Saturday, November 5, 2011

Islam dan Perkahwinan

Islam merupakan sebaik-baik agama yang memandu manusia kepada kebahagian sejati baik di dunia mahupun akhirat. Islam juga menyediakan panduan yang lengkap dalam menjalani kehidupan sebagai manusia.

Firman ALLAH S.W.T, maksudnya:
“Sesiapa yang mencari agama selain daripada Islam, maka dia tidak diterima (di sisi kami) dan di hari akhirat kelak dia akan termasuk di kalangan mereka yang rugi.” – Surah Ali 'Imran: 85.

Manusia telah diciptakan oleh ALLAH S.W.T dengan bentuk kejadian yang unik dan berbeza daripada makhluk-makhluk-NYA yang lain. Bermula daripada Adam a.s dan seterusnya makhluk yang bergelar wanita pertama bernama Hawa. Daripada mereka berdua lahirlah generasi manusia berikutnya melalui proses percantuman benih antara lelaki dan wanita.

Kehidupan bermula apabila berlaku proses percantuman benih antara seorang lelaki dengan seorang wanita. Daripada perbuatan ini, lahirlah benih yang bernyawa di mana ia membesar dari rahim seorang wanita. Akhirnya muncullah seorang generasi baru yang kemudiannya bergerak dan berjalan di muka bumi.

Firman ALLAH S.W.T, maksudnya:
“Dari setitis air mani (air lelaki) ketika ia tertumpah ke dalam rahim.” – Surah al-Najm: 46.

Melalui proses ini, kehidupan sosial manusia terbentuk, lahir dan wujud di hadapan kita pada hari ini. Demi kelangsungan fitrah yang ditetapkan oleh-NYA dalam mentadbir urusan dan perjalanan kehidupan, DIA yang Maha Agung dan Maha Berkuasa telah menetapkan bahawa kejadian manusia yang berbeza jantina itu dipenuhi dengan sifat kasih sayang dan memiliki daya tarikan biologi secara semula jadi antara satu sama lain.

Firman ALLAH S.W.T, maksudnya:
“(Tetaplah atas) fitrah ALLAH yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu.” – Surah Ar-Rum: 30.

Secara fitrahnya manusia diciptakan untuk tertarik kepada kaum yang berlawanan jenis dengannya. Mereka saling menyukai dan ingin mendekati antara satu sama lain. Lalu hal itu akan mendorong berlakunya persetubuhan yang merupakan proses bagi memastikan kelangsungan generasi dan zuriat. Ini merupakan fitrah manusia yang sudah ditetapkan oleh ALLAH S.W.T.

Selain itu lelaki dan wanita juga diciptakan oleh ALLAH untuk memiliki perasaan senang dan bahagia dengan kewujudan pasangan. Hal ini disebutkan oleh ALLAH S.W.T secara jelas melalui firman-NYA yang bermaksud:

“Dan antara tanda-tanda kebesaran-NYA ialah diciptakan untuk kamu dari diri kamu akan isteri-isteri supaya kamu bersenang-senang kepadanya dan menjadikan antara kamu saling mencintai dan berkasih sayang.” – Surah al-Rum: 21.

Al-Imam Ibn Katsir ra berkata bahawa maksud (min anfusikum) ialah melalui kejadian yang sama dengan kamu, iaitu daripada kaum manusia. Bukan dari jin atau malaikat yang berbeza kejadian. Manakala maksud (litaskunu ilaiha) iaitu lelaki dan perempuan ini diciptakan untuk saling bersenang-senang antara satu sama lain. Bahkan dari segi kejadian fizikalnya pun saling melengkapi dan diciptakan untuk menyenangkan satu sama lain.

Tujuan ALLAH S.W.T menciptakan lelaki dan wanita saling memerlukan dari sudut biologi dan kejiwaan ialah untuk memastikan lahirnya keturunan dan generasi baru melalui perhubungan lelaki dan wanita.

Firman ALLAH, maksudnya:
"Wahai sekalian manusia! bertakwalah kepada TUHAN kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (Hawa) serta membiakkan daripada kedua-duanya (zuriat keturunan) lelaki dan wanita berkembang biak yang banyak."– Surah al-Nisak: 1.

Islam amat menitik beratkan hubungan harmoni antara satu sama lain dan sebaik-baik agama yang menghubungkan pertalian dan kebaikan antara sesama manusia. Walaupun manusia diberikan akal fikiran namun godaan syahwat, naluri dan daya tarikan antara lelaki dan wanita seringkali sukar dikawal dan mengakibatkan mereka kerap melanggar batasan dan melakukan kerosakan di atas muka bumi. Ini menyebabkan berlaku kerosakan pada aturan fitrah yang ditetapkan oleh ALLAH S.W.T.

Ketika zaman jahiliah dan zaman kuno dalam tamadun manusia, kaum wanita seringkali dijadikan alat pemuas nafsu seksual lelaki disebabkan keadaan fizikal mereka yang lemah. Sehingga para wanita hidup menderita dan tidak mendapat kebahagiaan. Begitu juga kaum lelaki. Mereka turut tidak mencapai kepuasan hidup yang hakiki kerana melampaui batas dan mengikut hawa nafsu untuk mencapai keseronokan. Akhirnya hanya merosakkan diri mereka dan menambah derita dalam kehidupan.

Oleh itu, Islam datang membawa rahmat ke seluruh alam. Ia benar-benar menepati tujuan kedatangannya apabila Islam mengajar manusia tatacara dan kaedah dalam menjalinkan hubungan antara satu sama lain serta menetapkan peraturan dan panduan bagi mencapai kehidupan yang bahagia.

Sebagai contohnya, dalam hadis riwayat Ismail bin Muhammad bin Sa'ad bin Abi Waqqas melalui bapanya daripada datuknya yang berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

“Empat perkara termasuk tanda kebahagiaan ialah memiliki wanita yang solehah, tempat tinggal yang lapang, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa. Juga empat perkara termasuk kesusahan (derita) ialah memiliki jiran yang jahat, isteri yang tidak baik, tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk.” Hadis sahih riwayat Ibn Hibban

Rasulullah s.a.w menyebut bahawa memiliki isteri yang solehah, tempat tinggal yang lapang, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa termasuk salah satu daripada tanda kebahagiaan. Sebaliknya, mempunyai jiran yang jahat, isteri yang tidak baik, tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk termasuk tanda-tanda kesusahan dan penderitaan. Oleh itu, Islam menyediakan peraturan dan petunjuk yang sempurna dalam pelbagai perkara termasuk soal kemasyarakatan dan kehidupan duniawi.

Agama Islam amat mengalakkan perkahwinan. Ia merupakan salah satu sunnah yang utama dalam agama. Bahkan sebagai perintah kepada setiap muslim dan muslimah.

Firman ALLAH, maksudnya:
"Jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap wanita-wanita yatim (jika kamu berkahwin dengan mereka), berkahwinlah dengan sesiapa sahaja yang kamu berkenan di kalangan wanita-wanita (lain yang bukan anak yatim): sama ada dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak mampu berlaku adil (antara isteri-isteri kamu), berkahwinlah dengan seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba wanita yang kamu miliki. Hal itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman." – Surah al-Nisak: 3.

Melalui hadis riwayat Anas r.a Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sesiapa yang membenci sunnahku, maka dia bukanlah daripada golonganku (umatku).” – Hadis sahih riwayat al-Bukhari
Perkahwinan merupakan jalan paling selamat dan terbaik dalam memenuhi fitrah dan naluri manusia. Disebabkan itulah ia menjadi salah satu daripada sunnah para nabi dan rasul serta diperintahkan kepada umat Islam.

Matlamat utama perkahwinan ialah untuk memenuhi keinginan naluri dan fitrah insan melalui jalan yang selamat dan menepati kehendak syarak. Ia juga bagi memastikan kesinambungan generasi manusia melalui konsep kekeluargaan yang dapat menjamin kestabilan hidup mereka.

Bahkan perkahwinan mempunyai manfaat yang cukup besar bagi manusia dalam mengawal dirinya daripada maksiat, kerosakan akal dan jiwa serta menyelamatkan diri mereka daripada godaan nafsu dan syaitan.

Abdullah bin Mas’ud r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Wahai sekalian para pemuda, sesiapa di kalangan kamu yang memiliki kemampuan untuk berkahwin maka dia hendaklah bernikah kerana sesungguhnya ia dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan.” - Hadis sahih riwayat al-Bukhari

Maksud kemampuan dalam hadis di atas ialah kemampuan untuk bernikah. Para ulama berbeza pendapat dalam menetapkan apakah yang dimaksudkan dengan 'kemampuan untuk bernikah'. Maksud yang paling benar ialah 'kemampuan untuk bersetubuh'. Hal itu dinyatakan oleh al-Imam Muhammad bin Ismail al-San’ani, pengarang kitab Subulussalam Syarah Bulughul Maram.

Begitu juga pendapat Imam Nawawi r.h dalam kitab al-Minhaj ketika beliau mensyarahkan hadis ini. Beliau berkata bahawa para ulama menyebut, maksud kemampuan dalam hadis di atas, iaitu kemampuan untuk bersetubuh. Inilah pendapat paling tepat dan merangkumi makna bahasa dan maksud baginda.

Walau bagaimanapun, banyak kitab fikah menyifatkan bahawa maksud kemampuan dalam hadis di atas, iaitu kemampuan dari segi fizikal dan kebendaan untuk memenuhi fitrah persetubuhan. Contohnya seperti menyediakan belanja. Juga kemampuan kebendaan atau material untuk berkahwin seperti rumah dan tempat tinggal bagi menempatkan isteri. Hal ini juga dinyatakan oleh Imam Nawawi r.h sebagai salah satu daripada pendapat ulama terhadap maksud kemampuan.

Pernikahan sepatutnya menjadi suatu ibadah yang dilaksanakan kerana ALLAH dan untuk kebaikan agama. Mengutamakan kepentingan agama lebih afdal daripada tujuan keduniaan. Rasulullah s.a.w menyatakan dalam sebuah hadis sahih bahawa baginda pernah menikahkan sahabatnya dengan hanya bermaharkan al-Quran disebabkan kemiskinan dan ketiadaan harta untuk dijadikan mas kahwin.

Hal ini sekali gus menjadi hujah bahawa pernikahan yang dilakukan atas dasar menyelamatkan diri daripada maksiat dan keinginan syahwat itu harus dilaksanakan kerana ALLAH. Walaupun kekurangan dari sudut kebendaan.

Pernikahan menjadi ibadah dan sunnah yang wajib ditunaikan bagi mereka yang mampu dalam erti kata mampu melakukan persetubuhan dan menunaikan fitrah melalui jalan yang dibenarkan oleh syariat. Dan juga bagi memastikan kesinambungan generasi manusia.

Menutut Ma’qal bin Yasar r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Berkahwinlah dengan wanita yang penyayang dan melahirkan anak yang ramai. Sesungguhnya aku berbangga memiliki umat yang ramai.” - Hadis sahih riwayat Abu Daud