Solat Subuh memang solat wajib yang paling sedikit jumlah rakaatnya; hanya dua rakaat saja. Namun, ia menjadi penentu keimanan seseorang dan ujian terhadap kejujuran, kerana waktunya sangat sempit (sampai matahari terbit).
Ada hukuman khusus bagi yang meninggalkan solat Subuh. Rasulullah saw telah menyebutkan hukuman berat bagi yang tidur dan meninggalkan solat wajib, rata-rata penyebab utama seorang muslim meninggalkan solat Subuh adalah tidur.
“Sesungguhnya saat jatuhnya azab kepada mereka ialah di waktu Subuh; bukankah Subuh itu sudah dekat?” (QS Huud:81)
“Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isya’ dan solat Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya, niscaya mereka akan mendatangi keduanya (berjamaah di masjid) sekalipun dengan merangkak” [HR Al-Bukhari dan Muslim]
Kelebihan subuh:
“Berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang banyak berjalan dalam kegelapan (waktu Isya’ dan Subuh) menuju masjid dengan cahaya yang sangat terang pada hari kiamat” [HR. Abu Dawud, At-Tarmidzi dan Ibnu Majah]
“Barang siapa yang menunaikan solat Subuh maka ia berada dalam jaminan Allah. Solat Subuh menjadikan seluruh umat berada dalam jaminan, penjagaan, dan perlindungan Allah sepanjang hari. Barang siapa membunuh orang yang menunaikan solat Subuh, Allah akan menuntutnya, sehingga Ia akan membenamkan mukanya ke dalam neraka” [HR Muslim, At-Tarmidzi dan Ibnu Majah]
Allah akan memberi cahaya yang sangat terang pada hari kiamat nantinya kepada mereka yang menjaga solat Subuh berjamaah (bagi kaum lelaki di masjid), cahaya itu ada di mana saja, dan tidak mengambilnya ketika melewati Sirath Al-Mustaqim, dan akan tetap bersama mereka sampai mereka masuk surga.
Besar betul ganjaran orang yang solat Subuh, apa lagi yang berjemaah di masjid. Tetapi sedih, sebabnya umat Islam zaman sekarang tidak ambil peduli pun tentang kelebihan ini. Betapa munafiknya kita sekarang, astaghfirullah.
Kemenangan takkan tercapai jika kita masih leka, apatah lagi lalai dalam bab solat.
Solusinya, kita semua perlu mainkan peranan masing-masing. Di sini penulis senaraikan peranan-peranan yang boleh sama-sama kita lakukan. Cuma, perlukan kekuatan individu itu sendiri.
-Ikhlaskan niat kerana Allah, dan berikanlah hak-hak-Nya
-Bertekad dan bermuhasabah diri setiap hari (mungkin ada dosa-dosa yang kita lakukan sehingga susah untuk bangun Subuh)
-Bertaubat dari dosa-dosa dan berniatlah untuk tidak mengulangi kembali
-Perbanyaklah membaca doa agar Allah memberi kesempatan untuk shalat Subuh (bayangkan hari ini Subuh kita yang terakhir-bak lagu Rabbani-Subuh terakhir)
-Carilah kawan yang baik (yang mampu bangun Subuh-kita boleh tidur di rumahnya supaya mudah dikejutkan, tidur di masjid bersama dll)
-Latihlah untuk tidur dengan cara yang diajarkan Rasulullah saw (tidur awal; berwudhu sebelum tidur; miring ke kanan; berdoa)
-Mengurangi makan sebelum tidur serta jauhilah teh dan kopi pada malam hari (kafein membuatkan kita susah tidur, kemudian mengantuk pada esok harinya)
-Ingat keutamaan dan hikmah Subuh (tulis dan gantunglah di atas dinding)
-Ajaklah orang lain untuk solat Subuh (miss call rakan-rakan yang susah bangun Subuh, kejut dari bilik ke bilik)
Apa sahaja tips/peranan, perlukan usaha diri sendiri. Mahu tidak mahu, semuanya terbias pada keinginan dan mujahadah diri. Jangan membiasakan diri dengan alasan, "Saya memang susah bangun." ALLAH akan terimakah alasan ini bila kita berhadapan denganNya nanti?!
“Sesungguhnya amal manusia yang pertama kali dihisab pada hari kiamat adalah solatnya” Jika solatnya baik, maka baik pula seluruh amalnya; dan kalau buruk, maka buruklah seluruh amalnya. Bagaimana mungkin seorang mukmin mengharapkan kebaikan di akhirat, sedang pada hari kiamat buku amalannya kosong dari solat Subuh tepat pada waktu?
No comments:
Post a Comment