Ramai orang ambil tahu tentang seni bercakap, seni berbual, seni mempengaruhi orang lain. Tapi, tak ramai yang sedar akan kepentingan seni bertengkar. Malah, tidak banyak buku atau artikel ditulis tentang perkara ini. Kalau tak percaya, cuba buat carian di Google atau Yahoo tentang seni bertengkar.
Bila sebut bertengkar, bergaduh dan sebagainya, persepsi kita tidak akan lari daripada mengaitkan perkataan ini dengan meninggikan suara, emosi yang tidak terkawal, membawa kepada pergaduhan fizikal.
Lalu apakah bertengkar ini tidak membawa kepada apa-apa kebaikan? Tidaklah ada keburukan sesuatu perkara itu, melainkan telah dinyatakan dalam al-Quran dan al-Hadis, atau kita sendiri yang membawa sesuatu perkara itu kepada keburukan. Contoh mudah ialah dadah. Kebaikannya dalam bidang perubatan memang tidak dapat disangkal. Namun, salah guna dadah, jadilah bangkai bernyawa. Begitu juga pertengkaran.
Apa kebaikan bertengkar? Menurut kamus dewan, maksud sebenar bertengkar ialah bantah, cekcok, atau selisih. Lalu, apabila seseorang mempunyai pendapat yang berlainan dengan orang lain dan dia hendak membantah pendapat tersebut, perlakuan tersebut disebut bertengkar. Justeru, kebaikan bertengkar ialah menyatakan bantahan atau mengemukakan pendapat yang betul.
Selain itu, bertengkar juga perlu dalam memberi atau meminta penjelasan. Perkara ini sering terjadi ketika konflik berlaku. Hubungan suami isteri, rakan sepejabat ataupun dengan jiran tetangga, terkadang itu memerlukan pertengkaran semata-mata untuk membuat penjelasan berkaitan dengan konflik yang timbul, terutamanya suami isteri. Bak kata P. Ramlee, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Malah, bertengkar juga dapat mengeratkan hubungan selepas itu. Pertengkaran yang bagaimana? Itu akan dibincangkan lebih lanjut nanti.
Seni bertengkar ini terbahagi kepada dua bahagian; iaitu sebelum dan semasa bertengkar. Sebelum bertengkar ialah persediaan- persediaan yang perlu dilakukan untuk memastikan pertengkaran itu dapat menjanjikan sesuatu yang baik selepasnya. Manakala semasa pula penting untuk memastikan pertengkaran tadi tidak lari dari landasannya yang sebenar.
Namun, seboleh-bolehnya, sebagai seorang Muslim kita mestilah mengelakkan diri dari bertengkar atau berdebat. Sebagaimana hadis Nabi SAW:
Barangsiapa meninggalkan debat (pertengkaran), sedangkan dia di pihak yang benar. Maka dibangunkan untuknya rumah di tengah syurga. (HR Abu Dawud)
Sebelum bertengkar
1. Pastikan tempat dan masa bertengkar yang betul.
Perkara ini penting untuk menjamin pertengkaran yang terbaik dan berhasil. Tempat yang betul ialah tempat yang tidak diganggu oleh pengaruh luar. Contohnya, orang ramai, bunyi bising, yang boleh mempengaruhi emosi semasa bertengkar nanti. Masa yang betul pula ialah kondisi terbaik bagi pihak yang terlibat. Elakkan kondisi di mana seseorang itu terlalu letih, terlalu marah, sedih dan sebagainya. Emosi dan kondisi yang tidak stabil ini akan menyebabkan pertengkaran mencetuskan pergaduhan.
2. Tentukan matlamat.
Pihak yang terlibat perlu ada matlamat untuk dicapai dalam pertengkaran nanti. Sebagai contoh, di hujung pertengkaran antara suami isteri yang mahukan penjelasan ialah perdamaian. Setelah penjelasan diberi dan diterima semasa bertengkar, pastikan perdamaian itu tercapai. Tanya diri dan orang yang nak diajak bertengkar, "apa yang kita mahu dari pertengkaran ini? Adakah ia penting untuk kehidupan?"
3. Tetapkan tempoh.
Tetapkan tempoh ini penting untuk memastikan pertengkaran yang terlalu lama. Bila tempoh bertengkar yang lama, kesannya ialah pertengkaran akan melalut kepada isu lain, emosi menjadi tidak stabil, menambahkan stress dan akhirnya tiada hala tuju dalam pertengkaran tersebut.
4. Kenakan syarat-syarat bertengkar.
Penting untuk menetapkan syarat-syarat yang menjadikan pertengkaran itu terpaksa dibatalkan demi menjaga hubungan atau kejadian lain yang tidak diingini berlaku. Contoh syarat-syarat yang boleh ditetapkan ialah intonasi suara, jenis perkataan yang digunapakai, keadaan emosi dan lain-lain.
Semasa bertengkar
1. Jangan meninggikan suara.
Kawal emosi semasa bertengkar adalah sangat-sangat penting. Apabila seseorang meninggikan suara, orang lain hanya mendengar suaranya yang kuat sahaja. Butit-butir percakapan sudah tidak dapat dicerna oleh telinga pendengar. Gunakan perkataan yang baik, yang boleh diterima dan didengar oleh orang lain.
2. Dengar dan faham.
Dalam bertengkar, apabila seseorang berbicara, hendaklah yang lain itu diam, dengar dan fahamkan apa yang dibicarakan. Meskipun bicara itu boleh membuatkan kita marah, sabar. Tahan dulu kemarahan itu. Dengar perspektif pembicara.
3. Tumpukan isu berbangkit.
Jangan mengungkit kesalahan lampau atau kelemahan orang lain yang terlibat dalam pertengkaran. Tumpu pada isu yang disepakati sebelum bermulanya pertengkaran. Sesetengah pertengkaran yang biasa berlaku atau biasa kita tengok pada hari ini ialah pertengkaran yang melalut dan merendahkan orang. Sebab itu, pertengkaran yang pada mulanya perang mulut menjadi pergaduhan besar-besaran.
4. Fikir dulu sebelum bercakap.
Kata orang tua, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata burk padahnya. Pastikan kita tidak menyesal kemudian dengan kata-kata yang dihambur semasa bertengkar. Apa yang perlu difikirkan ialah bertengkar bukan untuk menang, jadi apa sahaja yang keluar dari mulut itu bukan semata-mata untuk menang pertengkaran. Bukankah matlamat sudah dijelaskan sebelum mula bertengkar?
5. Peluk dan maaf.
Bahagian ini ramai yang tak ambil kisah. Sesudah bertengkar, matlamat pun tercapai, hendaklah orang yang bertengkar bermaaf-maafan sekiranya terdapat kesalahan yang berlaku semasa bertengkar. Rendahkan ego masing-masing untuk meminta maaf. Perlunya meminta maaf ini supaya hubungan yang sedia terjalin tidak rosak atau terputus dek kerana bertengkar tadi.
Secara teorinya, nampak perkara ini sukar nak dilaksanakan. Yalah, susahnya nak kawal emosi bila marah. Susahnya nak merendahkan ego. Namun, belum cuba belum tahu. Praktik, lama kelamaan, insyaALLAH, mudahnya mengamalkan seni bertengkar. Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment