Friday, March 16, 2012

Kompas dunia.

Anda pernah tersesat dalam hutan? Pada yang pernah, mestilah ia adalah kenangan yang menakutkan, bukan? Yalah, hutan yang besar, pandangan yang terhad, binatang yang buas. Memang menakutkan.



Cuba pula bayangkan anda dikehendaki untuk mengembara berseorangan merentasi sebuah hutan belantara. Hutan Amazon contohnya, yang terkenal dengan ciri-ciri hutan yang menakutkan seperti yang dinyatakan tadi. Apakah peralatan yang paling penting untuk anda bawa? Makanan? Bukankah makanan boleh diperolehi di dalam hutan tersebut? Mancis? Kalian boleh belajar menyalakan api tanpa menggunakan mancis.

Disebabkan anda perlu merentasi hutan tersebut dan sampai ke destinasi yang telah ditetapkan, saya rasa peralatan yang paling penting ialah kompas. Menentukan arah tuju anda di dalam hutan tersebut. Tanpa kompas, perjalanan akan menjadi lebih panjang atau tak sampai langsung, betul? Begitulah pentingnya kompas ketika berada di dalam hutan.

Begitu jugalah kita di dunia ini. Di dalam hutan ada haiwan ganas, di dunia ada manusia yang lebih ganas dari haiwan. Di dunia juga ada dosa, pahala, kawan, lawan, syaitan. Sebab itu ramai yang tersesat. Untuk mengelakkan diri daripada tersesat di dalam dunia, kompas juga diperlukan. Apa kompas dunia?

Itulah namanya hidayah. Hidayah yang ertinya kurniaan, adalah kurniaan ALLAH kepada hambaNya sebagai kompas di dalam kehidupan ini. Oleh sebab pentingnya hidayah, kita diwajibkan memohon hidayah, sekurang-kurangnya 17 kali sehari. (Surah al-fatihah: 6, yang bermaksud “tunjukkanlah aku jalan yang lurus”)

PERINGKAT HIDAYAH
1. Hidayah tabii (asas hidup)
a. Semula jadi dikurniakan ALLAH kepada kita.
b. Contohnya, tangisan bayi yang baru lahir. Rangsangan tumbuhan kepada cahaya.
c. Ia menunjukkan keunikan dan kelebihan makhluk, tapi ia tak lebih kepada basic instinct semata-mata. Ia belum boleh menjadi kompas bagi manusia.

2. Hidayah pancaindera (merasai nikmat hidup)
a. Kurniaan pancaindera yang lima.
b. Mata untuk melihat, lidah untuk merasa, hidung untuk menghidu dan lain-lain.
c. Tapi ia juga terbatas. Mata hanya mampu melihat yang tersurat. Tetapi tidak mampu mentafsirkannya. Fatamorgana sebagai contoh, dari jauh kelihatan air yang bergenang, tetapi apabila dekat barulah kita sedar yang ianya hanya panas yang sangat membahang. Maka, pancaindera mudah tertipu.

3. Hidayah akal (memberi nilai hidup)
a. Untuk menjawab persoalan pancaindera, kita dikurniakan akal untuk menjelaskannya. Manusia dilebihkan daripada haiwan dengan hidayah ini.
b. Manusia kini dapat menjangkau ke alam semesta dengan pemikirannya, yang sudah tentu terbatas dengan pancaindera. Melalui akal, manusia mampu mencipta segala teknologi.
c. Dengan akal semata-mata, kehidupan semakin maju tetapi tetap tidak menjamin manusia untuk semakin baik dan harmoni. Sehebat mana akal fikiran, tetap terhad pada kemampuannya sebagai manusia.

4. Hidayah agama (panduan hidup)
a. Agama adalah pengikat kepada akal supaya akal tidak terpesong pada landasannya sebagai hamba ALLAH.
b. Analoginya, akal umpama kipas yang sedang laju berputar. Agama pula ialah pengikat kipas tersebut kepada dinding atau syiling. Bayangkan kipas yang berputar pasti akan tertanggal jika pengikatnya tidak kuat.
c. Kita mengakui bahawa agama Islam adalah agama yang terbaik. Masalahnya, ada juga umat Islam yang masih melakukan maksiat. Sehingga menjadi fitnah kepada orang lain. Oleh itu, hidayah Islam sahaja belum cukup untuk menjamin seseorang itu berjaya di akhirat kelak.

5. Hidayah taufik (jaminan hidup)
a. Hidayah ini akan terjadi apabila ada muafakat atau persetujuan antara perintah ALLAH dengan perlakuan seseorang. Ciri-ciri orang yang mendapat hidayah ini ialah:
i. Memahami ilmu – bukan sekadar tahu tetapi faham. Bukan seperti burung kakak tua yang tahu berkata-kata tetapi tidak mampu memahami apa yang dikatakannya.

ii. Mengamalkan ilmu – ilmu yang telah difahami wajib diamalkan. Orang yang berilmu tanpa amal, ibarat pohon tanpa buah.
iii. Membenci dosa – orang yang mendapat hidayah taufik akan merasa jijik dengan dosa, hatta dosa kecil sekalipun.
iv. Kemanisan dalam beramal – ibadat yang dilakukan akan terasa manis dan asyik.
v. Mendapat pertolongan daripada ALLAH – inilah bantuan yang telah diberikan kepada tentera Badar.

CARA MENDAPAT HIDAYAH TAUFIK
Hidayah taufik boleh diperolehi dengan mengamalkan hidayah Islam dengan bersungguh-sungguh. Walaupun belum terasa asyik beramal, tetapi tetap dan teruskan juga. Moga-moga ia terbiasa dalam hidup. Gunakanlah sepenuhnya hidayah-hidayah yang diterangkan tadi untuk mendapatkan hidayah taufik. Selepas berusaha barulah berdoa dan bertawakal kepada ALLAH.

InsyaALLAH moga-moga tergolong dalam golongan yang mndapat hidayah taufik.

Sumber: mukmin profesional, celik mata hati.

No comments: