Monday, February 21, 2011

Aku Ini Siapa?!

Merentas safar kehidupan,
Satu perjalanan,
Dari hari dilahirkan,
Sehingga waktu bertemu Tuhan,
Menuruni lurah dalam lagi kejam,
Melalui sungai permai lagi damai,
Bertamu di desa lemah lagi lesu,
Bertandang di ladang lapang dan senang,
Singgah di daerah susah dan payah,
Ziarah di tanah mewah dan indah,
Disapa manusia celaka lagi neraka,
Berjumpa insan mulia dan syurga,
Terserempak si bongkak penuh lagak,
Mengenali si jiwa murni penuh budi,
Bertegur si jujur yang luhur,
Ditarik si munafik yang berbolak-balik.

Telah ku rasa derita air mata,
Telah ku cuba gembira senyum tawa,
Namun,
Tiada bekal yang lebih cekal,
Melainkan hidup di bawah lembayung tawakal,
Tiada pedoman melawan sukar dan gusar,
Melainkan keinsafan dan istighfar,
Tiada senjata menghambat pancaroba,
Melainkan munajat dan doa.

Akan ku terus kembara di sahara maya,
Menuju ke saat penamat sebuah riwayat,
Kunci suci ialah bertanya sendiri:
Engkau siapa wahai diri?
Hamba Tuhan atau abdi kehidupan?

Nukilan DR MAZA

Sunday, February 20, 2011

Memilih pemimpin

Dalam surah al-Hajj ayat 40-41, Allah berfirman, “Sesungguhnya Allah menolong sesiapa yang menolong Agama-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Gagah, lagi Maha Perkasa. Iaitu mereka yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar. Dan kepada Allah sahajalah kembali segala urusan”.

Dalam ayat ini Allah menceritakan tentang golongan yang mendapat pertolongan daripada Allah. Mereka ialah golongan yang ‘diteguhkan kedudukan mereka di muka bumi’ berdasarkan kalimat ‘makkannaahum fil ardh’ dalam surah al-Hajj ayat 41. Imam al-Hasan dan Abu al-‘Aliyah mentafsirkan golongan ini sebagai ‘golongan daripada umat ini yang diberikan kemenangan oleh Allah’. Imam Ibn Abu Najih mentafsirkannya sebagai ‘pemimpin-pemimpin’. Imam ad-Dahhak mentafsirkannya sebagai ‘mereka yang kurniakan kerajaan dan kekuasaan oleh Allah’. Kesemua pendapat ini dilaporkan dalam al-Jamik li Ahkamil Quran oleh Imam Qartubi.

Pemimpin yang bagaimanakah yang mendapat pertolongan dan diredai Allah? Secara dasarnya Allah tidak memberi cek kosong kepada para pemimpin, sebaliknya yang diberikan kepada mereka adalah amanah dan tanggungjawab. Antara tanggungjawab itu ialah “mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar”.


Pemimpin Dan Solat

Seseorang pemimpin Muslim memerlukan bantuan dan pertolongan untuk melaksanakan tugasnya dengan baik, dan penolong yang terbaik baginya ialah Allah. Justeru pemimpin Muslim perlu sentiasa mendekati Allah dengan beribadah kepadanya, dan ibadah yang paling penting ialah solat.

Seorang Muslim yang tidak melaksanakan solat tidak layak menjadi pemimpin. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim nabi bersabda, “Sebaik-baik pemimpinmu ialah mereka yang kamu kasihi dan mereka mengasihimu dan kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu. Sejahat-jahat pemimpinmu ialah mereka yang kamu benci dan mereka membencimu dan kamu mengutuk mereka dan mereka mengutukmu.’ Sahabat-sahabat pun berkata, ‘Bolehkah kami menentang mereka?’ Jawab Nabi, ‘Tidak, selama mana mereka tetap menegakkan solat’.”

Hadis ini menunjukkan apabila seseorang pemimpin Muslim memperkecilkan solat, dia perlu turun dari jawatan kepimpinannya.


Pemimpin Dan Zakat

Hubungan yang baik dengan Allah perlu disusuli dengan hubungan yang baik sesama manusia. Dalam erti kata yang lain, seseorang pemimpin Muslim perlu berada di masjid untuk beribadah dan perlu juga berada di rumah rakyat untuk membantu mereka. Kebajikan rakyat tidak boleh diabaikan termasuk dalam aspek material dan kesenangan duniawi. Jika boleh kemiskinan dibasmi sepenuhnya dan semua rakyat hidup dalam keadaan senang lenang.

Antara contoh yang terbaik ialah pemerintahan khalifah Omar bin Abdul Aziz. Beliau terkenal sebagai seorang pemimpin yang bertakwa lagi adil. Pemerintahannya memakan masa 30 bulan. Dalam masa itu kemiskinan berjaya dibanteras dan rakyat ketika itu hidup dalam kemewahan. Berhubung dengan ini Yahya bin Said meriwayatkan, “Khalifah Omar Abdul Aziz mengutus aku untuk mengutip zakat di Afrika. Aku pun melaksanakan tugas ini dan kemudiannya aku pun mencari golongan fakir miskin untuk di berikan zakat namun golongan ini tidak aku temui. Sesungguhnya khalifah Omar Abdul Aziz telah menjadikan kami manusia yang kaya raya”.

Ibadah zakat yang disebutkan dalam surah al-Hajj ayat 41 menekankan tentang aspek ini. Kebajikan rakyat dalam aspek duniawi tidak boleh dipandang ringan.


Pemimpin Dan Amar Makruf Nahi Mungkar

Terdapat sebahagian pemimpin Muslim yang tidak melupakan solat dan zakat, tetapi mereka melupakan tanggungjawab untuk mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkiran. Mereka juga tidak layak memimpin masyarakat. Berhubung dengan ini Imam Qartubi, dalam al-Jamik li Ahkamil Quran, melaporkan perkataan Imam Sahl bin Abdullah yang bermaksud, “Mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran adalah wajib ke atas mereka yang berkuasa serta ulama”.

Tidak ada kemuliaan bagi mereka yang mengabaikan amar makruf dan nahi mungkar. “Makruf” bermaksud “sesuatu yang baik mengikut pandangan syarak dan akal,” dan “mungkar” pula bermaksud “sesuatu yang berlawanan dengan makruf sebagai contoh, meninggalkan perkara yang difardukan serta kewajipan, ataupun melakukan perbuatan yang haram sama ada berbentuk dosa kecil ataupun besar”. Tafsiran ini disebutkan oleh Muhammad ibn Illan Al-Makki dalam Dalilul Falihin (Maktabah Al-Halabi, Mesir; jilid 2)

Aspek ini amat dipentingkan oleh Islam sehinggakan, mengikut riwayat Muslim, Nabi mengizinkan penentangan dilakukan jika pemimpin melakukan ‘kufran bawaahan.’ Sahabat Abdullah bin Samit meriwayatkan, “Kami berbaiah (iaitu membuat perjanjian taat setia) agar tidak menentang kepimpinan melainkan jika berlaku ‘kufran bawaahan’ di mana di sisi Allah bukti-buktinya adalah amat jelas.” Imam Nawawi mentafsirkan ‘kufran bawaahan’ sebagai ‘maksiat yang dilakukan oleh seseorang pemimpin yang jelas bercanggah dengan kehendak agama Allah dan kaedah-kaedah Islam’. Hal ini dilaporkan dalam kitab Sahih Muslim bi Syarhi An-Nawawi (Al-Matbaah Al-Fikriah; juz. 12, 1924).

Justeru seseorang yang tidak menyeru kepada makruf dan pada ketika yang sama membiarkan serta menggalakkan perbuatan mungkar (dan yang lebih teruk lagi ialah dia sendiri terlibat melakukan kemungkaran itu), maka dia tidak layak menjadi pemimpin umat. Qadhi Iyad memfatwakan, “Apabila berlaku ke atas seseorang pemimpin tanda-tanda kekufuran, perbuatan mengubah syariat ataupun amalan bidaah, wajiblah dilucutkan kepimpinannya dan gugurlah ketaatan rakyat kepadanya. Ketika itu beliau hendaklah digantikan dengan seorang yang adil”. Fatwa ini dilaporkan dalam Sahih Muslim bi Syarhi An-Nawawi (Al-Matbaah Al-Fikriah; juz. 12, 1924).

Usaha untuk mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa ilmu. Justeru seseorang pemimpin Muslim wajib menguasai ilmu apatah lagi ilmu agama. Rata-ratanya kita sudah mengetahui bahawa ilmu yang diperlukan bukanlah semata-mata ilmu tentang tajwid, rukun solat, mandi wajib, wuduk, tayamum dan yang seumpamanya. Ia lebih dari itu.

Di samping itu beliau juga merupakan peribadi yang bersedia untuk terus belajar dan mendengar serta menghormati pandangan golongan ilmuwan terutamanya dalam bidang agama.


Berhati-hati Memilih Pemimpin

Ketika dalam perjalanan kita disuruh berhati-hati di jalan raya. Hadis-hadis pula menyuruh umatnya berhati-hati ketika memilih pasangan hidup serta kawan. Maka dalam konteks memilih pemimpin ia sudah pasti lebih dituntut lagi kerana isunya adalah lebih besar dan kesannya lebih meluas.

Dalam surah Al-Baqarah ayat 124, Allah berfirman, “Berkata Allah (kepada Ibrahim), ‘Sesungguhnya Allah akan menjadikan kamu Imam (pemimpin) untuk manusia’. Berkata Ibrahim, ‘Dan juga dari keturunanku.’ (Berfirman Allah), ‘Janji-Ku tidak akan diberikan kepada mereka yang zalim’.”

Ayat ini menunjukkan pemimpin tidak boleh dilantik secara sembarangan. Sehubungan dengan ini Imam Qartubi dalam Al-Jamik li Ahkamil Quran berkata, “Ayat ini (iaitu al-Baqarah ayat 124) merupakan dalil bagi satu jemaah ulama Islam bahawa pemimpin-pemimpin mestilah dari golongan yang adil, ihsan dan mulia…..Adapun yang fasiq dan zalim mereka tidak layak menjadi pemimpin”.


Nukilan Dr. Danial bin Zainal Abidin


Tambahan:

Memilih pemimpin bukanlah kerana kepentingan diri semata. Apa yang kita mahu, tak semestinya baik untuk kita. Dan apa yang kita benci, tak semestinya buruk untuk kita. Ada yang membenci, apabila disekat program-program hiburan di universiti, tetapi kesannya tersangatlah tak elok.

Kita kena sedar, orang yang mengundi nanti turut bertanggungjawab atas dosa-dosa pemimpin yang mereka pilih. Apatah lagi dosa itu melibatkan keseluruhan warga universiti nanti. Kesimpulannya, jangan pilih pemimpin yang begini. Kalau nak pilih juga, sama-samalah tanggung dibawa ke sana kelak.

Saturday, February 5, 2011

Sejarah Perak: Ustaz Abu Bakal al-Baqir (1907-1974)

Latar Belakang

Nama sebenar beliau adalah Abu Bakar bin Mohd Said yang berasal dari Gunung Semanggol, Perak. Al-Baqir adalah gelaran yang diberikan oleh gurunya yang bermakna 'amat pintar' lantaran kepintarannya dalam pelajaran sejak kecil. Sehingga kini beliau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Abu Bakar al-Baqir.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Gunung Semanggol dan seterusnya Pondok ar-Rahmaniah pada tahun 1919. Kemudian pada tahun 1924, beliau belajar di Pondok Da'ray Al-Ma'arif, Kepala Batas. Ustaz Abu Bakal al-Baqir meneruskan pelajaran agama di Pondok Idrisiah, Kuala Kangsar.


Aktivis Dakwah dan Politik

Antara persatuan yang pernah beliau sertai ialah:
-Persatuan Melayu Pulau Pinang
-Persatuan Melayu Perak
-Persatuan Sunligh Taiping
-Kelab Saadat Kuala Kangsar
-Kesatuan Melayu Muda (KMM)
-Angkatan Pemuda Insaf (API)
-Barisan Tani Se-Malaya (BATAS)
-Pembantu Indonesia Merdeka (PIM)


Pembaharuan

Pada 1934, Ustaz Abu Bakal al-Baqir telah menubuhkan Maahad al-Ehya al-Sharif di Gunung Semanggol. Penubuhan al-Ehya ini disemarakkan lagi dengan fahaman Kaum Muda yang semakin mempengaruhi pelajar madrasah. Selepas itu, al-Ehya menjadi tempat agenda utama di dalam perjuangan Ustaz Abu Bakal al-Baqir.


Ustaz Abu Bakal al-Baqir telah mengadakan pembaharuan dari sudut ekonomi dengan mempengerusikan Persidangan Ekonomi Agama se-Malaya pada tahun 1947 di Maahad al-Ehya. Persidangan tersebut membawa kepada kewujudan Pusat Perekonomian Melayu se-Malaya (PEPERMAS). PEPERMAS telah bertindak sebagai penyusun kerja ekonomi bagi pelajar madrasah seluruh Tanah Melayu.

Pentadbiran agama juga mengalami pembaharuan dengan tertubuhnya Majlis Agama Tertinggi (MATA) sehari selepas PEPERMAS diwujudkan. MATA bertujuan untuk membetulkan pengurusan hal ehwal agama Islam yang ditadbir oleh ulama tradisional dan raja Melayu. Ustaz Abu Bakal al-Baqir telah dilantik sebagai penasihat kanan MATA.

Seterusnya, pada tahun yang sama, Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR) ditubuhkan di atas dasar pembaharuan di dalam bidang pendidikan. LEPIR adalah usaha Jawatankuasa Kebajikan Pelajaran MATA yang prihatin dengan isu kurangnya orang Melayu di dalam bidang pendidikan. Ustaz Abu Bakal al-Baqir diberi tanggungjawab untuk menjadi pengerusi LEPIR. Antara sumbangan Ustaz Abu Bakal al-Baqir ialah menggabungkan semua sekolah rakyat di Tanah Melayu untuk melahirkan silibus pelajaran yang seragam.

Tidak ketinggalan, pembaharuan politik Islam juga berlaku di atas usaha Ustaz Abu Bakal al-Baqir. Hasil daripada persidangan MATA, Mac 1948, sebuah Parti Orang Islam Malaya atau Hizbul Muslimin telah ditubuhkan. Semangat penubuhan Hizbul Muslimin adalah daripada Masjumi (Indonesia) dan Ikhwan Muslimin (Timur Tengah). Dasar parti ini adalah 'Islam semata-mata bagi mencapai kemerdekaan bangsa Melayu yang berdaulat, menciptakan masyarakat berdasarkan Islam dan mencapai Tanah Melayu Darul Islam'. Ustaz Abu Bakal al-Baqir dipilih sebagai Ketua Umum Hizbul Muslimin.


Tamparan Buat UMNO

Ramai di antara pemimpin UMNO tidak hadir di dalam persidangan penubuhan MATA di Maahad al-Ehya al-Sharif kerana ragu-ragu dan bimbang untuk menyertainya. Sebaliknya, ramai di antara pimpinan PKMM yang hadir dan mengambil bahagian penting dalam jawatankuasa MATA. Penubuhan PEPERMAS juga menggugat bahagian ekonomi UMNO yang memerlukan ramai sokongan orang Melayu.

Sejak itu, UMNO membuat ancaman dengan menggunakan ungkapan 'bahaya dari gunung' terhadap MATA. Seterusnya, penubuhan Hizbul Muslimin juga ditolak mentah-mentah oleh UMNO. Sebaliknya, PKMM yang memperjuangkan kemerdekaan menjadi sangat rapat dengan Hizbul Muslimin.


Pusat Perjuangan Kemerdekaan

Semasa itu, Ustaz Abu Bakal al-Baqir telah menjadi ikon bagi perjuangan kemerdekaan dan Maahad al-Ehya al-Sharif menjadi pusat pergerakannya. Ketika itu juga, UMNO di bawah kepimpinan Dato' Onn Jaafar tidak memperjuangkan kemerdekaan. Aktivis kemerdekaan dikecam oleh UMNO dengan ungkapan seperti 'nak buat sebatang jarum pun tak pandai, inikan mahu merdeka.'

Di bawah kepimpinan Ustaz Abu Bakal al-Baqir, beberapa persidangan tuntutan kemerdekaan telah diadakan. Hubungan yang baik di antara Ustaz Abu Bakal al-Baqir dengan pemimpin PKMM seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, pemimpin Melayu Parti Komunis Malaya (PKM) seperti Abdullah CD dan juga pemimpin kiri seperti Ahmad Boestamam menjadikan persidangan yang dianjurkan Ustaz Abu Bakal al-Baqir mendapat sambutan yang luar biasa.

Pada masa itu, PKM bagi orang Melayu adalah sebagai satu wadah untuk memperjuangkan kemerdekaan. Malah semasa pendudukan Jepun, mereka turut serta dalam Tentera Anti Jepun Rakyat Malaya (MPAJA), iaitu satu gerila yang ditubuhkan untuk menentang Jepun.

Selepas berakhir Perang Dunia Kedua, pelbagai kumpulan politik Melayu kecuali UMNO, berkongsi cita-cita untuk membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan British. Bagi aktivis Islam, dengan tertubuhnya Hizbul Muslimin, MATA sebagai jabatan agamanya, LEPIR sebagai jabatan pendidikan dan PEPERMAS sebagai jabatan ekonomi di bawah Hizbul Muslimin.

Persidangan Ustaz Abu Bakal al-Baqir telah memilih bendera merah putih berbintang dua belas yang melambangkan Malaya Merdeka. Bendera ini dikibar sepanjang masa di Maahad al-Ehya al-Sharif.


Hasutan

Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh Dato' Onn Jaafar terhadap Hizbul Muslimin menyebabkan pentadbiran British mengawal ketat dan memberi tekanan kepada Hizbul Muslimin.

Dato' Onn mengancam mereka dengan mengatakan "Bahaya dari gunung itu masih ada lagi dan ditambah pula satu merbahaya lagi yang tumbuh dari tanah dan menjalar akarnya supaya orang Melayu terhapus dan terjatuh kerana sebenarnya parti Islam itu 'merah'".

Lantaran itu, Hizbul Muslimin yang dilabel 'merah' oleh UMNO telah berjaya menghasut Britsh menganggap Hizbul Muslimin sebagai pro-komunis.

Selepas itu, banyak intipan dan laporan kepada pihak polis dilakukan oleh Penghulu Muda yang baru sahaja didatangkan ke Gunung Semanggol pada awal tahun 1948. Beliau adalah saudara kepada Datuk Zainal Abidin Abas, iaitu orang kuat UMNO yang juga merupakan kawan baik Dato' Onn. Sebenarnya, kedatangan Penghulu Muda itu adalah atas kehendak UMNO yang mahu mengintip pergerakan Hizbul Muslimin.

Akhirnya, Penghulu Muda itu mati dalam keadaan yang tidak elok, iaitu selepas meminum arak menyebabkan orang Melayu di Gunung Semanggol terus menolak UMNO. Pada 12 tengahari, 29 Julai 1948, Ustaz Abu Bakar al-Baqir ditangkap di bawah Undang-Undang Darurat.


Dalam Penjara

Ustaz Abu Bakar al-Baqir ditahan tanpa bicara atas alasan 'bahaya keselamatan kepada Tanah Melayu'. Beliau bersama 300 tokoh politik agama dan pemimpin Melayu ditahan kerana dituduh menentang British.

Ustaz Abu Bakar al-Baqir ditahan selama 6 bulan di Taiping kemudian dipindahkan ke Pulau Jerjak selama setahun setengah. Semasa di Pulau Jerjak, mereka telah membuat pakatan iaitu apabila keluar nanti ada di kalangan mereka hendaklah menyuntik jarum ke dalam UMNO untuk menukar slogan 'Hidup Melayu' kepada 'Merdeka'.

Kemudian Ustaz Abu Bakal al-Baqir dipindahkan ke penjara Tanjung Beruas, Melaka dan akhirnya penjara Ipoh. Selepas dipenjarakan selama 4 tahun 3 bulan, Ustaz Abu Bakar al-Baqir dibebaskan pada Oktober 1952.


Terus Berjuang

Sebagai pengasas Parti Islam yang pertama, Ustaz Abu Bakar al-Baqir bercita-cita untuk mencapai kemerdekaan negara yang berdaulat yang berasaskan kefahaman Islam.

Semasa darurat, semua kegiatan politik telah diharamkan oleh pihak British. Namun Umno dibiarkan bergerak cergas oleh penjajah British bagi mengatur jentera pilihanraya 1955.

Seterusnya dalam pilihanraya 1955, Ustaz Abu Bakar al-Baqir bertanding sebagai calon Perikatan Melayu Perak tetapi gagal. Ustaz Abu Bakar al-Baqir tidak menjadi calon PAS walaupun ia telah ditubuhkan pada 1951. Sebaliknya, satu pakatan dan kerjasama diadakan di antara PAS dan Perikatan Melayu Perak sebagai satu strategi melindungi Maahad al-Ehya al-Sharif.


Sumbangan dan Pengiktirafan

Walaupun Hizbul Muslimin telah lumpuh selepas pengisytiharan Darurat, namun keghairahan sokongan rakyat khususnya alim ulama terhadap perjuangan politiknya amat memberangsangkan. Semangat dan dorongan ini akhirnya merintis jalan ke arah penubuhan PAS pada 1951.

Dalam hal ini, ramai yang mengiktiraf Ustaz Abu Bakar al-Baqir, pengasas al-Ehya, pemimpin MATA, PEPERMAS, LEPIR dan Hizbul Muslimin yang meletakkan asas utama dalam penubuhan PAS.

Ustaz Abu Bakar al-Baqir meneruskan usaha memajukan al-Ehya sehingga ke akhir hayatnya pada Julai 1974. Sebelum itu, pada 1960an Ustaz Abu Bakar al-Baqir telah dilantik menjadi anggota Majlis Agama Perak.

Ustaz Abu Bakar al-Baqir telah dianugerahkan pingat Jasa Perdana (J.P) dan pingat Jasa Kebaktian (P.J.K). Setelah kematiannya, Ustaz Abu Bakar al-Baqir dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Perak 1975.