Tuesday, January 26, 2010

Pemimpin yang terbaik

Hadith:

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naunganNya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredhaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: "Aku takut kepada Allah!", orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.." (HR Abu Daud dan Ibnu Majah)


Huraian:

Terdapat tujuh golongan yang bakal mendapat naungan di hari akhirat kelak iaitu:

a) Pemerintah yang adil

Ini kerana tanggungjawab yang dipikul oleh pemerintah dalam melaksanakan keadilan itu adalah perkara yang amat berat dan bukanlah mudah bagi seorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya. Sekiranya keadilan ini berjaya ditunaikan, ganjarannya adalah amat besar sekali. Namun jika gagal, dia menjadi pemerintah yang zalim dan azab menanti di akhirat kelak.

b) Pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya

Ini kerana sebaik-baik masa dan semahal-mahal harganya di dalam hidup seseorang manusia adalah ketika di alam remaja kerana di usia muda seseorang itu mendapat peluang yang banyak untuk menghadapi masa hadapannya, badannya sentiasa sihat, tenaganya kuat, pendengaran dan penglihatannya tajam dan sempurna. Bahkan di masa muda juga berbagai-bagai ujian dan godaan terpaksa ditempuhi. Maka beruntunglah pemuda yang berjaya melepasi rintangan-rintangan ini bahkan usia mudanya itu diisi dengan amal ibadat serta memberikan khidmat cemerlang kepada agama, masyarakat dan negara.

c) Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid

Sesungguhnya terdapat hadith yang menyebutkan bahawa dua hayunan kaki yang melangkah ke masjid ganjarannya amat besar di sisi Allah SWT dan diketegorikan sebagai suatu sedekah. Maka apatah lagi bagi orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid dan sentiasa mengunjunginya untuk beribadah, ganjarannya tentulah lebih besar lagi.

d) Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah, di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah

Hubungan yang terjalin di atas dasar yang bercanggah dengan syariat sehingga melanggar batas-batas agama, adab kesopanan dan sebagainya adalah hubungan yang menjurus ke arah dosa dan maksiat. Seharusnya ikatan kasih sayang yang dijalinkan sesama manusia mestilah ikhlas kerana Allah agar perhubungan tersebut mendapat pahala, restu dan keberkatan daripadaNya.

e) Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu (berzina) dengannya lalu ia menolak dengan berkata: "Aku takut kepada Allah!"

Ini menunjukkan tentang keimanan dan ketaqwaan yang sebenar telah berjaya menangkis segala bentuk godaan yang datang. Hal ini bukanlah mudah kerana tanpa kekuatan iman seseorang itu pasti akan mudah terpengaruh dengan bisikan nafsu dan akhirnya terjebak dalam perbuatan zina tanpa takut tentang dosanya.

f) Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya

Ia menggambarkan mengenai keikhlasan hati orang yang bersedekah. Sesungguhnya tidak ramai orang yang dapat menyembunyikan kebaikan yang dilakukannya melainkan akan terdapat jua perasaan riya' dan ingin menunjuk-nunjuk supaya mendapatkan pujian atau sanjungan dari orang ramai atau sekurang-kurangnya ada orang yang mengetahui kebaikan yang dilakukannya itu.

g) Orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah

Inilah sifat muslim mu'min sejati yang mempunyai perasaan cintakan Allah dengan sepenuh hatinya. Dia sentiasa memikirkan dan menghayati tentang kejadian dan keagungan ciptaan Allah serta sifat-sifatNya yang Maha Agung. Oleh yang demikian hati, fikiran dan jiwanya terhindar daripada perkara-perkara yang melalaikan.

~Dari laman JAKIM


Tambahan:
Pertama sekali, Nabi menyebut tentang pemimpin. Kedua, yang melakukan ibadah. Ketiga, pemuda/i yang hatinya terikat dengan masjid. Cuba gabungkan ketiga-tiga ciri ini dalam memilih pemimpin anda.

Bukan mengatakan orang yang tidak pergi masjid tak melaksanakan tuntutan Allah, tetapi lebih ramai lagi orang yang sebegitu. Kita mencari pemimpin yang lebih dari orang lain. Dari segi kepimpinan, akhlak dan ibadah. Semoga orang yang mendapat naungan arasy Allah yang boleh memimpin kita.

Penulis juga bukan bermaksud semua yang pergi masjid mendapat naungan arasy Allah. Tapi, mereka ada usaha dalam mencapainya. Walaupun katanya niat tak betul, sedikit terpesong. Tapi itu tidak mengapa bagi permulaan dalam mencapai ikhlas. Bak kata ustaz Hazmi, untuk mencapai ikhlas, perlukan paksaan, dari paksaan akan mencapai kebiasaan. Dari kebiasaan akan menggapai istiqamah lalu ikhlas, insyaAllah.

Thursday, January 21, 2010

Memilih pemimpin yang baik

KEHADIRAN Muhammad s.a.w sebagai pemimpin politik, jika yang diinginkannya itu sekadar pengaruh dan harta kekayaan atau inginkan kehormatan dan kemuliaan, hatta untuk menjadi raja sekalipun, adalah tidak sulit. Namun, hakikatnya bukan serendah itu cita-cita dan keinginan Rasulullah s.a.w kerana segala-galanya itu akan menjadi batu penghalang terhadap misi dakwah dan perjuangan baginda.

Ingatlah bahawa dalam ilmu politik terdapat istilah “power tends to corrupt”, yang bermaksud “kekuasaan cenderung kepada penyelewengan.” Maknanya, pengertian kepimpinan itu sendiri adalah kekuasaan di mana ia boleh membawa seseorang itu lupa diri sehingga mengabaikan segala yang dijanjikan dan dicita-citakannya. Akhirnya, kehancuranlah yang akan diterimanya.

Justeru, Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya kepimpinan itu akan menjadi kedudukan yang diperebutkan di antara kamu dan pada hari Kiamat kelak hal itu akan menjadikan kamu penuh penyesalan.” (Riwayat Bukhari)

Kepimpinan yang lahir hasil daripada kesulitan dan pengorbanan yang tulus sepertimana Nabi s.a.w dengan penuh sabar menghadapi para pengikut baginda yang diseksa dengan kejam, yang memungkinkan orang lain tidak berdaya untuk menanggung beban kepimpinan seperti itu. Inilah kepimpinan yang lahir dari satu proses yang tersendiri, kental sehingga terbentuk keperibadian tulen dan bukan keperibadian yang terbentuk hasil daripada pengaruh kekayaan atau kerana pengaruh dalaman atau kronisme.

Imam Ghazali pernah menyatakan bahawa, “Apabila suatu tujuan teramat suci dan mulia, sukarlah jalan yang harus ditempuh, dan banyaklah penderitaan yang akan ditemui di tengah-tengah jalan.”

Namun, realitinya, tidak banyak pemimpin yang benar-benar berjiwa besar tetapi lebih kepada besar nafsunya. Yang banyak dibicarakan adalah tentang pengaruh dan kekuasaan yang dikejarnya, janji demi janji yang ditaburnya yang kadangkala sukar diterima akal, pengikut yang setia dan mengiakan apa sahaja yang dilakukan, projek atau rancangan itu dan ini, jenis kereta yang dipakai dan yang dikira ialah harta kekayaan dan pengaruh yang dimilikinya. Jauh sekali untuk mengambil secebis iktibar daripada rentetan perjalanan kehidupan Rasulullah s.a.w yang sekadar tidur di atas tikar walhal baginda adalah pemimpin besar Jazirah Arab yang disegani, digeruni dan dikagumi oleh kuasa-kuasa besar seperti Rom dan Parsi.

Tuntutan mencintai segala-galanya itu harus berlandaskan ajaran agama, bukan hawa berpandukan nafsu. Tidak sedikit pemimpin hari ini melaksanakan dorongan fitrahnya melalui jalan yang salah kerana niat awalnya lagi telah salah dan bertujuan memenuhi kepentingan diri daripada membantu orang yang di bawah pimpinannya.

Bagi pemimpin yang hatinya telah ‘dibekukan’ Allah s.w.t, kuasa, pengaruh dan kemewahan menjadi matlamat utamanya. Dengan sedikit pengaruh dan kekuasaan di tangan itu ia boleh melakukan seribu satu macam tipu daya dengan modus utamanya mengeksploitasi rakyat atau pengikut atau penyokongnya demi kepentingan diri. Di dalam keadaan seperti ini rakyat bagaikan lembu dicucuk hidung, ditarik-tarik lehernya ke sana ke mari semahu-mahunya. Segala hajat hidupnya dihitamputihkan oleh sekelompok manusia yang disebut Allah s.w.t sebagai “para pemimpin yang melakukan kebatilan”.

Pengaruh golongan ini cukup kuat dalam membentuk watak manusia agar menghormatinya. Jika ada sesiapa yang berani menentangnya, maka orang-orang yang berjaya ‘dibelinya’ itu akan mempertahankannya dan ikut sama menentang. Bahkan tidak sedikit yang rela mati untuk membela para tuannya, yang tidak lain para pemeras keringatnya.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi suatu kaum, maka dijadikan para pemimpin mereka orang-orang yang bijaksana dan dijadikan para ulama mereka menangani hukum dengan adil, juga Allah jadikan harta benda di tangan orang-orang yang dermawan. Namun jika Allah menghendaki keburukan bagi suatu kaum maka Dia menjadikan para pemimpin mereka orang-orang yang berakhlak buruk. Dijadikan-Nya orang-orang bodoh yang menangani hukum dan pengadilan, dan harta benda dikuasai orang-orang yang kedekut.” (Riwayat Ad-Dailami)

Lebih ditakuti lagi ialah peringatan Nabi s.a.w dalam salah satu sabda baginda yang bermaksud:
“Akan datang sesudahku penguasa-penguasa yang memerintahmu. Di atas mimbar mereka memberi petunjuk dan ajaran dengan bijaksana, tetapi apabila telah turun mimbar mereka melakukan tipu daya dan pencurian. Hati mereka lebih busuk daripada bangkai.” (Riwayat At-Thabrani)

Kepimpinan yang baik ialah yang dapat menunaikan atau melaksanakan keperluan masyarakat. Jangan kita mencemuh orang-orang yang menunggu di depan pintu rumah kita untuk sesuatu keperluan. Waspadalah kita daripada sifat buruk ini. Jika seseorang telah datang kepada anda kerana suatu kepentingan, maka janganlah kita menyibuk diri dengan hal-hal lain seperti buat-buat sibuk dengan ibadah sunnah.

Dalam memilih pemimpin yang baik, al-Quran telah memberi petunjuk secara tersurat atau tersirat dalam pelbagai aspek kehidupan awal manusia, termasuk persoalan menjawab “Siapakah yang layak kita pilih”. Dalam hal ini, al-Quran membicara dua sifat utama yang harus dimiliki bagi seseorang yang dipertanggungjawab memikul sesuatu perkara yang berkaitan dengan hal-hal masyarakat.

Contoh yang jelas ialah pelantikan Nabi Yusuf sebagai Ketua Perbendaharaan Kerajaan Mesir oleh rajanya dan diabadikan pula di dalam al-Quran menerusi firman-Nya, yang bermaksud:
“Sesungguhnya engkau menurut penilaian Kami adalah seorang yang kuat lagi dipercayai.” (Yusuf: 54)

Kelalaian melaksanakan kewajipan ini bermakna pemimpin tersebut telah mengkhianati amanah Allah dan mensia-siakan rakyatnya.

Bencana yang paling mengerikan ialah bergelumangnya para pemimpin yang menyalahi syariat dan telinga-telinga mereka tertutup bagi setiap pemberi nasihat dan pemberi petunjuk.

Kita harus waspada dan jangan sampai termasuk ke dalam golongan yang disebut Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang menyeru (manusia) ke neraka dan pada hari Kiamat mereka tidak akan ditolong.” (Al-Qasas: 41)

Lebih dahsyat lagi gambaran yang dikisahkan dalam sebuah riwayat hadis yang bermaksud:
“Daripada Usamah bin Zaid, dia berkata, “Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Pada hari Kiamat di datangkan seorang laki-laki, lalu dilemparkan ke dalam neraka, usus dari perutnya terburai, lalu dia berputar seperti keldai yang berputar di sekitar penggilingan. Para penghuni neraka mengerumuninya dan berkata, “wahai Fulan, mengapa kamu seperti ini? Bukankah kamu memerintahkan kepada kebaikan dan melarang kemungkaran? Dia berkata: ‘Ya, aku memerintahkan kebaikan, namun aku sendiri tidak melakukannya dan aku melarang kemungkaran namun aku juga melakukannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Justeru, dalam usaha kita membuat pilihan antara seorang pemimpin yang ‘baik dan wajar’ dengan pemimpin yang tidak baik, pertimbangan yang waras dan penuh tanggungjawab perlu diutamakan demi kepentingan agama, bangsa dan negara serta kelangsungan kehidupan generasi yang akan datang.


Dipetik dari tulisan MOHD SHAUKI ABD MAJID dari http://ummatanwasatan.net

Thursday, January 14, 2010

Tazkirah buat pejuang...

Penulis ingin berkongsi satu tajuk yang pernah dipos satu ketika dulu. Mungkin boleh menjadi pengajaran yang berguna kepada semua.

Asal kejadian manusia, dari setitis air mani yang hina. Yang tiada harga. Yang mana kalau jatuh ke bumi, tak patuk dek ayam, tak sudu dek itik. Tapi kenapa bila saja manusia itu sudah sempurna penciptaannya. Dari segi jasmaninya, pemikirannya. Manusia itu bisa saja merasa diri teramat hebat dan jauh lebih hebat dari orang lain.

Sang pejuang Islam, yang berkali-kali melontar kata-kata mengenai tarbiyyah dan dakwah, juga tidak terlepas dengan terasa diri hebat.

Hebatnya aku.
Hebatnya aku, ada ilmu yang tinggi. Berapa banyak kitab telah aku khatam. Ingat, ada yang lebih tinggi!
Hebatnya aku, berjuang untuk Islam. Ingat, ramai lagi yang berjuang! Hinggakan ada yang syahid ketika berjuang!

Sibuknya aku.
Sibuknya aku, terlibat banyak program dakwah. Program sana, program sini. Ingat, berapa ramai yang lebih sibuk dari kita?!

Sang pejuang,
Sibuknya, hebatnya kamu, kerana siapa?
Siapa yang menyibukkan kamu, sedangkan ada di kalangan kawan/kenalan kamu yang punyai masa terluang. Bebas untuk belajar, berpersatuan dan berpacaran.
Siapa yang menghebatkan kamu, sedangkan ada ramai lagi yang masih terkapai-kapai mencari realiti hidup.

Walhal, kepada yang sudah menjadi pemimpin, ada lagi yang masih merasa diri hebat. Penulis menyeru semua sahabat, pejuang-pejuang, sehebat mana pun kita. Sesibuk mana pun kita berdakwah. Semuanya kerana izin Allah. Kalau Allah tidak mengizinkan, kekallah kita menjadi setitis air mani. Yang tak patuk dek ayam, tak sudu dek itik.


Jawatan
Sebagai pemimpin, kita tidak patut ada rasa ego. Malah sepatutnya, bila sudah ada amanah, kita lebih tunduk dan tawadhu' kepada Allah. Bukan mengangkat dada dan berbangga, "Nah, aku lebih hebat dari kalian semua."

Ingat suatu perkara, apa yang dizahirkan di mulut, tak semestinya dizahirkan dengan perbuatan kita. Contohnya, "Eh, ana tak ada pun sifat ego ni."
Tapi adakah kalian sedar yang perbuatan kalian itu menghimpun keegoan dalam diri. Kita kata, kita tak buat perkara begini. Tetapi perbuatan kita mebuktikan sebaliknya.

Jadilah seperti padi, makin tunduk makin berisi. Makin luas ilmu di dada, makin kita rendah diri. Bila orang bawahan, atau sesiapa saja yang bagi nasihat, kita dengar. Jadikan ia tazkirah buat diri. Ini tidak. Bila orang bagi nasihat, kita cepat-cepat kata itu ini, mempertahankan diri.

Untuk apa? Apa kepentingan kita mempertahankan diri? Inilah yang dikatakan ego. Rasa diri hebat. Bila rasa diri lebih hebat dari orang yang memberi nasihat, kita rasa dia tak layak untuk beri nasihat pada kita.

Jangan jadi seperti lalang, semakin melangit. Jadi seperti beburung, yang bebas berterbangan di angkasa, tetapi pulang semula ke bumi, tempat asalnya.

Padi yang menunduk, akhirnya berbakti pada manusia. Lalang yang melangit, bukan sahaja merimaskan dan melemaskan mata, malah menyusahkan orang lain.

Monday, January 11, 2010

Persoalan tentang kematian Beng Hock

Salam,

Mungkin kes kematian Beng Hock sekarang sudah senyap, tidak seheboh mula-mula kejadian itu berlaku. Entri di bawah adalah bertujuan untuk mengajak kita sama-sama berfikir. Sebagai mahasiswa, kita harus bijak mentafsir mana yang betul mana yang salah. Di sini, penulis ingin lontarkan beberapa persoalan jika kematian Beng Hock adalah diakibatkan bunuh diri (suicide) dan bukannya dibunuh (homocide).

1. Siapakah orang yang waras akalnya yang akan bunuh diri sehari sebelum ke jinjang pelamin?

2. Mayatnya ditemui jam 1.30 tengah hari, sedangkan siasatan tamat pada jam 3.45 pagi sebelumnya. Bagaimana siasatan dijalankan tanpa mayatnya?

3. Kenapa selepas 10 jam baru kematiannya diumumkan dan apa yang terjadi dalam masa 10 jam itu?

4. Apakah rasional beliau membunuh diri, sedangkan dia hanya saksi bukan tertuduh?

5. Adakah orang yang bunuh diri sengaja mengoyakkan seluarnya?

6. Mengapakah pejabat SPRM ditutup pada jam 1.15 - 1.35 tengah hari, hari Beng Hock dibunuh?

7. Posisi mayatnya yang mengiring seperti orang tidur, bukan bunuh diri. Tiada kesan darah yang banyak atau anggota yang patah.

8. Siapa yang meletakkan batu-bata di tepi mayat Beng Hock?

9. Pihak polis memaklumkan bahawa cermin tingkap pecah, sedangkan sebelum itu kesan pecahan kaca atau serpihannya dijumpai.

10. Apakah benar dakwaan yang mengatakan Beng Hock dibunuh lebih awal, kemudian mayatnya diletakkan di situ?

11. Kalau Beng Hock bunuh diri, mengapa telefon bimbitnya ada pada tangan pegawai SPRM?

12. Mengapa peguam tidak dibenarkan hadir sewaktu beliau disoalsiasat? Bukankah itu sudah melanggar haknya?

13. Perlukah siasatan dijalankan sehingga jam 3.00 pagi?

14. Menurut pendapat Dr Lee Boon Chye, ahli perlimen Gopeng dan juga seorang doktor pakar di Hospital Pakar Ipoh, keadaan mayat Beng Hock yang dikatakan terjun membunuh diri amat mencurigakan. Biasanya, mangsa yang berada dalam keadaan sedar, akan jatuh tertiarap dengan kedua-dua tangan terbuka. Ini adalah respon seseorang untuk cuba menahan hentakan badannya ke bawah. Manakala, mayat Beng Hock ditemui dalam keadaan mengiring, seolah-olah dia sudah tiada respon untuk menahan.


Persoalan-persoalan ini bukanlah mahu mencurigai siasatan yang dijalankan oleh pihak Polis, walhal setinggi penghargaan dan terima kasih ditujukan kepada yang terlibat dalam membantu siasatan ini. Cuma, sebagai mahasiswa yang lahir di kalangan generasi-kenapa (why-generation), persoalan-persoalan ini dirasakan perlu adanya jawapan.

Thursday, January 7, 2010

Membuat perubahan

5 Tahap Kesedaran (Level of Awareness)

Tahap 1
Anda tak tahu apa yang anda tidak tahu

Tahap 2
Anda tahu apa yang anda tidak tahu

Tahap 3
Anda tahu apa yang anda tahu

Tahap 4
Anda tak perlu tahu apa yang anda tahu


5 Tahap Kecekapan (Level of Efficiency)

Sempadan Palsu
- Iaitu perkara yang menghalang anda untuk terus maju, padahal ia adalah persepsi anda semata-mata.

Mewujudkan Kepastian
- Hapuskan perkara yang anda was-was dengan mencipta kepastian.

Set Gol
- Tetapkan matlamat anda untuk berjaya.

Tatakerja dan Semangat
- Perlu ada tindakan dan semangat dalam mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

Mengkotak-kotakkan
- Susun atur kehidupan anda dengan betul. Waktu yang telah ditetapkan untuk bekerja, gunakan ia sebaiknya. Jangan sampai hingga mengganggu waktu lain seperti berehat, hiburan dan sebagainya.


Dalam mencapai matlamat yang telah diset (Result), perlu ada tindakan untuk memastikan ia bergerak ke arah matlamat (Action). Dan tindakan pula perlu disusuli dengan usaha yang berterusan (Commitment). Komitmen ialah bermula dari langkah pertama, tetapkan laluan dan perjalanan hinggalah ke langkah yang terakhir.

C + A = R


Pengaruh diri

P1 - daya tolakan = faktor luaran
P2 - daya tarikan = persekitaran luaran
P3 - personal = dalaman

Setiap orang yang kita temui atau yang berada di sekeliling kita (P1) dan setiap situasi yang kita hadapi (P2) adalah bersifat neutral. Pilihan adalah terletak di tangan kita untuk menjadikannya positif atau negatif. Setiap tindakan adalah berpunca dari diri sendiri (P3). Daya tolakan dan tarikan mungkin memberi kesan kepada pemikiran dan perasaan individu. Namun, kerelaan untuk bertindak balas adalah berpunca dari diri sendiri.

Wednesday, January 6, 2010

Kepimpinan Islam

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi." Mereka berkata, "Mengapa Engkau hendak menjadikana di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman, "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."

Kepimpinan merupakan perkara terpenting yang diberikan penekanan dalam Islam. Justeru nabi Adam A.S diciptakan sebagai orang pertama diberikan amanah untuk memimpin. Di dalam al-Quran dan Sunnah, istilah pemimpin terdiri daripada khalifah, imam, imamah atau aimmah. Kepimpinan juga ditujukan kepada semua umat manusia seperti telah dinyatakan di atas.

Dalam Islam, konsep kepimpinan ini telah diatur supaya menjadi panduan kepada umat Islam sendiri. Secara ringkasnya, kepimpinan Islam adalah:


1. Berteraskan konsep khalifah Allah SWT. Setiap manusia adalah pemimpin yang bertanggungjawab memimpin dirinya, keluarganya dan ahli di bawah jagaannya.

Hai orang-orang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya terdiri dari manusiadan batu: penjaganya adalah malaikat yang kasar, keras dan tidak menderhakai Allah terhadapa apa yang Allah perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan. (At-Tahrim:6)

2. Melaksanakan amal ma'ruf nahi mungkar (seru kebaikan cegah kemungkaran).

3. Digerakkan oleh ilmu, iman dan amal soleh yang diteraskan dengan keikhlasan. Bukan bersandarkan kemahuan hawa nafsu semata.

4. Bukan sesuatu yang boleh dijadikan rebutan . Malah bukan untuk dipohon atau menawar diri untuk menjawat sesuatu jawatan.

5. Mencakupi urusan dunia dan akhirat. Pemimpin perlu sedar dan insaf bahawa setiap tanggungjawab akan dipersoalkan bukan sahaja di dunia, malah di akhirat.

6. Tidak wujud unsur pemujaan terhadap pemimpin dan tidak ada manusia biasa sebagai pemimpin yang ma'sum.

7. Menganjurkan kepatuhan bersyarat. Sekiranya pemimpin menyeleweng dari Islam, tidak perlu ditaati dan dipatuhi seperti yang dijelaskan dalam hadis nabi yang bermaksud:

"Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam maksiat kepada Allah."

8. Beroperasi beroperasi atas dasar syura. Pemimpin perlu berbincang dengan ahli bawahan sebelum sesuatu keputusan dijalankan.

9. Pemimpin yang dipilih adalah berdasarkan ketaqwaan kepada Allah. Nabi Muhammad SAW pernah menolak permintaan Abu Dzar al-Ghifari yang menawarkan diri untuk menjawat sesuatu jawatan. menerusi sabdanya yang bermaksud:

"Anda seorang yang lemah, sedangkan tugas ini adalah satu amanah, ia menyusahkan dan menjadi satu penyesalan di hari akhirat nanti, kecuali bagi yang mengambilnya secara hak dan menunaikan tanggungjawab yang terpikul di bahunya." (riwayat Muslim)



Biro Kebudayaan Islam SAHAM

Salam dan selamat sejahtera,

Ramai di antara kita merungut yang pelajar perlukan hiburan untuk melepaskan tekanan. Namun, kita tidak sedar hiburan yang salah dipilih akan mengundang kemurkaan Allah SWT. Dan akan membawa kepada lebih banyak perkara yang tidak seharusnya berlaku. Lalu, timbul perspektif bahawa Islam mengongkong manusia untuk berhibur. Hakikatnya, Islam bukan sahaja membenarkan hiburan, malah menyediakan panduan yang teratur untuk kita berhibur.

Sesungguh Allah itu cantik, dan Dia suka kepada yang cantik dan indah.

Hiburan itu indah. Hiburan itu cantik. Jika betul cara dan gayanya, hiburan bukan sahaja dapat melepaskan tekanan, ia juga dapat menjadi satu ibadah kepada Allah. Sekaligus kita akan mendapat pakej 2 dalam 1. Sebaliknya, jika salah memilih hiburan, lahirlah generasi hedonisme.

Atas dasar ingin mencapai objektif di atas dan mempelbagaikan hiburan alternatif di UMP, dimaklumkan bahawa Biro Kebudayaan Islam(BiKI) telah ditubuhkan di bawah kelolaan Sahabat Masjid (SAHAM). Antara aktiviti kesenian yang dijalankan adalah Nasyid, Phantomen dan pelbagai lagi.



Justeru itu, BiKI SAHAM menjemput kepada sesiapa yang berkebolehan atau berminat untuk belajar, bolehlah menyertai BiKI SAHAM dengan memberi nama kepada saya. Setakat ini penyertaan hanya dibuka kepada siswa sahaja. Sesi ujibakat dan latihan akan diadakan pada setiap minggu. Waktu ujibakat dan latihan akan dimaklumkan kemudian.

Selain itu, kepada mereka yang berminat untuk menjemput kami mengadakan persembahan di dalam program anda, anda boleh berbuat demikian dengan memaklumkan kepada saya selewat-lewatnya 2 minggu sebelum program anda.

Sekian, wasalam.

Ketua Biro Kebudayaan Islam SAHAM,
Universiti Malaysia Pahang.
No tel: 014-5079035
Oovoo: ruhul_jadid

Friday, January 1, 2010

Masih ada yang sayang di tahun baru...

Salam tahun baru...

Tanggal 31/12/09, penulis dan beberapa orang sukarelawan dari kampus kami telah menyertai operasi masih ada yang sayang di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) beserta Briged Gempur Cegah Maksiat (BGCM). Sukarelawan dari kampus UIA cawangan Kuantan dan Polisas turut terlibat dalam menjayakan misi ini. Tempat sasaran adalah serata bandar kuantan, taman esplanade dan teluk cempedak.

Setelah dibahagi kepada beberapa kumpulan, kami ditugaskan untuk menyampaikan risalah dan membantu pegawai JAIP dan BGCM untuk memantau dan mencegah kelakuan tidak sopan di ambang tahun baru di teluk cempedak. Bermula dari petang tersebut hinggalah ke pagi 1/1/2010. Tapi, tugas kami hanya bermula pada 9 malam sehingga 3 pagi. Banyak pengalaman dan pengajaran yang kami dapat dari operasi ini. Namun, bukanlah niat penulis untuk melaporkan operasi ini. Cuma ingin berkongsi tentang hakikat dan realiti umat sekarang.

Kita bercakap tentang soal realiti. Di mana dunia luar sana, luar dari kehidupan kampus. Di kampus boleh kita katakan masih selamat, masih lemah arus kekacauan yang boleh merasuk pemikiran kita. Tetapi realitinya, kita sendiri masih belum mampu menjamin fikrah dan pegangan kita sekarang akan terus utuh tersemat dalam hati bila berada di dunia luar.

Berbalik pada operasi masih ada yang sayang tadi, kami bersama penguatkuasa JAIP dan BGCM hanya sehingga tengah malam. Kami, sukarelawan, seakan ada keberanian berganda bila bersama orang mempunyai kuasa seperti pegawai JAIP. Bila ada pasangan ditegur atau dicekup, mereka tidak berani melawan. Atas dasar takut disaman atau mungkin ditahan dan diberi kaunseling percuma di malam tahun baru. Mereka takut pada kuasa yang ada pada MUIP. Persoalan, adakah mereka takut Allah lebih dari mereka takut pada pegawai MUIP?

Seterusnya, bila ketiadaan pegawai JAIP, kami bergerak sendiri untuk mengedar risalah den mencegah maksiat. Semasa inilah cabaran sebenar bermula. Tiada kad kuasa yang boleh ditunjukkan, tiada tiket saman yang akan dikeluarkan untuk menakutkan mereka ini. Yang ada cuma bermodalkan air liur dan risalah di tangan. Ada yang memberi kerjasama, tak kurang juga yang melawan. Tak puas hati. Seperti seorang brother ni, pandang dan renung kami semacam. Tak puas hati sangatlah tu.

Takut? Risau? Sudah tentu ada. Tetapi kami semua menanam semangat yang Allah akan bantu mereka yang bantu agama Allah. Kalau nak diikutkan tidak layak nak dibanding dakwah zaman sahabat dengan dakwah yang kami usahakan ini. Sekadar kemampuan kami saja.

Apa yang ingin penulis tekankan di sini ialah, kuasa. Orang ramai akan patuh dan beri kerjasama sekiranya ada kuasa. Islam akan mudah disebar dan diterima andai ada kekuasaan. Dakwah dan tarbiyah akan laju bila adanya kuasa. Maksiat, jenayah boleh dihapuskan dengan kekuasan. Mahu ini semua terjadi? Izinkanlah Islam berkuasa di Malaysia ini. Masa untuk berubah. Impak perubahan di tangan kita semua. Fikirkanlah.

Salam...