Wednesday, January 6, 2010

Kepimpinan Islam

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi." Mereka berkata, "Mengapa Engkau hendak menjadikana di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman, "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."

Kepimpinan merupakan perkara terpenting yang diberikan penekanan dalam Islam. Justeru nabi Adam A.S diciptakan sebagai orang pertama diberikan amanah untuk memimpin. Di dalam al-Quran dan Sunnah, istilah pemimpin terdiri daripada khalifah, imam, imamah atau aimmah. Kepimpinan juga ditujukan kepada semua umat manusia seperti telah dinyatakan di atas.

Dalam Islam, konsep kepimpinan ini telah diatur supaya menjadi panduan kepada umat Islam sendiri. Secara ringkasnya, kepimpinan Islam adalah:


1. Berteraskan konsep khalifah Allah SWT. Setiap manusia adalah pemimpin yang bertanggungjawab memimpin dirinya, keluarganya dan ahli di bawah jagaannya.

Hai orang-orang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya terdiri dari manusiadan batu: penjaganya adalah malaikat yang kasar, keras dan tidak menderhakai Allah terhadapa apa yang Allah perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan. (At-Tahrim:6)

2. Melaksanakan amal ma'ruf nahi mungkar (seru kebaikan cegah kemungkaran).

3. Digerakkan oleh ilmu, iman dan amal soleh yang diteraskan dengan keikhlasan. Bukan bersandarkan kemahuan hawa nafsu semata.

4. Bukan sesuatu yang boleh dijadikan rebutan . Malah bukan untuk dipohon atau menawar diri untuk menjawat sesuatu jawatan.

5. Mencakupi urusan dunia dan akhirat. Pemimpin perlu sedar dan insaf bahawa setiap tanggungjawab akan dipersoalkan bukan sahaja di dunia, malah di akhirat.

6. Tidak wujud unsur pemujaan terhadap pemimpin dan tidak ada manusia biasa sebagai pemimpin yang ma'sum.

7. Menganjurkan kepatuhan bersyarat. Sekiranya pemimpin menyeleweng dari Islam, tidak perlu ditaati dan dipatuhi seperti yang dijelaskan dalam hadis nabi yang bermaksud:

"Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam maksiat kepada Allah."

8. Beroperasi beroperasi atas dasar syura. Pemimpin perlu berbincang dengan ahli bawahan sebelum sesuatu keputusan dijalankan.

9. Pemimpin yang dipilih adalah berdasarkan ketaqwaan kepada Allah. Nabi Muhammad SAW pernah menolak permintaan Abu Dzar al-Ghifari yang menawarkan diri untuk menjawat sesuatu jawatan. menerusi sabdanya yang bermaksud:

"Anda seorang yang lemah, sedangkan tugas ini adalah satu amanah, ia menyusahkan dan menjadi satu penyesalan di hari akhirat nanti, kecuali bagi yang mengambilnya secara hak dan menunaikan tanggungjawab yang terpikul di bahunya." (riwayat Muslim)



Biro Kebudayaan Islam SAHAM

Salam dan selamat sejahtera,

Ramai di antara kita merungut yang pelajar perlukan hiburan untuk melepaskan tekanan. Namun, kita tidak sedar hiburan yang salah dipilih akan mengundang kemurkaan Allah SWT. Dan akan membawa kepada lebih banyak perkara yang tidak seharusnya berlaku. Lalu, timbul perspektif bahawa Islam mengongkong manusia untuk berhibur. Hakikatnya, Islam bukan sahaja membenarkan hiburan, malah menyediakan panduan yang teratur untuk kita berhibur.

Sesungguh Allah itu cantik, dan Dia suka kepada yang cantik dan indah.

Hiburan itu indah. Hiburan itu cantik. Jika betul cara dan gayanya, hiburan bukan sahaja dapat melepaskan tekanan, ia juga dapat menjadi satu ibadah kepada Allah. Sekaligus kita akan mendapat pakej 2 dalam 1. Sebaliknya, jika salah memilih hiburan, lahirlah generasi hedonisme.

Atas dasar ingin mencapai objektif di atas dan mempelbagaikan hiburan alternatif di UMP, dimaklumkan bahawa Biro Kebudayaan Islam(BiKI) telah ditubuhkan di bawah kelolaan Sahabat Masjid (SAHAM). Antara aktiviti kesenian yang dijalankan adalah Nasyid, Phantomen dan pelbagai lagi.



Justeru itu, BiKI SAHAM menjemput kepada sesiapa yang berkebolehan atau berminat untuk belajar, bolehlah menyertai BiKI SAHAM dengan memberi nama kepada saya. Setakat ini penyertaan hanya dibuka kepada siswa sahaja. Sesi ujibakat dan latihan akan diadakan pada setiap minggu. Waktu ujibakat dan latihan akan dimaklumkan kemudian.

Selain itu, kepada mereka yang berminat untuk menjemput kami mengadakan persembahan di dalam program anda, anda boleh berbuat demikian dengan memaklumkan kepada saya selewat-lewatnya 2 minggu sebelum program anda.

Sekian, wasalam.

Ketua Biro Kebudayaan Islam SAHAM,
Universiti Malaysia Pahang.
No tel: 014-5079035
Oovoo: ruhul_jadid

Friday, January 1, 2010

Masih ada yang sayang di tahun baru...

Salam tahun baru...

Tanggal 31/12/09, penulis dan beberapa orang sukarelawan dari kampus kami telah menyertai operasi masih ada yang sayang di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) beserta Briged Gempur Cegah Maksiat (BGCM). Sukarelawan dari kampus UIA cawangan Kuantan dan Polisas turut terlibat dalam menjayakan misi ini. Tempat sasaran adalah serata bandar kuantan, taman esplanade dan teluk cempedak.

Setelah dibahagi kepada beberapa kumpulan, kami ditugaskan untuk menyampaikan risalah dan membantu pegawai JAIP dan BGCM untuk memantau dan mencegah kelakuan tidak sopan di ambang tahun baru di teluk cempedak. Bermula dari petang tersebut hinggalah ke pagi 1/1/2010. Tapi, tugas kami hanya bermula pada 9 malam sehingga 3 pagi. Banyak pengalaman dan pengajaran yang kami dapat dari operasi ini. Namun, bukanlah niat penulis untuk melaporkan operasi ini. Cuma ingin berkongsi tentang hakikat dan realiti umat sekarang.

Kita bercakap tentang soal realiti. Di mana dunia luar sana, luar dari kehidupan kampus. Di kampus boleh kita katakan masih selamat, masih lemah arus kekacauan yang boleh merasuk pemikiran kita. Tetapi realitinya, kita sendiri masih belum mampu menjamin fikrah dan pegangan kita sekarang akan terus utuh tersemat dalam hati bila berada di dunia luar.

Berbalik pada operasi masih ada yang sayang tadi, kami bersama penguatkuasa JAIP dan BGCM hanya sehingga tengah malam. Kami, sukarelawan, seakan ada keberanian berganda bila bersama orang mempunyai kuasa seperti pegawai JAIP. Bila ada pasangan ditegur atau dicekup, mereka tidak berani melawan. Atas dasar takut disaman atau mungkin ditahan dan diberi kaunseling percuma di malam tahun baru. Mereka takut pada kuasa yang ada pada MUIP. Persoalan, adakah mereka takut Allah lebih dari mereka takut pada pegawai MUIP?

Seterusnya, bila ketiadaan pegawai JAIP, kami bergerak sendiri untuk mengedar risalah den mencegah maksiat. Semasa inilah cabaran sebenar bermula. Tiada kad kuasa yang boleh ditunjukkan, tiada tiket saman yang akan dikeluarkan untuk menakutkan mereka ini. Yang ada cuma bermodalkan air liur dan risalah di tangan. Ada yang memberi kerjasama, tak kurang juga yang melawan. Tak puas hati. Seperti seorang brother ni, pandang dan renung kami semacam. Tak puas hati sangatlah tu.

Takut? Risau? Sudah tentu ada. Tetapi kami semua menanam semangat yang Allah akan bantu mereka yang bantu agama Allah. Kalau nak diikutkan tidak layak nak dibanding dakwah zaman sahabat dengan dakwah yang kami usahakan ini. Sekadar kemampuan kami saja.

Apa yang ingin penulis tekankan di sini ialah, kuasa. Orang ramai akan patuh dan beri kerjasama sekiranya ada kuasa. Islam akan mudah disebar dan diterima andai ada kekuasaan. Dakwah dan tarbiyah akan laju bila adanya kuasa. Maksiat, jenayah boleh dihapuskan dengan kekuasan. Mahu ini semua terjadi? Izinkanlah Islam berkuasa di Malaysia ini. Masa untuk berubah. Impak perubahan di tangan kita semua. Fikirkanlah.

Salam...

Tuesday, December 15, 2009

Lemahnya masa cuti...

Salam perjuangan,

Sempat juga penulis mencoret sesuatu dalam blog semasa cuti-cuti ni. Maafkan penulis kerana memang meninggalkan blog ini ketandusan entri. Bukan apa, susah nak mendapat peluang melayari internet.

Bagaimana cuti? Seronok? Sunyi pun ada? Macam mana pula yang dilanda banjir baru-baru ni? Sabarlah, bak kata P Ramlee, "cobaan...".

Bagi penulis, tanpa sokongan dari teman-teman, memang terasa lemah. Tersangat lemah. Tengoklah, sampai tajuk entri pun ditulis lemah. Bukan cuti tu yang lemah. Penulis ni yang lemah. Tak tahan godaan. Pertama sekali bab makananlah. Nafsu makan memang tiada batasan. Kuasa tanpa sempadan.

Tapi, apa-apa pun. Kita sama-samalah sentiasa perbaiki diri. Walaupun kita cuti belajar, tapi Raqib dan Atid tak pernah bercuti menemani kita. Sendiri ingatlah ye.

Hurm, terpaksa pergi dulu. Iyalah, jumpa lagi nanti. Tunggu entri seterusnya...salam

Wednesday, November 4, 2009

Agama itu nasihat

Dalam satu hadis Nabi SAW, ada menyebut tentang agama itu adalah nasihat.

Dari Tamim Ad Dary bahwasannya Nabi bersabda: "Agama adalah Nasihat". kami bertanya: Untuk siapa? Baginda bersabda: "Untuk Allah, KitabNya, Rasul-Nya dan para pemimpin kaum muslimin serta seluruh Umat Islam". (H.R Muslim dan An-Nasa' )

Agama yang dimaksudkan pula, semestinya adalah Islam. Jadi, Islam itu adalah nasihat. Berkenaan dengan definisi Islam, Nabi Muhammad SAW telah memberi pelbagai definisi Islam kepada orang yang berlainan. Bukannya mahu mengelirukan, malah ini membuktikan kekreatifan Nabi dalam menarik minat orang terhadap Islam. Tidaklah pula menjadi kesalahan dalam mentakrifkan Islam dalam banyak definisi kerana semua yang dijelaskan oleh Nabi adalah benar dan betul tentang Islam.

Fokus pula pada tajuk entri kali ini. Agama Islam itu sendiri adalah nasihat. Nasihat secara etimologi berasal dari kata nashaha yang bererti khalasa iaitu murni. Manakala nasihat menurut Abu Amr bin Salah adalah menghendaki suatu kebaikan untuk orang lain dengan cara ikhlas baik berupa tindakan atau kehendak. Di sini, Nabi Muhammad SAW mahu menunjukkan betapa penting dan tingginya perbuatan nasihat ini. Dalam pandangan Islam, nasihat adalah asas agama yang sangat penting. Kerana manusia itu perlukan nasihat. Tak kiralah sesiapapun, ahli biasa, mahupun pimpinan. Manusia tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan. Dan kesilapan itu boleh dan perlu dibetulkan dengan nasihat.

Hal ini dikuatkan lagi dengan firman Allah dalam surah al-'Asr (yang bermaksud):

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Melainkan yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesan dengan kebenaran. Dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Merujuk kepada ayat ke3 surah di atas, orang yang tidak rugi adalah orang yang beriman dan beramal soleh. Rujuk pula ayat ke4, dan berpesan dengan kebenaran (nasihat). Secara logiknya, berpesan dengan kebenaran itu sudah termasuk dalam amalan soleh. Allah telah menyebut amalan soleh secara am, sepatutnya tidak perlu untuk ditambah dengan ayat seterusnya. Tetapi, Allah telah mengkhususkan antara amalan soleh itu, yang pentingnya adalah berpesan dengan kebenaran. Ini juga membuktikan betapa Islam mengangkat amalan nasihat ini.

Dalam ayat seterusnya, Allah menambah dengan berpesan dengan kesabaran. Ini bermaksud bila mana kita mengamalkan berpesan dengan kebenaran (nasihat), perlu dan mesti ada sifat kesabaran dalam menyampaikan misi tersebut. Tidak kira apa jua mehnah dan tribulasi yang membuatkan perjalanan misi itu tersangkut dan tersadung, sifat sabar inilah yang menggerakkan supaya kita istiqamah dalam memberi nasihat.

Pesanan penulis, kepada semua sahabat sekalian, nasihatilah dan istiqamahlah dalam perkara tersebut. Jangan tanya diri, sampai bila aku mahu menasihati dia. Tetapi tanyalah diri, bagaimana aku mahu menasihatinya. Jangan sesekali menyerah kalah dan berputus asa.



Bekal bagi orang yang menasihati

1. Ikhlas dalam memberi nasihat.

Nabi Muhammad bersabda kepada Abdullah bin Amr:' Wahai Abdullah bin Amr jika kamu berperang dengan sabar dan ikhlas, maka Allah akan membangkitkan kamu, sebagai orang yang sabar dan ikhlas dan jika kamu berperang karena riya', maka Allah akan membangkitkan kamu sebagai orang riya dan ingin dipuji". (HR. Abu Daud)


2. Menjauhi segala macam niat atau keinginan peribadi.

Seorang yang menasihati sebaiknya meninggalkan segala cita-cita dan keinginan peribadi untuk mendapatkan sesuatu. Para ulama salaf telah banyak memberi contoh dan suri tauladan, seperti Sufyan Atsaury, beliau sering menolak pemberian para penguasa khuatir bila pemberian tersebut menghalanginya untuk mengingkari kemungkaran.


3. Mendahulukan sikap kejujuran dan keberanian

Seorang yang ingin menasihati hendaknya bersikap jujur dan pemberani sebagaimana sabda Nabi: "Jihad yang paling utama adalah menyampaikan kebenaran kepada pemimpin yang dhalim". (HR Abu Daud).


4. Berdoa kepada Allah dengan doa-doa ma'tsur

Dari Ibnu Abbas bahwa beliau berkata: Jika kamu mendatangi penguasa yang kejam (atau orang yang sukar dinasihati), maka berdoalah:

Allah Maha Besar, Allah Maha Tinggi seru semua makhluq-Nya, Allah Maha Tinggi dari semua yang aku takuti dan khuatiri. Aku berlindung kepada Allah yang tiada Tuhan yang haq selainNya, Dialah yang menahan langit yang tujuh sehingga tidak jatuh ke bumi dengan izin-Nya dari kejahatan hamba-Mu dan para pengikutnya, bala tentaranya dan para pendukungnya baik dari jin atau manusia. Ya Allah jadilah Engkau pedampingku dari kejahatan mereka, Maha Tinggi kekuasaan Allah dan Maha Agung serta Maha Barakah NamaNya tiada Tuhan selain Engkau - dibaca tiga kali- (H.R Ibnu Abu Syaibah)

Wednesday, October 28, 2009

Sebat kerana arak: adilkah?

Wacana ilmiah yang bertajuk ‘sebat kerana arak: adilkah?’ yang berlangsung minggu lepas di UIA mendapat respon yang pelbagai. Tak kiralah yang positif atau negatif. Keseluruhannya forum ini memang padat dan sendat dengan fakta dan hujah serta input yang penting bagi kita semua, khususnya pada yang mengaku sebagai pembela agama Islam.

Audien yang begitu ramai menunjukkan betapa masyarakat prihatin tentang masalah yang melanda negara kita. Isu ini sepatutnya tidak diperbesarkan sehingga ke tahap ini, kerana ia memang telah termaktub di dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri. Jadi, tiada apa lagi yang perlu dipersoalkan. Tambahan pula yang mempersoalkan itu adalah dari kalangan yang bukan pakar dalam bahagian perundangan ini sendiri. Namun, disebabkan dengki dan takut Islam yang semakin naik, digunakan juga apa saja hujah, termasuk yang tak masuk akal, untuk menghalang perkara sebegini.

Biarkan apa yang berlaku di negara ini dengan ragamnya. Yang penting di sini, penulis ingin mengupas sedikit input-input terakhir yang diperolehi semasa forum tersebut. Iaitu mengenai faktor-faktor kenapa pengetahuan tentang Islam ini tidak sampai kepada keseluruhan masyarakat. Lalu, ramailah bilangan masyarakat yang beriktikad dengan pegangan yang mereka rasa betul, sedangkan hakikat adalah sebaliknya.

FAKTOR KETIDAKSAMPAIAN ILMU PADA MANUSIA
1. Kejahilan
Jahil ini bermakna tidak tahu, bodoh atau tiada pengetahuan. Masyarakat di serata negara kita ramainya yang semakin celik teknologi dan pelbagai lagi, tetapi malangnya semakin ramai pula yang buta agama. Secara terus terang penulis katakan, sebab terjadinya perkara adalah kerana sistem pendidikan di negara kita yang tidak menekankan sangat aspek agama. Selain itu, kurangnya ambil perhatian terhadap ilmu agama ini berbanding ilmu-ilmu lain.
Penulis lebih suka kepada punca yang kedua tadi iaitu kurang ambil perhatian. Bukan kerana apa, penulis berpendapat adalah lebih baik mengkaji dulu apa yang terjadi pada diri sebelum menuding jari menyalahkan orang lain.

2. Kebebalan
Jahil itu sudah menyusahkan dan memberi impak buruk. Namun lagi menyedihkan apabila si jahil ini bertindak alim dalam perkara yang dia sendiri tidak dalami dan pelajari. Sudahlah mahu memfatwakan hukum sendiri, malah lebih dahsyat lagi apabila pendapat ulama yang sepatutnya dalam bidang tersebut ditolak mentah-mentah seolah-olah mereka ini tahu segalanya. Inilah dikatakan bebal atau kata mudahnya bodoh sombong.

3. Islam gagal sampai kepada semua
Pendekatan badan-badan Islamik di negara ini gagal memaknakan tujuan sebenar mereka ditubuhkan. Kalau dihitung , sudah berlambak badan-badan Islam di negara kita, tetapi usaha untuk menyampaikan Islam itu tidak pernah dimurnikan sebagai satu tujuan utama. Pegawai-pegawai yang bertindak pun tidak menjalankan tugas yang sepatutnya sebagai seorang Islam. Lihat saja perbandingan pada persatuan agama lain. Tidak perlu penulis sebutkan satu persatu di sini.
Kesannya, orang Islam akan mengabaikan Islam dan orang bukan Islam akan terus jauh dari Islam.


CARA MENGATASI
Saya menulis dalam konteks sebagai pelajar, apa perlu kita lakukan dalam menangani masalah ini.
1. Berani
Berani bukanlah bermaksud berani berlawan atau bergaduh. Berani ini dalam menyampaikan kebenaran. Berani juga dalam mencari kebenaran. Kalau yang tahu, tugasnya menyebarkan kepada yang tidak tahu. Kalau yang tidak tahu pula, tugasnya mencari ilmu tersebut.
Muhasabahlah sendiri. Berapa ramai di antara kita yang sanggup menegur rakan-rakan melakukan kesilapan. Sebab kita disuapkan dengan sikap pentingkan diri dan fokus hanya pada pencapaian dunia semata.

2. Dekati semua orang
Pendekatan yang menyeluruh. Bukan kepada satu pihak sahaja. Ini ternyata berat sebelah. Satu pihak kita dekati dan kita berkongsi fakta. Satu pihak lagi kita jauhi dan kita sembunyikan fakta. Dalam menyebarkan ilmu, tidak perlu pilih bulu. Semua orang berhak untuk tahu. Pendekatan ini perlunya didahului dengan keberanian yang dinyatakan di atas. Tanpa keberanian, memang kebenaran tetap tersembunyi sampai bila-bila.

3. Bijak
Hujah yang songsang atau salah tidak perlu dipatahkan di dalam forum atau debat sahaja. Jika kita punyai ilmu, kebijaksanaan dalam berhujah pada diri sudah cukup untuk menjelaskan pada orang terdekat dengan kita. Bijak berhujah juga bukanlah bermaksud anda perlu berbahas dan sebagainya. Jawab secara hikmah sudah memadai. Bukankah Nabi juga berpesan dengan hikmah?


KESIMPULAN
Siapa betul siapa salah telah kita tahu sebelum ke forum ini. Tujuan utama audien memenuhi ruang auditorium malam itu bukan sekadar mencari maklumat. Audien rata-ratanya ingin tahu hujah yang digunapakai dalam sesuatu isu. Sedikit kecewa apabila forum ini tidak menjadi perbincangan dua hala disebabkan ketidakhadiran beberapa panelis. Namun, isi yang mantap, fakta yang tepat dan input yang berguna pada malam itu menaikkan kembali semangat.

Monday, October 26, 2009

Persiapan sebelum perjuangan!!!

Tekanan untuk menghadapi saat peperiksaan sudah mula memuncak. Dengan projek dan pembentangan yang tak sudah-sudah, lagi bertambah tegang. Apa-apa pun, penulis ingin mengucapkan semoga berjaya kepada semua yang bakal menghadapi peperiksaan yang akan datang nanti. Sebagai perkongsian, penulis sertakan beberapa tips untuk menghadapi peperiksaan.


TIPS MENGHADAPI PEPERIKSAAN

1. Fizikal

a) Perlukan tidur yang mencukupi. Waktu tidur yang optimum adalah 6-7 jam sehari bagi pelajar seperti kita. Dalam Islam, walaupun Qiamullail itu digalakkan dan sangat dituntut. Allah SWT perintahkan supaya kita berqailullah, yakni tidur sekejap sebelum zuhur. Tidur 5 minit sebelum zuhur sudah mencukupi untuk menampung waktu Qiamullail pada malam sebelumnya.

b) Riadah itu perlu, tetapi jangan keterlaluan. Cukup sekadar 20 minit sehari dan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu. Kepentingan untuk bersukan atau riadah ini adalah untuk memastikan seluruh tubuh kita aktif dan dapat melancarkan peredaran darah.

c) Jagalah keselamatan diri semasa musim peperiksaan. Jauhkan dari melakukan aktiviti yang berbahaya. Elakkan dari terlibat dalam kemalangan. Sentiasalah berhati-hati.

d) Jaga diet pemakanan. Makanan berkolestrol tinggi, berlemak dan memudaratkan kesihatan, perlulah dijauhkan.
"Makanlah dari makanan yang baik yang telah Kami berikan" (Al-Baqarah : 57).
Makanan yang baik bermaksud halal sumbernya, bersih dan tidak memudaratkan.


2. Mental

Persiapan mental penting kerana mentaliti yang baik akan menentukan tindakan yang dihasilkan adalah baik. Rasionalkan respon kita pada perkara yang berlaku di sekeliling. Jangan sesekali berfikiran negatif di atas perkara yang tidak diingini berlaku. Sebaliknya, fikirlah secara positif dengan menjadikan masalah kepada satu peluang.


3. Emosi

Emosi akan mempengaruhi mentaliti seseorang. Secara tak langsung, tindakan yang terbias dari diri kita juga akan dipengaruhi. Peristiwa yang berlaku di sekeliling, tidak kira menggembirakan, menyedihkan atau apa saja, pastikan emosi kita stabil.

Peristiwa tidak mencetuskan emosi. Tanggapan kita pada sesuatu peristiwalah, yang mewujudkan emosi.


4. Rohani

a) Sentiasa bermunajat kepada Allah. Berdialoglah denganNya. Tiada sesiapa selain Allah untuk kita sandarkan harapan dan harapkan pertolongan.

b) Zikir dan bacalah al-Quran. Dalam surah ar-Ra'd:36 (maksudnya); "sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang."

c) Jauhkan diri dari melakukan maksiat. Perkara maksiat akan menggelapkan hati dan membuatkan otak lembap.





Semoga berjaya!!!