Friday, July 16, 2010

Membina pengaruh

Apa itu pengaruh (influence)?

Menurut Aristotle, seorang ahli falsafah Greek (384 SM - 322 SM):

Persuasion is ability to convince others to adopt your ideas.

Pengaruh adalah kebolehan untuk meyakinkan orang lain supaya menerima idea kamu.

Menurutnya lagi, sesorang itu dikatakan mempunyai pengaruh yang baik apabila ia dapat bercakap secara logikal, fasih serta jelas dan penuh keyakinan. Ia juga dapat memberi inspirasi dan motivasi kepada orang lain dengan menarik minat yang tersembunyi di dalam diri mereka.


Kenapa perlu pengaruh?

-Untuk meyakinkan orang lain dengan kata-kata kita.
-Supaya orang dapat menerima idea kita.
-Agar orang ikut dan patuh pada arahan kita.
-Seorang pemimpin atau ketua yang berpengaruh adalah lebih dihormati dari pemimpin yang hanya bersandar pada jawatan.


Bagaimana untuk berpengaruh?


Kata Aristotle lagi, cara untuk mempengaruhi seseorang adalah; tawan minda dengan logik, tawan hati dengan emosi. Di sini bermaksud, jika ingin mempengaruhi, kita perlu mengimbangkan logik akal dan emosi untuk meyakinkan orang lain. Dan semestinya, diri kita mestilah yakin dan serlahkan keyakinan pada orang sekeliling.

Yakin pula dapat diperoleh bila kita ada ilmu yang secukupnya tentang isu atau perkara yang ingin disampaikan. Ini akan menyumbang pada kemahiran logik akal yang akan kita gunakan. Selain itu, kita perlu bijak membaca fikiran orang lain supaya kita kita dapat menarik minat mereka walaupun mereka sendiri tidak menyedarinya.


Kesimpulan

Kepada barisan fasilitator SG 2010/2011, jadilah orang yang berpengaruh. Barulah orang akan terima apa yang kita mahu sampaikan. Tambahlah ilmu sebanyaknya, di samping cuba mengenal psikologi adik SG masing-masing. Sebabnya pendekatan setiap orang adalah berbeza. Jadi, tawanlah minda mereka dengan logik (fakta), tawanlah hati mereka dengan emosi (pendekatan).

Monday, July 5, 2010

Perubahan: Di mana permulaan? Bagaimana berterusan?(bahagian 2)

Berterusan dalam perubahan dinamakan istiqamah. Istiqamah pula didefinisikan sebagai menuruti jalan yang lurus, tanpa liku-liku atau condong ke kiri atau kanan meliputi segenap perbuatan taat sama ada yang zahir atau yang batin serta meninggalkan segala larangan ALLAH SWT. Istiqamah juga perlu disertakan dengan iltizam atau komited. Sebab itulah pada permulaan pos ini (bahagian 1), dititikberatkan soal ketegasan dalam membentuk niat, kemudian akan lahir iltizam atau komited tadi. Jadi menjawab persoalan bagaimana mahu berterusan dalam perubahan, sememangnya perlukan komited. Komited tentang hubungannya dengan Allah. Komited dengan hubungannya sesama manusia.

Perubahan pada peringkat permulaan, untuk membina komitmen dan sebagainya, ia perlukan paksaan. Paksaan kepada sikap kebiasaan yang mungkin menyalahi syariat Islam. Paksa diri untuk meneruskan perubahan walaupun kadang-kadang terlepas kembali pada jalan yang lama. Bila sudah biasa dengan perkara tersebut, kita akan lebih mudah untuk melakukannya. Malah, akan terasa sesuatu yang tidak kena jika meninggalkannya.

Seterusnya, perubahan memerlukan ikhlas. Ikhlas berubah kerana ALLAH. Jika seseorang itu menzahirkan kepada manusia kebaikannya seperti banyak solat sunat, puasa sunat, suka menderma, suka tolong orang lain, berulang alik ke masjid, sedangkan dia tidak begitu, suka mengumpat, memfitnah orang, menuduh orang tanpa bukti kukuh, pakai tudung kepala pada masa tertentu, maka dia dikatakan tidak beristiqamah dengan Islam, atau paling tidak dikatakan istiqamahnya masih berkurangan. Kerana istiqamah itu tidak dapat dibuktikan pada amalan sehari dua, malah ia perlu berterusan tanpa niat untuk menunjuk-nunjuk pada orang lain, ia dilakukan atas dasar ikhlas kerana Allah SWT.

Dan terakhir sekali, untuk membantu diri berterusan dalam perubahan, bergaullah dengan orang-orang yang baik. Kerana sudah tentu persekitaran yang kita tempuhi bersama orang sebegini semestinya baik. Di samping dapat membina kekuatan, kita juga akan sentiasa diperingatkan. Analoginya adalah seperti serigala dan kambing. Kawanan kambing lebih selamat dari ancaman serigala daripada kambing yang bersendirian. Godaan dari syaitan akan dapat kita kawal sekiranya kita bersama dengan orang-orang yang baik. Tetapi bila bersendirian, hasutan syaitan mudah merasuk ke dalam jiwa.

Berubah itu tak mudah, berterusan dalam perubahan lebih sukar. Kekuatan daripada ALLAH sahaja yang dapat membantu mencapai perubahan yang sebaiknya. Selamat beramal, semoga berjaya dalam perubahan. InsyaALLAH.


“Katakanlah (wahai Muhammad) “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam”.
(al – an’am : 162)