Wednesday, September 29, 2010

Terima kasih, cikgu.

Kita bersuka ria dengan gurau senda,
Lebih baik bimbang bila akhirnya kita.

Kita bergembira akan adanya teman di dunia,
Lebih baik takut tiadanya amal sebagai teman di sana.

Kita seronok dibuai enak mimpi dalam lena,
Lebih baik risau itu lena selamanya.



Salam,
Alhamdulillah, puji dan syukur ke hadrat ALLAH SWT yang telah menghidupkan setelah mematikan manusia sementara (tidur). Dan kita antara yang terpilih untuk hidup lagi pada hari ini, diberi peluang untuk menjadi baik, lebih baik dan paling baik. Kita juga mungkin antara yang terpilih untuk diberi hidayah oleh ALLAH SWT supaya bangun solat Subuh, lebih baik yang berjemaah. Dan yang paling baik, yang berqiamullail, lalu solat Subuh berjemaah.

Subuh pagi ini, saya teringat pula nostalgia lama semasa berada di alam persekolahan dulu. Belum begitu banyak tanggungjawab, rutin harian kebanyakannya hanyalah ke sekolah. Tiada perkara besar. Lain pula sekarang, banyak cabaran, banyak tanggungjawab, banyak pula dosanya. Sampaikan kalau nak dibanding, sewaktu persekolahan lebih mudah menghafaz dan menghafal. Bayangkan sebelum peperiksaan SPM, saya boleh mengkhatam buku teks Sejarah tingkatan 4 dan 5. Tapi sekarang, susahnyalah nak berbuat demikian.

Peristiwa yang paling diingat, diulang tayang dalam fikiran ialah tentang cikgu Kimia merangkap penasihat Majlis Pemimpin Pelajar (MPP) sewaktu di MRSM dahulu, Cikgu Julia. Garang betul Cikgu Julia. Saya pernah dihalau kelas sebab tak menyiapkan kerja sekolah (nakal betul dulu). Tetapi, selepas keluar keputusan ujian, sayalah yang mendapat tempat duduk belakang sekali dalam kelas (markah rendah duduk hadapan, semakin ke belakang, semakin tinggi markahnya) bersama dengan beberapa kawan perempuan (biasanya perempuan saja dapat markah tinggi). Semasa itu, belumpun berkacamata, susahnya nak tengok apa yang ditulis di papan hitam. Ujian seterusnya, saya berjaya dapat tempat di tengah sedikit (sengaja). Senang sedikit nak tengok papan hitam, alhamdulillah.

Detik-detik terakhir berada dalam kelas Cikgu Julia, beliau banyak memberi pesan kepada kami semua tentang kehidupan seterusnya, di kolej, di universiti. Kebanyakan dari cara hidup, prinsip saya sekarang adalah berdasarkan kata-katanya. Antara pesannya adalah tentang motivasi; motif (motive) dan tindakan (action). Motivasi perlu ada tujuan, baharulah digerakkan dengan tindakan.

Beliau juga pernah mencabar saya sewaktu itu, kalau begini sikap saya semasa di sekolah (nakal), sampai bila-bilapun akan sebegitu. Tetapi sekarang, saya dah buktikan, walau bukan sepenuhnya, saya bukan seperti dulu. Kerana hidayah ALLAH, didorong pula cabaran itu, saya bermotivasi untuk berubah.

Tak lupa juga, Cikgu Sahlawati, cikgu subjek matematik tambahan. Garang tetapi penyayang. Sempat lagi menangis sebelum berpisah. Tetapi, dulu sayalah selalu dimarahnya. Kerana hidayah ALLAH, atas marahnya itu saya ingin berubah.

Sekarang baru saya sedar, mereka bukan sekadar guru atau cikgu. Mereka adalah pendidik. Yang membentuk anak muridnya, bukan sahaja dalam akademik, tetapi dalam hidup. Garang mereka bukan sengaja, garang mereka mendidik. Saya juga ingin mengikut jejak langkah mereka sebagai pendidik. Biarpun dulu saya tak berpeluang untuk ucapkan terima kasih (sebenarnya ego untuk jumpa cikgu, kecewa asyik kena marah). Harapannya, ucapan terima kasih ini dapat sampai pada cikgu.

Terima kasih, cikgu. (Ini bukan sekadar ucapan selepas tamat kelas ye).

P/S: Terima kasih juga kepada cikgu-cikgu lain, terutamanya kepada Cikgu Marinda, Cikgu Bahri @ Abah, Cikgu Faisal, Sifu. Banyak yang saya peroleh dari kalian. Halalkan ilmu yang cikgu beri dulu. TERIMA KASIH.

Tuesday, September 21, 2010

Salasilah keturunanku: Abdul Wahab bin Ibrahim @ atok @ chey



Ustaz Abdul Wahab Bin Ibrahim @ chey dalam loghat fatani dilahirkan pada tahun 1935. Ayah beliau iaitu Allahyarham chey Brahim antara pemimpin kuat penentang komunis, manakala ayah saudara beliau; Allahyarham Tok Da'ie adalah pemegang cokmar(cop mohor) Diraja Fatani (ketika itu). Beliau mati dibunuh ketika usia 40 tahun dengan kapak dipukul dari belakang ketika mengambil wuduk, kini tempat kejadian tersebut adalah jalan utama; jalan Air Kuning (Changkat Jering - Taiping) dan terkenal dengan nama selekoh Tok Da'ie (berhadapan rumah YB Dato' Rosli).

Beberapa tokoh kenamaan dan beladiri telah wujud di sekitar kampung beliau termasuk Allahyarham Dato' Meor Rahman (Kg air kuning), Tok Sogek (Abg Arwah Dato Meor). Tok Chey memulakan kariernya sebagai Tentera @ British Army ketika itu di Singapura (Satu Kem dgn Arwah Dato' Meor). Ketika itu beliau telah mula mempelajari beberapa ilmu beladiri dari seniornya.

Beliau pernah bercerita yang beliau telah mempelajari dengan seorang guru yang bergelar Mat Kuang (Ank Buah Sheikh Osman) di sana, termasuk beberapa lagi seni mempertahankan diri seperti silat lintau, silat sendeng dan kuntau jawa. Diceritakan lagi, beliau telah berguru dgn seorng guru yg bernama Kiyai Arshad Musyadad (seguru Leftenan Adnan). Chey pernah juga beberapa kali melalui serta berjuang dalam zaman darurat termasuk tragedi 13 Mei dan satu lagi tragedi yg tidak direkodkan dalam sejarah iaitu penaklukan komunis selama 11 hari.

Darah seni yang mengalir dalam tubuh beliau membuatkan beliau amat berminat dan dididik tentang teknik beladiri sejak dari kecil. Beliau selalu mengikut ayah dan bapa saudaranya bergelanggang. Antaranya Tok Bajuri (Matang) pengikut setia Ngah Ibrahim, Tok Hashim (Gerik) dan Tok Lebai Ismail.

Antara sumbangan beliau ialah dengan tertubuhnya GCS Muay Thai di bawah pimpinan Mohd Ezry 'Azamin (anak bongsu Chey). Bermula dengan hanya ilmu warisan keluarga, ia telah dibuka kepada orang ramai di atas minat dan permintaan. GCS yang membawa maksud G. Gabungan, C. Cengkaman dan S. sakti merupakan nama silat melayu dan Muaythai bermaksud ilmu seni mempertahankan diri yang berasal dari Thailand. Ilmu–ilmu ini telah digabungkan dan menjadi satu pendekatan ilmu yang kukuh.

Silat Gabungan Cengkaman Sakti ialah satu perguruan yang mempunyai elemen–elemen permainan atau gaya–gaya binatang. Elemen tersebut ialah Harimau yang digelar Sikasa, Helang digelar Siputih, Kera yang digelar Siluman dan Kala Jengking yang digelar Sikala. Dengan gabungan elemen gaya binatang ini maka permainan ilmu beladiri ini boleh beraksi dalam setiap sudut. Muaythai atau Tomoi pula ialah ilmu yang dipelajari Allahyarham Chey dari keturunannya memandang beliau adalah dari keturunan fatani (Thailand).


P/s: Ustaz Abdul Wahab bin Ibrahim merupakan datuk saya, iaitu bapa kepada ibu saya.

Kejayaan hak semua, anda yang memilihnya

Salam,
Selamat hari raya, maaf zahir batin. Maaf sekali lagi sekiranya terlewat untuk mengucapkannya. Ketiadaan sumber internet di kampung, memustahilkan saya untuk menulis. Tapi, itu bukan alasan, betul?

Apa-apa pun, mari berkongsi sedikit tips untuk berjaya.

1. Punyai tujuan yang jelas

Tujuan itu ada tiga macam:
- Tujuan jangka panjang
- Tujuan jangka pendek
- Tujuan yang tidak realistik

Ketiga tujuan di atas yang harus kita hindari adalah model tujuan yang tidak realistik. Sebab ia akan menjadikan penghalang bagi kita untuk fokus kepada tujuan yang lain.

Jadi, beberapa perkara yang harus kita teliti tentang tujuan kita untuk berjaya adalah:
- Tujuan itu harus terperinci
- Fokus pada beberapa, bagaimana, dan bila
- Realistik, berpijak di bumi yang nyata dan boleh dicapai


2. Tujuan yang realistik, dan bukan sekadar khayalan

Tujuan yang jelas akan dapat memotivasikan diri dalam melakukan sesuatu untuk mewujudkannya, iaitu debgan sentiasa fokus dengan tujuan yang ada. Sebagai contoh ketika perang Badar pada zaman Rasulullah saw, kemenangan pada bulan Ramadhan tersebut adalah kerana adanya tujuan yang mereka fahami dan sedari bersama sehingga mereka berusaha bersungguh untuk meraihnya. Pastikan tujuan itu tidak menyalahi syariat, boleh tercapai dan tidak mustahil untuk diperolehi. Contoh tujuan yang tidak realistik ialah mencuri hasil orang lain, mengembara ke matahari dan sebagainya yang tak masuk dek akal.


3. Memilih teman sebagai tauladan

Memilih teman di sini adalah bermaksud mencari teman yang terbaik sebagai pendorong untuk maju ke hadapan. Ia bukan bermaksud supaya memilih rakan yang terbaik sahaja, dan meninggalkan yang kurang baik. Tapi, kita perlu ada sahabat yang mengingatkan tentang kejayaan, semestinya teman yang terbaik akan selalu mengingatkan.

Bukankah, berteman dengan tukang besi, kita akan berbau hangit besi dan berteman dengan penjual wangian, kita akan terpalit dengan aroma wangiannya?


4. Yakin pada diri sendiri


Adapun pengaruh percaya diri akan memberikan efek positif pada kehidupan anda:
- Anda akan merasakan keistimewaan tersendiri, awas jangan sampai berasa takbur
- Anda akan mengetahui pasti kemampuan Anda, kekuatan dan kelemahan diri
- Anda akan memiliki tujuan yang semakin jelas

Tanda orang yang kurang keyakinan diri:

a) Cepat menyerah kalah
“Saya tidak dapat melakukannya” itulah yang selalu kita katakan setiap kali kita baru memulakan usaha atau apabila ditimpa kesukaran, padahal memang potensi diri kita sebenarnya telah menunjukkan kita mampu.

b) Iri hati dengan kejayaan orang lain
Kita terus mencela dan tak mensyuluri apa yang telah kita miliki, bahkan kita terlalu sering membandingkan antara kejayaan diri sendiri dengan apa yang dimiliki orang lain. Sehingga menimbulkan tidak percaya diri sendiri, hinggakan melarat pada dengki-mendengki, jatuh-menjatuhkan. Tetapi iri hati perlu diletakkan pada tempat yang betul, iaitu dengan lebih berusaha untuk mencapai sesuatu.

c) Terlalu sensitif
Sensitif dengan kata-kata, ejekan, kekadang gurauan orang lain, yang akhirnya mengakibatkan putus asa dan tidak mahu berusaha.