Monday, March 29, 2010

Anak Soleh

Anak yang soleh bukan sahaja anak yang baik, bersopan-santun dan taat kepada ibu-bapa sebagaimana yang disangka oleh kebanyakan kita, tetapi yang lebih utama dari itu ialah anak yang menjaga agamanya. Anak yang soleh ialah anak yang taat kepada Allah, yang tahu kewajipannya sebagai hamba Allah dan tahu tanggungjawabnya kepada agamanya. Apabila seorang anak dididik dengan taat kepada Allah dan patuh kepada suruhan agama, InsyaAllah, anak itu secara automatik akan taat kepada ibubapanya dan akan menjaga akhlaknya di mana-mana sahaja ia berada.

“Apabila matinya seorang manusia, terputuslah pahala amalannya kecuali dari tiga perkara iaitu: sedekah jariah, ilmu yang diambil manfaat dengannya dan anak yang soleh yang mendoakan untuknya”
(Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.).



Kisah Nabi Musa dan jirannya di syurga
Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah.Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.

Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?".

Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.

Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.

Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.

Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.
Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.

"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodohrupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menajdi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.

"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi.

Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."

Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."

Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.

Sebab itu, pentingnya kita anak menjadi soleh/ah. Supaya menjadi harta pusaka yang membantu ibubapa kita di akhirat kelak.


Bagaimana menjadi anak soleh?

10 langkah praktik untuk menjadi anak soleh:

1. Didiklah diri mengenali Allah

2. Pastikan kita sentiasa mendirikan solat dan menjaga ibadah-ibadah wajib yang lain.

3. Carilah ilmu agama yang secukupnya.

4. Hidupkan dalam rumah kita Biah Islamiyyah. Antara perkara yang dapat kita lakukan untuk tujuan tersebut ialah;

a) Selalu membaca al-Quran di rumah

b) Membiasakan solat-solat sunat di rumah

c) Hidupkan budaya memberi salam

d) Praktikkan adab-adab Islam di dalam rumah.

5. Dekatkan diri kita dengan masjid, mushalla atau surau.

6. Tanamkan semangat jihad dan perjuangan Islam ke dalam jiwa kita.

7. Tanamkan sikap cintakan ilmu dan majlis ilmu.

8. Pilih kawan yang betul.

9. Mohonlah sentiasa dari Allah agar menjadi anak yang soleh.

InsyaAllah dengan melaksanakan langkah-langkah tersebut dengan bersungguh-sungguh dan istiqamah, akan lahirlah anak-anak soleh yang bukan sahaja dikasihi Allah, tetapi juga menyejukkan mata ibubapa dan menyenangkan masyarakat.


Pesanan buat kita yang akan bergelar ibu dan bapa

Tidak ada cara menjadi anak yang paling baik dan paling berkesan melainkan dengan cara didikan Islam. Langkah pertama ke arah didikan anak yang sempurna ialah keazaman ibubapa itu sendiri untuk kembali menghayati Islam dan menghidupkan Biah Islamiyyah (suasana keislaman) di dalam keluarga dan rumah. Hanya anak yang hidup di dalam suasana keislaman yang dapat menghayati Islam dan seterusnya berjaya dibentuk menjadi anak yang soleh.

Dan sudah tentu hanya ibubapa yang mempunyai kesedaran Islam dapat membentuk anak-anak mengikut acuan Islam. Untuk kepentingan generasi akan datang, kita mestilah menjadi soleh/ah dahulu dan memilih pasangan yang soleh/ah, untuk menjadi ibubapa yang terbaik di masa akan datang.


“Wahai orang-orang beriman! Sahut dan sambutlah seruan Allah dan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang akan menjadikan kamu hidup sempurna”.
(al-Anfal: 24)


Wednesday, March 24, 2010

Waspada (hazar) atau paranoid?

Takut adalah merupakan satu fenomena di mana fikiran, perasaan, dan keyakinan kita hanya bekerja untuk menghindari kemungkinan gagal. Ia akan mempengaruhi tindakan kita seterusnya. Ketakutan itu perlu untuk kita berwaspa dari keadaan berbahaya, tapi jika ketakutan yang muncul berlebihan(paranoid), akan membuat kita terbelenggu dan tidak akan boleh melakukan apa-apa pun. Lebih bahaya lagi, ia akan merumitkan dan menyusahkan lagi keadaan.

Ketakutan boleh terjadi kerana kita merasa asing dan tidak biasa dengan apa yang dilihat atau kerana memori kita sudah merakam kejadian yang buruk berkaitan dengan sesuatu tersebut seperti takut ketinggian, hantu dll. Takut yang berlebihan ini, bukannya membuatkan kita berwaspada, tetapi takut kepada bayang-bayang sendiri sehinggakan gerak geri dicurigai. Ini akan mendedahkan lagi perbuatan kita. Pada masa itu, kewaspadaan tidak lagi berkesan, malah ia akan memburukkan lagi keadaan.


Penyelesaian

1.Kebiasaan - seseorang yang sudah biasa mengendalikan diri, sudah biasa mengawal diri sendiri baik fikiran mahupun perasaan umumnya lebih berani menghadapi ketakutan. Sebab itu perlunya kita membiasakan diri dengan perkara tersebut. Cara untuk menangani rasa takut adalah dengan menghadapinya.

2.Kemahuan - orang yang memiliki dorongan kuat, lebih berani menghadapi risiko oleh dirinya . Dorongan kemahuan adalah kekuatan yang mengubah ketakutan dan kekhuatiran kepada perkara yang baik. Doronglah diri untuk membentuk kemahuan menghadapi rasa takut.

3.Kemampuan - orang yang tidak memiliki pengetahuan tentang diri, orang lain dan keadaan yang terjadi di sekitarnya akan lebih terdorong untuk berasa takut. Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk mengetahui potensi diri dan juga mengenali situasi sekeliling.

4.Kerasionalan - orang terjangkit penyakit takut adalah kerana emosi yang berlebihan sehingga menolak rasional. Apa yang dikhawatirkan itu padahal tidak terjadi seperti sebenarnya. Jadi, sebelum bertindak, berfikirlah secara rasional. Pastikan pro dan kontra setiap apa yang dilakukan.



Ketakutan kerana orang lain adalah imaginasi negatif dan semestinya tidak muncul kalau kita yakin bahwa diri kita mampu merealisasikan yang kita inginkan meskipun kita harus menempuh kegagalan. Ketakutan juga tidak akan terjadi kalau kita yakin bahawa setiap kegagalan mengandungi makna tertentu untuk menjadikan kita lebih dewasa. Ketakutan juga tidak akan terjadi kalau kita yakin bahawa cara yang kita tempuh merealisasikannya, tidak melanggar nilai dan hukum apa-apa pun.

Sebagai kesimpulan, takut itu perlu untuk berwaspada. Takut yang berlebihan pula, lebih membahayakan keadaan dari menyelamatkan suasana. Yang paling penting, takutlah ALLAH lebih dari takut segalanya.

Nilai si pohon semalu

Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w berjalan-jalan bersama puteri baginda, Saidatina Fatimah r.a. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan. Fatimah mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah. Rasulullah dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita. Fatimah terkejut.



Rasulullah menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari 4 aspek.

Pertama, pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).

Kedua, semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya.Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim.

Ketiga, semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul Alamin.

Dan akhir sekali, semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja. Ambillah pengajaran dari semalu walau pun ia hanya sepohon tumbuhan yang kecil.

Kita Manusia

Bersyukurlah dijadikan kita sebagai manusia. Bukan binatang-binatang yang tiada akal fikiran, dipelihara manusia. Bukan pokok-pokok yang tegak berdiri, tidak mampu pertahankan diri. Bukan juga gunung-gunung, awan-awan mahupun makhluk ALLAH yang lain.

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika dia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah” (at-Tin: 4-5)

Manusia adalah makhluk yang paling kompleks diciptakan oleh ALLAH. Manusia mempunyai nafsu, punyai kudrat tubuh badan, perasaan dan yang paling penting akal fikiran. Istimewanya manusia ini, sehinggakan terciptanya makhluk lain adalah untuk berkhidmat kepada manusia. Oksigen untuk bernafas. Tumbuhan dan haiwan sesetengahnya untuk dimakan.

“Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu dan Dia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintahNya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya). Dan Dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu” (Ibrahim:32-33).

Lihatlah, betapa banyaknya nikmat yang ALLAH kurniakan kepada kita. Kalau dihitung, dikira, takkan terbanding dengan amalan kita seharian. Itupun jika kita beramal, lebih teruk lagi yang lupa langsung pada YANG MAHA MEMBERI.

“Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya." (Ibrahim: 34)

Walau seteruk mana keadaan kita, sehebat mana ujian yang menimpa, seburuk mana kejadian kita, bersyukurlah kita masih dijadikan sebagai manusia!!

Thursday, March 11, 2010

Kekasih oh kekasih

ADAB PERGAULAN

1.Menundukkan pandangan: ALLAH memerintahkan kaum lelaki untuk menundukkan pandangannya, sebagaimana firman-NYA;
Katakanlah kepada laki-laki yangberiman: Hendaklah mereka menahan pandangan nya dan memelihara kemaluannya. (an- Nuur: 30)

Sebagaimana hal ini juga diperintahkan kepada kaum wanita beriman, ALLAH berfirman;
Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangan nya dan memelihara kemaluannya. (an-Nuur: 31)

2.Menutup Aurat; ALLAH berfirman;
Dan janganlah mereka mennampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung ke dadanya. (an-Nuur : 31)

Hai nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenali, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan ALLAH adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (anNuur: 59).

Perintah menutup aurat juga berlaku bagi semua jenis.
Dari Abu Daud Said al-Khudri r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda: Janganlah seseorang lelaki memandang aurat lelaki, begitu juga dengan wanita jangan melihat aurat wanita.

3.Adanya pembatas (hijab) antara lelaki dengan wanita; Kalau ada sebuah keperluan terhadap kaum yang berbeza jenis, harus disampaikan dari balik tabir pembatas.Sebagaimana firman-NYA;
Dan apabila kalian meminta sesuatu kepada mereka (para wanita) maka mintalah dari balik hijab.(al-Ahzaab : 53)

4.Tidak berdua-duaan Di Antara Lelaki Dan Perempuan;
Dari Ibnu Abbas r.a. berkata: Saya mendengar Rasulul lah SAW bersabda: Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim) Dari Jabir bin Samurah berkata; Rasulullah SAW bersabda: Janganlah salah seorang dari kalian berduaduan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya. (Hadis Riwayat Ahmad & Tirmidzi dengan sanad yang sahih)

5.Tidak Melunakkan Ucapan (Percakapan): Seorang wanita dilarang melunakkan ucapannya ketika berbicara selain kepada suaminya.
Firman ALLAH SWT; Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara (berkata-kata yang menggoda) sehingga berkeinginan orang yang ada penyakit di dalam hatinya tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yan g baik. (al-Ahzaab: 32)

Berkata Imam Ibnu Kathir; Ini adalah beberapa etika yang diperintahkan oleh ALLAH kepada para isteri Rasulullah SAW serta kepada para wanita mukminah lainnya, iaitu hendaklah dia kalau berbicara dengan orang lain tanpa suara merdu, dialam pengertian janganlah seorang wanita berbicara dengan orang lain sebagaimana dia berbicara dengan suaminya.(Tafsir Ibnu Kathir 3/ 350)

6.Tidak Menyentuh Kaum Berlawanan Jenis;
Dari Maqil bin Yasar r.a. berkata; Seandainya kepala seseorang ditusuk dengan jarum besi itu masih lebih baik daripada menyentuh kaum wanita yang tidak halal baginnya. (Hadis Hasan Riwayat Thabrani dalam Mujam Kabir)
Berkata Syaikh al-Abani Rahimahullah; Dalam hadis ini terdapat ancaman keras terhadap orangorang yang menyentuh wanita yang tidak halal baginya. (Ash-Shohihah 1/448)

Rasulullah SAW tidak pernah menyentuh wanita meskipun dalam saat-saat penting seperti membaiat dan lain-lainnya.
Dari Aishah berkata; Demi ALLAH, tangan Rasulullah tidak pernah menyentuh tangan wanita sama sekali meskipun saat membaiat. (Hadis Riwayat Bukhari)

Inilah sebahagian etika pergaulan lelaki dan wanita selain mahram, yang mana apabila seseorang melanggar semuanya atau sebahagiannya saja akan menjadi dosa zina baginya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW;
Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya ALLAH menetapkan untuk anak adam bahagiannya dari zina, yang pasti akan mengenainya. Zina mata dengan memandang, zina lisan dengan berbicara, sedangkan jiwa berkeinginan serta berangan- angan, lalu farji yang akan membenarkan atau mendustakan semuanya. (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim & Abu Daud)

Padahal ALLAH SWT telah melarang perbuatan zina dan segala sesuatu yang boleh mendekati kepada perbuatan zina. Sebagaimana Firman-NYA;
Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk. (al-Isra: 32)


Kenapa Couple (atau seangkatan dengannya*) Itu Haram?

SETELAH memerhatikan ayat dan hadis tadi, maka tidak diragukan lagi bahawa bercouple itu haram, kerana beberapa sebab berikut:

1.Orang yang bercouple tidak mungkin menundukkan pandangannya terhadap kekasihnya.

2.Orang yang bercouple tidak akan boleh menjaga hijab.

3.Orang yang bercouple biasanya sering berdua-duaan dengan pasangan kekasihnya, baik di dalam rumah atau di luar rumah.

4.Wanita akan bersikap manja dan mendayukan suaranya saat bersama kekasihnya.

5.Bercouple selalunya berlaku sentuhan antara lelaki dan wanita, meskipun itu hanya berjabat tangan.

6.Orang yang bercouple, boleh dipastikan selalu membayangkan orang yang dicintainya. Dalam kamus bercouple, hal-hal tersebut adalah lumrah dilakukan.

Sahabat, satu hal saja cukup untuk mengharamkannya, lalu apatah lagi kesemuanya atau yang lain-lainnya lagi? Mahu ALLAH turunkan bala sebagaimana Aceh? Padang? Baru kita mahu menyesal dan tersedar?

*Berpasangan ini tak semestinya dimanakan couple. Sebab remaja sekarang, walaupun sudah ada teman istimewa (berlainan jantina), mengatakan mereka tidak bercouple tetapi kawan istimewa. Cinta anta-anti pun ada (islamic couple lah tu). Tahukah, semua ini sama saja definisinya pada si syaitan yang cuba menghasut dan menggoda manusia. Tak kisahlah kawan, teman istimewa, couple atau apa saja, semua yang membawa kepada perkara di atas, adalah tidak dibolehkan.

Tuesday, March 9, 2010

Ujian kehidupan

MUKADIMMAH

Ujian itu adalah murabbi tanpa suara, ia sangat membentuk dan mendidik. Ujian boleh datang dalam kesusahan atau kesenangan. Ujian adalah takdir yang ALLAH tetapkan pada hambaNYA. Bukan untuk suka-suka, tetapi untuk pentarbiyahan, untuk pendidikan. Dan ada lagi maksud-maksud tertentu.

Dan ramai pula manusia yang tewas kerana tidak mampu menerima dan redha dengan ujian kesusahan. Namun, terlebih ramai yang tenggelam dalam ujian kesenangan. Puncanya, termasuklah jahil dan tidak ada husnu thiqah billah atau bersangka baik dengan ALLAH. Tidak bergantung pada ALLAH. Lalu mudah berdendam dan buruk sangka, termasuklah buruk sangka dengan ALLAH.


SEBAB-SEBAB DIDATANGI UJIAN

1. Qisas (pembalasan) kepada dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Untuk menyedarkan kita supaya kita bertaubat, dan tidak lagi lalai. Juga bertujuan untuk menghukum manusia yang berbuat dosa. Maha Pengasihnya ALLAH menghukum manusia di dunia untuk sedarkan kita supaya bertaubat. Kalau tidak sempat taubat, hukuman di akhirat berpuluh kali ganda lebih berat. Bersangka baiklah dengan ALLAH.

2. Untuk menilai sejauh mana keyakinan kita kepada Allah. Semakin diuji sepatutnya semakin bertambah iman kita, dan semakin hampir kita dengan Allah. Firman Allah dalam surah Al Imran; 142 yang bermaksud:
“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata orang-orang yang bersabar.”

3. Memberi pahala percuma kepada orang yang bersabar. Allah takdirkan ujian demi ujian untuk memberi peluang kepada kita mendapatkan pahala sabar. Barangsiapa yang sabar dan redha tanpa mengeluh, merungut atau marah-marah pada Allah, insyaAllah ganjarannya di syurga. Firman Allah dalam Surah Az-Zumar;10 yang maksudnya:
“Sesungguhnya diberi ganjaran orang sabar dengan pahala tanpa hisab.”


ALLAH SWT memberikan ujian demi ujian sebagai peringatan kepada kita. Tetapi sedikit sekali yang mencari hikmah dan mengambil iktibar daripada ujian yang ditimpakan. Malahan ujian membuatkan kita bertambah jauh dari Allah (lebih-lebih lagi ujian kesenangan), mengeluh dan menyesali takdir Allah. Marilah kita menyedari akan kesilapan kita selama ini. Terimalah sagala ujian yang besar mahupun yang kecil sebagai satu didikan terus dari Allah. Dan ingatlah, andaikata kita diuji, kita masih wajib bersyukur kerana masih ada 1001 jenis nikmat lain yang Allah kurniakan kepada kita! Jadi mengapa mesti merungut ketika diuji?!

Ingat, saat kamu diuji, sekurangnya bersyukurlah kamu masih ada nikmat Iman dan Islam.


Kehidupan - Nazrey Johani & In-Team
Kesenangan yang datang tak akan selamanya,
begitulah selepas susah ada kesenangan,
seperti selepas malam datangnya siang,
oleh itu waktu senang jangan lupa daratan.

Gunakan kesempatan untuk kebaikan,
sebelum segalanya terlepas dari genggaman,
kelak menyesal nanti tak berkesudahan,
apa guna sesalan hanya menekan jiwa.

Jangan difikir derita akan berpanjangan,
kelak akan membawa putus asa pada Tuhan,
ingatlah biasanya kabus tak berpanjangan,
setelah kabus berlalu pasti cerah kembali.

Ujian adalah tarbiah dari Allah,
apakah kita akan sabar ataupun sebaliknya,
kesenangan yang datang selepas kesusahan,
semuanya adalah nikmat dari Tuhan.

Thursday, March 4, 2010

Kembali ke madrasah Rasulullah SAW

Muqadimmah
Rasulullah SAW tidak mempunyai manhaj (sistem) selain al-Quran. Baginda tidak mendirikan universiti, fakulti pengajian Islam, institusi mahupun sekolah untuk mendidik selain dari masjid. Murid-muridnya adalah Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan sahabat-sahabat yang lain. Dan dari madrasah inilah, lahirnya peradaban Islam untuk mengubah dunia dengan manhajnya.

Adakah anda pernah melihat sebuah madrasah yang lebih bersih dan berjaya menghasilkan pelajar yang begitu berkualiti, selain dari madrasah Rasulullah? Murid-muridnya bersila di atas pasir, universitinya dihampari pelepah kurma. Mereka pernah kebasahan dalam hujan. Apa kekuatannya? Kekuatannya adalah iman. Kesatuan hati menambah lagi ikatan mereka. Mereka adalah hamba, penggembala kambing yang tanpa alas kaki, tanpa pakaian mewah-mewahan. Namun, mereka menjadi berwibawa, kerana agama ini.

Padahal kekuatan (kewibawaan) itu hanyalah milik ALLAH, Rasul-Nya dan kaum Mukminin. Akan tetapi orang munafik tidak mengetahuinya. (Surah al-Munafiqun: 8)


Sumber Tarbiyah
Sumber tarbiyyah Rasulullah tiada lain selain al-Quran, bukan sesuatu yang direkacipta, hanyalah dari ALLAH SWT.

Dan tiadalah yang diucapkannya (al-Quran) itu menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapan itu tiada lain hanyalah wahyu yang disampaikan (kepadanya). (Surah al-Maidah: 3-4)

Hai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika kamu tidak kerjakan apa yang diperintahkan, bererti kamu tidak menyampaikan amanatNya. ALLAH memelihara kamu dari (gangguan) manusia. Sesungguhnya ALLAH tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir. (surah al-Maidah: 67)



Ciri-ciri Generasi al-Quran
1. Teras tarbiyyah yang dibentuk Rasulullah adalah berdasarkan al-Quran semata, maka lahirlah satu generasi yang dinamakan generasi al-Quran. Generasi unggul ini hanya mengambil al-Quran sebagai panduan gerak-geri mereka. Perjuangan yang telah diasaskan melalui madrasah Rasulullah sendiri, telah berjaya menanamkan kekuatan aqidah para sahabat.

2. Antar ciri generasi al-Quran adalah:
-kekuatan aqidah, berpegang teguh pada prinsip
-berkasih sayang sesama mukmin
-mendokong sepenuhnya dakwah dan jihad
-kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada ALLAH dan RasulNya

3. Penekanan penting dalam madrasah Rasulullah:
-pembentukan sebuah gerakan demi mempertahankan kesucian aqidah
-membebaskan manusia dari perhambaan dengan melancarkan dakwah
-berjuang untuk mendapat kekuasaan dari golongan kuffar

4. Hasil didikan madrasah Rasulullah:
-melahirkan umat yang teguh akidah, tidak mudah goyah
-generasi yang mampu menghadapi tekanan yang kuat
-membentuk umat yang taat setianya tidak berbelah bahagi kepada ALLAH dan RasulNya


Kesimpulan
Hasil didikan madrasah ini telah menghasilkan banyak kejayaan. Sebagaimana mereka bersungguh-sungguh dalam menyebarkan Islam, begitulah jua kita demi mengembalikan kegemilangan umat Islam dan menolak semua pencabulan ke atas kehormatan Islam.