Wednesday, July 29, 2009

Ghibah au buhtan?

Ghibah atau mengumpat didefinisikan sebagai perkara yang diceritakan tentang seseorang, dan bila ia mendengar cerita tersebut, ia tidak menyukainya. Ini berlandaskan satu hadis Nabi yang bermaksud:

"Ghibah ialah engkau menceritakan saudaramu tentang sesuatu yang ia benci." Lalu sahabat kembali bertanya, "Wahai Rasulullah S.A.W, bagaimanakah pendapatmu bila apa yang diceritakan itu benar ada padanya ?" Rasulullah S.A.W menjawab, "kalau memang benar ada padanya, itu ghibah namanya. Jika tidak benar, bererti engkau telah berbuat buhtan (mengada-ada)." (HR. Muslim, Tirmidzi, Abu Dawud, dan Ahmad).

Jawapan yang biasa kita dengar apabila si pengumpat ini ditegur ialah, "alah, benda betul ni. Bukan tipu."

Sudah terang lagi bersuluh penjelasan Nabi tentang ghibah ini. Kalau betul itu mengumpat, kalau tak betul itu fitnah. Tak faham lagi ke?

Mengumpat ini tersangatlah buruk kesannya. Sehinggakan si pengumpat diibaratkan memakan daging saudara sendiri. Bayangkan pertalian sillaturahim yang boleh terputus. Kasih sayang yang boleh hilang. Persengketaan yang akan berlaku kerana umpatan. Tapi kebanyakan orang sekarang, memandang ringan dengan perkara ini. Mengumpat ibarat menghirup udara untuk bernafas. Kalau tak mengumpat, tak sah.

Namun, ghibah dibolehkan atas beberapa sebab; (Imam Nawawi dalam kitab Syarah Shahih Muslim dan Riyadhu As-Shalihin)

1. Orang yang teraniaya boleh menceritakan dan mengadukan kezaliman orang yang menzaliminya kepada seorang penguasa atau hakim atau kepada orang yang berkuasa memutuskan suatu perkara dalam rangka menuntut haknya.

"Allah tidak menyukai ucapan buruk (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (QS. An-Nisa' : 148).

2. Meminta bantuan untuk menyingkirkan kemungkaran dan agar orang yang berbuat maksiat kembali ke jalan yang benar. Hal ini hanya untuk mencegah kemungkaran berlaku dan mengembalikan orang yang berbuat makisat ke jalan benar.

3. Istifta' (meminta fatwa) akan sesuatu hal. Namun, hanya sekadar sesuai yang ingin kita adukan, contohnya melindungi nama sebenar bagi mengelakkan fitnah.

4. Memperingatkan kaum muslimin dari beberapa kejahatan seperti:

a. Apabila ada perawi, saksi, atau pengarang yang cacat sifat atau kelakuannya, menurut ijma' ulama kita boleh bahkan wajib memberitahukannya kepada kaum muslimin. Hal ini dilakukan untuk memelihara kebersihan syariat dan melindungi kesucian hadith sebagai sumber hukum kedua.

b. Apabila kita melihat seseorang membeli barang yang cacat atau membeli budak (untuk masa sekarang bisa dianalogikan dengan mencari seorang pembantu rumah tangga) yang pencuri, peminum, dan sejenisnya, sedangkan si pembelinya tidak mengetahui. Ini dilakukan untuk memberi nasihat atau mencegah kejahatan terhadap saudara kita, bukan untuk menyakiti salah satu pihak.

c. Apabila kita melihat seorang penuntut ilmu agama belajar kepada seseorang yang fasik atau ahli bid'ah dan kita khuatir terhadap bahaya yang akan menimpanya. Maka kita wajib menasihati dengan cara menjelaskan sifat dan keadaan guru tersebut dengan tujuan untuk kebaikan semata.

5. Menceritakan kepada khalayak tentang seorang fasiqin; minum minuman keras, merampas harta orang secara paksa, riba atau perkara-perkara batil lainnya. Ketika menceritakan keburukan itu kita tidak boleh menambah-nambahinya dan sepanjang niat kita dalam melakukan hal itu hanya untuk kebaikan.

6. Memaggil seseorang dengan gelaran tertentu, bila seseorang telah dikenal dengan panggilan si pincang, si pendek, si bisu, si buta, atau sebagainya, maka kita boleh memanggilnya dengan panggilan di atas supaya orang lain boleh mengenali. Tetapi jika tujuannya untuk menghina, maka haram hukumnya. Jika ia mempunyai nama lain yang lebih baik, maka lebih baik memanggilnya dengan nama lain tersebut.

Sumber:
Ibnu Taimiyah, Imam Syuyuthi, Imam Syaukani,, Maktabah Al-Manar, Yordania.

Penulisan ini bukan untuk menggalakkan orang mengumpat. Namun, hanya untuk menjelaskan perkara yang serius dan berdosa besar ini hukumnya adalah haram melainkan dengan sebab-sebab yang telah dijelaskan. Sesungguhnya janganlah kita menjadi sebahagian orang yang diharamkan syurga atasnya; iaitu orang yang mengadu domba dan menyebar fitnah.


Olahan dari: http://yaakhiii.blogspot.com/2009/07/mengumpat-ke-tu-bhgian-1.html

H1N1: Musibah yang bermuhasabah

Salam, terasa lama benar tak menulis. Bukan apa, kekangan masa dan program bertimbun yang membuatkan penulis tak sempat memikirkan tentang blog buat sementara waktu. Tapi InsyaAllah, penulis akan mulakan semula penulisan untuk mengaktifkan blog ini. Maafkan pada yang menunggu (ada yang tunggu ke?).

Penulis kali ini mahu mengupas isu besar yang terjadi. Bukan saja pada negara kita, malah pada dunia kita sendiri. Dewasa ini, kita dikejutkan dengan satu wabak yang menular; Swine Flu, yang diakibatkan oleh virus H1N1.

Untuk pengetahuan semua, virus H1N1 ini memberi kesan sama seperti penyakit AIDS. Bezanya, AIDS memerlukan 10 tahun untuk merebak dan memberi kesan. Tetapi, virus H1N1 ini hanya memerlukan 3 HARI saja untuk diaktifkan! Dan sudah tentu kesannya adalah kematian. Setakat 28/7 ini, korban H1N1 sudah mencecah 3 orang di Malaysia. Dan sudah tentu lagi, bilangan ini akan meningkat naik.

Seorang pensyarah, ketika di dalam kuliah, mengulas tentang wabak ini. Katanya, terdapat kajian sejarah yang mendapati, pada tahun 1900-an(kalau tak silap)sudah berlaku penyebaran wabak yang serupa. Wabak ini mempunyai ciri-ciri yang sama dengan H1N1. Jangan terkejut dengan penjelasan selepas ini.

Wabak yang menular pada ketika itu, dibahagi kepada 2 jenis; first wave atau gelombang pertama (G1) dan second wave atau gelombang kedua (G2). Di mana first wave bermula dahulu, kemudian diikuti dengan second wave.

Angka korban semasa G1 hanya mencecah ribuan orang sahaja. Tetapi, G2 telah mengakibatkan lebih kurang 500 ribu kematian!! Ini bermakna wabak ini lebih menjadi teruk pada G2. Apa yang lebih mengejutkan, kajian mendapati virus H1N1 ini juga akan menjadi seperti itu; G1 dan G2. Kita sekarang ini dikatakan masih berada dalam fasa G1. Jangan terlalu selesa dulu. Dijangkakan, G2 akan bermula pertengahan bulan 8 ini. Persoalannya, apakah kesannya sama seperti apa yang berlaku 1900-an dulu? Lalu, apa angka korban virus H1N1 bagi G2? 500 ribu? 700 ribu? Dianggarkan lebih dari 750 ribu!!

Wah, terkejut bukan. Kita mungkin kata, "alah, ratusan ribu tu tak bagi kesan sangat pada populasi dunia." Tapi cuba kita bayangkan. Dengan penularan H1N1 ini begitu mudah; melalui udara. Vaksin untuk melumpuhkannya juga belum ditemui. Apakah ada penamat bagi H1N1 ini? Kesudahannya, ia akan jadi seperti AIDS, yang tiada penawar. Lalu, seorang demi seorang akan terus menjadi korban H1N1. Tiada titik noktah.

Apa yang penulis ingin ketengahkan ialah, muhasabah. Wahai sahabat sekelian, muhasabahlah. Musibah yang melanda ini bukan setakat musibah, mungkin ia satu tarbiyah pada kita. Tidak Allah jadikan sesuatu itu sia-sia. Hari ke hari, kematian mengejar kita. Tak kira sama ada disebabkan H1N1 atau tidak, sesungguhnya setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

Apakah kita bersedia? Atau kita masih leka bersama pakwe atau makwe?

Kiamat sudah dekat!!!

Sunday, July 5, 2009

Melayu yang layu.

Kenapa manusia selalu tidak berpuas hati?

Tak puas hati kalau orang lain berjaya, sedangkan kita tidak.
Tak puas hati kalau orang lain bercinta, sedangkan diri kesepian.
Dan macam-macam lagi tak puas hati.

Seorang manusia, tak kira yang kaya, yang miskin, tua, muda, semua tak akan pernah puas dengan apa yang ada. Si miskin, yang mahukan kekayaan. Bila saja ia dapat kekayaan itu, dia akan tetap tidak berpuas hati. Sebabnya, bila dia kaya, ada lagi yang mahu dicapainya, ada lagi yang mahu dikejarnya.

Atas sebab inilah malaikat bertanya kepada Allah semasa Allah mahu menciptakan manusia. Kata malaikat, manusia akan menghuru-harakan dunia. Buat kekacauan. Tetapi Allah maha mengetahui. Allah tahu apa, kenapa, bagaimana dan segala macam persoalan lagi.

Sebenanya sikap ini ada pro dan kontranya. Seseorang manusia, apabila meletakkan sikap ini betul pada tempatnya, pasti akan mendatangkan kebaikan kepadanya. Sebagai contoh, kita mempunyai seorang rakan sebilik yang cemerlang dalam akademik, sukan mahupun persatuan. Orang serba boleh. Lalu kita rasa tak berpuas hati.

Orang yang bijaksana, akan membuatkan ketidakpuasan hati ini sebagai satu penggerak untuk dirinya lebih berusaha maju ke depan. Orang yang bijak juga, akan menjadikan ini sebagai satu persaingan sihat. Itu sifat orang yang berjaya dan mahukan kejayaan.

Tetapi, realiti masyarakat kita sekarang, Melayu Muslim khususnya, sudah bersikap zalim. Dengan meletakkan sikap ini sebagai satu asbab kepada penyakit PHD (Perasaan Hasad Dengki). Cuba lihat saja sandiwara ketika ini, si A baru saja membuka kedai runcit. Tak sampai sebulan berniaga, sudah ditaburkan tanah kubur depan pintu kedai. Ilmu untuk melingkup perniagaan oranglah tu. Sudahlah dengki, guna pula sihir dan macam-macam lagi. Mana ada kaum lain buat sebegini. Tak pernah lagi sampai ke telinga penulis. Kalau ada pun, boleh bilang dengan jari.

Teringat satu kisah, di sebuah pasar malam. Ada seorang tauke menjual ketam. Ada dua jenis ketam yang dijual. Satu jenis ketam, dibiarkan tak berikat. Tapi ketam tersebut tak bergerak langsung. Diam. Ketam tak bermaya. Satu jenis lagi, diikat. Walaupun diikat, ketam tersebut masih bergerak-gerak cuba untuk melepaskan diri. Bila ditanya tentang ketam-ketam tu, tauke tu jawab, yang diikat tu ketam cina, yang tak diikat ketam melayu.

Fuh, tak sangka ketam pun ada kaum dia juga. Nak tahu kenapa tauke tu cakap begitu.
Sebabnya, ketam cina bila dilepaskan dari ikatan, cepat saja ketam tu melarikan diri. Walaupun duduk dalam besen yang besar, ketam tu saling tolak ketam di atasnya supaya lebih senang nak lepaskan diri. Dan bila ketam di atas sudah berjaya, ditolong pula ketam yang bawah. Tak sampai 10 minit, sekejap saja ketam sudap dapat lari.

Berbeza dengan ketam melayu, tak perlu diikat. Sebabnya, bila seekor nak melarikan diri dan berjaya melepasi besen, ketam di bawah akan tarik supaya ketam di atas jatuh kembali dalam besen. Berulang-ulang kali. Sehinggalah akhir sekali semua ketam kepenatan, dan tiada seekor pun yang berjaya lepaskan diri.

Bagaimana sahabat? Ini baru seorang tauke pasar malam yang membandingkan melayu dan cina. Belum lagi orang lain. Yang lebih berpendidikan. Lebih berilmu. Agaknya lebih panas telinga lagi bila dengar perbandingan tersebut.

Tapi kenapa kita nak melenting? Salahkah apa yang mereka cakap? Buktikan perkara itu salah. Tapi, mana buktinya? Dan akhirnya tinggallah kita kaum melayu yang semakin layu di tanah air sendiri.

Penulis bukan cuba membangkitkan isu perkauman. Tetapi penulis mahu ingatkan, sejarah melayu sudah melembarkan yang melayu hebat kerana Islam. Melayu terkenal keran Islam. Melayu tanpa Islam akan tetap layu dan semakin layu.

Wednesday, June 17, 2009

Unsur tubuh manusia

Terdirinya tubuh badan manusia ini atas keserasian pelbagai unsur. Unsur-unsur ini yang menentukan siapa orang tersebut. Ibarat melokul air. Satu molekul air ini mempunyai dua unsur terpenting, iaitu 2 unsur hidrogen dan 1 unsur oksigen. Begitu juga tubuh badan kita. Tetapi, unsur tubuh manusia ini berlainan dari unsur di dalam molekul. Lalu, apa itu unsur tubuh manusia? Di dalam konteks perbincangan kita kali ini, penulis ingin berkongsi apa itu unsur tubuh manusia ini supaya kita sama-sama dapat memaksimakan potensi diri.


Unsur Tubuh Manusia

1. Akal
Akal fikiran adalah satu unsur yang sangat menonjol pada penciptaan manusia. Ini yang membezakan manusia dengan makhluk lain. Sehingga manusia itu layak menjadi khalifah di muka bumi kerana mempunyai akal.
Islam amat mementingkan dan memandang tinggi perkara akal ini. Buktinya, dalam al-Quran (al-Hasyr:21)

"Jika Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau lihat gunung itu tunduk serta pecah- belah kerana takut kepada Allah. Contoh perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya."

Keutamaan akal fikiran ini ditegaskan Rasulullah s.a.w dalam dalam satu hadis daripada Ibnu Hibban, maksudnya: "Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat setahun."


2. Rohani
Perkataan rohani dalam bahasa Malaysia sering dikaitkan dengan hati, kalbu, jiwa, mental, fikiran dan sebagainya yang mewujudkan sebagai suatu unsur peribadi manusia yang paling unik yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera. Tetapi gejala dalam kerjanya dapat dirasakan. Gejala itu misalnya menangkap dan menyimpan pengertian, mengingat, berfikir, berkemahuan, rindu, sedih, gembira dan sebagainya.

Imam Ghazali dalam kitab Ihyaa' 'Ulumuddin menerangkan bahawa roh itu ada dua makna. Pertama berupa jenis yang halus dan bersumber dari rongga hati jasmani dengan perantaraan otot-otot dan urat yang bermacam-macam tersebar ke seluruh bahagian-bahagian badan. Kedua, ianya berupa sifat halus pada manusia yang dapat mengetahui sesuatu dan dapat menangkap segala pengertian. Banyak pengertian yang dikemukakan mengenai jiwa namun begitu belum ada yang dianggap memuaskan.

Bahaya penyakit rohani telah dititip dalam al-Quran (al-Baqarah:10)yang bermaksud:

"Dalam hati mereka ada penyakit, maka Allah tambah penyakit mereka dan adalah bagi mereka siksaan yang pedih dengan sebab apa-apa yang mereka dustakan"


3. Hati
"Rasulullah saw pernah bersabda maksudnya: "Bahawa hati itu berkarat, seperti berkaratnya besi." Lalu orang bertanya, "Wahai Rasulullah, bagaimana membersihkannya?" Jawab Rasulullah: "Membaca al-Quran dan mengingati mati." Membaca al-Quran dijelaskan di sini bagi membersihkan kekotoran di jantung yang didatangkan syaitan mengikut saluran darah.


4. Nafsu
Nafsu adalah kemahuan diri yang mudah didorong oleh syaitan untuk melakukan kemungkaran. Namun, nafsu ini boleh dijinakkan dan mampu menjadi pendorong untuk seseorang agar lebih tekun beribadat. Terdapat pelbagai tingkat nafsu: amarah, lawwamah, mulhamah, muthmainnah, radiyyah, mardiyyah dan saffiyyah.


5. Jasad
Tidak perlu didefinisikan lagi tentang jasad. Kita semua sudah maklum apa itu jasad. Kepentingan untuk menjaga batang tubuh kita ini adalah demi meneruskan kesihatan tubuh badan agar dapat beribadat kepada Allah.



Jadi, semua unsur ini perlu dilatih dan digilap untuk menjadi seorang insan berpotensi.

Tuesday, June 9, 2009

Dilema sang pejuang

Kita sedia maklum. Dilema penggerak jemaah ialah di antara gerak kerja dan akademik. Dua-dua sama penting. Tidak ada yang nombor 1 atau 2. Namun, hakikat yang melanda sang pejuang dewasa ini ialah tidak dapat mengimbangkan antara kedua elemen penting ini. Ada yang aktif dalam gerak kerja, sempurna, pantas, efektif dan sebagainya. Tetapi dalam akademik, dia terus berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

Penulis bukan mahu menuding pada mana-mana individu. Penulis sendiri pun tidak terlepas dari masalah yang sama. Bukan nak menunjuk pada sesiapa yang bersalah atau tidak. Tudinglah semua jari kita pada diri sendiri. Kita sentiasa yakin dengan janji Allah. Kalau kita tolong agama Allah, Allah akan tolong kita. Tetapi kenapa dalam akademik kita semacam tidak mendapat pertolongan dari Allah? Justeru, muhasabahlah diri. Suluhlah jiwa. Selama kita melibatkan diri dalam jemaah, apakah betul perbuatan kita? Ikhlaskah kita dalam perjuangan?

Nah, mungkin di sini yang terdapat sedikit cacat celanya. Sebab itu dalam perjalanan akademik bagaikan tak memihak pada kita. Jadi, salah siapa? Gerak kerja yang sentiasa menyibukkan diri kita? Masa yang selalu mencemburui kita? Peluang yang kita susah nak dapat? Bukan, ini semua bukan jawapannya. Yang salah diri kita. Yang kurang molek diri kita. Yang buat kita jatuh juga adalah diri kita.

Kita jangan sesekali memandang ringan dalam akademik. Sebab bila kita pandang ringan, dan akhirnya jatuh. Kita dah mengkhianati harapan semua orang, terutamanya ibu bapa. Bukan itu saja, kita juga mengkhianati peluang yang Allah bagi kepada kita supaya menceduk ilmu. Analogi antara gerak kerja jemaah dan akademik boleh diibaratkan seperti ini, jika gerak kerja itu diandaikan seperti solat. Maka akademik ialah wudhu'. Setuju?

Jadi, apa lagi. Buatlah yang terbaik dalam jemaah dan akademik. Allah tak pandang hasil sesuatu perbuatan kita sebab Allah dah tahu kesudahannya. Tapi Allah melihat pada usaha kita untuk mencapai apa yang ingin kita hasilkan.


Nabi saw pernah bersabda:
Tiga orang yang akan selalu diberi pertolongan oleh Allah:
1. Seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah
2. Seorang penulis yang selalu memberi penawar
3. Seorang yang menikah untuk menjaga kehormatan dirinya
(HR at-Tarmizi)

Sunday, June 7, 2009

Mad'u : Non - Muslim

Salam,

Entri kali ni ditulis untuk menjawab satu persoalan dalam blog mengenai nasihat kepada non muslim. (rujuk http://hidupdalamreda-nya.blogspot.com/)

Untuk pengetahuan, penulis mempunyai banyak (lebih dari satu dikira banyak kan?) pengalaman dengan non muslim. Izinkan penulis bercerita sedikit.

Pengalaman pertama semasa tingkatan 4 & 5 di sekolah lama. Kawan penulis ni seorang berbangsa Cina, beragama kristian (kalau tak silap). Yang ingin dikongsi di sini ialah bagaimana kawan penulis ni (kita namakan sebagai Ms A) boleh tertarik untuk mendalami dan mempelajari tentang islam. Dia berminat nak tahu pasal islam hanya kerana tertarik mendengar alunan asma ul-husna setiap malam sebelum tidur (jadi kewajiban di sekolah dulu sebelum tidur).

Memandangkan penulis sendiri dulu AJK Kerohanian (nama popular AJK Birtah), si A ni pun jumpa penulis nak tanya tentang islam. Tak dinafikan memang banyak sangat soalan-soalan yang boleh panas telinga juga bila dengar. Tapi, yang ini langkah pertama untuk bagi nasihat, jangan berdebat banyakkan mendengar. Dengar dulu apa dia nak cakap atau pendapat. Ingat dan tanam dalam kepala, semua pendapat adalah betul. Bila saja kita mula berdebat, mereka akan halang minda mereka untuk dengar kata-kata kita walau betul macam mana kita cakap sekalipun.

Selalunya, mereka ini akan membandingkan antara Muslim dengan penganut agama yang lain. Jangan melenting kalau ada perkara negatif yang dilontarkan. Adakalanya betul apa yang mereka cakap. Dengar, dengar dan dengar. Tapi jangan diam sangat, responlah sama. Cuma jangan keterlaluan. Lepas habis dia bagi pendapat, baru mula kerja kita.

Masa untuk kita pula bercakap @ bagi nasihat. Ada banyak cara. Salah satunya tanya soalan, yang ringkas tapi buat mereka berfikir. Contoh, konsep trinity dalam kristian. Bagi perumpaan seperti dua pemerintah dalam satu kerajaan. Sudah tentu banyak keputusan perlu dibuat. Yang seorang mahukan begini, yang itu mahukan begitu. Lama kelamaan huru hara jadinya. Jadikan perumpaan ini dalam bentuk soalan. Yang penting, nada suara kita. Biar bersahaja, supaya nanti dia tak tersalah sangka. Mungkin dia akan fikir kita menyindir atau mahu memerangkap.

Kemudian, perhatikan responnya. Kalau dia boleh terima dengan kata-kata kita walaupun kita mengaitkan sensitiviti agama, teruskan. Kalau tidak, kurangkan atau elakkan terus kaitkan dengan agama.

Cara kedua, kaitkan sains dan teknologi dengan islam. Sekarang dah banyak penemuan-penemuan baru dalam sains yang boleh dikaitkan dengan islam. Banyakkan membaca. Takpun, tengok Channel History (555) di Astro. Ada satu rancangan tajuknya, Science & Islam. Rancangan yang sangat menarik.


Setakat ini saja dulu, mati akal nak buat ayat. Semalaman memandu dari Perak ke Pahang.

P/S: Cuma yang perlu ditekankan lagi ialah nada suara. Jangan sampai menyakitkan hati mereka. Boleh Syidah? Menjawab soalan tak?

Saturday, May 23, 2009

Gurau

Salam...

Sudah lama benar tidak menulis. Maklumlah, musim cuti ni, susah sikit nak dapat internet di kampung. Ada peluang menulis di blog ketika di U saja. Jadi bila ada peluang ni, kena manfaat betul-betullah. Ye idok?

Sekembalinya ke kampung (di Perak) hinggalah detik ketika penulis menaip entri untuk pos kali ni, macam-macam pengajaran yang penulis dapat dari pelbagai peristiwa. Bersyukur pada Allah sebab bagi peluang pada penulis untuk memerhati dan membuat penilaian tentang peristiwa di sekeliling kita. Lupakan saja soal politik di Perak, tidak akan ke mana. Entah bila akan sedar yang Allah lebih berkuasa. Bila dunia ini dipenuhi dengan kekotoran, dari pihak pemimpin hinggalah peringkat pengadilan, maka tunggulah azab Allah. Malas berkomentar panjang tentang perkara ini. Dah muak, jelik.

Hadis Nabi:
Binasalah bagi mereka yang bergurau lalu berbohong untuk membuat orang ketawa. Binasalah! Binasalah!

Ini yang ingin dibincangkan. Bergurau. Bab paling simple. Semua orang bergurau. Dan ingat, bergurau mesti ada batasnya. Penulis sendiri akui, kadang-kadang terlajak juga batas-batas ini. Tapi perlukah sampai menipu untuk bergurau?

Kita pandang ringan saja perkara ini. Anggap macam tiada apa-apa. Tapi bila Nabi sendiri kata binasalah pada mereka yang menipu untuk bergurau. Sampai diulang tiga kali perkataan binasa. Ini dah menunjukkan Nabi tidak pandang enteng dengan perkara ini. Seronok sangat ke buat orang ketawa? Eh, Nabi tak pernah bergurau ke? Nabi sendiri bergurau. Tapi adakah gurauan Nabi sama macam kita?

Memang kita akan suka, bila orang ketawa dengan lawak kita. Sampai dah ada gelaran Raja untuk mereka yang buat lawak. Raja Lawak. Mengarut betul dunia sekarang. Kekadang terasa, Ya Allah kenapalah aku dilahirkan di akhir zaman ini. Kenapa tak bagi peluang untuk hidup di zaman Rasulullah dulu.

Hadis Nabi:
Beruntunglah bagi mereka yang beriman dengan aku semasa aku hidup. Tetapi beruntunglah, beruntunglah dan beruntunglah bagi mereka yang beriman dengan aku selepas aku tiada.


P/s: entri kali ini sekadar warm-up untuk menulis.