Monday, April 19, 2010

Hati AKAL

Beza kejadian manusia dan makhluk ciptaan ALLAH yang lain adalah dikurniakan akal, mampu untuk menilai, mentafsir, mengintepratasi segala yang ada di sekeliling kita. Kita dilebihkan dan diangkat darjat dengan adanya kurniaan ini. Syukur, Alhamdulillah. Dengan kurniaan akal ini jugalah kita menguruskan kehidupan selayaknya sebagai khalifah di muka bumi. Kehebatan akal dinilai melalui kerasionalan dan kekreatifan akal digunakan.

Tapi hakikatnya, kita lupa pada satu lagi peranan penting, iaitu hati (qalb) dalam kehidupan seharian. Akal tak mampu bertindak sendirian tanpa respon dari hati (perasaan, intuisi, gerak hati). Perlu ada kesinambungan dari dua-dua pihak. Hati dan akal perlu saling memerlukan, akan terhasillah manusia yang hebat juga sedar nilainya sebagai hamba kepada sang Pencipta.

Persoalannya, mana satu yang perlu didahulukan? Pandangan akal atau pandangan hati?

Hadis nabi SAW:
"Tiadalah seorang hamba itu dekat dengan Tuhannya melainkan dalam keadaan bersujud."

Jika kita perhatikan, kedudukan kita, posisi kita seharian. Bila berdiri, berbaring dan sebagainya, kedudukan hati dan akal adalah dalam posisi berbeza. Bila kita berdiri, kedudukan hati adalah di bawah kedudukan akal. Samalah halnya dengan kita dewasa ini. Bila akal menggunakan kemampuannya semata-mata untuk menilai siapa Penciptanya. Kita sudah maklum sudah banyak penemuan sains dan teknologi yang sangat mengagumkan oleh saintis, tapi mereka tetap tidak dapat menerima bahawa ALLAHlah yang menciptakan segalanya.

Dalam kedudukan rukuk, posisi akal dan hati adalah sejajar. Ini lebih baik daripada yang tadi. Masing-masing berperanan dalam menggerakkan manusia tersebut. Tetapi yang lebih baik lagi adalah dalam keadaan sujud, di mana akal lebih rendah kedudukannya dari hati. Ini bukan bermakna peranan akal harus diketepikan. Tetapi akal bertindak untuk memahami, hati bertindak untuk mengepalai segala keputusan dalam kehidupan kita. Benarlah hadis Nabi SAW yang dinyatakan di atas. Hati yang membawa manusia kepada fitrah, dekat kepada ALLAH. Bukannya akal.

Bagaimana mahu memastikan keputusan yang dibuat adalah tepat? Keputusan yang dibuat oleh hati yang dekat dengan ALLAH tiada masalah dengan persoalan ini. Oleh itu, bersujudlah(beribadah) selalu. Nescaya kita dekat dengan ALLAH.

Semoga kita mampu menjadi insan cemerlang dunia dan akhirat.




"Bulan mengambang sekarang. Semengambangnya Islam yang kian berkembang. You should refuse to give up easily. It's too early for those who love Islam, brother!"

Wahai pejuang Islam!!
Tingkatkan semangat dalam diri, jihad akademik.
Selamat menduduki peperiksaan akhir semester ini.

Wednesday, April 7, 2010

Ummat Islam kini

Ummat Islam mengikut taarif Allah S.W T adalah sebaik-baik ummat yang dilahirkan di antara ummat manusia kerana mereka sentiasa berj i had menegakkan Al-Maaruf dan di waktu yang sama juga mereka mencegah yang mungkar.

Mereka adalah contoh yang terbaik dan pilihan kerana mereka yakin akan wujudnya Allah S.W.T dan percaya sepenuhnya kepada janji-janji Allah, mereka beriman kepada Allah S.W.T dan iman itu ditunjukkan dengan taat dan takwa kepada Allah S.W.T pada setiap saat dalam kehidupan mereka, mahupun apabila mereka sesama mereka ataupun mereka keseorangan diri.

Mereka sedar bahawa belumlah betul-betul dinamai Iman jika belum mendorong orangnya untuk bekerja keras, menerus dengan kerja-kerja Islam (Amal Islami) dan menyampaikan ajaran-ajaran Islam kepada orang lain belum lagi merasai kemanisan dan menikmati cara hidup Islam.

Sesungguhnya tepatlah sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
“Iman itu bukanlah angan-angan dan bukan pula perhiasan tetapi Iman itu adalah sesuatu yang menetap di dalam hati dan dibenarkan dengan amalan.”

Itulah ummat yang terdahulu yang mendapat didikan Iman dari Madrasah Rasulullah S.A.W yang mana sumber didikan mereka hanya sanya Al-Quran, menilai Rabbani yang sentiasa mendidik dan membetuli mereka dan setiap aktiviti mereka di dalam kehidupan samada dalam bentuk fikiran, tindakan dan amalan.

Di sana masih ada perbezaan yang jauh antara ummat Islam kini dan jenerasi Al-Quran yang pertama dahulu yang mana di dalam jiwa mereka terdapat Iman yang bergelora, menyala, cermat dan waspada.

Sebaliknya Ummat Islam kini mereka mempunyai Iman yang bisu, mandul, tidur nyenyak dalam jiwa dan mereka tidak mematuhi hukum dan tuntutan Iman itu sendiri.


KEADAAN DAN MASALAH YANG SAMA
Sesungguhnya segala keadaan dan corak hidup yang ada di seluruh dunia Islam pada hari ini adalah sama saja. Keadaan Ummat Islam yang sebenarnya telah menyerah kalah kepada pemikiran-pemikiran dan cara hidup yang menggunakan akal fikiran sebagai inti wahyu Illahi. Tiada penafian dalam hal ini kerana masyarakat Islam telah begitu lama dijajah (tanah air dan fikiran) telah jauh dari hakikat hidup dari kacamata Islam. Perhambaan diri mereka tidak hanya sanya pada Allah S.W.T semata-mata sedangkan mereka mengucap dua kalimah Syahadah, mengerjakan sembahyang, berpuasa, mengeluarkan Zakat dan menunaikan Haji di Baitullah.

Apabila kita meninjau ke seluruh pelusuk alam ini, nescaya kita dapat melihat keadaan sebenar Ummat Islam pada hari ini. Ratusan ummat-ummat Islam tidak lagi digeruni oleh musuh-musuh mereka, malah ummat Islam dipermain-mainkan sesuka hati oleh angkatan Jahiliah yang diketuai oleh Syaitan, ummat Islam seolah-olah dibius, jiwa mereka rendah, peribadi mereka juga rendah serta natijah mereka juga dipandang rendah. Kemanakah hilangnya tradisi kegemilangan, kekuatan Islam yang pada satu ketika dulu tradisi telah dapat menarik penganut-penganut cara hidup yang bukan Islam kepada cara hidup Islam.

Wujudnya situasi yang sebegini rupa adalah kerana ummat Islam sendiri telah jahil akan tujuan sebenarnya Islam itu diturunkan kepada seluruh ummat manusia. Ummat Islam kini tidak tahu menghargai Pimpinan Illahi dan merasa rendah dikira apabila menyebut Islam. Ummat Islam pada hari ini tidak boleh lagi dipanggil sebagai ummat Islam, Islam itu tetap ada tetapi ummatnya adalah umpama jasad tanpa nyawa, sebenarnya mereka juga sendiri daripada angkatan jahiliah kerana:

1) Tidak beriman sebenarnya dengan Allah S.W.T
Nampak jahiliah itu dalam bermacam-macam keadaan, tindakan dan aktiviti. Mereka tidak menyerah semua urusan hidup mereka kepada Allah S.W.T. Iman yang sebenarnya ialah dengan menjadikan hanya Allah sahaja sebagai Illah. Perintah dan undang-undang Allah sahaja yang diterima dan dipatuh. Jika tidak, maka uluhiyyatillah kita masih tidak sempurna.

2) Mengikut Hawa Nafsu
Jahiliah dengan hawa nafsu adalah seiringan.

Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Jaatsiyah (45) ayat 18 yang bermaksud:
“Kemudian kami jadikan kamu berada di atas Syariat (peraturan) dari urusan (Deen) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui”

Sekiranya hawa nafsu menghukum walaupun pengikut syariat Allah S.W.T maka masih dikira jahiliah. Hakikat hawa nafsu menghukum ialah ianya berbeza mengikut keadaan dan masa.

3) Mengikut Thaghut
Firman Allah dalam surah Al- Baqarah ayat 257 yang bermaksud:
“Allah pelindung bagi orang-orang yang beriman,Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (Iman) .Dan orang-orang kafir pelindung-pelindung mereka ialah thaghut,yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan.Mereka itu adalah penghuni neraka,mereka kekal di dalamnya”

Dalam surah Annisa' (4) ayat 76 Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“Orang -orang yang beriman berperang di jalan Allah dan Orang yang kafir berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kuncu-kuncu syaitan itu kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.”

Orang-orang yang beriman kepada Allah berjuang dan berperang kerana Allah S.W.T, tetapi orang-orang Jahiliah berjuang bermati-matian untuk mengikut perintah thaghut.


SIFAT-SIFAT MEREKA YANG HIDUP UNTUK ISLAM
Berbeza dengan sifat-sifat yang tersebut di atas,sifat-sifat mereka yang hidup untuk Islam sepatutnya:

a) Benar-benar terikat dan menurut ajaran Islam, Iman dan amal mereka yang selaras, tidak menyuruh orang berbuat baik tanpa dirinya sendiri berbuat baik dan tidak memperkatakan sesuatu yang tidak dilakukannya.

b) Mengutamakan kepentingan Islam walau di mana sahaja mereka berada. Musuh-musuh Islam tidak dapat meresap masuk dan mengganggu-gugat dengan apa cara sekalipun.

c) Merasa mulia dengan kebenaran Islam dan yakin kepada Allah. Tidak merasa lemah dan dukacita dengan mehnah dan fitnah yang berada di hadapan mereka.

d) sentiasa bekerja untuk Islam bersama-sama dengan Aktivis-aktivis (mujahid-mujahid) Islam yang lain dalam berdakwah kepada Allah, menyuruh dengan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Mereka sentiasa bersama Jamaah Ummah dan patuh kepada kehendak dan pimpinan Jamaah tersebut.


SISTEM WAHYU
Sekiranya Iman merupakan penyelamat dan tenaga penggerak kepada pembangunan kepada generasi Al-Quran yang terdahulu maka Iman itu juga yang menjadi penyelamat dan tenaga penggerak kepada jenerasi ummat yang terkemudian. Dan generasi yang terdahulu telah mengambil Al-Quran untuk mencipta Tamadun..... generasi sekarang mesti mengambil Al-Quran untuk menempah semula tamadun tersebut.

Generasi Al-Quran yang pertama dahulu apabila mereka bertindak melakukan sesuatu, dalam apa sahaja bidang yang mereka ceburi mereka tidak pernah malah takut untuk mendahulukan Allah dan RasulNya. Mereka sentiasa menunggu saranan dan teguran wahyu dan apabila ditanzilkan wahyu kepada mereka tanpa persoalan lagi mereka terus melaksanakan kehendak wahyu tersebut samada dalam bentuk suruhan ataupun tegahan bagaikan askar-askar yang menurut perintah ketua mereka.

Oleh itu kita dalam setiap gerak kerja kita mestilah merujuk terlebih dahulu kepada Al-Quran dan Al-Sunnah dan bersesuaian dengan waki' (realiti) serta ikhlas tanpa ada sedikitpun matlamat duniawi.

Sepatutnya sejarah Tanzil (turun) nya Al-Quran itu menjadi contoh kepada kita dewasa ini. Ia ditanzilkan secara munajjaman(beransur-ansur). Hal ini adalah mengikut fitrah manusia itu sendiri, kalau dulu Al-Quran itu mendidik dan berjinak-jinak dengan jiwa-jiwa generasi sahabat secara munajjaman iaitu mengikut perkembangan pemikiran dan sosial mereka, semestinyalah kita mengikutnya demikian juga. Dengan ini bukanlah bererti yang kita tidak perlu menjalankan undang-undang dan peraturan Allah di muka bumi ini disebabkan kita bermula dengan iman tetapi undang-undang Allah telah lengkap dan mesti dipatuhi sepenuhnya. Apa yang kita maksudkan dengan munajjaman di sini ialah khusus dalam pendidikan jiwa kita.

Mungkin ada sebahagian orang akan merasakan proses ini tidak perlu lagi pada zaman yang serba canggih ini, sedarilah dan insafilah bahawa untuk bersemadinya Iman di dalam hati kita dan dapat melahirkan natijah yang positif sangatlah perlu kita kembali kepada satu proses pendidikan semula setiap jiwa-jiwa muslimin yang ikhlas kepada Islam.

Kita tegaskan di sini, bahawa Islam bukan sekadar Risalah tetapi ianya juga merupakan Manhaj(cara), sunnah dan perjalanan Rasulullah S.A.W adalah sebaik-baik manhaj, sunnah itu adalah Haq dan Haq itu adalah daripada Allah Azza Wajjalla.
Proses pendidikan semula itu perlulah menurut satu persatu landasan yang telah dilalui oleh Muhamad Rasulullah S.A.W dan jenerasi sahabat dahulu. Matlamat hidup perlulah diperbetulkan semula, kesungguhan dan keikhlasan kepada proses itu sendiri perlulah ada pada setiap jiwa yang ingin mengikuti proses pendidikan semula Islam itu, jika tidak natijahnya akan bersimpang-siur.


MASA DEPAN DUNIA ADALAH UNTUK ISLAM
Di kalangan ummat Islam yang telah dibius itu telah ada yang sedar, bangun dan mengejutkan saudaranya yang lain. Seorang demi seorang bangun dan bersatu di bawah panji-panji Aqidah Islam. Seluruh dunia sekarang ini sedang menghadapi pergolakan yang dicetuskan oleh mujahid-mujahid ini. Bagi yang mahu kepada kebenaran mereka menyambut baik akan perkembangan ini, tetapi bagi mereka yang menyintai kekufuran, kezaliman, penyelewengan dan kemaksiatan, insiden ini amatlah tidak disenangi dan mereka cuba sedaya upaya mereka samada secara diplomasi atau kuku besi sekalipun untuk melenyapkan cahaya ini.

Kita bersikap optimis bahawa, masa depan dunia adalah untuk Islam memandangkan kepada keadaan masyarakat dewasa ini yang mana sistem-sistem pembikinan manusia yang dipaksakan kepada mereka jelas tidak mampu untuk menyelamatkan manusia dari segala bentuk bahaya dan kezaliman yang sedang berjalan walau atas nama apa sekalipun tetapi amat dibenci oleh masyarakat terbanyak.

Optimisnya kita bukanlah bererti kita boleh berpeluk tubuh, memerhatikan keadaan dan menunggu natijahnya tetapi ianya menuntut kepada usaha, tenaga, Ilmu, kedudukan, keikhlasan dari kita yang beriman kepada Allah dengan yang sebenarnya.
Oleh itu, perbetulkan Aqidah kita agar Iman kita betul, dengan itu nanti akan benarlah segala amalan kita, Insya-Allah.
PENUTUP
Menyedari bahawa Islam sudah tidak lagi dipraktikkan dalam kehidupan masyarakat kerana ketandusan Iman, berkepentingan peribadi serta jahil, maka program-program yang positif perlu diambil untuk membetulkan keadaan tersebut.

Abul A'la Al Maududi menyarankan supaya diajak manusia supaya kembali beriman kepada rukun-rukun Iman dengan sebenarnya, membersihkan diri dari segala bentuk kepercayaan tahyul, khurafat dan bid'ah dan membentuk serta membangunkan semula konsep kefahaman Islam yang sebenarnya di kalangan masyarakat.

Inilah jalan yang sah dan betul yang telah dilakukan oleh Harakah Islamiyyah melalui susunan tarbiahnya yang rapi.

Sunday, April 4, 2010

Melayu yang layu

"Di Singapura, kami tidak mendewakan pemain-pemain bola."

Begitulah kata-kata Phillip Yeo, Ketua Agensi Penyelidikan Untuk Sains dan Teknologi Singapura. Kita yakin Singapura juga tidak mendewa-dewakan golongan artis seperti yang berlaku kepada kita di Malaysia.

Tidak pernah pula kita terbaca atau mendengar berita yang penyiar TV di sana menganjurkan banyak siri realiti TV yang tidak mendatangkan sebarang faedah jangka panjang untuk kemajuan negara kecil mereka. Tetapi berlainan pula dengan negara kita, itu yang lebih diutamakan sejak kebelakangan ini.

Jika beginilah sikap rakyat negara kita nampaknya kita akan terus menjadi sebuah negara yang terbelakang dalam segala bidang yang berfaedah untuk masa depan negara.

Di Singapura, idola mereka adalah orang terpelajar, bukan artis. Orang terpelajar dijadikan contoh kepada anak-anak muda Singapura untuk mengejar kemajuan dalam bidang sains dan teknologi. Anak-anak mereka digalakkan mendapat pelajaran setinggi yang mungkin kerana mereka sedar tanpa generasi yang berpelajaran dan berpendidikan tinggi negara mereka akan ketinggalan.

Singapura sedang menuju ke arah apa yang disebut knowledge economy (ekonomi ilmu pengetahuan) tetapi kita lebih kepada entertainment economy (ekonomi hiburan). Artis-artis yang berjaya meraih `ijazah' dari Akademi Fantasia (AF) lebih diberikan tempat dalam liputan akhbar daripada kejayaan anak-anak Malaysia yang berjaya dalam bidang sains dan teknologi. Sehinggakan institut pengajian tinggi (IPT) juga disajikan hiburan dari artis-artis sebegini. Mana maruah dan harga diri IPT? Tempat memuliakan ilmu, dijadikan tempat memuliakan hiburan.

Kalau beginilah cara orang Melayu menguruskan anak bangsa mereka nampaknya peluang untuk menjana Towering Malays atau Melayu Unggul akan punah. Mana ada anak Melayu yang berjaya dalam bidang nyanyian di peringkat antarabangsa sehingga mereka terkenal seperti artis-artis dari Barat. Pernahkah kita mendengar jualan album artis-artis Melayu dijual jutaan keping di pasaran antarabangsa?! Pernah?!

Kalau setakat menyanyi di Royal Albert Hall sudah dianggap satu kejayaan besar bagi anak Melayu dan bukan meraih ijazah kelas pertama di universiti Cambridge atau Oxford, rosaklah anak Melayu.

Kaum Cina dan India mendahulukan kejayaan akademik daripada hiburan tetapi untuk anak-anak Melayu, ibu bapa mereka sanggup berkorban apa saja, bergolok bergadai asalkan anak mereka mendapat tempat dalam Malaysian Idol dan AF. Mereka tidak sanggup berkorban atau bergolok bergadai untuk memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang terbaik. Sesungguhnya orang Melayu akan jadi bahan ketawa kaum lain pada suatu hari nanti.

Kita masih buta dengan agenda orang lain untuk menjatuhkan mereka. Tulisan ini mungkin tidak akan menyenangkan orang yang tidak mengambil berat tentang arah tuju orang Melayu. Ia mungkin bagai cili yang terpepak atau pahit bagai hempedu tetapi seperti kata orang, yang pahit itulah ubat.

Malangnya orang Melayu suka digula-gulakan, dipuji berlebih-lebihan. Biar menang sorak kampung tergadai. Biar papa asalkan bergaya. Sampai bila kita hendak dodoikan orang Melayu dan anak Melayu dengan kejayaan yang palsu. Kita mahukan durian tapi benih tomato yang kita tanam. Di mana rasional dan logiknya? Begitu rendahkah daya fikir orang Melayu dan anak Melayu?

Kalaulah pejuang kemerdekaan dari kalangan orang Melayu yang lalu masih hidup, mereka pasti akan menangis kerana kita telah gagal mendidik anak bangsa ke arah kemajuan yang dituntut oleh agama Islam. Kita gagal mengisi kemerdekaan dengan anak-anak bangsa yang bijak berfikir dan bertindak demi kesinambungan kemegahan orang Melayu. Malu pada Dato Bahaman, Tok Janggut, Dato Maharajalela.

Mungkin Hang Tuah pun akan geleng kepala melihat orang Melayu hari ini menyalahgunakan kebebasan yang diperoleh. Mungkin Melayu tak hilang di dunia tetapi jika ada bangsa Melayu yang layu apalah gunanya.

Layu dengan lagu yang mendayu.

Layu di pusat-pusat serenti.

Layu di atas jalan raya yang serba moden.

Layu di peringkat pengajian tinggi.


P/s: pesanan buat diri jua.