MUSIBAH adalah bencana, kecelakaan atau malapetaka. Dalam erti kata lain sesuatu yang tidak baik dan mendatangkan penderitaan kepada seseorang.
Begitu pun, Allah menjadikan musibah sebagai ujian ke atas hamba-Nya. Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah Ayat 155 bermaksud:
"Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar."
Kemudian Allah jelaskan lagi mengenai orang yang sabar dalam firman-Nya di dalam Surah Al-Baqarah Ayat 156 yang
bermaksud:
"(Iaitu) mereka yang apabila ditimpa musibah lalu berkata sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nya (Allah) jugalah (tempat) kami kembali."
Dalam ayat di atas, Allah menyatakan bahawa setiap hamba-Nya akan diuji (al-Tabariy, 1996. Jami' al-Bayan fi Ta'wil al-Qur'an jld. 2 muka 45).
Ujian Allah itu berlaku dalam pelbagai bentuk seperti bencana alam, kematian, kekayaan, kemiskinan, kesihatan dan kesakitan. Perkara itu untuk membuktikan siapakah yang penyabar serta tetap bertuhankan Allah dalam apa juga keadaan yang ditempuhinya.
Jadi, jelaslah bahawa orang yang sabar itu adalah yang tetap beriktikad, bahawa diri mereka hamba dan milik Allah walaupun ditimpa musibah yang amat berat. Malah, mereka sentiasa mengharapkan balasan pahala daripada Allah dan sentiasa takuti azab-Nya.
Ibn Kathir ketika mentafsir ayat di atas (ayat 156, surah al-Baqarah) menjelaskan:
"Dengan melafazkan ayat ini menunjukkan seseorang itu menerima segala musibah yang menimpanya dan mengakui bahawa dirinya adalah hamba dan milik Allah. Allah berkuasa melakukan apa saja ke atas hamba-Nya." (Ibn Kathir, 1992. Tafsir al-Qur'an al-'Azim jilid 1, muka 203).
Untuk mengukuhkan tafsirannya, Ibn Kathir membawakan beberapa hadis, antara yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bermaksud:
"Ummu Salamah berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: Tiada seorang pun daripada kalangan orang Islam yang ditimpa musibah, lalu dia melafazkan apa yang diperintahkan oleh Allah (iaitu firman Allah ayat 156, surah al-Baqarah yang bermaksud) "Sesungguhnya kami adalah hamba dan milik Allah dan kepada-Nya kami akan dikembalikan. Ya! Allah berilah pahala bagiku dalam musibahku ini dan gantikanlah untukku yang lebih baik daripadanya, melainkan Allah menggantikan baginya dengan yang lebih baik."
"Ummu Salamah berkata: Ketika Abu Salamah meninggal dunia, aku sering bertanya kepada diriku sendiri, orang Islam manakah yang lebih baik daripada Abu Salamah? Dialah orang yang pertama hijrah kepada Rasulullah. Pertanyaan itu sering aku mengulanginya, lalu Allah menggantikan untukku Rasulullah sendiri."
"Ummu Salamah berkata: Baginda mengutuskan Hatib Bin Balta'ah untuk melamarku bagi dirinya sendiri. Lalu Ummu Salamah berkata lagi: Aku telah mempunyai seorang anak perempuan dan aku seorang wanita yang kuat cemburu. Jawab Baginda: Mengenai anak perempuannya, kita doakan semoga Allah cukupkan segala keperluannya dan aku mendoakan semoga Allah hilangkan rasa cemburunya itu." (al-Nawawiy, 1996. Syarh Sahih Muslim. hadis no. 918 jld. 6 muka 520)."
Berdasarkan kefahaman hadis di atas, balasan Allah atas kesabaran Ummu Salamah yang diuji dengan kematian suaminya, Abu Salamah, adalah beliau dikahwini oleh Rasulullah.
Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Bin Hanbal bermaksud:
"Abu Sinan berkata: Setelah aku mengebumikan anakku, aku masih berada di kubur. Tiba-tiba datang Abu Talhah al-Khaulaniy, lantas memegang tanganku dan membawa aku keluar sambil berkata: Adakah engkau suka sekiranya aku menceritakan sesuatu yang menggembirakanmu? Jawab Abu Sinan: Baiklah. Lalu Abu Talhah berkata bahawa al-Dahhak bin Abd al-Rahman bin 'Azib menceritakan kepadaku daripada Abu Musa katanya: Sabda Rasulullah bahawa Allah berfirman (yang bermaksud): Wahai Malaikat Maut, engkau mencabut nyawa seorang anak daripada hamba-Ku, engkau mengambil buah hatinya dan anak kesayangannya. Jawab Malaikat Maut: Ya!. Lalu Allah berfirman, apa yang ia kata (ketika kematian anaknya itu)?. Jawabnya: Ia memuji Engkau dengan berkata kami ini hamba dan milik Allah dan kepada-Nya kami akan dikembalikan. Maka Allah berfirman: Binalah untuknya sebuah rumah dalam syurga dan berilah namanya dengan Bait al-Hamd" (Ibn Kathir, 1992. Tafsir al-Quran al-'Azim, jilid 1 halaman 204).
Hadis kedua ini pula menjelaskan sikap Abu Sinan yang tetap memuji Allah walaupun anak kesayangannya meninggal dunia. Sebagai balasan dibina sebuah rumah untuknya dalam syurga.
Jelaslah, ujian Allah untuk melihat kekuatan akidah hamba-Nya sama ada hanya bertuhankan-Nya dalam keadaan senang-lenang saja atau terus bertuhankan-Nya dalam apa juga keadaan sekalipun.
Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa Allah menguji keimanan hamba-Nya dengan pelbagai musibah. Musibah Allah itu, bukanlah sekadar kematian, malah didatangkan dalam berbagai bentuk dan keadaan.
Orang yang berjaya menempuhi ujian Allah dengan penuh kesabaran, akan dianugerahkan balasan pahala. Malah, Allah akan menggantikan sesuatu yang yang hilang itu dengan sesuatu perkara yang lebih baik, seperti yang dijelaskan dalam hadis di atas.
Jadi, dalam hal ini setiap umat Islam hendaklah mempunyai akidah yang betul iaitu dengan berakidahkan bahawa semua makhluk yang wujud di bumi ini adalah hamba dan milik Allah. Sebaik mengaku bahawa kita sebagai hamba dan milik Allah, hendaklah meredai apa juga musibah yang menimpa. Sebenarnya, di sebalik musibah itu mempunyai hikmah besar, di mana kita sendiri tidak mengetahuinya.
Maka dengan ketabahan hati menghadapi kesukaran, kesulitan dan penderitaan, ia sebenarnya sebagai latihan untuk menempuh banyak lagi penderitaan pada masa akan datang.
Orang yang tabah sentiasa diberikan perlindungan dan rahmat oleh Allah. Jiwa yang sering melalui proses ujian ini semakin lama semakin teguh kerana sentiasa digembleng dan disaring oleh zaman.
Secara khususnya kepada mangsa gempa bumi dan tsunami, baru-baru ini, diharapkan dapat menempuh musibah itu dengan banyak bersabar. Hanya dengan sabar semua kesulitan dan penderitaan dapat diatasi. Hal ini kerana sesuatu kehidupan itu tidak membeku begitu saja.
Mudah-mudahan hasil daripada kesabaran itu, Allah akan berikan ganjaran pahala dan gantikan segala harta benda yang rosak itu dengan harta benda lain yang lebih baik.
No comments:
Post a Comment