Friday, January 1, 2010

Masih ada yang sayang di tahun baru...

Salam tahun baru...

Tanggal 31/12/09, penulis dan beberapa orang sukarelawan dari kampus kami telah menyertai operasi masih ada yang sayang di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) beserta Briged Gempur Cegah Maksiat (BGCM). Sukarelawan dari kampus UIA cawangan Kuantan dan Polisas turut terlibat dalam menjayakan misi ini. Tempat sasaran adalah serata bandar kuantan, taman esplanade dan teluk cempedak.

Setelah dibahagi kepada beberapa kumpulan, kami ditugaskan untuk menyampaikan risalah dan membantu pegawai JAIP dan BGCM untuk memantau dan mencegah kelakuan tidak sopan di ambang tahun baru di teluk cempedak. Bermula dari petang tersebut hinggalah ke pagi 1/1/2010. Tapi, tugas kami hanya bermula pada 9 malam sehingga 3 pagi. Banyak pengalaman dan pengajaran yang kami dapat dari operasi ini. Namun, bukanlah niat penulis untuk melaporkan operasi ini. Cuma ingin berkongsi tentang hakikat dan realiti umat sekarang.

Kita bercakap tentang soal realiti. Di mana dunia luar sana, luar dari kehidupan kampus. Di kampus boleh kita katakan masih selamat, masih lemah arus kekacauan yang boleh merasuk pemikiran kita. Tetapi realitinya, kita sendiri masih belum mampu menjamin fikrah dan pegangan kita sekarang akan terus utuh tersemat dalam hati bila berada di dunia luar.

Berbalik pada operasi masih ada yang sayang tadi, kami bersama penguatkuasa JAIP dan BGCM hanya sehingga tengah malam. Kami, sukarelawan, seakan ada keberanian berganda bila bersama orang mempunyai kuasa seperti pegawai JAIP. Bila ada pasangan ditegur atau dicekup, mereka tidak berani melawan. Atas dasar takut disaman atau mungkin ditahan dan diberi kaunseling percuma di malam tahun baru. Mereka takut pada kuasa yang ada pada MUIP. Persoalan, adakah mereka takut Allah lebih dari mereka takut pada pegawai MUIP?

Seterusnya, bila ketiadaan pegawai JAIP, kami bergerak sendiri untuk mengedar risalah den mencegah maksiat. Semasa inilah cabaran sebenar bermula. Tiada kad kuasa yang boleh ditunjukkan, tiada tiket saman yang akan dikeluarkan untuk menakutkan mereka ini. Yang ada cuma bermodalkan air liur dan risalah di tangan. Ada yang memberi kerjasama, tak kurang juga yang melawan. Tak puas hati. Seperti seorang brother ni, pandang dan renung kami semacam. Tak puas hati sangatlah tu.

Takut? Risau? Sudah tentu ada. Tetapi kami semua menanam semangat yang Allah akan bantu mereka yang bantu agama Allah. Kalau nak diikutkan tidak layak nak dibanding dakwah zaman sahabat dengan dakwah yang kami usahakan ini. Sekadar kemampuan kami saja.

Apa yang ingin penulis tekankan di sini ialah, kuasa. Orang ramai akan patuh dan beri kerjasama sekiranya ada kuasa. Islam akan mudah disebar dan diterima andai ada kekuasaan. Dakwah dan tarbiyah akan laju bila adanya kuasa. Maksiat, jenayah boleh dihapuskan dengan kekuasan. Mahu ini semua terjadi? Izinkanlah Islam berkuasa di Malaysia ini. Masa untuk berubah. Impak perubahan di tangan kita semua. Fikirkanlah.

Salam...

No comments: