Wednesday, June 17, 2009

Unsur tubuh manusia

Terdirinya tubuh badan manusia ini atas keserasian pelbagai unsur. Unsur-unsur ini yang menentukan siapa orang tersebut. Ibarat melokul air. Satu molekul air ini mempunyai dua unsur terpenting, iaitu 2 unsur hidrogen dan 1 unsur oksigen. Begitu juga tubuh badan kita. Tetapi, unsur tubuh manusia ini berlainan dari unsur di dalam molekul. Lalu, apa itu unsur tubuh manusia? Di dalam konteks perbincangan kita kali ini, penulis ingin berkongsi apa itu unsur tubuh manusia ini supaya kita sama-sama dapat memaksimakan potensi diri.


Unsur Tubuh Manusia

1. Akal
Akal fikiran adalah satu unsur yang sangat menonjol pada penciptaan manusia. Ini yang membezakan manusia dengan makhluk lain. Sehingga manusia itu layak menjadi khalifah di muka bumi kerana mempunyai akal.
Islam amat mementingkan dan memandang tinggi perkara akal ini. Buktinya, dalam al-Quran (al-Hasyr:21)

"Jika Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau lihat gunung itu tunduk serta pecah- belah kerana takut kepada Allah. Contoh perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya."

Keutamaan akal fikiran ini ditegaskan Rasulullah s.a.w dalam dalam satu hadis daripada Ibnu Hibban, maksudnya: "Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat setahun."


2. Rohani
Perkataan rohani dalam bahasa Malaysia sering dikaitkan dengan hati, kalbu, jiwa, mental, fikiran dan sebagainya yang mewujudkan sebagai suatu unsur peribadi manusia yang paling unik yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera. Tetapi gejala dalam kerjanya dapat dirasakan. Gejala itu misalnya menangkap dan menyimpan pengertian, mengingat, berfikir, berkemahuan, rindu, sedih, gembira dan sebagainya.

Imam Ghazali dalam kitab Ihyaa' 'Ulumuddin menerangkan bahawa roh itu ada dua makna. Pertama berupa jenis yang halus dan bersumber dari rongga hati jasmani dengan perantaraan otot-otot dan urat yang bermacam-macam tersebar ke seluruh bahagian-bahagian badan. Kedua, ianya berupa sifat halus pada manusia yang dapat mengetahui sesuatu dan dapat menangkap segala pengertian. Banyak pengertian yang dikemukakan mengenai jiwa namun begitu belum ada yang dianggap memuaskan.

Bahaya penyakit rohani telah dititip dalam al-Quran (al-Baqarah:10)yang bermaksud:

"Dalam hati mereka ada penyakit, maka Allah tambah penyakit mereka dan adalah bagi mereka siksaan yang pedih dengan sebab apa-apa yang mereka dustakan"


3. Hati
"Rasulullah saw pernah bersabda maksudnya: "Bahawa hati itu berkarat, seperti berkaratnya besi." Lalu orang bertanya, "Wahai Rasulullah, bagaimana membersihkannya?" Jawab Rasulullah: "Membaca al-Quran dan mengingati mati." Membaca al-Quran dijelaskan di sini bagi membersihkan kekotoran di jantung yang didatangkan syaitan mengikut saluran darah.


4. Nafsu
Nafsu adalah kemahuan diri yang mudah didorong oleh syaitan untuk melakukan kemungkaran. Namun, nafsu ini boleh dijinakkan dan mampu menjadi pendorong untuk seseorang agar lebih tekun beribadat. Terdapat pelbagai tingkat nafsu: amarah, lawwamah, mulhamah, muthmainnah, radiyyah, mardiyyah dan saffiyyah.


5. Jasad
Tidak perlu didefinisikan lagi tentang jasad. Kita semua sudah maklum apa itu jasad. Kepentingan untuk menjaga batang tubuh kita ini adalah demi meneruskan kesihatan tubuh badan agar dapat beribadat kepada Allah.



Jadi, semua unsur ini perlu dilatih dan digilap untuk menjadi seorang insan berpotensi.

Tuesday, June 9, 2009

Dilema sang pejuang

Kita sedia maklum. Dilema penggerak jemaah ialah di antara gerak kerja dan akademik. Dua-dua sama penting. Tidak ada yang nombor 1 atau 2. Namun, hakikat yang melanda sang pejuang dewasa ini ialah tidak dapat mengimbangkan antara kedua elemen penting ini. Ada yang aktif dalam gerak kerja, sempurna, pantas, efektif dan sebagainya. Tetapi dalam akademik, dia terus berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

Penulis bukan mahu menuding pada mana-mana individu. Penulis sendiri pun tidak terlepas dari masalah yang sama. Bukan nak menunjuk pada sesiapa yang bersalah atau tidak. Tudinglah semua jari kita pada diri sendiri. Kita sentiasa yakin dengan janji Allah. Kalau kita tolong agama Allah, Allah akan tolong kita. Tetapi kenapa dalam akademik kita semacam tidak mendapat pertolongan dari Allah? Justeru, muhasabahlah diri. Suluhlah jiwa. Selama kita melibatkan diri dalam jemaah, apakah betul perbuatan kita? Ikhlaskah kita dalam perjuangan?

Nah, mungkin di sini yang terdapat sedikit cacat celanya. Sebab itu dalam perjalanan akademik bagaikan tak memihak pada kita. Jadi, salah siapa? Gerak kerja yang sentiasa menyibukkan diri kita? Masa yang selalu mencemburui kita? Peluang yang kita susah nak dapat? Bukan, ini semua bukan jawapannya. Yang salah diri kita. Yang kurang molek diri kita. Yang buat kita jatuh juga adalah diri kita.

Kita jangan sesekali memandang ringan dalam akademik. Sebab bila kita pandang ringan, dan akhirnya jatuh. Kita dah mengkhianati harapan semua orang, terutamanya ibu bapa. Bukan itu saja, kita juga mengkhianati peluang yang Allah bagi kepada kita supaya menceduk ilmu. Analogi antara gerak kerja jemaah dan akademik boleh diibaratkan seperti ini, jika gerak kerja itu diandaikan seperti solat. Maka akademik ialah wudhu'. Setuju?

Jadi, apa lagi. Buatlah yang terbaik dalam jemaah dan akademik. Allah tak pandang hasil sesuatu perbuatan kita sebab Allah dah tahu kesudahannya. Tapi Allah melihat pada usaha kita untuk mencapai apa yang ingin kita hasilkan.


Nabi saw pernah bersabda:
Tiga orang yang akan selalu diberi pertolongan oleh Allah:
1. Seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah
2. Seorang penulis yang selalu memberi penawar
3. Seorang yang menikah untuk menjaga kehormatan dirinya
(HR at-Tarmizi)

Sunday, June 7, 2009

Mad'u : Non - Muslim

Salam,

Entri kali ni ditulis untuk menjawab satu persoalan dalam blog mengenai nasihat kepada non muslim. (rujuk http://hidupdalamreda-nya.blogspot.com/)

Untuk pengetahuan, penulis mempunyai banyak (lebih dari satu dikira banyak kan?) pengalaman dengan non muslim. Izinkan penulis bercerita sedikit.

Pengalaman pertama semasa tingkatan 4 & 5 di sekolah lama. Kawan penulis ni seorang berbangsa Cina, beragama kristian (kalau tak silap). Yang ingin dikongsi di sini ialah bagaimana kawan penulis ni (kita namakan sebagai Ms A) boleh tertarik untuk mendalami dan mempelajari tentang islam. Dia berminat nak tahu pasal islam hanya kerana tertarik mendengar alunan asma ul-husna setiap malam sebelum tidur (jadi kewajiban di sekolah dulu sebelum tidur).

Memandangkan penulis sendiri dulu AJK Kerohanian (nama popular AJK Birtah), si A ni pun jumpa penulis nak tanya tentang islam. Tak dinafikan memang banyak sangat soalan-soalan yang boleh panas telinga juga bila dengar. Tapi, yang ini langkah pertama untuk bagi nasihat, jangan berdebat banyakkan mendengar. Dengar dulu apa dia nak cakap atau pendapat. Ingat dan tanam dalam kepala, semua pendapat adalah betul. Bila saja kita mula berdebat, mereka akan halang minda mereka untuk dengar kata-kata kita walau betul macam mana kita cakap sekalipun.

Selalunya, mereka ini akan membandingkan antara Muslim dengan penganut agama yang lain. Jangan melenting kalau ada perkara negatif yang dilontarkan. Adakalanya betul apa yang mereka cakap. Dengar, dengar dan dengar. Tapi jangan diam sangat, responlah sama. Cuma jangan keterlaluan. Lepas habis dia bagi pendapat, baru mula kerja kita.

Masa untuk kita pula bercakap @ bagi nasihat. Ada banyak cara. Salah satunya tanya soalan, yang ringkas tapi buat mereka berfikir. Contoh, konsep trinity dalam kristian. Bagi perumpaan seperti dua pemerintah dalam satu kerajaan. Sudah tentu banyak keputusan perlu dibuat. Yang seorang mahukan begini, yang itu mahukan begitu. Lama kelamaan huru hara jadinya. Jadikan perumpaan ini dalam bentuk soalan. Yang penting, nada suara kita. Biar bersahaja, supaya nanti dia tak tersalah sangka. Mungkin dia akan fikir kita menyindir atau mahu memerangkap.

Kemudian, perhatikan responnya. Kalau dia boleh terima dengan kata-kata kita walaupun kita mengaitkan sensitiviti agama, teruskan. Kalau tidak, kurangkan atau elakkan terus kaitkan dengan agama.

Cara kedua, kaitkan sains dan teknologi dengan islam. Sekarang dah banyak penemuan-penemuan baru dalam sains yang boleh dikaitkan dengan islam. Banyakkan membaca. Takpun, tengok Channel History (555) di Astro. Ada satu rancangan tajuknya, Science & Islam. Rancangan yang sangat menarik.


Setakat ini saja dulu, mati akal nak buat ayat. Semalaman memandu dari Perak ke Pahang.

P/S: Cuma yang perlu ditekankan lagi ialah nada suara. Jangan sampai menyakitkan hati mereka. Boleh Syidah? Menjawab soalan tak?