Thursday, May 27, 2010

Rupa ALLAH

Soalan:
Apa hikmah ALLAH tak menampakkan rupa bentukNYA kepada manusia? Seperti malaikat menjelma sebagai manusia pada zaman Rasulullah SAW.

Jawapan:
Biar kita mulakan jawapan ini dengan satu analogi. (Awas, ini adalah contoh semata-mata, jangan membayangkan pula).

Katakanlah, ALLAH itu muncul di masjid UMP. (Contoh ye ni.) Dengan sifatNYA tersendiri. Bagaimana rupanya? Katalah, ALLAH muncul dalam bentuk yang besar, putih dan macam-macam lagi-lagi. Kita pun dapatlah tengok sekejap rupa bentuk ALLAH. Kemudian ALLAH pun menghilang kembali. Muncul kat masjid UMP saja, kat tempat lain tak ada.

Kemudian si Ali yang duduk di masjid ni tadi, dan sempat menyaksikan ALLAH secara langsung, rasa teruja. Dia pun balik dari masjid cepat-cepat buat panggilan telefon kepada adiknya. Dia ceritalah peristiwa dari A-Z. Adik dia pun tanya, "Macam mana rupa ALLAH tu?" Si Ali ni pun ceritalah, besar, putih dan sebagainya.

Adik dia pun membayangkan rupa ALLAH, padahal dia tak pernah nampak pun. Jadi, dia percaya rupa ALLAH itu, seperti apa yang dibayangkan. Esok dia pergi sekolah, cerita pula pada rakan-rakan. Kawan dia pun kata, "Eh, susah sangatlah cerita kau ni. Cuba kau lukis, senang nak tengok." Adik Ali pun lukis mengikut gambaran yang diceritakan oleh Ali. Padahal lukisan itu belum tentu benar. Hanya gambaran semata. Adik Ali sendiri pun belum pernah lihat.

Cerita ini pun tersebar ke merata sehinggalah akhir sekali, "Susah sangatlah nak tengok lukisan ALLAH ni. Cuba buat bentuk tahan lama sikit. Buat dalam patung tanah liatlah." Maka, jadilah patung tanah liat ALLAH berdasarkan gambaran, lukisan, cerita-cerita dari mulut ke mulut.

Nak dipendekkan ceritanya, akhirnya orang akan percaya rupa ALLAH itu seperti patung yang telah dibentuk, seterusnya orang akan sembah patung tu, dan bukan lagi sembah ALLAH yang sebenar.

Tamat analogi...


Secara ringkas, jawapannya mudah sahaja, untuk mengelakkan manusia dari membayangkan dan menggambarkan rupa bentuk ALLAH, yang Maha Sempurna sifatNYA, dalam bentuk yang lain.

Ia berlaku dalam agama-agama lain. Hasilnya, jadilah patung yang bertangan banyak, dikiaskan bahawa Tuhan itu berkuasa. Dan banyak lagi kiasan-kiasan lain. Patung itu pula disembah sebagai Tuhan. Itulah istimewanya Islam berbanding agama yang lain.

Tengoklah keadaan sekarang pun, kita dah sedia maklum, orang bukan Islam cuba melukis wajah Nabi Muhammad. Bagaimana rupanya, ciri-cirinya, mereka merujuk pada kata-kata para Sahabat tentang perawakan Rasulullah. Mereka pun membayangkan Rasulullah seperti penceritaan para Sahabat. Tapi, mereka sendiri pun tak tahu lukisan itu betul atau salah. Hanya membayangkan mengikut imaginasi tersendiri. Akhirnya, dijadikan modal sebagai bahan persenda mereka.

Wallahu'alam.




P/S: Apabila bercerita kepada orang bukan Islam tentang perihal Islam, yang penting sekali, jangan merendahkan agama mereka dan membandingkan dengan Islam. Cukup sekadar bercerita tentang kelebihan Islam. Bila awal-awal kita dah merendah agama mereka, mereka pun tak akan teragak-agak untuk merendahkan agama kita. Padahal mereka dalam jahil, sedangkan kita tidak. jadi, lagi susah nak tarik minat mereka kepada Islam.

Tuesday, May 25, 2010

Sabar

Sabar bermaksud menahan hawa nafsu daripada dipengaruhi oleh sebarang gelora atau kegemparan hati atau tekanan jiwa, perasaan atau ransangan yang menimbulkan rasa marah, resah, kecewa atau putus asa akibat daripada pengalaman menghadapi kesusahan atau keadaan yang tidak disukai.

Sabar itu perlu lahir dalam empat tindakan; iaitu:

1) Tabah dan tekun mengerjakan perintah ALLAH SWT.
2) Menahan diri dari melakukan kemungkaran.
3) Memelihara diri dari godaan dunia, nafsu dan syaitan.
4) Tenang dan teguh menghadapi kesusahan.


KENAPA PERLU BERSABAR?

Firman ALLAH SWT:

Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan:"Innaa lillahi wa innaa ilaihi raaji'uun". Mereka itulah yang mendapatkan keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Rabbnya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (ali-imran:155-157)

Sabda Nabi SAW pula:

'Sungguh menakjubkan segala perkara orang yang beriman, dan semua itu baik baginya dan hal itu tidak dimiliki oleh selain orang yang beriman; iaitu jika ia mendapatkan kebaikan atau kesenangan maka dia akan bersyukur dan yang sedemikian itu baik baginya, dan jika ia terkena hal yang tidak menyenangkan (mara bahaya) maka dia bersabar dan hal yang sedemikian itu baik baginya.' (HR Muslim)

'Tidaklah ada sesuatu yang menimpa seorang muslim (baik sesuatu itu berupa) kelelahan, penyakit, kegundahan, kesedihan, atau sesuatu yang menyakitkannya sampai duri yang menimpanya kecuali ALLAH menggugurkan sebagian dosa-dosanya karena mushibah tersebut.' (HR Bukhari dan Muslim)


Keterangan:

Kesenangan dan kesusahan yang kita alami adalah cubaan dari ALLAH bahkan kehidupan dunia ini semuanya adalah cubaan. Agar mendapatkan kebahagian dunia dan akhirat, maka setiap muslim harus memahami hakikat kehidupan dunia ini dan mengambil bekal utama dalam menjalaninya, di antara bekal tersebut adalah sikap sabar.

Adapun di antara janji ALLAH bagi orang mu'min yang bersabar adalah :

*ALLAH akan memberikan ganjaran kepadanya tanpa terhitung.
*Dengan mushibah tersebut, jika bersabar dan mengharapkan balasan dari ALLAH, ALLAH akan menghapuskan dosa-dosanya.
*ALLAH akan mengangkat darjat orang yang sabar dalam menghadapi ujian dari ALLAH.


FAKTOR YANG MENGIKIS SIFAT SABAR

1)Isti'jal atau gopoh-gapah. Sabda Nabi SAW, "Sesungguhnya gopoh gapah itu dari syaitan kecuali pada 5 perkara: mengahwinkan anak perawan, membayar hutang, mengurus mayat, melayan tetamu, dan bertaubat dari dosa."
2)Marah. Sabda Nabi SAW, "Orang yang paling kuat di antara kamu ialah orang yang dapat menahan marahnya."
3)Berputus asa.

Sunday, May 23, 2010

Judi

BAGI masyarakat bukan Islam, berjudi dianggap perkara biasa, satu bentuk hiburan, malah di beberapa destinasi ia menjadi produk pelancongan bagi menjana pendapatan.

Amerika Syarikat misalnya mengiktiraf perjudian. Ia sah di sisi undang-undang di Nevada sejak 1931, sehinggalah menjadi nadi utama kepada pengembangan ekonominya dan berbekalkan produk itu juga Las Vegas terkenal dengan bandaraya judi di peringkat antarabangsa.

Walaupun ia suatu kebiasaan bagi sesetengah pihak, malah sumber ekonomi yang lumayan, masyarakat umum memandang perjudian tetap dipandang negatif dan dikategorikan hiburan yang tidak sihat.

Perjudian ialah pertaruhan wang atau barang berharga dalam suatu acara, malah dalam apa saja permainan antara pihak dikira judi apabila antara mereka akan rugi dan mendapat untung secara tidak sengaja atau bergantung kepada nasib.

Secara umum terdapat tiga kategori judi, iaitu pertaruhan wang atau barang berharga; meramal dan membuat jangkaan terhadap sesuatu acara; dan dalam bentuk mekanikal atau elektronik.

Ada banyak jenis perjudian, antaranya membabitkan permainan kasino, permainan daun terup, kad dan buah dadu seperti Baccarat, Blackjack, Caribbean Stud Poker dan Casino War, Craps, Fan-Tan, Faro, Let It Ride, Pai Gow Poker dan Tiles Poker.

Perjudian elektronik seperti Pachinko, mesin slot, daun terup video, manakala perjudian bukan kasino seperti dead pool, loteri, kad gores, laga ayam dan mahjong.

Ia juga boleh berlaku apabila ada unsur pertaruhan dalam acara seperti sukan dan pilihan raya melalui bentuk ramalan dan jangkaan, malah dalam keadaan lain boleh berlaku judi, misalnya meneka nombor kereta yang melalui di depan pihak terbabit.

Hukum perjudian dalam Islam haram dan mereka yang terbabit berdosa. Dalil pengharamannya ada dinyatakan dalam al-Quran, yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

“Sesungguhnya syaitan itu hanya mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara keji dan kotor atau kamu masih berdegil)? (al-Maa’idah:90-91).”

Mengapa Islam mengharamkannya, sedangkan dalam sesetengah kes ia memberikan pulangan lumayan, sehingga ada yang menjadi kaya dan hidup senang, hasil daripada perjudian?

Dr Yusuf Qardawi menegaskan, orang yang asyik dengan berjudi di atas meja hijau, seperti mana yang mereka namakannya boleh sampai menjual agama, kehormatan dan negara kerana judi.

Katanya, semua itu sanggup dilakukan untuk memuaskan kerakusan wang dan keinginan nafsu berahi.

Pengarang buku Pendidikan Anak-anak Dalam Islam, Abdullah Nasuh Ulwan, menjelaskan judi menjadikan manusia berserah kepada nasib saja tanpa tenaga dan dengan cita-cita kosong, bukannya atas usaha bersungguh-sungguh.

Judi juga katanya, seperti alat merobohkan rumah tangga bahagia, mengosongkan saku yang berisi, memiskinkan kaum keluarga kaya dan merendahkan jiwa yang mulia.

“Betapa ramai orang dihina kerana judi, selepas mereka hidup mulia suatu masa dulu dan betapa ramai lagi orang yang menjadi miskin, selepas suatu masa dulu hidup kaya raya,” katanya.

Menurutnya, judi juga membangkitkan permusuhan dan perasaan benci antara kedua orang yang terbabit, kerana satu daripadanya memakan harta yang lain dan mendapatkan wang dengan cara tidak betul.

“Judi menghalang daripada mengingati Allah dan solat serta menolak kedua-dua orang yang berjudi itu kepada sejahat-jahat akhlak dan seburuk-buruk adat,” katanya sambil menjelaskan satu hadis dilaporkan al-Baihaqi:

“Nabi Muhammad s.a.w datang kepada suatu kaum yang bermain dadu, lalu baginda berkata: Hati-hati yang lalai, tangan-tangan terus bekerja serta lidah pula mengucapkan kata-kata yang sia-sia dan batil.”

Ulama terbabit menyatakan, judi adalah suatu hobi yang penuh dengan dosa, menelan waktu dan tenaga, membiasakan kemalasan serta menghalang umat daripada berusaha dan menjana produk.

“Judi menolak tuannya kepada melakukan dosa, kerana si penjudi yang muflis mahu mendapatkan wang dengan apa cara sekalipun walaupun dengan cara mencuri dan merampas atau mengambil rasuah dan menipu,” katanya.

Menurutnya, judi akan menimbulkan perasaan takut di dalam hati, menyebabkan penyakit, menghancurkan urat saraf dan menimbulkan perasaan dengki.

Hiburan terbabit katanya, bukanlah perkara baru, malah cukup terkenal bagi masyarakat Arab jahiliah satu ketika dulu, bahkan ia dianjurkan bertujuan untuk kebajikan orang ramai tanpa diambil satu sen pun dari wang itu.

Tujuan kebajikan itu hampir mirip dengan projek loteri yang diserahkan lebihannya dalam dana kebajikan dan objektif yang membawa manfaat kepada orang ramai pada zaman moden ini.

Bagaimanapun, ideologi dan prinsip Islam cukup jelas, iaitu untuk mencapai kepada sesuatu matlamat mulia seharusnya dengan menjejaki cara yang mulia juga.

“Umpamanya memberikan derma kepada manusia, tidak dibenarkan oleh Islam, melainkan dengan cara yang betul, bersih lagi mulia. Adapun derma yang dilakukan melalui judi atau merampas hak orang lain, tidak diakui Islam.”

Konklusinya, judi ini banyak keburukan daripada kebaikan. Apa-apa pun, haruslah dicegah dan dibendung secara betul-betul. Judi tetap haram, walaupun lesennya halal.

Friday, May 21, 2010

Teman

Teman itu seperti bintang di langit,
Meskipun jauh tetap bercahaya,
Walau terkadang menghilang lari,
Tak nampak dari pandangan,
Dia tetap ada,

Tak bisa dimiliki,
Tapi tak bisa juga dilupakan,
Dia selalu ada dalam ingatan.

Friday, May 14, 2010

Peranan guru semakin diremehkan.

GURU

Dialah pemberi paling setia
tiap akar ilmu miliknya
pelita dan ilmu segalanya
untuk manusia sebelum menjadi dewasa

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
alur kesetiaan mengalirkan nasihat
pemimpin yang ditauliahkan segala umat
seribu tahun katanya menjadi hikmat

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang raja menaiki tahta
Jika hari ini seorang presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca

Di mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di ibu kota
Di bangunan tua sekolah di hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku
semakin terpencil duduknya di ceruk desa
semakin bererti tugasnya kepada negara

Jalan apa pun pada akhir kehidupanmu
Guruku
budi yang di apungkan di dulang ilmu
panggilan keramat "CIKGU" kekal terpahat
menjadi kenangan ke akhir hayat.

Usman Awang


Kalau dihayati puisi karya Usman Awang di atas, kita lihat betapa besarnya jasa seorang guru. Guru ini ibarat ibu-bapa bagi anak muridnya. Malah ada anak murid yang lebih mendengar kata guru, dari kata ibu-bapa. Apa peranan guru? Ajar membaca, mengira, menulis? Itu saja? Habiskan silibus setiap subjek?

Kalau itu saja jawapannya, maka padanlah hasilnya sekarang. Lihat saja anak remaja sekarang yang sudah hilang adab moral, akhlak dan agama. Memang benar, kesalahan itu patut ditujukan kepada ibu-bapa. Tetapi adakah guru ini boleh berlepas tangan dari tanggungjawab sebagai pengajar, pendidik, pengasuh dan juga pembentuk. Di akhirat nanti, akan dipersoalkan apa yang sudah kamu buat kepada tanggungjawab kamu. Adakah kamu mengajak mereka pada Islam? Atau kamu hanya berlepas tangan, sedangkan kamu ada masa dan ruang untuk berbakti, untuk berdakwah.

Adakah dakwah ini hanya tanggungjawab dari yang bergelar ustaz/ah? Tidak. Tidak sama sekali. Guru itu bukan saja mudaris, tapi dia adalah murobbi, dia juga mursyid dan dia jua adalah mu'allim.

Ambillah contoh dari Rasulullah SAW yang kita cintai. Baginda adalah guru terbaik yang boleh dijadikan teladan. Lembut tutur kata untuk membentuk jiwa. Baik akhlaknya untuk dijadikan ikutan. Inilah acuan sebenar seorang guru. Guru yang bukan saja menyampaikan ilmu, tetapi pembentuk akhlak dan pemantap akidah.

Namun sekarang, guru ini dijadikan sebagai kerjaya untuk cari makan saja. Tiada kesedaran untuk meneruskan misi dakwah Rasulullah. Akibatnya, lahirlah anak murid yang pandai, bijaksana, tetapi imannya lemah, adabnya tak terjaga, akhlak apatah lagi. Tulisan ini bukan saja ditujukan kepada guru. Apa saja profesion yang melibatkan pengajar dan pelajar, inilah yang jadi.

Wahai pendidik, rebutlah peluang untuk mendapat ganjaran pahala yang mudah tetapi sangat bernilai di akhirat nanti. Laksanakan tanggungjawab ini. Didiklah anak muridmu agar menjadi manusia yang patuh pada suruhan ALLAH. InsyaALLAH, generasi yang dibentuk dengan Islam, pasti akan lebih baik dan maju ke hadapan.

Tulisan ini juga merupakan peringatan kepada semua dan penulis terutamanya.

Thursday, May 13, 2010

Dari hati...

Keimanan ku teruji,
Bila aku sendiri lagi,
Mana arah yang ku cari,
Kelam telah datang kembali.

Kian aku sendiri,
Semakin sukar ku mengerti,
Manakah kekuatan diri,
Untuk mengenal cinta Ilahi.

Walau susah manapun,
Aku akan terus mencarinya,
Biar terpaksa berlari,
Selamanya ku kan berlari.

P/s: Nukilan di kala kepala serabut dan kebosanan.

Wednesday, May 12, 2010

Ada apa selepas mati?

Seorang sahabat bernama al-Barra’ bin ‘Azib –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan;

'Suatu hari kami keluar bersama Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- mengiringi jenazah seorang lelaki dari kalangan Ansar yang meninggal dunia. Ketika sampai di perkuburan dan jenazah dimasukkan ke dalam liang lahad, baginda duduk dan kami pun turut duduk di sekitar beliau. Di tangan baginda ada sebatang kayu. Baginda menggaris tanah dengan kayu itu, kemudian mengangkat kepalanya sambil berkata;

“Hendaklah kamu sekelian memohon perlindungan Allah dari azab kubur”.

Baginda mengulanginya dua atau tiga kali. Seterusnya baginda berucap;

“Sesungguhnya seorang hamba yang beriman ketika hendak berpisah dengan dunia dan menuju akhirat (yakni ketika ia hampir mati), akan turun kepadanya malaikat-malaikat dari langit, yang putih wajah mereka seumpama matahari, bersama mereka kain kapan dan bau-bauan (حنوط) dari syurga. Mereka duduk darinya sejauh mata memandang. Kemudian datang malaikat maut dan duduk di hujung kepalanya dan berkata kepadanya;

'Wahai ruh yang baik! Keluarlah menuju kepada keampunan dari Allah dan keredhaanNya’. Maka keluarlah ruh itu di mana ia mengalir (keluar) umpama mengalirnya titisan air dari corong bekas air (yang dinamai as-Saqa’ dalam bahasa Arab).

Kemudian malaikat maut mengambil ruh itu dan terus memasukkannya ke dalam kain kapan bersama-sama bau-bauan (yang di bawa oleh malaikat-malaikat tadi) dan terbitlah darinya bau yang amat harum umpama bau kasturi yang paling harum di atas muka bumi ini. Setelah itu malaikat-malaikat tadi membawa ruh yang harum itu naik ke langit. Maka setiap kali berjumpa dengan sekumpulan malaikat, mereka akan bertanya;

“Bau apakah yang amat harum ini?”.

Malaikat-malaikat yang membawa ruh itu menjawab;

“Ruh si fulan bin fulan”.

Mereka menyebutnya dengan nama yang paling baik yang diberikan kepadanya di atas muka dunia. Apabila sampai di langit, para malaikat yang membawanya itu meminta supaya dibukakan pintu langit, lalu dibukakan. Di setiap langit, ruh mukmin itu diiringi oleh malaikat penjaga langit untuk naik ke langit berikutnya hinggalah ia sampai langit ke tujuh. Maka datanglah firman Tuhan kepadanya;

“Tulislah hambaku di dalam ‘illiyyin (tempat orang-orang mulia di dalam syurga) dan bawalah ia kembali ke bumi kepada tubuhnya kerana sesungguhnya darinya (yakni dari bumi/tanah) aku menjadikan mereka (yakni manusia), kepadanyalah aku akan kembalikan mereka dan darinya juga aku akan mengeluarkan mereka sekali lagi (yakni apabila berlakunya kiamat)”.

Maka dikembalikanlah ruh itu kepada tubuhnya.

Kemudian datang dua orang malaikat kepadanya dan mendudukkannya (yakni menjadikannya duduk). Kemudian mereka bertanya kepadanya; ‘Siapa Tuhan kamu?’. Ia akan menjawab; ‘Tuhanku adalah Allah’. Mereka bertanya lagi kepadanya; “Apa agama kamu?”. Ia menjawab; “Agamaku adalah Islam”. Mereka bertanya lagi; “Siapa lelaki ini yang diutuskan kepada kamu sekelian (yakni Muhammad)?”. Ia menjawab; “Dia adalah Rasul Allah”. Mereka bertanya lagi; “Apakah ilmu kamu?”. Ia menjawab; “Aku membaca kitab Allah, lalu aku beriman dan membenarkannya”.

Lalu seorang penyeru berseru dari langit;

“Benarlah apa yang dikatakannya itu. Hamparilah ia dengan hamparan dari syurga, pakaikanlah ia dengan pakaian dari syurga dan bukakanlah untuknya satu pintu ke syurga”.

Maka sampailah kepadanya bauan dan haruman dari syurga dan dilapangkan untuknya kuburnya seluas mata memandang. Kemudian datang seorang lelaki yang elok rupanya, cantik pakaiannya dan harum baunya. Lelaki itu berkata kepadanya; “Bergembiralah dengan suasana yang menyeronokkan kamu ini. Hari ini adalah hari yang telah dijanjikan untukmu”. Ia bertanya; “Siapakah kamu?. Kamu datang dengan wajah yang membawa kebaikan”. Lelaki itu menjawab; “Akulah amal soleh kamu”. Ia (yakni si mati yang beriman itu) lalu berkata; “Wahai Tuhanku! dirikanlah kiamat, dirikanlah kiamat, supaya aku mendapat kembali keluargaku dan hartaku”.

Adapun seorang hamba yang kafir dan jahat pula, pada ketika hendak berpisah dengan dunia dan menuju akhirat (yakni ketika hampir mati), turun kepadanya malaikat-malaikat berwajah hitam membawa bersama mereka kain kapan yang buruk. Mereka duduk mengelilinginya sejauh mata memandang. Kemudian datang malaikat maut dan duduk di hujung kepalanya dan berkata:

‘Wahai ruh yang kotor, keluarlah kepada kemurkaan dari Allah dan kemarahanNya. Maka bertempiaranlah ruh pada jasadnya (seolah-olah hendak melarikan diri).

Lalu malaikat maut mencabut ruh itu (tanpa belas kasihan) seperti mencabut besi pemanggang daging dari kain bulu yang basah. Kemudian malaikat maut mengambil ruh itu dan terus memasukkannya ke dalam kain kapan buruk tadi dan terbit dari ruh itu satu bau yang amat busuk seperti bau bangkai yang paling busuk di atas muka bumi ini. Kemudian malaikat-malaikat yang berwajah hitam tadi akan membawa ruh yang berbau busuk itu naik ke langit. Maka setiap kali berjumpa dengan sekumpulan malaikat, mereka akan bertanya;

“Ruh siapakah yang busuk ini?”.

Jawab para malaikat yang membawa ruh itu; “Ruh si fulan bin si fulan”, di mana mereka menyebutnya dengan nama yang paling buruk orang menamakannya di atas muka dunia dulu.

Apabila sampai ke langit dunia, para malaikat yang membawa ruh itu memohon dibukakan pintu langit, namun tidak dibuka. Lalu Rasulullah s.a.w. membaca firman Allah (bermaksud):

“Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan yang angkuh dari mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit, dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk ke lubang jarum. Dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan. Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan dari api neraka, dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (dari api neraka). Dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim (disebabkan keengkarannya)”. (Surah al-A’raf, ayat 40)

Rasulullah bercerita lagi; “Kemudian Allah berkata (menyampaikan perintahNya berkenaan ruh itu); “Tulislah ia di dalam Sijjin (yakni penjara) di dalam bumi yang paling bawah”.

Maka dilemparkanlah ruhnya itu dengan satu lemparan. Rasulullah lalu membaca firman Allah (bermaksud):

“Dan sesiapa yang mensyirikkan Allah, maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan)”. (Surah al-Hajj, ayat 31)

Kemudian ruh itu dikembalikan kepada jasadnya di bumi. Setelah itu datang kepadanya dua malaikat. Mereka bertanya kepadanya; “Siapa Tuhan kamu?”. Ia menjawab; “Hah! Hah! Aku tidak tahu”. Mereka bertanya lagi; “Apa agama kamu?”. Ia menjawab; “Hah! Hah! Aku tidak tahu”. Mereka bertanya lagi; “Siapakah lelaki ini yang diutuskan kepada kamu sekelian (yakni Muhammad)?”. Ia menjawab sama seperti tadi; “Hah! Hah! Aku tidak tahu”.

Lalu seorang penyeru berseru dari langit; “Hambaku telah berdusta. Hamparilah ia dengan hamparan dari neraka dan bukakan untuknya satu pintu ke neraka. Maka sampailah kepadanya bahang panas dari api neraka dan disempitkan baginya kuburnya hingga bersilang-silanglah tulang-tulang rusuknya.

Kemudian datang kepadanya seorang lelaki yang hodoh mukanya, buruk pakaiannya dan busuk baunya. Lelaki itu berkata kepadanya; “Bergembiralah dengan suasana yang mendukacitakan kamu ini. Hari ini adalah hari yang dijanjikan buatmu”. Ia bertanya; “Siapa kamu? Kamu datang dengan wajah yang membawa kejahatan”. Lelaki itu menjawab; “Aku adalah amalan kamu yang keji”. Akhirnya ia pun berkata; “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau dirikan kiamat”.

(Riwayat Imam Ahmad. Menurut Imam al-Haithami dalam Majma’ az-Zawaid; para perawi hadis ini adalah soheh (Majma’ az-Zawaid, 3/49). Menurut menurut Syeikh al-Albani; hadis ini soheh (Misykat al-Masabih, hadis no. 1630)

Sunday, May 9, 2010

Latihan Industri

Semoga aku terus dalam istiqamah dalam perjuangan ini, Ya ALLAH.
Berikan aku kekuatan, berdakwah di lapangan Ummah.

Wednesday, May 5, 2010

CINTA

Cinta manusia bisa merosakkan,
Namun ia juga bisa membawa kepada Tuhan.

Cinta manusia tidak berkekalan,
Namun di syurga ia bisa beri kenangan.

Cinta manusia biasanya penuh dengan kepalsuan,
Namun kerana ia kita bisa kenal erti insan.

Cinta yang pasti cinta ILAHI,
Kerana ia pengubat hati,
Kerana ia penguat diri,
Kerana ia sampai ke mati.

Cintailah manusia kerana ALLAH.

Tuesday, May 4, 2010

Mati dan kita

Apa yang paling dekat dengan kita? Itulah saat kematian kita. Mati itu pasti. Tiada yang pasti di dunia ini melainkan mati. Kita belum tentu menjadi seorang suami atau isteri. Kita juga belum tentu jadi ayah atau ibu. Jika pelajar, belum pasti kita akan sempat bergelar graduan. Jika wanita yang sedang mengandung anak pertama, belum pasti sempat bergelar sebagai ibu. Maka apa yang pasti? Kamu pasti menjadi ahli kubur. Kamu sudah tentu bakal bergelar jenazah.

Wahai bakal jenazah,
Mati adalah satu kejadian yang hebat dan pasti akan dihadapi oleh setiap yang bernyawa. Ia merupakan satu perkara yang tidak dapat dihindarkan walau dengan apa cara sekali pun. Manusia juga akan menghadapi saat kematian. Mahu tidak mahu, suatu hari nanti akan tiba masa masing-masing.

"Tiap-tiap yang bernyawa (bernafas) pasti akan merasai maut."
(Surah Ali Imran: Ayat 185)



Wahai bakal jenazah,
Mati adalah satu rahsia Allah. Tidak ada seorang pun manusia yang berani mendabik dada mengatakan bahawa ia mengetahui saat kematiannya. Dan tidak ada seorang pun yang berani mengatakan bahawa ia akan hidup kekal di dunia ini buat selama-lamanya. Saat ini kita sedang menghirup nafas, apa kita tahu mungkin itu nafas yang terakhir? Saat jari ini masih lancar menaip perkataan demi perkataan, mungkin ini episod pengakhiran. Detik ini, anda sedang ketawa, tak mustahil itu adalah derai tawa perpisahan. Ketika ini, kita semua sedang beribadah, boleh jadi itu saat penghabisan kita di dunia.

Berkata Ibnu Omar r.a : Pada suatu hari aku datang berjumpa Rasulullah s.a.w yang sedang berada ditengah para sahabat yang terkemuka. Lalu berdiri salah seorang sahabat dari Ansar bertanya Rasulullah:- `Ya Rasulullah ! Siapakah yang paling pintar dan siapa pula yang paling cerdas akalnya ?’ Rasulullah menjawab:-`Yang paling cerdas dan yang paling pintar ialah orang yang paling banyak mengingati mati dan yang banyak bekal menghadapi mati. Merekalah yang paling pintar dan yang paling cerdas kerana mereka mendapat kemuliaan di dunia dan kehormatan di akhirat.’


Wahai bakal penghuni kubur,
Mengingati mati adalah suatu perbuatan yang perlu dilakukan oleh setiap orang yang menghuni alam yang fana ini. Orang yang mengerti akan hakikat mati, yang mempunyai kepercayaan dan keyakinan tentang masalah mati, bererti orang ini mengerti akan hakikat hidup. Orang yang mengingati mati dengan pengertian dan kesedaran serta dengan keyakinan dan kepercayaan, hidupnya tidak akan merasa derita dan sengsara. Sebaliknya, orang yang tidak pernah memikir dan mempelajari masalah mati dalam hidupnya dan tidak percaya kepada Tuhan, akan menghadapi matinya dalam keadaan derita dan sengsara.

Sesungguhnya mati akan mengunjungi sesiapa saja dan ia tidak mengenal pangkat atau darjat, kaya atau miskin, senang atau susah.

"Dimana saja kamu berada pasti mati mendatangi kamu sekali pun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat."
(Surah An Nisa’: Ayat 78)



Peringatan untuk kita bersama:

Bismillahhirrahmannirrahim.

Mahasuci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa' dan Qidam, Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa, Mahasuci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa. Mahasuci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup.

Ingatlah! Bahawa sekalian mahluk Allah akan jahanam dan binasa,melainkan zat Allah Taala. Ialah Tuhan yang Mahabesar kuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap hadirat Allah Taala.

Wahai SAYA Bin IBU SAYA, wahai SAYA Bin IBU SAYA,wahai SAYA Bin IBU SAYA, hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini.

Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat.

Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawa senya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.

Ingatlah wahai SAYA Bin IBU SAYA, apabila datang kepada kamu 2 orang malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Mungkar dan Nakir, maka janganlah berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu susah-hati dan terkejut.

Ketahuilah wahai SAYA Bin IBU SAYA, bahawasanya Mungkar dan Nakir itu hamba Allah Taala, sebagaimana kamu juga hamba Allah Taala.

Apabila mereka menyuruh kamu duduk, mereka juga akan menyoal kamu. Mereka berkata:
Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?

Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar, janganlah cuak dan janganlah bergopoh-gapah, biarlah tenang dan berhati-hati.
Hendaklah kamu jawab begini:

Allah Taala Tuhanku,
Muhammad nabiku,
Islam agamaku,
kitab suci Al-Quran ikutanku,
Baitullah itu qiblatku, malahan solah lima waktu, puasa di bulan Ramadhan,mengeluark an zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku.Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku, bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap: "La ila ha illallah Muhammaddur rasulullah".

Wahai SAYA Bin IBU SAYA tetapkanlah hatimu, inilah dia suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal didalam alam Barzakh, sehingga sampai satu masa kelak, kamu akan dibangunkan semua untuk berkumpul di Padang Mahsyar.

Insaflah wahai SAYA Bin IBU SAYA, bahawa senya mati ini adalah benar, soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar, bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar,berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar, minum di kolam air nabi adalah benar, ada syurga dan neraka adalah benar.

Bahawa senya hari Kiamat tetap akan adanya, begitu juga Tuhan yang maha berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur.

Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala.

Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah mudahan Allah Taala menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini. Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.

Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak disiksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW.

Subhana rabbika rabbil izati amma ya sifun wassallamu alalmursalinwalham dulillahi rabbil alamin.

P/s: Al-Fatihah atas pemergian seorang sahabat, senior, dan juga pejuang dalam lapangan dakwah. Perginya arwah (Muhamad Syafiq bin Msduki) adalah satu kehilangan. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Peringatan kepada kita semua yang masih hidup. AL-FATIHAH.