Tuesday, December 21, 2010

Keyakinan kita pada Syahadah

Di sini, ingin saya ceritakan dua kisah di zaman Rasulullah, berkaitan dengan keyakinan masyarakat pada masa itu dengan kata-kata Rasulullah, baik orang Islam ataupun kafir Quraisy.

Kisah yang pertama ialah kisah Umaiyyah bin Khalaf. Sebelum perang Badar, Umaiyyah telah diancam bunuh oleh Rasulullah sendiri. Pada 624, orang Mekah memutuskan untuk menghadapi pasukan Muslim yang mengancam kafilah dari Syria yang dipimpin oleh Abu Sufyan bin Harb, yang ketika itu membawa hasil jualan barang rampasan umat Islam yang ditinggalkan di Mekah. Abu Jahal mengumpulkan orang-orang untuk berperang.

Namun Umayyah yang cemas dengan ancaman Rasulullah, tidak mahu untuk meninggalkan Mekah. Ini kerana dia betul-betul yakin bahawa Muhammad akan membunuhnya. Lalu Abu Jahal berkata kepadanya, "Wahai Abu Safwan, jika orang-orang melihat anda tinggal di belakang, maka mereka akan tetap di belakang dengan anda kerana anda adalah ketua orang lembah."

Abu Jahl mendesak sehingga Umayyah berkata, "Kerana anda telah memaksa saya untuk berubah fikiran saya, demi Allah, saya akan membeli unta terbaik di Mekah". Umayyah berkata kepada isterinya, "Wahai Ummu Safwan, persiapkan apa yang saya perlukan untuk perjalanan."

Setibanya di medan pertempuran, Umayyah yang lengkap berpakaian baju besi menutupi seluruh badan kecuali sebelah mata sahaja, bergerak ke hadapan untuk menentang Rasulullah secara berseorangan. Walaupun dalam ketakutan, dia mampu menyembunyikan ketakutannya dan masih mampu berlagak dengan memanggil Rasulullah untuk berlawan.

Rasulullah dengan tenang mengambil anak panah lalu membalingnya dengan tangan. Kalau nak diikutkan kuat manalah sangat balingan tu, tapi dengan takdir ALLAH, anak panah tu terkena sedikit pada kelopak mata Umayyah yang tidak dilindung dengan perisai besi. Umayyah yang memang sangat cemas dengan ancaman Rasulullah jatuh tersungkur daripada kudanya, bukan kerana anak panah tadi, tetapi lantaran ketakutan yang ada dalam dirinya. Dia pun berkata kepada orang kafir Quraisy, "Sesungguhnya, sudah aku katakan, Muhammad akan membunuhku! Muhammad akan membunuhku!"

Itu kisah tentang keyakinan orang bukan Islam terhadap kata-kata Nabi Muhammad. Bagaimana pula keyakinan para sahabat dengan Rasulullah? Kita lihat saja peristiwa Saidina Abu Bakar dengan susu. Setelah habis meminum susu tersebut, barulah beliau menyedari susu tersebut syubhah, yakni ragu-ragu tentang status halal haramnya. Lantaran yakin dengan kata-kata Rasulullah, iaitu menjauhkan yang syubhah adalah lebih baik, Abu Bakar sanggup untuk memuntahkan semula susu yang diminumnya. Saidina Abu Bakar muntah sehingga semua susu tersebut keluar dari tubuhnya. Di pengakhiran, Abu Bakar sangat kelelahan disebabkan muntah tadi.

Tetapi, apa kata-kata Abu Bakar? "Seandainya masih ada susu yang syubhah itu dalam diriku, aku lebih rela mati daripada membiarkan ia berada dalam tubuhku."

Nah, inilah keyakinan para Sahabat dengan Islam, dengan Rasulullah.

Tetapi, lihatlah pada diri kita, masyarakat di sekeliling kita? Bagaimana keyakinan kita dengan Tiada Tuhan Berhak Disembah Melainkan ALLAH, Nabi Muhammad Itu Pesuruh ALLAH? Apakah semua kewajipan yang ALLAH suruh telah kita penuhi? Sekurangnya, semua kewajipan yang kita mampu laksanakan. Sudah buat atau belum? Solat, sudah sempurnakah? Atau lebih malang, langsung tidak solat? Janganlah mengaku diri sebagai orang Islam, sibuk nak beramar ma'ruf nahi mungkar, mulut tak henti berbicara tentang jihad, mengaku pula 'saya sayang ALLAH' semasa isu penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam, seandainya Rukun Islam yang kedua pun kita tak laksanakan!

Bagaimana pula dengan sunnah Rasulullah? Berapa banyak yang kita sudah lakukan?Pesanan baginda, adakah kita ikut? Peribadi baginda, banyak mana yang kita contohi? Sekurangnya, buatlah sunnah yang kita mampu laksanakan. Bukankah Rasulullah pernah bersabda, "Sesiapa yang tidak beramal dengan sunnahku, dia bukan dari golonganku." Jadi, jangan mimpi nak berada dalam syurga ALLAH, seandainya Rasulullah pun tak mengaku kita sebagai umat!

Tengoklah sekarang. Atas nama berjuang untuk kebebasan, ada pula yang berjuang membela nasib gay, lesbian, pondan dan sebagainya. (rujuk http://www.seksualitimerdeka.org/) Yang lebih menyedihkan, orang Melayu pun terlibat sama dalam kumpulan ini. Orang Melayu, yang ditakrifkan di dalam perlembagaan sebagai orang yang beragama Islam, pun turut menyokong pertubuhan semacam ini! Melayu apa ini?! Islam apa ini?!

Sama-samalah renung-renungkan. Kalau berterusan begini, nantilah azab ALLAH yang maha dahsyat menimpa kita. Acheh sudah terbukti. Padang sudah terbukti. Bukti bagaimana lagi mahu kita tunggu??

Sesungguhnya semasa menulis artikel, saya pun seolah-olah sedang menyakiti diri sendiri, atau paling tidak pun seperti sedang mencampakkan batu ke langit, lalu batu itu jatuh ke muka saya sendiri. Kerana saya juga masih banyak kekurangan, masih penuh selut dan lumpur dosa. Dan saya mahu berubah. Anda bagaimana?

(Ditulis dan diolah oleh Mohamad Noradli bin Hashim daripada penceritaan kuliah Fiqh Imam Syafie, Syeikh Muhammad Noeruddin al-Banjari al-Makkiy, 21/12/2010, Masjid Negeri Kuantan)

Monday, December 20, 2010

Fikir-fikir

Pernahkah kita terfikir bahawa kita telah diciptakan dari sebuah ketiadaan?


Pernahkah kita berfikir tentang bagaimana bunga yang tumbuh dari tanah yang hitam, yang memiliki bau yang harum serta berwarna-warni?


Pernahkah kita memikirkan tentang seekor nyamuk, yang sangat mengganggu ketika terbang di sekeliling kita, untuk apa dijadikannya?


Pandang sejenak, pernahkah kita lihat lapisan luar dari buah-buahan seperti pisang, tembikai, durian dan betik berfungsi sebagai pembungkus yang sangat tinggi kualitinya, yang membungkus buahnya sedemikian rupa sehingga rasa dan keharumannya tetap terjaga?


Bagaimana pula gempa bumi mungkin saja datang secara tiba-tiba ketika kita sedang tidur, yang menghancurluluhkan rumah, pejabat dan segalanya dalam tempoh beberapa detik saja? Pernahkah kita bayangkan?


Perasankah kita bahawa kehidupan kita berlalu dengan sangat cepat, semakin hari kita menjadi semakin tua dan lemah, dan lambat laun kehilangan ketampanan atau kecantikan, kesihatan dan kekuatan kita?


Pernahkah kita fikir bahawa suatu hari nanti, malaikat maut yang diutus oleh Allah akan datang menjemput untuk membawa kita meninggalkan dunia ini?


Jika demikian, mengapa manusia masih terbelenggu oleh kehidupan dunia yang sebentar lagi akan mereka tinggalkan? Bukankah seharusnya kita jadikan dunia sebagai tempat untuk bekerja keras dalam meraih kebahagiaan hidup di akhirat?

'Dan pada hari itu diperlihatkan neraka Jahannam; dan pada hari itu ingatlah manusia akan tetapi tidak berguna lagi mengingat itu baginya. Dia mengatakan, “Alangkah baiknya kiranya aku dahulu mengerjakan (amal soleh) untuk hidupku ini.' (Al-Fajr:23-24)

Sahabat, fikirlah. Renungkan sejenak tentang kejadian langit dan bumi. Tentang kejadian manusia. Seseorang yang tidak berfikir akan berada sangat jauh dari kebenaran dan hidup dalam kepalsuan dan kesesatan. Akibatnya ia tidak akan tahu tujuan penciptaan alam dan erti keberadaan dirinya di dunia. Padahal, Allah telah menciptakan segala sesuatu untuk sebuah tujuan sebagaimana dinyatakan dalam Al-Quran:

'Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dengan bermain-main. Kami tidak menciptakan keduanya melainkan dengan haq, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.' (Ad-Dukhaan:38-39)

'Maka apakah kamu mengira, bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?' (Al-Mu’minuun:115)

Oleh itu, yang paling utama, fikirlah secara mendalam tentang apa tujuan dari penciptaan dirinya, kemudian fikirlah tentang segala sesuatu yang kita lihat di alam ini. Manusia yang tidak memikirkan hal ini, hanya akan mengetahui kenyataan-kenyataan tersebut setelah ia mati. Iaitu ketika ia mempertanggung jawabkan segala amal perbuatannya di hadapan Allah; namun sayang sudah terlambat.

'Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) diri mereka?, Allah tidak menjadikan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya melainkan dengan tujuan yang benar dan waktu yang ditentukan. Dan sesungguhnya kebanyakan di antara manusia benar-benar ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya.' (Ar-Ruum:8)

Friday, December 17, 2010

Personaliti diri

Personaliti diri adalah ciri-ciri yang ditonjolkan dari diri anda. Personaliti yang baik mampu menjadi contoh dan ikutan kepada orang lain. Inilah yang dinamakan qudwah hasanah atau maksudnya ialah teladan yang baik.

Dalam Islam, akhlak yang baik memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian. Akhlak yang baik juga yang membezakan antara manusia dan haiwan. Untuk menunjukkan keseriusan Islam dalam mengamalkan akhlak yang baik ini, saya bawakan satu hadis Nabi. Nabi SAW pernah bersabda, yang bermaksud,

“Sesungguhnya aku diutus adalah untuk menyempurnakan budi pekerti yang mulia.” (HR Ahmad)

Akhlak yang baik bukan saja menjadi contoh kepada orang lain, ia juga membina keharmonian antara satu sama lain. Yang muda hormat yang tua, yang tua sayang kepada yang muda. Personaliti yang mulia akan mengamalkan nilai integriti yang sepatutnya, tidak berlaku zalim dan adil kepada semua orang.

“Orang Mukmin yang paling sempurna imannya, ialah yang paling baik akhlaknya.” (HR Ahmad)

Maka, jika mereka yang tidak mempunyai akhlak yang baik atau peribadi yang mulia akan disamakan dengan haiwan. Mereka ini akan menimbulkan kekacauan seterusnya membinasakan diri dan masayarakat sekeliling. Mereka akan sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan diri, membohong, menjual maruah keluarga. Malah dengan tanpa bersalah mereka menjual agama dan negaranya.

Mari kita sama-sama hayati 10 ciri-ciri yang perlu ada pada setiap Muslim, seperti yang telah digariskan oleh Imam As-syahid Hassan Al-Banna:

1 Aqidah yang Sejahtera
2 Ibadah yang Sahih
3 Akhlak yang mantap
4 Berpengetahuan Luas
5 Memiliki tubuh badan yang sihat
6 Bermujahadah melawan hawa nafsu
7 Berdikari
8 Tersusun di dalam urusan
9 Menepati masa
10 Bermanfaat utk orang lain


Bagaimana pula untuk meniliki ciri-ciri peribadi Muslim seperti di atas?

1 Berpuasa setiap hari Isnin dan Khamis

2 Solat fardhu tepat pada masanya dan perbanyakkan solat sunat yang lain (Qiamulail)

3 Kurangkan waktu tidur dan tambahkan waktu membaca Al-Quran serta fahaminya

4 Menepati janji

5 Ringankan tangan untuk bersedekah

6 Tidak mendekati tempat maksiat,apatah lagi menganjurkan program berunsur maksiat

7 Tidak keterlaluan dalam berpakaian (sederhana)

8 Beriadah dan bersukan untuk kekuatan fizikal (tarbiah jasadiyah)

9 Tambahkan ilmu dengan banyak membaca buku-buku ilmiah (agama, motivasi, politik)

10 Memanfaatkan ilmu yang dipelajari dan meningkatkan ilmu yang bermanfaat

11 Mahirkan diri dengan bahasa arab untuk memahami Al-Quran

12 Sentiasa bermuhasabah diri

13 Bersyukur dengan ketentuan diri

14 Ambil tahu nasib umat Islam di serata dunia serta mendoakan mereka

15 Zikir sebagai amalan harian