sedikit input-input terakhir yang diperolehi semasa forum tersebut. Iaitu mengenai faktor-faktor kenapa pengetahuan tentang Islam ini tidak sampai kepada keseluruhan masyarakat. Lalu, ramailah bilangan masyarakat yang beriktikad dengan pegangan yang mereka rasa betul, sedangkan hakikat adalah sebaliknya.

FAKTOR KETIDAKSAMPAIAN ILMU PADA MANUSIA
1. Kejahilan
Jahil ini bermakna tidak tahu, bodoh atau tiada pengetahuan. Masyarakat di serata negara kita ramainya yang semakin celik teknologi dan pelbagai lagi, tetapi malangnya semakin ramai pula yang buta agama. Secara terus terang penulis katakan, sebab terjadinya perkara adalah kerana sistem pendidikan di negara kita yang tidak menekankan sangat aspek agama. Selain itu, kurangnya ambil perhatian terhadap ilmu agama ini berbanding ilmu-ilmu lain.
Penulis lebih suka kepada punca yang kedua tadi iaitu kurang ambil perhatian. Bukan kerana apa, penulis berpendapat adalah lebih baik mengkaji dulu apa yang terjadi pada diri sebelum menuding jari menyalahkan orang lain.

2. Kebebalan
Jahil itu sudah menyusahkan dan memberi impak buruk. Namun lagi menyedihkan apabila si jahil ini bertindak alim dalam perkara yang dia sendiri tidak dalami dan pelajari. Sudahlah mahu memfatwakan hukum sendiri, malah lebih dahsyat lagi apabila pendapat ulama yang sepatutnya dalam bidang tersebut ditolak mentah-mentah seolah-olah mereka ini tahu segalanya. Inilah dikatakan bebal atau kata mudahnya bodoh sombong.

3. Islam gagal sampai kepada semua
Pendekatan badan-badan Islamik di negara ini gagal memaknakan tujuan sebenar mereka ditubuhkan. Kalau dihitung , sudah berlambak badan-badan Islam di negara kita, tetapi usaha untuk menyampaikan Islam itu tidak pernah dimurnikan sebagai satu tujuan utama. Pegawai-pegawai yang bertindak pun tidak menjalankan tugas yang sepatutnya sebagai seorang Islam. Lihat saja perbandingan pada persatuan agama lain. Tidak perlu penulis sebutkan satu persatu di sini.
Kesannya, orang Islam akan mengabaikan Islam dan orang bukan Islam akan terus jauh dari Islam.


CARA MENGATASI
Saya menulis dalam konteks sebagai pelajar, apa perlu kita lakukan dalam menangani masalah ini.
1. Berani
Berani bukanlah bermaksud berani berlawan atau bergaduh. Berani ini dalam menyampaikan kebenaran. Berani juga dalam mencari kebenaran. Kalau yang tahu, tugasnya menyebarkan kepada yang tidak tahu. Kalau yang tidak tahu pula, tugasnya mencari ilmu tersebut.
Muhasabahlah sendiri. Berapa ramai di antara kita yang sanggup menegur rakan-rakan melakukan kesilapan. Sebab kita disuapkan dengan sikap pentingkan diri dan fokus hanya pada pencapaian dunia semata.

2. Dekati semua orang
Pendekatan yang menyeluruh. Bukan kepada satu pihak sahaja. Ini ternyata berat sebelah. Satu pihak kita dekati dan kita berkongsi fakta. Satu pihak lagi kita jauhi dan kita sembunyikan fakta. Dalam menyebarkan ilmu, tidak perlu pilih bulu. Semua orang berhak untuk tahu. Pendekatan ini perlunya didahului dengan keberanian yang dinyatakan di atas. Tanpa keberanian, memang kebenaran tetap tersembunyi sampai bila-bila.

3. Bijak
Hujah yang songsang atau salah tidak perlu dipatahkan di dalam forum atau debat sahaja. Jika kita punyai ilmu, kebijaksanaan dalam berhujah pada diri sudah cukup untuk menjelaskan pada orang terdekat dengan kita. Bijak berhujah juga bukanlah bermaksud anda perlu berbahas dan sebagainya. Jawab secara hikmah sudah memadai. Bukankah Nabi juga berpesan dengan hikmah?


KESIMPULAN
Siapa betul siapa salah telah kita tahu sebelum ke forum ini. Tujuan utama audien memenuhi ruang auditorium malam itu bukan sekadar mencari maklumat. Audien rata-ratanya ingin tahu hujah yang digunapakai dalam sesuatu isu. Sedikit kecewa apabila forum ini tidak menjadi perbincangan dua hala disebabkan ketidakhadiran beberapa panelis. Namun, isi yang mantap, fakta yang tepat dan input yang berguna pada malam itu menaikkan kembali semangat.

Monday, October 26, 2009

Persiapan sebelum perjuangan!!!

Tekanan untuk menghadapi saat peperiksaan sudah mula memuncak. Dengan projek dan pembentangan yang tak sudah-sudah, lagi bertambah tegang. Apa-apa pun, penulis ingin mengucapkan semoga berjaya kepada semua yang bakal menghadapi peperiksaan yang akan datang nanti. Sebagai perkongsian, penulis sertakan beberapa tips untuk menghadapi peperiksaan.


TIPS MENGHADAPI PEPERIKSAAN

1. Fizikal

a) Perlukan tidur yang mencukupi. Waktu tidur yang optimum adalah 6-7 jam sehari bagi pelajar seperti kita. Dalam Islam, walaupun Qiamullail itu digalakkan dan sangat dituntut. Allah SWT perintahkan supaya kita berqailullah, yakni tidur sekejap sebelum zuhur. Tidur 5 minit sebelum zuhur sudah mencukupi untuk menampung waktu Qiamullail pada malam sebelumnya.

b) Riadah itu perlu, tetapi jangan keterlaluan. Cukup sekadar 20 minit sehari dan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu. Kepentingan untuk bersukan atau riadah ini adalah untuk memastikan seluruh tubuh kita aktif dan dapat melancarkan peredaran darah.

c) Jagalah keselamatan diri semasa musim peperiksaan. Jauhkan dari melakukan aktiviti yang berbahaya. Elakkan dari terlibat dalam kemalangan. Sentiasalah berhati-hati.

d) Jaga diet pemakanan. Makanan berkolestrol tinggi, berlemak dan memudaratkan kesihatan, perlulah dijauhkan.
"Makanlah dari makanan yang baik yang telah Kami berikan" (Al-Baqarah : 57).
Makanan yang baik bermaksud halal sumbernya, bersih dan tidak memudaratkan.


2. Mental

Persiapan mental penting kerana mentaliti yang baik akan menentukan tindakan yang dihasilkan adalah baik. Rasionalkan respon kita pada perkara yang berlaku di sekeliling. Jangan sesekali berfikiran negatif di atas perkara yang tidak diingini berlaku. Sebaliknya, fikirlah secara positif dengan menjadikan masalah kepada satu peluang.


3. Emosi

Emosi akan mempengaruhi mentaliti seseorang. Secara tak langsung, tindakan yang terbias dari diri kita juga akan dipengaruhi. Peristiwa yang berlaku di sekeliling, tidak kira menggembirakan, menyedihkan atau apa saja, pastikan emosi kita stabil.

Peristiwa tidak mencetuskan emosi. Tanggapan kita pada sesuatu peristiwalah, yang mewujudkan emosi.


4. Rohani

a) Sentiasa bermunajat kepada Allah. Berdialoglah denganNya. Tiada sesiapa selain Allah untuk kita sandarkan harapan dan harapkan pertolongan.

b) Zikir dan bacalah al-Quran. Dalam surah ar-Ra'd:36 (maksudnya); "sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang."

c) Jauhkan diri dari melakukan maksiat. Perkara maksiat akan menggelapkan hati dan membuatkan otak lembap.





Semoga berjaya!!!

Saturday, October 24, 2009

Inikah Islam

Inikah dia Islam?
Yang katanya tersebar melalui pedang,
Hingga kuasai 2/3 dunia,
Mampu memimpin atas satu nama.

Inikah dia Islam?
Yang katanya menindas wanita,
Sampaikan hak sosialnya dinafikan,
Hakikatnya begitulah cara melindungi permata.

Tapi itu semua dulu,
Zaman Nabi dan zaman sahabat,
Iman tinggi bertingkat-tingkat,
Masakan boleh menjulang nama,
Masakan mampu menguasai dunia,
Masakan boleh tundukkan rom dan parsi.

Sekarang,
Al-wahan jadi penyakitnya,
Ramai bilangan tak berguna,
Islam dibenci oleh Muslim,
Islam ditentang oleh Muslim,
Islam lemah kerana Muslim,
Islam ditekan sebab Muslim.

Mana kita?
Yang katanya umat akhir zaman,
Katanya akan bangkit dari timur,
Khabarnya membawa panji hitam,
Menanti Imam Mahdi tegakkan Islam.

Mana kita?
Kita yang aku lihat masih tidur,
Kita yang aku lihat masih berdengkur,
Hanyut di dalam mimpi dunia,
Terbuai terus dalam alpa.

Mana kita?
Yang masing-masing bertengkar sesama,
Konon nak tunjuk siapa betul,
Konon nak tunjuk siapa lagi ikut Al-Quran,
Siapa lagi pegang pada Al-Hadis.

Mana kita?!

Sunday, October 18, 2009

Maha dan siswa!!!

Semalam telah berlangsung satu forum yang sangat menarik di UIA Kuantan sempena I-Quest '09 yang bertajuk TRANSFORMASI MALAYSIA: Mahasiswa Peneraju Perubahan. Pertama sekali, tahniah diucapkan pada tenaga kerja I-Quest kerana berjaya mengadakan satu program yang hebat seperti ini.

Forum ini telah dibarisi oleh 3 orang panel, dari PKPIM, Ma'aruf Club dan Presiden GAMIS sendiri.

Memang banyak input-input diperolehi walaupun kami (penulis dan rakan-rakan) terlambat sedikit. Kami sampai ketika panel membentangkan poin dalam pusingan pertama.

Cuma saya ingin kongsi kata-kata Presiden Gamis di hujung forum berkaitan dengan mahasiswa sekarang.

'Kita sekarang berada di zon selesa. Jika para sahabat dahulu menerima ujian dan mehnah yang pelbagai dan hebatnya, seperti ditetak di kepala, dijemur di padang pasir dan sebagainya, tetapi kita di sini menerima mehnah juga; dicucuk dengan satay, direndam dengan tomyam, dan dibakar dengan BBQ.'

Benar apa yang diungkapkan itu. Ujian kesenangan yang kita lalui sekarang menyebabkan kita sentiasa berasa selesa. Tak perlu susah payah seperti pelajar Islam di Mesir. Tapi tahukah kita, ujian kesenangan ini lebih sukar dan payah untuk kita atasinya.

Antara si miskin yang bersabar dan si kaya yang bersyukur, mana lebih tinggi darjatnya? Sudah tentu si kaya yang bersyukur. Di dalam al-Quran sendiri penuh dengan ayat mengenai syukur. Ini menunjukkan susahnya untuk mengimplimentasi kesyukuran itu sendiri.

Nah, sahabat. Kita berasa selesa, itu tandanya kita kurang dengan rasa syukur. Kita kurang pengisian untuk memenuhi zon selesa yang kita duduki sekarang. Hasilnya, jadilah kita mahasiswa yang lembab, pak turut dan tak pedulisme.

Bangunlah sahabat! Majulah mahasiswa! Mahasiswa sepatutnya menjadi penggerak kepada negara. Adakah kita masih mahu leka dan lalai dengan keseronokan sementara? Dengan couplenya, pergaulan bebas?

Berhenti dari leka, sedarlah dari alpa!!
Pandanglah ke hadapan dan teruskan melangkah. Jangan menoleh lagi...

p/s: Sebagai promosi tambahan.

Intelectual Discourse

issue: Kartika Sari Dewi sentenced to caning for consuming

CANING FOR CONSUMING ALCOHOL: is it fair?

Khamis (22/10/09)
8.30~11.30 p.m
Main Auditorium, KOM
iium, Indra Mahkota


Moderator:

Prof Dr Mohammed Fauzi bin Abd Rani
(dean kulliyyah of Medicine)


Panelist:

1- YB Dato' Hj Sahfri bin Abd Aziz
(pengerusi Jwtnkuasa Dakwah Islamiah, Ppaduan & Bdn Bkn Krajaan (NGO) Pahang)

2- Ust Hj Nasarudin bin Hj Hassan At-Tantawi
(Ketua DPPP)

3- Mr. Mohd Najid bin Husin
(Peguam Syar'ie Pahang)

4- Dr. Hamidah Marican
(Executive Director, Sister in Islam, SIS )


For registration & inquiries, please contact:
Akmal : 013-3078163
Fatimah : 013-3083926

Saturday, October 17, 2009

Pengajaran...

Termasuk semalam, sudah dua kali penghuni rumah ini terlibat dalam kemalangan motor. Kebetulan di tempat yang sama, waktu pun lebih kurang sama, keadaan cuaca pun sama. Waktunya selepas Isyak, tambahan pula sedang hujan menyebabkan jalan licin. Dua kali housemate penulis kemalangan di situ. Nasib bukan orang yang sama.

Semalam, walaupun tak seserius mana, tapi kami hantar juga ke klinik memandangkan sahabat penulis tu tak boleh nak gerakkan tangannya. Bimbang takut patah atau retak. Mujurlah selepas buat pemeriksaan di Unit Kesihatan Pelajar (UKP), hanya terseliuh di pergelangan tangan saja.

Dalam kesakitan dan bimbang, (bimbang sebab guna motor orang), nampaknya ada pengajaran yang dipelajari mereka. Pertama, jangan bawa laju. Kedua, jalan tersebut memang licin ketika hujan. Ketiga, sahabat penulis sendiri mengaku, kejadian tersebut merupakan kaffarah dosa baginya.

Pesanan penulis, redha sajalah dengan ketentuan. Hujung minggu ni, muhasabahlah selalu. Peringatan untuk penulis juga, mungkin lain kali giliran penulis pula. Mintalah dijauhkan. Muslim yang baik tak akan jatuh lubang yang sama dua kali.

Friday, October 16, 2009

Pendengar yang baik: lelaki vs perempuan

Antara lelaki dan perempuan, siapa pendengar terbaik? Ini bukan perbandingan untuk menentukan siapa lebih hebat, siapa yang tidak. ALLAH telah berfirman dalam al-Quran, manusia diciptakan berpasang-pasangan. Supaya dapat melengkapi antara satu sama lain. Jadi mari kita lihat apa beza lelaki dan perempuan dalam menjadi pendengar.

Pertama sekali, mari mengenali lelaki. Lelaki manusia yang simple-minded, ringkas dan predictable. Itu secara umum. Bila dikatakan ringkas atau simple-minded, bukan bermaksud malas berfikir. Cuma ruang lingkup fikiran lelaki, bukan pada dalaman atau inside of the box. Lelaki akan berfikiran lebih jauh dari itu. Sebab itu, perkara dalaman dianggap remeh dan tak perlu berfikir panjang. Simple bukan?

Bila mendengar sesuatu masalah dari orang lain, lelaki tak akan memikirkan sangat tentang masalah tersebut. Sesetengahnya mungkin terus lupakan saja masalah yang didengari. Analoginya, ia boleh dianggap sebagai thumb-drive yang menyimpan data sebanyak 8 Gigabyte. 8 Gig itu hanya sekadar hiasan saja. Cumanya, thumb-drive ini mudah dibawa ke mana saja. File di dalamnya boleh dikecilkan. Bila nak guna, cari saja PC atau komputer riba. Jadi, masalah itu tak akan menjadi bebanan kepadanya.


Mari bercerita tentang wanita. Apa saja berlawanan dengan apa diceritakan tentang lelaki, itulah wanita. Kaum hawa jangan terasa hati pula. Sebab ini hikmah penciptaan lelaki dan perempuan. Wanita lebih cenderung untuk memikirkan masalah dalaman. Masalah yang kecil pun akan ditelitikan sehabis baik. Ini kelebihan wanita. Cuba bayangkan, masalah yang kecil, jika tidak dirawat, akan jadi masalah besar. Dan lelaki tak akan menyedari masalah ini hinggalah sudah kritikal. Nampak tak kebijaksanaan ALLAH. Kan saling melengakapi antara lelaki dan perempuan.

Berbalik kepada isu menjadi pendengar. Kaum hawa ni, bila mendengar masalah dari seseorang. Masalah itu akan menjadi seperti masalah dia sendiri. Teliti, fahami dan selesaikan masalah tersebut sebagaimana dia selesaikan masalahnya sendiri. Wah, bagus bukan? Memang bagus. Tetapi itu baru satu masalah, bagaimana kalau 10 orang datang bercerita masalah padanya, bukan itu menjadi MASALAH pula pada kaum perempuan? Itu belum ditambah masalah diri sendiri lagi. Akhirnya si pendengar ini akan menderita tekanan. Stress.


Jadi, siapa pendengar yang baik? Lelaki atau perempuan? Jawapannya, lelaki adalah pendengar yang baik. Bukan saja baik pada si pencerita masalah, malah baik kepada diri sendiri juga. Cuba kita lihat kaunselor atau pakar psikologi, kerjaya yang sentiasa memerlukan kemahiran mendengar yang baik. Masalah pesakit atau klien hanyalah pada waktu ia bekerja. Tamat saja waktu bekerja, tutup fail dan balik rumah. Masalah klien atau pesakit ditinggalkan di tempat kerja.

Begitu juga lelaki. Bukan bermaksud lelaki tidak prihatin atau tak ambil berat, tetapi itu kemahiran yang perlu diperolehi untuk menjadi pendengar yang baik.

Lalu wanita, apa fungsinya? Inilah pula kehebatan kaum wanita, yang menjadi ibu atau isteri, yang memainkan peranan penting dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Wanita ialah penyelesai masalah yang terbaik. Sebab itulah, kebanyakannya, wanita berperanan sebagai menteri kewangan bagi keluarganya. Selain itu, wanita jugalah yang bertindak sebagai penyeri rumah tangga. Sebab, wanita yang kreatif dalam menguruskan hiasan dalaman rumah dan sebagainya. Kalau diberi bab ini pada lelaki, ia akan dianggap remeh saja.



P/s: Kepada yang berkenaan, kalau stress, ambil saja thumb-drive, masukkan masalah awak ke dalam thumb-drive tu. Letakkan semuanya di samping dulu, fokus pada pelajaran, exam. Jangan fikir tentang apa orang akan kata, sebab orang lain tiada masa untuk mengata tentang kita. Maaf kalau entri ini tidak memuaskan hati. Saya tak dapat nak halang awak bertukar warna. HENSHIN!!! (macam dalam masked rider tu... :) )

Friday, October 9, 2009

Nafsu

Duhai nafsu,
Kau datang bertandang lagi,
Sudah jenuh aku menghalau,
Terkadang aku penat dan berhenti,
Jadilah aku pengikut engkau.

Duhai nafsu,
Walau seribu sesal aku ucapkan,
Walau taubat sering dilagukan,
Terkadang aku lupa dan lalai lagi,
Kembalilah aku pengikut engkau.

Nafsu,
Ketikanya aku mampu melawan,
Ketikanya aku selalu diingatkan,
Selalunya aku menjadi bosan,
Akhirnya aku lagi yang ditawan.

Semalam ku geruni seksaMu,
Semalam ku tangisi dosaku,
Tapi tadi aku hilang arah tuju,
Langsungnya aku menurut nafsu.

Ya ALLAH,
Masih adakah taubatMu bagiku,
Masih adakah ampunMu untukku,
Setelah aku dustai kata-kataku,
Setelah aku turuti pujukan nafsu.

Kenapa begitu susah melawan nafsu?!!!




Olahan tangan : peter @ bidahdeli

Wednesday, October 7, 2009

Pemimpin bukan Islam...

Pemerintahan dalam Islam – perkaitan antara bukan Islam dan Muslim

Sistem pemerintahan di dalam Islam, diperjelaskan dengan lebih jelas dalam Fiqh Imamiyah atau dalam Bahasa Melayu, Feqah Kepimpinan. Entri kali ini ditulis untuk menjawab satu persoalan, “Bolehkah orang bukan Islam menjadi pemimpin?”

Jawapan bagi soalan ini adalah bergantung kepada situasi kepada sesuatu tempat tersebut. Maka, secara ringkasnya, situasi ini terbahagi kepada 3, iaitu; majoriti Islam (berkuasa mutlak), perkongsian kuasa (tarik tali), minoriti Islam.


a) Majoriti Islam

Yang dimaksudkan dengan majoriti, bukanlah bilangan penduduk tempat tersebut. Majoriti di sini bermaksud, tampuk pemerintahan di tempat tersebut dipegang oleh pemimpin yang berfikrah Islam. Pemimpin bukan Islam hanyalah minoriti dan tanpa mereka pun, pemerintahan tersebut tetap berpihak kepada Muslim.

Pemimpin atau ketua utama mestilah beragama Islam dan wajib menjalankan hukum dan tugas berlandaskan syariat Islam. Orang bukan Islam boleh juga menjadi pemimpin, tetapi bukanlah pemimpin tertinggi. Sebagai contoh, Perdana Menteri mestilah beragama Islam, namun jawatan Menteri lain boleh dipegang oleh orang bukan Islam.

Secara realiti, sistem pemerintahan seperti ini boleh dilihat di negeri Kelantan. Wajib bagi pimpinan negeri tersebut menjalankan hukum Islam seperti hudud dan sebagainya. Tetapi bagi situasi di Kelantan, draf hukuman hudud telahpun dibuat dan dibawa ke Persekutuan. Cumanya, mendapat tentangan dari Persekutuan di bawah Perlembagaan Malaysia.


b) Perkongsian kuasa (tahalluf)

Tarik tali di sini bermaksud, berkongsi kuasa secara sama rata. Tanpa mereka, kita tidak mampu memerintah. Dan tanpa kita pun, mereka tidak dapat memerintah. Masing-masing memerlukan satu sama lain.

Dalam situasi ini, pemimpin Islam mestilah mempertahankan jawatan sebagai pemimpin tertinggi di tempat tersebut. Mereka juga mesti bersungguh dalam menegakkan hukum Islam. Namun, ia tidak jatuh kepada wajib menjalankan hukum Islam secara mutlak.

Situasi ini boleh disamakan dengan kisah Raja Najasyi yang memerintah Habsyah pada satu ketika dulu. Semasa pemerintahan Raja Najasyi, beliau telah memeluk agama Islam, sedangkan orang bawahan dan rakyatnya masih belum memeluk Islam. Beliau mesti mengekalkan jawatan sebagai ketua kerana dikhuatiri pengganti beliau adalah bukan Islam yang mungkin akan memerintah secara zalim dan menindas Islam. Pada masa sekarang, situasi ini dilihat pada negeri Selangor, Perak dan Kedah.


c) Minoriti Islam

Pemimpin di tempat tersebut dipegang oleh orang bukan Islam, manakala pemimpin Islam hanyalah sebilangan kecil saja. Mereka tetap menjadi pemerintah walau tanpa pemimpin Islam. Situasi ini sama seperti negeri Pulau Pinang.

Untuk menjalankan hukum Islam, pemimpin Islam tersebut mestilah mengamalkan konsep ‘kalau tak boleh buat semua, jangan tinggal semua.’ Dia perlu mencadangkan agar pemerintahan tersebut berdasarkan Islam walau sedikit sekalipun.

Kisah Nabi Yusuf boleh diteladani mengikut situasi ini. Pada zaman Nabi Yusuf, baginda menerima jawatan sebagai bendahara atau menteri kewangan walaupun pada ketika itu, keseluruhan pemerintahan tersebut bukanlah orang Islam termasuklah rajanya. Alasan baginda untuk menerima jawatan tersebut adalah kerana baginda berkebolehan dalam bidang tersebut dan beliau boleh menguruskan lebih baik dan jujur berbanding orang lain.



Sebagai kesimpulan, orang bukan Islam boleh menjadi pemimpin jika dan hanya jika berdasarkan situasi di atas. Wallahualam.

Thursday, October 1, 2009

Hari jadi atau hari ingat mati?

Saat penulis menulis entri ini, genaplah umur penulis yang ke ??.
Terima kasih buat sahabat-sahabat yang sapu bedak, yang belanja roti canai. Tak lupa juga yang buat gimik, hampir-hampir percaya. Tapi penulis ni bukanlah seorang yang mudah ditipu. Apa-apa pun, terima kasih banyak-banyak.

Cumanya, secara jujur, penulis bukanlah seorang yang suka menyambut hari jadi. Memang dari dulu sampai sekarang, ulang tahun kelahiran penulis bukanlah dianggap satu peristiwa besar pun bagi diri sendiri.

Mungkin pada seseorang, ulang tahun kelahiran itu penting. Disambut bagai nak rak. Buat majlis, jemput kawan-kawan, potong kek dan sebagainya. Terdetik dalam hati, kenapa meraikan hari terjadinya kita, sedangkan hari nak perginya kita belum tentu lagi. Sempatkah menyambut hari jadi pada tahun hadapan? Sedangkan bekal yang nak dibawa tak tahu cukup atau tidak.

Dan yang paling jauh dari manusia itu adalah hari yang lepas, kerana kita tak akan mampu mengulang kembali. Ianya akan berlalu terus berlalu. Menjauh terus menjauh. Dan yang paling dekat dengan manusia adalah kematian, kerana ia semakin hari semakin hampir. Setiap nafas yang disedut, selangkah kita menuju alam kematian.

Terima kasih lagi pada yang mengingatkan penulis tentang mati. Sesungguhnya manusia yang paling bijak adalah yang mengingati mati. Wasalam.