Berterusan dalam perubahan dinamakan istiqamah. Istiqamah pula didefinisikan sebagai menuruti jalan yang lurus, tanpa liku-liku atau condong ke kiri atau kanan meliputi segenap perbuatan taat sama ada yang zahir atau yang batin serta meninggalkan segala larangan ALLAH SWT. Istiqamah juga perlu disertakan dengan iltizam atau komited. Sebab itulah pada permulaan pos ini (bahagian 1), dititikberatkan soal ketegasan dalam membentuk niat, kemudian akan lahir iltizam atau komited tadi. Jadi menjawab persoalan bagaimana mahu berterusan dalam perubahan, sememangnya perlukan komited. Komited tentang hubungannya dengan Allah. Komited dengan hubungannya sesama manusia.
Perubahan pada peringkat permulaan, untuk membina komitmen dan sebagainya, ia perlukan paksaan. Paksaan kepada sikap kebiasaan yang mungkin menyalahi syariat Islam. Paksa diri untuk meneruskan perubahan walaupun kadang-kadang terlepas kembali pada jalan yang lama. Bila sudah biasa dengan perkara tersebut, kita akan lebih mudah untuk melakukannya. Malah, akan terasa sesuatu yang tidak kena jika meninggalkannya.
Seterusnya, perubahan memerlukan ikhlas. Ikhlas berubah kerana ALLAH. Jika seseorang itu menzahirkan kepada manusia kebaikannya seperti banyak solat sunat, puasa sunat, suka menderma, suka tolong orang lain, berulang alik ke masjid, sedangkan dia tidak begitu, suka mengumpat, memfitnah orang, menuduh orang tanpa bukti kukuh, pakai tudung kepala pada masa tertentu, maka dia dikatakan tidak beristiqamah dengan Islam, atau paling tidak dikatakan istiqamahnya masih berkurangan. Kerana istiqamah itu tidak dapat dibuktikan pada amalan sehari dua, malah ia perlu berterusan tanpa niat untuk menunjuk-nunjuk pada orang lain, ia dilakukan atas dasar ikhlas kerana Allah SWT.
Dan terakhir sekali, untuk membantu diri berterusan dalam perubahan, bergaullah dengan orang-orang yang baik. Kerana sudah tentu persekitaran yang kita tempuhi bersama orang sebegini semestinya baik. Di samping dapat membina kekuatan, kita juga akan sentiasa diperingatkan. Analoginya adalah seperti serigala dan kambing. Kawanan kambing lebih selamat dari ancaman serigala daripada kambing yang bersendirian. Godaan dari syaitan akan dapat kita kawal sekiranya kita bersama dengan orang-orang yang baik. Tetapi bila bersendirian, hasutan syaitan mudah merasuk ke dalam jiwa.
Berubah itu tak mudah, berterusan dalam perubahan lebih sukar. Kekuatan daripada ALLAH sahaja yang dapat membantu mencapai perubahan yang sebaiknya. Selamat beramal, semoga berjaya dalam perubahan. InsyaALLAH.
“Katakanlah (wahai Muhammad) “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam”. (al – an’am : 162)
No comments:
Post a Comment