Saturday, October 23, 2010

Masalah komunikasi: hilang thiqah sebagai puncanya.

Di dalam organisasi, komunikasi adalah elemen terpenting untuk sebagai asas dalam hubungan antara ketua dan ahli. Arahan dan maklumat diberi adalah dalam bentuk komunikasi. Kebiasaannya, masalah terjadi apabila arahan ketua sukar diikuti kerana halangan dalam komunikasi.

Apa itu komunikasi? Komunikasi secara umumnya ialah proses penyampaian maklumat dari satu pihak (penyampai) kepada pihak yang lain (penerima). Menurut Harold D Lasswell, komunikasi ialah SIAPA mengatakan APA, kepada SIAPA, melalui APA dan untuk APA. Manakala Everett M Rogers mentakrifkan komunikasi sebagai satu proses untuk menyampaikan dan menerima idea-idea dan perasaan dengan tujuan untuk menukar perilaku orang ramai.

KEPENTINGAN KOMUNIKASI

1. Memindahkan maklumat
2. Pembelajaran
3. Pengaruh
4. Hiburan
5. Sosialisasi


KOMUNIKASI DAN PENGURUSAN

Kamu sekelian adalah pemimpin dan kamu akan ditanya tentang apa yang kamu pimpin. Pemimpin akan ditanya mengenai hak rakyat yang dipimpinnya. Isteri menjaga hal rumah tangga akan ditanya hal yang dipimpinnya. Pelayan menjaga hak majikannya akan ditanya hal yang dipimpinnya. Kemu sekalian adalah pemimpin dan akan ditanya (diminta bertanggungjawab) terhadap kepimpinan kamu.
-HadisriwayatAl-BukharidanMuslim

Masalah yang ditimbulkan ahli, akan menjadi tanggungjawab seorang ketua. Maka, ketua perlu memastikan komunikasi yang berkesan berlaku antara ketua dan ahli supaya masalah tidak timbul dan seterusnya memberi beban kepada ketua.


HALANGAN KOMUNIKASI

1. Halangan terhadap penghantar (persekitaran, sikap, nilai, harapan)
2. Halangan terhadap pemahaman (bahasa, tahap intelek, persepsi terhadap mesej, panjang komunikasi, kesan terhadap status)
3. Halangan terhadap penerimaan (prejudis konflik antara penerima dan pengirim)

Apa yang ingin saya tekankan, ialah berkaitan dengan konflik antara penerima dan pengirim. Hal ini berlaku kebanyakannya adalah kerana hilang rasa percaya dan keyakinan atau thiqah ahli kepada ketua. Thiqah bermaksud keyakinan seorang ahli terhadap ketua atau pimpinan pada kemampuan dan keikhlasannya, dengan keyakinan yang mendalam sehingga akan melahirkan perasaan kasih, penghargaan, penghormatan dan ketaatan. Dakwah tidak wujud tanpa qiadah, sejauh mana timbal balik thiqah antara pemimpin dan ahli merupakan kekuatan bagi sesuatu organisasi dan kekemasan strategi bagi mencapai matlamatnya serta mengatasi halangan – halangannya.

Firman Allah yang bermaksud :

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehinggalah mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya” ( An-Nisa’ : 65)


MEWUJUDKAN THIQAH

Untuk membentuk thiqah di kalangan ahli:

1. Pemimpin perlu mengenali siapakah ahlinya sebelum ini dan mengkaji latar belakangnya.

2. Pemimpin perlu membuat ahli yakin dengan kemampuan dan keikhlasannya.

3. Akhlak pemimpin perlu dijaga sehingga ahli bersedia untuk menerima bahawa segala arahan yang tidak bertentangan dengan syarak yang dikeluarkan oleh pimpinan sebagai suatu keputusan mutlak yang tidak boleh dipertikai, disangsi, diabai dan diperdebatkan, di samping bersedia memberi nasihat dan menyatakan pendapat yang baik.

4. Hujah pemimpin yang baik perlu dalam kemungkinan bahawa pendapat ahli salah dan pendapat pimpinan itu benar, dalam keadaan wujud percanggahan antara arahan pimpinan dan apa yang diketahuinya tentang soal ijtihad yang tidak dinyatakan sebarang nas syarak.

5. Pemimpin atau ketua perlu bersedia untuk meletakkan kehidupan hariannya di bawah telunjuk dakwah.


MASALAH YANG BERLAKU

Seringkali tercetusnya krisis ketaatan anggota terhadap pimpinan berpunca dari sikap pimpinan yang ‘cakap tak serupa bikin dan bikin tak serupa cakap’ . Bukankah Allah telah menempelak golongan seperti ini :

أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنسَوْنَ أَنفُسَكُمْ وَأَنْتُمْ تَتْلُونَ الْكِتَابَ أَفَلا تَعْقِلُون
Maksudnya : Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?َ ( al- Baqarah: 55 )

Seterusnya, pemimpin memberi kefahaman yang kurang jelas di kalangan ahli untuk memahami sesuatu arahan. Dan yang terakhir, keegoan akademik dan keegoan senioriti menyebabkan sesuatu taklifan itu tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

Monday, October 11, 2010

Menulis bukan sekadar copy, edit and paste

Walaupun telah 3 tahun melibatkan diri dalam penulisan blog, minat menulis saya telah ada sejak dari zaman persekolahan lagi. Seawal tingkatan 1, saya mula berminat untuk menghasilkan cerpen, puisi malah ada artikel-artikel berbentuk motivasi. Kebanyakan (90%) daripadanya disimpan untuk koleksi sendiri, dan tidak pernah dilihat oleh orang lain. Pernah salah satu daripada cerpen saya telah ditunjuk kepada seorang kawan. Akibatnya, satu kelas bergilir membacanya dan memberi komen. Tidak sedikit yang mengkritik. Tapi, saya diamkan saja. Proses belajar, fikir saya.

Semasa belajar di MRSM Muadzam Shah, minat menulis tidak juga hilang walaupun saya mengambil jurusan sains tulen. Malah, bila ada Kursus Sastera yang dianjurkan di sekolah lain yang berdekatan, saya turut serta. Kebetulan, guru homeroom saya, Cikgu Wani Mazni, adalah guru Bahasa Melayu. Lebih mudah untuk saya mengikuti dan mempelajari teknik penulisan yang betul. Saya juga aktif terlibat dalam sesi pembelajaran kelas Bahasa Melayu, tidak pula mengantuk dalam kelas tersebut berbanding dengan kelas Matematik Tambahan yang lebih memerlukan daya fikiran yang tajam.

Pengalaman-pengalaman ini membuatkan saya bertambah minat untuk menulis dan terus menulis. Saya kagum dengan penulis-penulis buku yang saya baca (walaupun tak kenal), kerana imaginasi dan susunan kata-kata mereka begitu hebat.

Di dalam bidang penulisan ini, tiga prinsip yang saya pegang ialah:

1) Menulis perlu membaca – penulis yang baik membaca lebih banyak daripada menulis.

2) Jadi diri sendiri – tulisan yang saya buat adalah tulisan saya sendiri meskipun ada artikel, buku, cerpen lain yang dirujuk, saya berusaha untuk menulis semula dari perspektif saya sendiri.

3) Tatabahasa - mestilah betul seperti ejaan dan sebagainya. (Walaupun terkadang saya pun ada terlepas pandang)

Sungguhpun 8 tahun sudah berlalu, saya masih bukan penulis yang baik, juga masih dalam proses belajar. Lebih sukar untuk mencapai kematangan penulisan, kerana saya sendiri bukan berada dalam pengkhususan tersebut. Tetapi, yang saya tahu, sebagai pesanan kepada rakan-rakan, menulis bukan sekadar copy, edit and paste.

Generasi Ibadurrahman

Menurut buku Nafahat Al-Jumaah: 12 Peribadi Cemerlang Ibadurrahman, karangan Syeikh Yusuf Al-Qaradhawiy, Ibadurrahman bermaksud mereka yang layak mendapatkan rahmat ALLAH dan selalu berada dalam naunganNya. Hal ini dinisbahkan kepada dzat ALLAH iaitu Ar-Rahman. Ciri-ciri golongan ini telah disebutkan oleh ALLAH dalam surah al-Furqan.



Firman ALLAH dalam surah al-Furqan : 63-67
"Dan hamba Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang yang berkelakuan kurang adab hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat daripada perkara yang tidak diingini. Dan mereka yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri.
Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: 'Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahanam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu mengerikan.' Sesungguhnya neraka Jahanam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang buruk. Dan juga mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil, kedekut, dan sebaliknya perbelanjaan mereka adalah betul sederhana antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu."



Antara ciri Ibadurrahman ialah:


1. Merendah diri (berjalan di bumi dengan sopan santun)

Sopan santun yang disebut dalam firman ALLAH di atas, bukanlah menyuruh berjalan lambat dan perlahan seperti orang sakit. Tetapi, Mukmin yang bersikap sopan merendah diri, tidak sombong apabila berjalan di muka bumi ALLAH. Tidak memalingkan muka dari orang lain, dan tidak takbur lagi membangga diri. Itulah yang dimaksudkan dengan berjalan di bumi dengan sopan santun.


2.Murah hati

Orang Mukmin yang mendapat redha ALLAH, tidak akan membalas kata-kata cacian atau makian dengan keburukan semula. Tetapi, mereka membalas dengan kebaikan dan kata-kata yang selamat; yang menjauhkan diri dari masalah yang lebih besar.


3. Mendirikan solat malam

Individu yang rajin mengerjakan qiamullail, terutamanya pada 1/3 malam, adalah salah-satu contoh Ibadurrahman. Nabi Muhammad SAW yang terpelihara dari dosa sendiri solat malam sehingga bengkak-bengkak kakinya, apatah lagi kita yang banyak dosa ini.


4. Takut neraka

Apa yang mendorong Mukmin untuk berada dekat dengan ALLAH? Tidak lain tidak bukan, adalah rasa takut kepada azab ALLAH dan berharap kepadaNYA. Golongan Ibadurrahman sentiasa berdoa supaya dijauhkan dari api neraka.


5. Sederhana membelanjakan harta

Tidak boros dan tidak pula kedekut. Tida boros ialah tidak membelanjakan harta sesuka hati tanpa kepentingan. Tidak pula ia kedekut dalam membelanjakan hartanya kepada jalan ALLAH.


Firman ALLAH lagi dalam surah al-Furgan: 68
"Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu selain ALLAH, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan ALLAH untuk membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak dan tidak pula berzina; dan sesiapa yang berbuat demikian akan mendapat balasan dosanya."

6. Bertauhid

Diterangkan lagi dalam ayat seterusnya surah al-Furqan seperti di atas, bertauhid ialah tidak menyekutukan ALLAH dengan segala sesuatu.


7. Tidak membunuh dan menghormati kehidupan.

Iaitu mereka yang tidak membunuh kecuali yang disyariatkan sahaja, juga menghormati kehidupan sendiri dan orang lain. Ia juga bermaksud tidak mensia-siakan hidup diri sendiri dan orang lain seperti membunuh diri dan sebagainya.


8. Menjauhi zina

Zina ini dijauhkan oleh golongan Ibadurrahman. Kerana ingin menjaga keturunan mereka daripada kecelaruan. Zina juga adalah lambang kerosakan akhlak satu masyarakat, sepertimana riba adalah lambang kerosakan ekonomi.


9. Taubat nasuha

Firman ALLAH SWT dalam surah al-Furqan, ayat 70-71 (maksudnya):
"Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang itu, ALLAH akan menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal salih, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat."

Orang yang berdosa perlu bertaubat dengan syarat; 1)penyesalan 2)hasrat untuk tidak mengulangi dosa 3)memutuskan hubungan dengan perkara yang boleh melibatkan dosa.


10. Tidak bersumpah palsu dan melakukan perkara sia-sia.

Al-Furqan : 72
"Dan mereka yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara yang dilarang, dan apabila bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya."

Kesaksian palsu bermaksud berbohong dan memutarbelitkan fakta. Memberi kesaksian palsu mempunyai persamaan dengan syirik kepada ALLAH; kerana ia tersembunyi pengabaian hak dan mencetus permusuhan. Ibadurrahman juga menjauhkan diri dari tempat-tempat mungkar agar ia tidak terpalit sama dengan keburukan tempat tersebut. Selain itu, mereka juga tidak bersubahat dengan perkara sia-sia.


11. Menyelami kata-kata ALLAH

"Dan juga mereka yang apabila diberi peringatan dengan ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara pekak dan buta." (al-Furqan:73)

Al-Quran merupakan kata-kata ALLAH yang mempunyai banyak keterengan tentang kekuasaanNYA, kebesaranNYA dan juga hukumNYA. Untuk tergolong dalam Ibadurrahman, seseorang itu perlu membaca al-Quran, memahaminya dan mengamalkannya.


12. Memohon kebaikan untuk isteri dan keluarga

"Dan juga mereka (yang diredhai ALLAH ialah) yang berdoa dengan berkata: 'Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat-zuriat kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang mahu bertakwa'." (al-Furqan:74)

Apakah makna sifat ini? Mereka berdoa kepada ALLAH agar dianugerahkan isteri dan keturunan yang baik, yang melapangkan dada serta menggembirakannya. Mereka juga memohon untuk dijadikan pemimpin bagi orang bertakwa. Ini kerana dalam membentuk generasi Ibadurrahman, ia bermula dengan institusi kekeluargaan. Oleh itu, anak-anak yang lahir, akan dididik dengan Islam dan dicorakkan untuk menjadi Ibadurrahman.

Tuesday, October 5, 2010

Dakwah untuk siapa?

Sesungguhnya kalau nak dibandingkan ilmu manusia dan ilmu ALLAH itu, diibaratkan seperti mencelup jari ke dalam laut. Air yang melekat pada jari itu adalah ilmu manusia, manakala ilmu ALLAH tak cukup untuk dibandingkan dengan dua kali laut tersebut. Maka, siapa saya? Ilmu saya tak sampai separuh titis pun daripada air yang melekat pada jari tadi.

Saya bukanlah orang yang layak untuk menjadi pendakwah (daie), meskipun tanggungjawab dakwah itu terletak pada bahu setiap muslim yang mengaku dengan kalimah syahadah. Saya juga bukanlah ustaz yang betul-betul faqih dalam ilmu agama, sehingga saya layak untuk menulis blog sebagai tazkirah.

Tetapi ingatkah kita pada satu hadis Rasulullah SAW (maksudnya):

Dari Abi Sa'id Al-Khudri r.a. telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda :

"Barangsiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia merubah/mencegah dengan tangannya (kekuasaan) jika ia tidak mampu, maka dengan lidahnya (secara lisan), dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya (merasakan tidak senang dan tidak setuju). Dan itu adalah selemah-lemah Iman".

Di riwayatkan oleh Imam Muslim [no:49]">

Ya, pada zaman sekarang, iman kita tak sehebat mana. Tak setinggi mana. Dianalogikan iman umat akhir zaman ialah senipis kulit bawang. Ditambah pula dengan bermacam kemungkaran yang ada di sekeliling kita. Jadi, kita beralasan atas lemahnya iman itu, kita hanya mampu melahirkan perasaan benci terhadap kemungkaran.

Persoalannya, sampai bila harus kita berterusan dengan rasa benci itu? Bukankah saranan supaya 'hari ini lebih baik dari semalam, esok lebih baik dari hari ini' sudah cukup memberitahu kita yang kita perlu meningkatkan tahap iman itu? Bukan dengan hanya sekadar benci, tetapi cuba mengubah kemungkaran dengan lisan, dan lebih baik mengubah dengan tangan. Apakah nanti tiba di akhirat, ALLAH akan terima alasan atas rendahnya iman?

Wahai sahabat, yang mengaku berada di dalam perjuangan Islam. Perjuangan kamu bukan sahaja untuk kamu dan kumpulan-kumpulan kamu. Islam yang kamu bawa, saya bawa, Islam yang kita pegang, untuk semua. Jadi, adakah kita masih mahu memberi alasan lemahnya iman, sekiranya yang membuat kemungkaran itu, teman sebilik kita? Teman sekuliah kita? Ahli keluarga kita?

Kecewa betul apabila teman yang mengaku berjuang dalam Islam, tetapi tak dapat nak menegur rakan yang tidak berakhlak, yang tidak solat. Agenda dakwah apa yang kita nak bawa? Cukupkah sekadar tunjuk contoh yang baik? Dakwah perlukan pembaharuan. Jika kita hari ini, begini metod kita berdakwah, esok kita perbaiki lagi. Tak kira siapa pun sasaran kita, Muslim, non-Muslim, anti-Islam. Jom, sama-sama kita berubah. Ayuh pemuda, bangkit dari lena, kita juang untuk ke sana!!!

InsyaALLAH, la takhaf wa la tahzan, innalllaha ma'ana.

Monday, October 4, 2010

Kisah satu malam.

“Abang dulu bukan baik pun,” kata abang Din (bukan nama sebenar), pemandu bas kedua kami. Ketika itu dalam perjalanan pulang daripada UTM sempena pertandingan nasyid kebangsaan. Kebetulan bukan dia yang memandu. Kami berdua saja yang berbual, sedang yang lain dibuai mimpi.

“Bukan baik macam mana pula?” tanya saya. Sebelum itu, kami berbincang tentang persoalan agama. Sungguh, perbicaraan yang biasa-biasa. Kenyataan abang Din tadi, mengubah bicara dari yang biasa-biasa kepada sesi luahan dan muhasabah yang serius.

“Abang dulu sembahyang pun tunggang-langgang, rezeki halal haram pun lintang-pukang,” jawab abang Din. Dia tertunduk.

“Kenapa cakap macam tu?” Saya tahu, ini bukan soal main-main. Luahan abang Din bukan sekadar berbasi-basa pada perbualan semata. Ia kerana abang Din sedar, dulunya dia telah silap. Dia mahu berubah. Dan dia perlukan bantuan. Waktu itu, secara automatiknya mengisi jawatan itu. Ini tugas daie, saya takkan sia-siakannya.

“Yalah, abang ni tak solat, tak jaga ibadat. Anak-anak pun abang tak lengkapkan dengan ilmu agama.” Saya cuma menggangguk. Sebagai pendengar yang baik, yang penting jangan banyak soal atau banyak cakap. Dengar, dengar dan DENGAR.

“Macam mana abang nak buat ye? Anak dan isteri abang, kurang sangat ilmu agama ni. Abang pun. Abang ada anak berumur 6 tahun. Meninggal tahun lepas, kemalangan. Abang tak sempat nak corakkan dia dengan agama pun.” Saya lihat genangan air mata pada kelopak matanya. Dia ceritakan lagi kisah-kisah silamnya yang tak perlu saya ceritakan di sini.

Saya pegang bahunya lalu bertanya “Abang, mahu tak abang saya cerita kisah anak-anak kecil yang mati sebelum baligh di alam akhirat nanti?”

Dia mengangguk perlahan.

“Anak-anak yang mati sebelum baligh akan berada di pintu syurga menunggu ibu-bapanya. Mereka tak mahu masuk syurga, selagi tidak bersama ibu-bapanya. Setiap waktu mereka berdoa, ‘Masukkanlah ibubapaku kedalam syurga.’ Macam itulah keadaan mereka setiap hari, sampai hari kiamat nanti.” Saya terdiam seketika, menarik nafas.

“Sebaik saja hari kiamat nanti, mereka akan melangkah ke syurga bersama dengan ibu-bapa mereka. Bagi yang tak bernasib baik, iaitu ibu-bapa yang terkandas semasa titian sirat, anak-anak kecil ini akan menangis dan minta pada ALLAH supaya memasukkan ibu-bapa mereka ini ke dalam syurga. Mereka terus menangis, sehingga Rasulullah perasan akan keadaan tersebut.” Abang Din terus mendengar dengan penuh minat. Sekali-sekala ia mengangguk.

“Rasulullah pun bertanya kepada malaikat, ‘Apa yang membuatkan mereka menangis?’ Malaikat pun berkata, ‘Mereka menangisi ibu-bapa mereka yang tidak dapat masuk ke syurga bersama mereka.’ Rasulullah pun berdoa kepada ALLAH untuk memberi syafaat kepada ibu-bapa tadi. Dengan syafaat Rasulullah dan rahmat ALLAH, ibu-bapa mereka dapat masuk ke syurga bersama mereka.”

Abang Din memandang saya, mengisyaratkan untuk penjelasan yang lebih lanjut.

“Abang Din tak perlu risau keadaan anak abang tu. InsyaAllah, dia mati dalam keadaan belum baligh, suci dari sebarang dosa. Persoalannya, adakah abang layak untuk bersamanya melangkah ke dalam syurga?” jelas saya.

“Itulah…” katanya perlahan.

“Abang Din tak perlu malu untuk belajar.” Kali ini saya memandang tepat matanya. “Saya dulu pun bukanlah macam saya sekarang. Saya pun masih belajar lagi. Banyak salah dan silap saya dulu. Mujur ALLAH sempat tarik saya kembali pada jalanNYA. Abang Din pun, syukur pada ALLAH sebab bagi hidayah dan abang masih sempat untuk berubah, insyaALLAH. Sekarang mahu atau tidak. Usaha untuk belajar dan berubah saja, selebihnya serah pada ALLAH.”

Abang Din tersenyum dan memandang saya. Saya perasan ada kesan air mata pada pipinya. Perbualan kami hanya setakat itu. Bas berhenti untuk rehat dan makan. Selepas perjalanan disambung, abang Din mengambil alih tugas sebagai pemandu. Tidak sempat untuk saya berdialog dengan abang Din lagi. Saya tertidur dalam bas, hanya tersedar bila sampai di UMP.

Walaupun hanya perbualan yang sekejap dengan abang Din, saya tahu dia ikhlas. Sungguh saya bukanlah orang yang sesuai untuk menjadi daie dan bercakap panjang tentang perkara ini. Saya hanya buat apa yang termampu. Saya berdoa moga ALLAH menetapkan hatinya dan hati saya dalam perubahan. InsyaALLAH.

Wallahu’alam.

Firman ALLAH SWT dalam surah al-Furqan, ayat 70-71 (maksudnya):

"Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang itu, ALLAH akan menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal salih, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat."


p/s: Saya mengambil masa yang lama untuk memikirkan tajuk pos ini. Ketandusan idea untuk mencipta tajuk. Maaflah atas tajuk yang tak seberapa ni.

Bacaan dalam sujud

Kata Maulana Syeikh Yusri Rusydi Al-Hasani hafizahullah: bacaan sujud ini sepatutnya kita selang selikan dengan istighfar [memohon ampun]. Seperti contoh:

سبحان ربي الأعلى وبحمده
Subhana rabbiyal a'la wa bihamdihi
رب اغفر لي ولوالدي
Rabbighfir li wa liwalidayya
(Tuhanku ampuni daku dan kedua ibu bapaku)

sebanyak 3x

ataupun jika mahu memendekkan sujud sikit bacalah sekurang2nya:

سبحان ربي الأعلى وبحمده
Subhana rabbiyal a'la wa bihamdihi
رب اغفر لي
Rabbighfir li
(Tuhanku ampuni daku)

sebanyak 3x

Bacaan ini adalah berdalilkan firman Allah Subhanahu wa Taala dalam surah Al-Nasr ayat 3(makdsudnya):

Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.

Dalam ayat ini Allah berfirman supaya kita mengucapkan tasbih terlebih dahulu (سبحان ربي الأعلى وبحمده) dan kemudian mintalah ampun kepadaNya (رب اغفر لي) dan jika mampu untuk sujud panjang sedikit maka tambahkanlah juga permohonan ampun kita untuk ibu bapa kita. (رب اغفر لي ولوالدي) moga2 kita tergolong dalam golongan hambaNya yang diterima taubat.