Monday, March 29, 2010

Anak Soleh

Anak yang soleh bukan sahaja anak yang baik, bersopan-santun dan taat kepada ibu-bapa sebagaimana yang disangka oleh kebanyakan kita, tetapi yang lebih utama dari itu ialah anak yang menjaga agamanya. Anak yang soleh ialah anak yang taat kepada Allah, yang tahu kewajipannya sebagai hamba Allah dan tahu tanggungjawabnya kepada agamanya. Apabila seorang anak dididik dengan taat kepada Allah dan patuh kepada suruhan agama, InsyaAllah, anak itu secara automatik akan taat kepada ibubapanya dan akan menjaga akhlaknya di mana-mana sahaja ia berada.

“Apabila matinya seorang manusia, terputuslah pahala amalannya kecuali dari tiga perkara iaitu: sedekah jariah, ilmu yang diambil manfaat dengannya dan anak yang soleh yang mendoakan untuknya”
(Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.).



Kisah Nabi Musa dan jirannya di syurga
Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah.Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.

Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?".

Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.

Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.

Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.

Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.
Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.

"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodohrupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menajdi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.

"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi.

Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."

Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."

Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.

Sebab itu, pentingnya kita anak menjadi soleh/ah. Supaya menjadi harta pusaka yang membantu ibubapa kita di akhirat kelak.


Bagaimana menjadi anak soleh?

10 langkah praktik untuk menjadi anak soleh:

1. Didiklah diri mengenali Allah

2. Pastikan kita sentiasa mendirikan solat dan menjaga ibadah-ibadah wajib yang lain.

3. Carilah ilmu agama yang secukupnya.

4. Hidupkan dalam rumah kita Biah Islamiyyah. Antara perkara yang dapat kita lakukan untuk tujuan tersebut ialah;

a) Selalu membaca al-Quran di rumah

b) Membiasakan solat-solat sunat di rumah

c) Hidupkan budaya memberi salam

d) Praktikkan adab-adab Islam di dalam rumah.

5. Dekatkan diri kita dengan masjid, mushalla atau surau.

6. Tanamkan semangat jihad dan perjuangan Islam ke dalam jiwa kita.

7. Tanamkan sikap cintakan ilmu dan majlis ilmu.

8. Pilih kawan yang betul.

9. Mohonlah sentiasa dari Allah agar menjadi anak yang soleh.

InsyaAllah dengan melaksanakan langkah-langkah tersebut dengan bersungguh-sungguh dan istiqamah, akan lahirlah anak-anak soleh yang bukan sahaja dikasihi Allah, tetapi juga menyejukkan mata ibubapa dan menyenangkan masyarakat.


Pesanan buat kita yang akan bergelar ibu dan bapa

Tidak ada cara menjadi anak yang paling baik dan paling berkesan melainkan dengan cara didikan Islam. Langkah pertama ke arah didikan anak yang sempurna ialah keazaman ibubapa itu sendiri untuk kembali menghayati Islam dan menghidupkan Biah Islamiyyah (suasana keislaman) di dalam keluarga dan rumah. Hanya anak yang hidup di dalam suasana keislaman yang dapat menghayati Islam dan seterusnya berjaya dibentuk menjadi anak yang soleh.

Dan sudah tentu hanya ibubapa yang mempunyai kesedaran Islam dapat membentuk anak-anak mengikut acuan Islam. Untuk kepentingan generasi akan datang, kita mestilah menjadi soleh/ah dahulu dan memilih pasangan yang soleh/ah, untuk menjadi ibubapa yang terbaik di masa akan datang.


“Wahai orang-orang beriman! Sahut dan sambutlah seruan Allah dan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang akan menjadikan kamu hidup sempurna”.
(al-Anfal: 24)


No comments: