Friday, April 24, 2009

Tazkirah buat diri

Asal kejadian manusia, dari setitis air mani yang hina. Yang tiada harga. Yang mana kalau jatuh ke bumi, tak patuk dek ayam, tak sudu dek itik. Tapi kenapa bila saja manusia itu sudah sempurna penciptaannya. Dari segi jasmaninya, pemikirannya. Manusia itu bisa saja merasa diri teramat hebat dan jauh lebih hebat dari orang lain.

Sang pejuang Islam, yang berkali-kali melontar kata-kata mengenai tarbiyyah dan dakwah, juga tidak terlepas dengan terasa diri hebat.

Hebatnya aku.
Hebatnya aku, ada ilmu yang tinggi. Ingat, ada yang lebih tinggi.
Hebatnya aku, berjuang untuk Islam. Ingat, ramai lagi yang berjuang. Hinggakan ada yang syahid ketika berjuang.

Sibuknya aku.
Sibuknya aku, terlibat banyak program dakwah. Ingat, berapa ramai yang lebih sibuk dari kita?

Sang pejuang,
Sibuknya, hebatnya kamu, kerana siapa?
Siapa yang menyibukkan kamu, sedangkan ada di kalangan kawan/kenalan kamu yang punyai masa terluang. Bebas untuk belajar, berpersatuan dan berpacaran.
Siapa yang menghebatkan kamu, sedangkan ada ramai lagi yang masih terkapai-kapai mencari realiti hidup.

Walhal, kepada yang sudah menjadi pemimpin, ada lagi yang masih merasa diri hebat. Penulis menyeru semua sahabat, pejuang-pejuang, sehebat mana pun kita. Sesibuk mana pun kita berdakwah. Semuanya kerana izin Allah. Kalau Allah tidak mengizinkan, kekallah kita menjadi setitis air mani. Yang tak patuk dek ayam, tak sudu dek itik.


Jawatan
Sebagai pemimpin, kita tidak patut ada rasa ego. Malah sepatutnya, bila sudah ada amanah, kita lebih tunduk dan tawadhu' kepada Allah. Bukan mengangkat dada dan berbangga, "Nah, aku lebih hebat dari kalian semua."

Ingat suatu perkara, apa yang dizahirkan di mulut, tak semestinya dizahirkan dengan perbuatan kita. Contohnya, "Eh, ana tak ada pun sifat ego ni."
Tapi adakah kalian sedar yang perbuatan kalian itu menghimpun keegoan dalam diri. Kita kata, kita tak buat perkara begini. Tetapi perbuatan kita mebuktikan sebaliknya.

Jadilah seperti padi, makin tunduk makin berisi. Makin luas ilmu di dada, makin kita rendah diri. Bila orang bawahan, atau sesiapa saja yang bagi nasihat, kita dengar. Jadikan ia tazkirah buat diri. Ini tidak. Bila orang bagi nasihat, kita cepat-cepat kata itu ini, mempertahankan diri.

Untuk apa? Apa kepentingan kita mempertahankan diri? Inilah yang dikatakan ego. Rasa diri hebat. Bila rasa diri lebih hebat dari orang yang memberi nasihat, kita rasa dia tak layak untuk beri nasihat pada kita.

Jangan jadi seperti lalang, semakin melangit. Jadi seperti beburung, yang bebas berterbangan di angkasa, tetapi pulang semula ke bumi, tempat asalnya.

Padi yang menunduk, akhirnya berbakti pada manusia. Lalang yang melangit, bukan sahaja merimaskan dan melemaskan mata, malah menyusahkan orang lain.

Tuesday, April 14, 2009

Salam imtihan...

Perjuangan bukan sahaja dalam menegakkan Islam di muka bumi Allah. Tapi juga perjuangan dalam menuntut ilmu. Kenapa sesetengah dari kita, berkobar-kobar semangat berdakwah. Tapi, dalam menuntut ilmu, ia begitu lemah, lembik. Langsung tak bermaya.
Sedangkan Islam mengajak umatnya supaya berilmu. Jadilah orang berilmu.

P/s: tak ada idea untuk entri kali ini, minggu depan dah mula final exam.

Selamat berjaya pada semua. Jangan lupa belajar. Yang paling penting, jangan lupa Tuhan.

Aku bersyukur...

Aku bersyukur,
Tatkala aku masih mampu bernafas,
Menghirup udara kurniaan Tuhan.

Aku bersyukur,
Tatkala aku masih sihat,
Bekerja dan berjuang kerana Tuhan.

Aku bersyukur,
Tatkala aku diberi peluang melihat mentari,
Teladani dan pelajari alam ciptaan Tuhan.

Aku bersyukur,
Tatkala aku menikmati sarapan pagi,
Sumber halal dari rezeki pemberian Tuhan.

Aku bersyukur,
Tatkala aku diberi akal yang waras,
Melalui denai dan jalan untuk redha Tuhan.

Dan aku perlu bersyukur,
Tatkala mereka masih mengasihi aku,
Kasih yang membawa cinta kepada Tuhan.

Dan aku perlu bersyukur,
Tatkala mereka membenci aku,
Menginjakkan aku dari kebencian Tuhan.

Aku bersyukur,
Dan aku perlu bersyukur,
Tatkala aku menggapai panji Islam,
Demi menegakkan agama Tuhan.

Tuesday, April 7, 2009

Nga hina Islam?!

YB Nga hina Islam?!

"Eh, bior benor...takkan sampai ke tahap tu."
"Eh teghuk betui PR ni, deme boleh pakat tepuk tangan, orang dok hina ayat Quran."

Itu antara komen yang menyokong penyataan YB Nga hina Islam. Namun persoalannya sekarang, benarkah fakta tersebut? Atau ia dipandang dari sudut negatif, lalu cuba menghasut orang lain agar sama-sama memandang negatif tentang perkara ini.

Tahukah kita, kajian tentang al-Quran sedang giat dilakukan. Dan kebanyakan yang mengkajinya ialah dari kalangan saintis bukan Islam. Di mana umat Islam? Tak habis bertelagah sesama sendiri.

Baru-baru ini, sempena program k-saintis di U penulis, dapat membawa pelajar-pelajar ke arah pemodenan pemikiran berlandaskan al-Quran dan Sunnah. Antara perkara yang dibincang selama tiga hari program itu berlangsung, adalah mengenai kajian-kajian yang diperolehi oleh saintis bukan Islam tentang kaitan al-Quran dan sains.

Salah satu kajian yang menarik minat ialah hasil dari saintis Jepun (tak ingat nama), yang mengkaji tentang molekul air. Kata saintis tersebut, air juga makhluk yang hidup. Dan ia amat sensitif dengan bunyi. Dengan menggunakan mikroskop elektron, perubahan yang berlaku pada molekul air apabila bertindak balas dengan bunyi dapat diperhatikan orang ramai.

Setiap bunyi yang berbeza menghasilkan struktur molekul air yang berbeza, struktur tersebut dipaparkan di layar putih untuk tatapan orang ramai. Keajaiban yang berlaku ialah, molekul yang tercantik dan terindah, mempunyai pelbagai warna dan bentuk yang menarik, ialah air yang dibacakan dengan Bismillah.

Hal ini amat memelikkan saintis tersebut. Sehinggakan beliau memutuskan untuk mengkaji tentang ayat Quran dan air. Hasilnya, air zam-zam yang dibacakan Bismillah mempunyai molekul yang paling cantik.

Saintis ini merasa sangat kagum. Namun, yang ingin penulis ketengahkan di sini. Saintis tersebut turut menggunakan al-Quran, tapi adakah mereka memeluk agama Islam selepas itu? Tidak. Hidayah milik Allah. Tak semestinya apabila seseorang itu menggunakan al-Quran sebagai panduan, dia mesti masuk Islam. Sebab seperti yang penulis katakan. Hidayah milik Allah. Tahu atau tidak, Tony Blair turut mengkaji al-Quran dalam menangani masalah negara. Jangan terkejut.

Yang menjadi masalah ialah, berapa ramai orang Islam yang menjadikan al-Quran sebagai panduan? Sedangkan umat Islam sendiri yang menolak hukum Islam. Orang Islam juga yang mempertikaikan suruhan yang jelas dinyatakan dalam al-Quran.

Kenapa bila orang lain hendak mencontohi perkara yang dibawa dalam al-Quran, kita halang? Kalau begitu, sampai bila Islam mahu berkembang? Sudahlah Islam dipisahkan dari kehidupan seharian, pengajaran dari al-Quran pun tak boleh diambil?

Kalau masalah sebutan yang dipertikaikan, betulkan. Bukannya buat laporan polis. Takutkan orang bukan Islam saja. Bila nak contohi al-Quran, dituduh menghina Islam. Apa ingat orang Islam sendiri pun semuanya pandai baca al-Quran?! Ada yang langsung tak kenal al-Quran pun. Sebutan dan makhraj YB2 sekalian tu betul sangat ke?

Kalau ianya hanya sebagai agenda politik, kenapa? Salah ke? Ada hukum dalam al-Quran ke yang mengatakan tidak boleh menggunakan ayat Quran dalam ceramah politik? Mana tahu, mungkin sekarang hanya agenda politik. Tapi apabila izin Allah nak anugerahkan hidayah pada Nga atau orang yang mendengar masa tu, inilah salah satu caranya.

Pada hemat penulis, mereka yang galak menuduh dan membuat laporan polis ni, sebenarnya kepedasan. Yelah, orang kata siapa makan cili, dia terasa pedasnya. Oh, lupa...pepatah Melayu dah lama dilupakan. Sekarang ini semua nak BI saja.
Yelah, bila orang bukan Islam menceritakan sesuatu, dalam al-Quran, tetapi orang Islam sendiri pun tak amalkan, memang memalukan. Macam kena perli je la. Tu yang tak puas hati sangat. Betul? Ada yang tak setuju?

Sudahlah, malas nak menulis panjang. Kita ini jangan hanya menilai negatif pada sesuatu. Cuba positif. Kalau nak negatif juga, biar sama rata. Yang puak tu pun kita tengok negatif dia, yang puak ni pun sama juga. Jangan pula sini tengok negatif, sana tengok positif saja. Adil ke?

Sedarlah, keintelektualan telah bertambah. Ramai semakin sedar. Apabila fikir dipisahkan dari zikir, zaman kegelapan mula muncul. Jangan hanya dengar dari sebelah pihak saja.

Thursday, April 2, 2009

Naqib & Usrah

Senja mula merangkak malam. Perlahan-lahan suasana gelap mengganti langit. Lampu-lampu jalan mula bercahaya. Unggas hutan pula mengambil tempat untuk mengisi tugas malam. Cengkerik pun sudah mula mendendangkan iramanya. Masing-masing ada peranan tersendiri. Aku yang dari tadi tercongok, melayan perasaan. Entah apa yang bermain dalam fikiran, aku pun tak tahu. Bila berada di kampong, ini lah rutin harian aku. Termenung di tepi beranda ni. Dari petang sampai senja. Tunggu masuk waktu Maghrib. Bila dah bekerja, mana sempat nak relaks begini. Kalau nasib baik, boleh tengok budak-budak bermain. Kejar sana. Kejar sini. Lepas tu, ada yang menangis. Ada yang bergaduh. Aku jadi tersenyum sendirian. Gelagat kanak-kanak yang belum tahu beza baik buruk ini memang mencuitkan hati. Kalau boleh, nak je aku jadi budak-budak balik.
Tapi, nak buat macam mana. Masa kanak-kanak aku dah berlalu. Sekarang dah beranjak dewasa. Nak tak nak, aku sudah ada tanggungjawab sendiri. Pada diri. Pada ayah ibu. Pada keluarga. Pada masyarakat lagi. Teringat pesan arwah atuk aku. Kita hidup ni, perlu satu bekalan. Untuk bawa ke alam kekal sana. Tapi, bila muhasabah balik. Tenung-tenung diri. Telek-telek iman. Apa sebenarnya aku sudah buat sepanjang hidup ni. Apa bekalan aku. Apa sumbangan aku. Pada diri. Pada semua orang. Dan paling penting, apa sumbangan aku pada Islam?
Zero. Kosong. Sumbangan aku is equal to zero. Bekalan pun.
Sebak dada. Bila aku dapati aku tak pernah menyumbang langsung. Selumpuh-lumpuh Syeikh Ahmad Yassin pun, sumbangan dia memang mantap. Kekalnya Palestin di tangan Islam sekarang pun, atas usaha dia juga.
Tapi aku…hmm.
Mengeluh. Tu saja yang mampu. Mengeluh.
Masa kat UMP dulu, nak turun masjid pun malas. Padahal blok sebelah masjid je. Apatah lagi nak berjuang untuk agama. Jauh panggang dari api. Nasib baik aku tak main awek-awek ni. Kalau tak, tambah satu perkara lagi nak fikir. Untunglah aku pun tak suka bab-bab jiwang ni.
Entah kenapa, tiba-tiba saja aku teringat pada Abang Razif. Naqib teman bilik aku di UMP dulu, Rahmat. Selalu juga Abang Razif datang bilik aku. Untuk jumpa Rahmat lah. Bukan aku. Dia yang menceritakan tentang gerakan Islam pada aku. Kalau nak harap pada kepala otak aku ni saja, jangan harap aku boleh fikir tentang muhasabah-muhasabah ni. Aku bukan belajar agama sangat. Kat sekolah dulu ada lah. Tu pun sebab nak lulus periksa je.
Sebenarnya sebelum ni, istilah naqib pun aku tak pernah dengar. Rahmatlah yang terangkan pada aku. Apa itu naqib. Apa itu usrah.
Bukan penerangan Rahmat tu yang menarik perhatian aku. Tapi, Abang Razif. Penampilan dia. Cara dia bergaul. Aku jadi hormat betul. Segan dengan orang begitu. Sebelum ni aku dengar, geng masjid ni antisosial. Tapi, perwatakan Abang Razif tu membuktikan telahan aku selama ni, salah. Aku lihat, Abang Razif boleh jadi kawan. Boleh jadi abang. Boleh jadi penasihat peribadi. Semua serba serbi boleh.
Lalu, aku tertarik untuk dekati kumpulan mereka. Yang mereka panggil usrah. Maksudnya keluarga. Ya, keluarga. Hubungan keluarga. Itu yang aku perlu. Mungkin kerana keadaan keluarga aku sendiri, yang dah bercerai-berai sebabkan aku kehilangan kasih sayang.
Pertama kali aku berkumpul dengan mereka, satu malam tu. Abang Razif ajak kami semua ambil wudhu sebelum mula. Aku jadi pelik. Nak mula usrah pun kena ambil wudhu ke? Getus hatiku. Abang Razif bagai menduga persoalan yang bermain di benakku berkata, “Wudhu ni untuk tambah keberkatan pada kita. Wudhu juga bermaksud kita dalam keadaan suci. Mana mungkin kita berwudhu andai kita sendiri dicemari najis. Andai kita dalam keadaan hadas. Betul?”
Aku mengangguk. Bersetuju dengan kata-kata Abang Razif.
Selepas itu, kami mula dengan bacaan al-Quran. Malam ni surah al-Waqiah. Masing-masing kena baca. Aku runsing. Tak tentu arah dibuatnya. Yelah, bacaan aku ni sangkut-sangkut. Malulah nak baca depan orang. Si Rahmat pula tak cerita pasal kena baca al-Quran. Aduh…
Lepas seorang, seorang pula baca. Last-last sampai giliran aku. Aku diam. Membatu. Abang Razif pandang aku. Semua yang ada pun begitu. Lantas aku dekatkan diri, berbisik pada Abang Razif. Mujur aku duduk sebelah dia.
“Abang, saya tak pandai sangat baca.” Kata aku. Antara dengar tak dengar. “Malulah baca sangkut-sangkut.”
Aku lihat Abang Razif senyum. Lalu dia berkata pada semua, “Husni sakit tekak malam ni. Tak boleh baca. Kamil, sambung baca.”
Fuh, lega betul. Nasib Abang Razif backup. Kalau tak, buat malu saja. Selesai saja semua baca al-Quran, Abang Razif mula bercerita. Dia tak komen pun pasal bacaan al-Quran tadi. Terus saja sambung bab lain. Abang Razif cerita tentang seorang budak, berumur 4 tahun, ditinggalkan ibu bapanya. Bersendirian.
“Agak-agak semualah, apa akan jadi pada budak tu?” tanya Abang Razif.
“Menangislah, apa lagi” balas seorang tu.
“Kasihanlah, tak ada siapa nak bagi makan. Nak jaga kesihatan dia” balas seorang yang lain pula.
“Bagus. Semua itu betul. Cuba bayangkan situasi tadi pada kita. Tentu sedih. Tak tahu mana arah nak dituju. Takut. Semua ada” Abang Razif memandang kami semua. Ada yang mengangguk.
“Begitu juga kita dengan Allah” sambung Abang Razif lagi. “Bayangkan kita ditinggalkan tanpa kasih sayang Allah. Nasib kita juga akan jadi seperti budak tadi. Takut. Sedih. Sepatutnya kita bersyukur. Kita dapat bernafas. Dapat makan, minum. Semuanya sebab kasih sayangNya. Tapi, kita ni. Apa tanda kita bersyukur. Kita bersyukur dengan tinggalkan solat. Kita bersyukur dengan buat perkara maksiat. Derhaka pada ibu bapa.”
Aku tunduk. Terasa kata-kata itu tepat menuju aku. Selama ini, solat aku buat mainan saja. Tiba-tiba kelopak mata aku terasa panas. Air mata bergenang. Aku cuba tak berkedip supaya air mata tak mengalir. Kata-kata Abang Razif betul-betul menyedarkan aku. Bukan sekadar kata-katanya saja. Cara Abang Razif menyampaikan dengan penuh kelembutan dan hikmah membuatkan maksud yang tersirat disebalik kata-katanya sampai tepat di lubuk sanubari aku.
Seusai usrah malam itu, Abang Razif memanggilku. Dia mengajak aku ke kafe. Aku sekadar mengangguk, menurut ajakan Abang Razif.
Dalam perjalanan ke kafe, Abang Razif bertanya pada aku, “Husni, sebelum ni belajar al-Quran dari siapa?”
“Erm, mak saya. Tapi sampai umur 14 tahun je. Lepas itu, parents saya bercerai. Saya tinggal dengan ayah. Ayah sibuk sangat dengan kerja. Tak sempat nak ajar pun. Saya belajar al-Quran sampai takat tu saja la.”
“Jadi, macam mana Husni baca al-Quran? Solat?” tanya Abang Razif lagi. Tutur kata Abang Razif sentiasa disulami kelembutan. Wajahnya redup dengan senyuman.
Aku tunduk, terdiam. Membiar persoalan itu tak berjawab. Selama ni aku solat ke? Baca al-Quran apa lagi.
“Husni, nak belajar al-Quran?” tanya Abang Razif selepas beberapa ketika.
Aku mengangguk. Diam lagi.
“Tak apa, abang yang ajar. Bila-bila ada masa free, cakap je dengan abang. Ok?”
Aku pandang Abang Razif. Dia tersenyum. Lalu, aku pun turut tersenyum.
Di dalam hati aku, hanya Allah saja yang tahu. Betapa beruntungnya aku. Jumpa orang macam Abang Razif.
Semenjak dari itu, Abang Razif yang mengajar aku membaca al-Quran sehingga lancar. Yang menerangkan tentang solat pada aku hingga sempurna. Yang mengingatkan aku pada Allah. Yang mengembalikan aku ke jalanNya.
Minggu demi minggu, aku tak pernah miss usrah dengan Abang Razif. Pengisian yang diberi memang menjadi amalan bagi aku. Sehinggalah pada satu minggu, tiada sms yang datang dari Abang Razif sebagai pemberitahuan tentang usrah pada minggu itu. Pada mulanya, aku anggap biasa saja. Tapi, 2,3 hari selepas itu, aku rasa tak sedap hati. Kelibat Abang Razif di masjid pun tak nampak. Sms dari aku yang sebelum ini sentiasa berbalas, masih tak dapat jawapan dari Abang Razif. Aku cuba menghubungi telefon bimbitnya, tapi sentiasa gagal. Tak dapat disambung.
Aku mula risau. Bimbang. Macam-macam imaginasi yang aku bayangkan. Sibuk sangat ke Abang Razif ni? Tapi bila telefon, tak dapat. Ada program ke? Tapi tak bagitahu pun. Sakit ke? Atau…
Oh, janganlah. Minta-minta tak ada yang buruk berlaku. Abang Razif sudah seperti abang kandung aku. Selama ini, aku tiada adik-beradik. Abang Razif lah yang mengisi kekosongan itu. Aku tak nak sesuatu yang tak diingini berlaku pada Abang Razif.
Ya Allah, kau lindungilah Abang Razif.
Malam itu aku tak dapat tidur. Bayangan-bayangan negatif menghantui aku. Abang Razif kemalanganlah. Macam-macamlah. Perasaan aku mula berkecamuk. Resahku mula mendadak. Aku tekad. Keesokannya, aku mesti ambil tahu apa yang jadi pada Abang Razif.
Esoknya, awal-awal pagi lagi, selesai Subuh berjemaah di masjid, mata aku meliar mencari Abang Ikhwan, kawan Abang Razif. Aku mesti tanya dia. Akhirnya, mata aku tertangkap susuk tubuh Abang Ikhwan di suatu sudut masjid. Aku mendekatinya.
“Assalamualaikum, Abang Ikhwan.” Abang Ikhwan yang sedang khusyuk membaca al-Quran, menghentikan bacaannya.
“Wa’alaikumsalam” balas Abang Ikhwan.
“Abang Ihkwan, boleh saya tahu tentang Abang Razif. Kat mana dia sekarang?”
Abang Ikhwan diam. Kemudian tunduk. Dia menggelengkan kepalanya. “Abang Razif tak benarkan abang cerita pada sesiapa tentang keadaan dia.”
Jantung aku mula berdegup kencang. Andaian yang bukan-bukan muncul kembali dalam kepala. “Kenapa dia tak nak bagitahu? Ada apa-apa jadi pada dia ke?” aku terus mendesak Abang Ikhwan.
Abang Ikhwan memandang aku. Ditenung mata aku. Kelihatan matanya mula berkaca. Perlahan-lahan, air matanya jatuh. Membasahi pipi. “Abang Razif sekarang… Dia…”
“Kenapa dengan dia? Kenapa?” tanpa tahu apa-apa sebab, air mataku mengalir juga. Aku menggoncang bahu Abang Ikhwan. “Tolong bagitahu apa yang terjadi” pintaku perlahan. Sebak.
“Abang Razif… menderita barah otak. Lama dah dia tahu tentang perkara ni, tapi… dibiarkan saja” Abang Ikhwan mengesat air mata dengan telapak tangan. “Baru-baru ni… dia jatuh pengsan. Kemudian dikejarkan ke hospital. Doktor cakap, memang dah tak ada harapan. Barahnya sudah di tahap tiga.”
Air mataku tak tertahan lagi. Ia terus mengalir, semakin deras. Perkara yang paling tak aku ingini berlaku, sudah pun terjadi. “Sekarang dia masih ada di hospital?”
“Tak. Dia sekarang ada di rumah. Kami baru melawat dia tempoh hari.”
“Tak apa, terima kasih Abang Ikhwan. Terima kasih.” Aku lantas meninggalkan Abang Ikhwan sendirian. Tak sanggup aku berhadapan dengannya. Aku berlari ke bilik. Aku menangis semahu-mahunya. Orang yang aku sayangi. Yang aku anggap macam abang sendiri. Sudah tiada harapan untuk hidup. Tak sangka dia sanggup merahsiakan perkara ini pada aku.
Aku bertekad. Aku mesti pergi rumah Abang Razif. Tanpa membuang masa aku bersiap. Aku membuat keputusan untuk menaiki bas saja. Lagipun, aku kenal benar tempat di situ. Aku pernah ke sana. Sedang aku bersiap-siap, telefon bimbit aku berbunyi. Menandakan ada sms masuk. Pantas aku membaca isi kandungannya;
Salam. Dukacitanya dimaklumkan, sahabat kita, Mohd Razif bin Salamin, telah pulang ke rahmatullah. Marilah kita sama-sama sedekahkan al-Fatihah padanya. InsyaAllah, malam ini akan diadakan majlis tahlil di masjid.
Aku terduduk. Tiada apa yang dapat aku lakukan. Terasa lemah seluruh badan. Air mata sudah tak terdaya mengalir lagi. Akhirnya, aku beristighfar panjang. Teringat cerita Abang Razif tentang kewafatan Rasulullah. Semua sahabat tak dapat menerima kewafatan baginda. Kata Umar, siapa yang kata Rasulullah telah wafat, aku pancung lehernya. Bangun Abu Bakar mendamai suasana. Sesiapa yang beriman pada Rasul, kini baginda telah wafat. Sesiapa yang beriman pada Allah, Dia hidup kekal selamanya…


Lamunan aku tersentak. Kedengaran azan berkumandang menandakan telah masuk waktu Maghrib. Aku bergegas berwudhu lalu menapak ke masjid.
Terima kasih Abang Razif. Kerana menyedarkan aku. Moga-moga rohnya bersama orang-orang soleh. Amin.
Abang Razif, tak mengapa kau pergi tanpa ucapan selamat tinggal. Kerana kita akan berjumpa lagi. InsyaAllah, di syurgaNya nanti.