Sunday, May 23, 2010

Judi

BAGI masyarakat bukan Islam, berjudi dianggap perkara biasa, satu bentuk hiburan, malah di beberapa destinasi ia menjadi produk pelancongan bagi menjana pendapatan.

Amerika Syarikat misalnya mengiktiraf perjudian. Ia sah di sisi undang-undang di Nevada sejak 1931, sehinggalah menjadi nadi utama kepada pengembangan ekonominya dan berbekalkan produk itu juga Las Vegas terkenal dengan bandaraya judi di peringkat antarabangsa.

Walaupun ia suatu kebiasaan bagi sesetengah pihak, malah sumber ekonomi yang lumayan, masyarakat umum memandang perjudian tetap dipandang negatif dan dikategorikan hiburan yang tidak sihat.

Perjudian ialah pertaruhan wang atau barang berharga dalam suatu acara, malah dalam apa saja permainan antara pihak dikira judi apabila antara mereka akan rugi dan mendapat untung secara tidak sengaja atau bergantung kepada nasib.

Secara umum terdapat tiga kategori judi, iaitu pertaruhan wang atau barang berharga; meramal dan membuat jangkaan terhadap sesuatu acara; dan dalam bentuk mekanikal atau elektronik.

Ada banyak jenis perjudian, antaranya membabitkan permainan kasino, permainan daun terup, kad dan buah dadu seperti Baccarat, Blackjack, Caribbean Stud Poker dan Casino War, Craps, Fan-Tan, Faro, Let It Ride, Pai Gow Poker dan Tiles Poker.

Perjudian elektronik seperti Pachinko, mesin slot, daun terup video, manakala perjudian bukan kasino seperti dead pool, loteri, kad gores, laga ayam dan mahjong.

Ia juga boleh berlaku apabila ada unsur pertaruhan dalam acara seperti sukan dan pilihan raya melalui bentuk ramalan dan jangkaan, malah dalam keadaan lain boleh berlaku judi, misalnya meneka nombor kereta yang melalui di depan pihak terbabit.

Hukum perjudian dalam Islam haram dan mereka yang terbabit berdosa. Dalil pengharamannya ada dinyatakan dalam al-Quran, yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

“Sesungguhnya syaitan itu hanya mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara keji dan kotor atau kamu masih berdegil)? (al-Maa’idah:90-91).”

Mengapa Islam mengharamkannya, sedangkan dalam sesetengah kes ia memberikan pulangan lumayan, sehingga ada yang menjadi kaya dan hidup senang, hasil daripada perjudian?

Dr Yusuf Qardawi menegaskan, orang yang asyik dengan berjudi di atas meja hijau, seperti mana yang mereka namakannya boleh sampai menjual agama, kehormatan dan negara kerana judi.

Katanya, semua itu sanggup dilakukan untuk memuaskan kerakusan wang dan keinginan nafsu berahi.

Pengarang buku Pendidikan Anak-anak Dalam Islam, Abdullah Nasuh Ulwan, menjelaskan judi menjadikan manusia berserah kepada nasib saja tanpa tenaga dan dengan cita-cita kosong, bukannya atas usaha bersungguh-sungguh.

Judi juga katanya, seperti alat merobohkan rumah tangga bahagia, mengosongkan saku yang berisi, memiskinkan kaum keluarga kaya dan merendahkan jiwa yang mulia.

“Betapa ramai orang dihina kerana judi, selepas mereka hidup mulia suatu masa dulu dan betapa ramai lagi orang yang menjadi miskin, selepas suatu masa dulu hidup kaya raya,” katanya.

Menurutnya, judi juga membangkitkan permusuhan dan perasaan benci antara kedua orang yang terbabit, kerana satu daripadanya memakan harta yang lain dan mendapatkan wang dengan cara tidak betul.

“Judi menghalang daripada mengingati Allah dan solat serta menolak kedua-dua orang yang berjudi itu kepada sejahat-jahat akhlak dan seburuk-buruk adat,” katanya sambil menjelaskan satu hadis dilaporkan al-Baihaqi:

“Nabi Muhammad s.a.w datang kepada suatu kaum yang bermain dadu, lalu baginda berkata: Hati-hati yang lalai, tangan-tangan terus bekerja serta lidah pula mengucapkan kata-kata yang sia-sia dan batil.”

Ulama terbabit menyatakan, judi adalah suatu hobi yang penuh dengan dosa, menelan waktu dan tenaga, membiasakan kemalasan serta menghalang umat daripada berusaha dan menjana produk.

“Judi menolak tuannya kepada melakukan dosa, kerana si penjudi yang muflis mahu mendapatkan wang dengan apa cara sekalipun walaupun dengan cara mencuri dan merampas atau mengambil rasuah dan menipu,” katanya.

Menurutnya, judi akan menimbulkan perasaan takut di dalam hati, menyebabkan penyakit, menghancurkan urat saraf dan menimbulkan perasaan dengki.

Hiburan terbabit katanya, bukanlah perkara baru, malah cukup terkenal bagi masyarakat Arab jahiliah satu ketika dulu, bahkan ia dianjurkan bertujuan untuk kebajikan orang ramai tanpa diambil satu sen pun dari wang itu.

Tujuan kebajikan itu hampir mirip dengan projek loteri yang diserahkan lebihannya dalam dana kebajikan dan objektif yang membawa manfaat kepada orang ramai pada zaman moden ini.

Bagaimanapun, ideologi dan prinsip Islam cukup jelas, iaitu untuk mencapai kepada sesuatu matlamat mulia seharusnya dengan menjejaki cara yang mulia juga.

“Umpamanya memberikan derma kepada manusia, tidak dibenarkan oleh Islam, melainkan dengan cara yang betul, bersih lagi mulia. Adapun derma yang dilakukan melalui judi atau merampas hak orang lain, tidak diakui Islam.”

Konklusinya, judi ini banyak keburukan daripada kebaikan. Apa-apa pun, haruslah dicegah dan dibendung secara betul-betul. Judi tetap haram, walaupun lesennya halal.

No comments: