Thursday, June 10, 2010

Perubahan: di mana permulaan? Bagaimana berterusan? (part 1)

Berubah. Semua orang mahukan perubahan. Berubah dari buruk ke baik, dari baik ke lebih baik. Tanyalah pada sesiapa, orang biasa, pencuri, perompak, walhal pembunuh sekalipun, semua pernah terdetik niat untuk berubah. Dari pengamatan saya (hasil bacaan tentang pengalaman orang lain), kebanyakan niat itu terbantut lantaran tidak ketemukan titik permulaan untuk berubah atau perubahan itu hanyalah sementara dan akhirnya kembali pada situasi yang lama.

Jadi, persoalannya, di mana nak memulakan perubahan? Bagi yang mampu mencari titik permulaan, timbul pula soal, bagaimana hendak berterusan dalam perubahan?


Bila perlu berubah?

Bila mahu berubah? Adakah setelah mati, dibangkitkan dari kubur, dihidupkan semula dan dihimpun di Padang Mahsyar?

Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata); "Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami orang yang yakin." (as-Sajdah: 12)

Namun, apakah berguna lagi? Tidak, melainkan pembalasan atas apa yang dikerjakan semasa hidup. Mati, bila kita akan mati? Mungkin esok, lusa atau 5 minit lagi. Anda tahu bila anda akan mati? Kiamat pula, bila? Tak siapa yang tahu. Hanya ALLAH saja sebagai penentu.

Jadi, bila mahu berubah?
Sekarang juga kita perlu berubah, sebab kita tak pernah tahu mati kita bila, sebab kita tak pernah tahu kiamat jadinya bila. Malang akibatnya jika kita tak sempat berubah andai kematian sudah menjemput, andai kiamat sudah menjelang.


Titik permulaan.

Setelah ada kesedaran untuk berubah, mulakanlah dari hati. Tanamkan dalam diri, 'aku mahu berubah'. Sertakan dengan keazaman dan kesungguhan. Bukan hanya kiasan atau penyedap hati semata. Jangan fikirkan dahulu tentang kesan yang bakal dilalui. Hanya tujuan perubahan adalah satu, mencapai redha ALLAH. Kalau berubah kerana tujuan lain, bersedialah untuk tidak kekal dalam perubahan.

Sudah tanamkan keazaman? Jika ya, secara mudahnya, anda telah berjaya melepasi titik permulaan untuk berubah. Tahniah.

Senang bukan? Tapi hakikatnya, titik permulaan adalah begitu mudah. Sebab itu, bak kata orang, berubah itu mudah. Semudah ABC. Cuma apa yang penting adalah, kesungguhan untuk berubah. Sungguh atau tidak? Jika tidak bersungguh, ulang semula pada tajuk 'Bila mahu berubah?'.

Bila berbicara tentang kesungguhan, kesungguhan yang kita perlukan adalah kesungguhan sehingga sanggup untuk keluar dari kebiasaan. Jika kita biasa untuk tidak bersolat, sebagai contoh. Kesungguhan itu perlu untuk keluar dari kebiasaan tersebut.