Friday, August 20, 2010

Yang dekat itu namanya mati

Imam al-Ghazali pernah bertanya kepada anak muridnya, semasa sedang saat beliau menyampaikan kuliahnya, “Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?” Seraya itu murid-muridnya menjawab “orang tua,guru,kawan,dan sahabatnya”. Imam Ghazali menjelaskan, “Benar, semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah ‘MATI’.” Sebab itu sememangnya janji Allah SWT bahwa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Ali Imran : 185)

Sahabat sekalian, sudah lebih seminggu Ramadhan berlalu, sekarang ini barulah ada kesempatan untuk berkongsi peringatan di ruangan ni. Alhamdulillah, puji dan syukur tak terhingga kepada Allah kerana dengan izinNya, dapat juga saya berkesempatan untuk menulis sebarang dua perkara. Bukan untuk orang lain sahaja, bahkan untuk diri jua.

Sebelum tibanya Ramadhan, kita dikejutkan dengan pelbagai berita, tentang kematian. Sehinggakan pada hujung minggu sebelum Ramadhan, terdapat 3 berita kematian yang saya terima. Termasuklah sahabat dari warga kampus sendiri. Kematian itu mengejutkan. Lalu, terdetik di hati saya sebaik saja dapat melangkah ke Madrasah Ramadhan.

“Saya masih berpeluang melalui Ramadhan. Tetapi adakah saya dapat menggunakan masa ini sebaiknya? Apakah ini Ramadhan yang terakhir bagi saya? Sempatkah saya menghabiskan Ramadhan ini?”

Bukan persoalan Ramadhan semata yang saya bawakan. Tetapi melingkupi persoalan kematian, yang mana waktunya ianya menjadi rahsia sampai bila-bila. Nak tahu waktunya, kenalah tunggu datangnya kematian. Adakah petanda bagi kematian?
a. 100 hari : Seluruh badan rasa bergetar.
b. 60 hari : Pusat rasa bergerak-gerak.
c. 40 hari : Daun dengan nama orang yang akan mati di arash akan jatuh dan malaikat maut pun datang kepada orang dengan nama tersebut lalu mendampinginya sehingga saat kematiannya. Kadang-kadang orang yang akan mati itu akan merasa atau nampak kehadiran malaikat maut tersebut dan akan sering kelihatan seperti sedang rungsing.
d. 7 hari : Mengidam makanan.
e. 5 hari : Anak lidah bergerak-gerak.
f. 3 hari : Bahagian tengah di dahi bergerak-gerak.
g. 2 hari : Seluruh dahi rasa bergerak-gerak.
h. 1 hari : Terasa bahagian ubun bergerak-gerak di antara waktu subuh dan asar.
i. Saat akhir : Terasa sejuk dari bahagian pusat hingga ke tulang solbi dibahagian belakang badan. Seelok-eloknya bila sudah merasa tanda yang akhir sekali, mengucap dalam keadaan qiam dan jangan lagi bercakap-cakap.


Ambillah iktibar, berapa orang yang sudah terlepas petanda ini? Pengakhirannya, tak dapat nak bersedia menghadapi kematian.

Ya Allah, matikanlah aku dalam sebaik-baik pengakhiran. Janganlah matikan aku dalam seburuk-buruk kematian.

Akhir kalam, yang dekat itu tetap namanya kematian.

Tuesday, August 3, 2010

Masa oh masa

Kepentingan Masa

Masa amat penting untuk semua makhluk di dunia ini. Sehinggakan pepatah Melayu ada menyebut, masa itu ibarat emas. Untuk menganalogikan masa itu begitu berharga. Donald Trump, seorang jutawan terkenal, berkata, time is money. Masa itu duit. Seminit masa dibazir, sejuta duit terlepas. Begitu pentingnya masa pada orang yang bernama Donald Trump ini. Di dalam al Quran pun banyak ayat yang menyentuh tentang pentingnya mengurus masa. Salah satu ayat al Quran yang menyentuh kepentingan masa adalah seperti berikut. Maksudnya:

"Demi masa.Sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian. Kecuali merka yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran" (al-'asr:1-3)

Dalam surah di atas, Allah telah melabelkan semua manusia yang diciptakanNya sebagai rugi. Semua orang rugi. Kecuali siapa? Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh. Bagaimana ciri orang yang beriman dan beramal soleh itu? Iaitu orang yang menyampaikan kebenaran (dakwah) dan bersabar di atas jalan itu. Jadi, adakah anda tergolong dalam golongan yang rugi atau sebaliknya?


Pembahagian Masa

Pembahagian masa kepada semua manusia adalah sama banyak. Setiap orang akan menerima masa yang sama dalam sehari iaitu 24 jam. Tidak diterima alasan bahawa 'tak cukup masa' atau 'tak ada masa'. Sebab Allah itu Maha Adil (al-'Adl), tidak ada manusia yang tidak cukup dengan masa yang diberikannya sama kepada semua, iaitu 24 jam sehari, 7 hari seminggu. Tidak ada yang lebih, tidak ada yang kurang. Yang berbeza adalah bagaimana cara kita menguruskan masa. Masa perlu dibahagi sebaiknya, jika tidak ia akan menjadi pedang yang dapat mencantas kita (pepatah Arab). Penggunaan masa yang baik dalam sehari, seminggu, sebulan dan seterusnya akan memberi faedah hanya kepada merka yang pandai mengurus masa.

Dalam hal ini Rasullulah s.a.w berpesan: Bersedialah

1. Masa hidup sebelum mati
2. Masa sihat sebelum sakit
3. Masa muda sebelum tua
4. Masa kaya sebelum miskin
5. Masa lapang sebelum sempit

Peringatan ini kepada semua pihak terutamanya kepada kita, para pelajar yang akan menempuh alam peperiksaan. Persediaan masa belajar di peringkat awal akan memudahkan pelajar menghadapi persediaan peperiksaan pada peringkat akhir. Belajarlah sementara masih sihat, semasa masih lapang. Jika penggunaan masa dapat diatur dengan bijak sudah pasti akan membawa kejayaan yang cemerlang.




Faktor-Faktor Pengurusan masa.

Sebelum dapat mengurus masa dengan bijak, terdapat beberapa perkara atau faktor yang boleh menyebabkan seseorang kehilangan masa dengan cara tidak berfaedah. Misalnya:

1. Keluarga - meluangkan masa dengan orang yang tersayang adalah baik, cuma yang tidak bagus bila semua masa yang ada diluangkan kepada keluarga semata tanpa mendapat apa faedah.

2. Rakan-rakan - pengaruh rakan adalah sangat memberi kesan kepada kita, sebaiknya kita bijak memilih kawan supaya kita tidak dipengaruhi oleh sikap yang tidak elok.

3. Aktiviti yang tidak berfaedah - pelajar yang cemerlang sepatutnya pandai menilai aktiviti yang perlu dilakukannya.

4. Sikap - hanya orang yang serius dalam pengurusan masa dapat memperoleh kejayaan.




Cara mengurus masa


Terdapat beberapa kaedah mengurus masa agar tidak terbuang begitu saja. Misalnya:

1. Senaraikan semua aktiviti yang dijalankan dalam satu hari.
2. Susun atur aktiviti berdasarkan kepentingannya. (Penting segera, penting tak segera, tak penting segera, tak penting tak segera)
3. Elakkan menyenarai aktiviti yang tidak berfaedah. (Susun batu besar dahulu, baru isi dengan batu kecil dan pepasir)
4. Agihkan masa dalam sehari untuk setiap aktiviti.
5. Buat satu jadual untuk aktiviti anda dengan masa yang diperuntukkan.
6. Disiplinkan diri melakukan semua aktiviti yang telah anda tetapkan.
7. Jika berjaya dalam sehari,cuba buat jadual aktiviti dalam masa seminnggu.
8. Banyakkan kebergantungan pada Allah, kerana Dia adalah pemilik masa.

Jika amalan di atas dapat dilakukan dengan teratur dan berdisiplin, sudah pasti kita dapat menggunakan masa dengan baik.