Thursday, March 26, 2009

Isu Perak 1


Dinyatakan di dalam kitab suci Al-Quran, surah Ali-‘Imran, ayat 140,

"....Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran), dan agar Allah membezakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) dan agar sebahagian kami dijadikanNya (gugur sebagai) syuhada. Dan Allah tidak menyukai orang-orang zalim."

Rapi tersusunnya ayat daripada Yang Maha Pencipta, yang telah menentukan nasib, jatuh dan bangun seseorang hambaNya. 10 bulan tempoh pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) di Perak, akhirnya goyah dek dibuai angin daripada mereka yang ‘melompat'. Isu lompat parti yang suatu ketika dahulu pernah digalakkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Manusia hanya akan bercakap dengan gembira apabila sesuatu itu membawa kepada keuntungan mereka. Apabila apa yang dikatakan itu akhirnya memakan diri mereka, langsung mereka dengan lantangnya akan menyuarakan ketidakpuasan hati mereka. Begitulah manusia, yang telah diciptakan oleh Allah SWT; yang tidak pernah puas dengan apa yang telah dimiliki.

Menyoroti rentetan krisis dan kekalutan yang berlaku di utara tanah air pada waktu ini, satu demi satu perundangan dan perlembagaan telah di kaji dan di dedahkan kepada rakyat. Datuk Seri Nizar Jamaluddin, (mantan) Menteri Besar Perak, berpegang dengan Perkara 16 (6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, iaitu,

menteri besar (apabila hilang keyakinan dan majoriti) serta barisan exco nya harus meletakkan jawatan.

Kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat Perak kepada PR, tidak perlu untuk dipertikaikan setelah kemenangan berpihak kepada mereka pada Mac 2008. Hak beliau sebagai menteri besar selepas Pilihan raya Umum ke-12, terus di pertahankan. Hak yang cuba dipertahankan oleh beliau adalah kerana pada masa ini, tidak jelas dek mata mereka dan rakyat, bahawa PR telah kehilangan kepercayaan daripada rakyat seperti yang diwar-warkan. Hilangnya 5 orang ADUN dari PR ini, telah menyebabkan Barisan Nasional (BN) mengisytiharkan ‘kemenangan' mereka dengan alasan yang mengatakan bahawa 5 orang ini telah memihak kepada BN.

Penulis cuma terfikir, bagaimana kah pengisytiharan ‘kemenangan' ini dibuat? Adakah semata-mata kerana bilangan kerusi PR telah berkurang, maka kepercayaan rakyat juga dianggap sudah berkurang? Apa yang bermain di ruang legar pemikiran penulis ialah berlakunya ketidak adilan di sini. Hal ini adalah kerana, pada pilihan raya umum ke 12 (PRU 12), rakyat setempat telah ‘dikerah' untuk membuang undi, dengan alasan agar "hak dan kepentingan rakyat akan terus terbela". Maka, rakyat bersusah payah keluar mengundi. Golongan tua, muda semuanya keluar mengundi dengan harapan yang berbunga, supaya kerajaan yang mereka impikan selepas PRU 12 ini, akan menjadi kenyataan. Maka, jika pihak kepempinan masih mahu menjaga "hak dan kepentingan rakyat" seperti yang mereka ucapkan sebelum PRU 12, mengapa ianya tidak diimplemen kan ke dalam situasi sekarang? Iaitu memilih kerajaan negeri yang baru dengan pilihan raya yang baru.

10 bulan tampuk pemerintahan yang diketuai oleh Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Perak tidak mengalami masalah yang rumit. Apabila berita yang mengatakan bahawa 5 orang ADUN PR telah menjadi wakil bebas tersebar, pemerintahan beliau telah menampakkan sedikit kegoyahan. Kegoyahan yang dicipta daripada mereka yang berkuasa, yang akhirnya membawa kepada kecelaruan politik di sana. Tanpa persetujuan ataupun suara ramai daripada rakyat, kerajaan negeri telah pun bertukar. Persoalan yang timbul disini ialah, ‘bagaimana seseorang atau sesuatu kuasa yang besar di Malaysia, telah sesuka hati memanipulasikan suara rakyat'. Sedangkan semasa PRU 12 yang dahulu, rakyat telah disogokkan dengan ‘keadilan' yang akan diberikan, namun setelah apa yang berlaku baru-baru ini, mengapa suara rakyat tidak diambil pusing semula? Mengapa mesti ‘si kuasa besar' yang menentukan tampuk pemerintahan yang baru? Yang konon nya telah ‘menawan' semula Perak? Formula apakah yang telah diguna pakai? Persoalan-persoalan ini keluar daripada benak fikiran penulis sebagai seorang yang kurang arif dalam perkara-perkara sebegini. Mohon penjelasan daripada pihak yang bertanggungjawab.

Pada saat ini, apabila Sivakumar mengadakan perbincangan di bawah pokok, pihak pro-kerajaan membuka mulut mempertikaikan sama ada sah atau tidak perbincangan mereka itu. Mereka cuba mengaitkan satu demi satu perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tidak kurang pula, dengan pernyataan yang mengatakan bahawa ‘persidangan di bawah pokok itu sebagai sesuatu yang memalukan". Apabila Dr Zambry dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baru, pihak pro- pembangkang mempersoalkan pelantikan beliau. Hal ini adalah kerana, Menteri Besar Perak pada masa itu, masih lagi berkuasa dan mempunyai mandat untuk memerintah. Hasilnya, Perak kini di tadbir oleh 2 orang menteri besar. Mungkin pada saat ini solusi yang ternampak oleh mereka ialah dengan merujuk kepada perlembagaan dan undang-undang. Penulis tidak menafikan kedudukan Perlembagaan Persekutuan adalah lebih tinggi kedudukannya daripada Yang Di Pertuan Agong.

Apabila penulis merujuk kepada kitab suci Al-Quran, iaitu panduan yang telah ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW, didalam surah Ali-Imran, ayat 159,

"Maka berkat rahmat Allah engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonkanlah ampunan untuk mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakkal."

Al-Quran mengajar manusia untuk bermusyawarah dengan sebaik mungkin, kemudian meletakkan segala keputusan yang telah disepakati dalam mesyuarat tersebut kepada Allah, sebagai ketawakkalan pemimpin kepada Allah. Kini terpulanglah kepada pucuk pimpinan untuk memandang ayat-ayat Allah ini. JIka benar seperti yang dikatakan oleh pemimpin-pemimpin negara bahawa Malaysia adalah sebuah negara islam, maka, berpegang teguhlah kita dengan 2 tinggalan Rasulullah SAW kepada kita, iaitu Al-Quran dan Sunnah. Bermusyawarah ini juga adalah salah satu elemen yang diterapkan dalam demokrasi, dan bermusyawarah adalah salah satu titik pertemuan di antara syura dan demokrasi!

Ayat yang dibawah, menguatkan lagi bahawa seorang pemimpin, hendaklah mengikut Al-Quran dan Sunnah. (bukan sahaja mengikut perlembagaan dan undang-undang yang dicipta oleh manusia sendiri.)

Surah An-Nisa', ayat 59.

"Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul (Muhammad), dan ulil amri (pemegang kekuasaan) diantara kamu. Kemudian, jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu, lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya."

Keputusan tegar Sultan Perak untuk tetap tidak mahu mengadakan pilihan raya yang baru dikecam oleh sesetengah pihak. Walaupun ada pihak yang masih menentang, tetapi penulis percaya bahawa Sultan Perak mempunyai alasan konkrit yang menyebabkan baginda terus bertahan dengan pendirian baginda. Jika dilihat semula keputusan PRU 12 dan bagaimana sulitnya untuk baginda memilih seorang Menteri Besar, penulis yakin baginda ‘nampak' apa yang berlaku dan disebabkan itu, baginda telah memilih untuk tidak mengadakan pilihan raya yang baru. Pada pendapat penulis, baginda sultan telah melihat rentak yang dimainkan oleh golongan bukan bumiputera. Jika dilihat semula keputusan PRU 12, PR menang, tetapi majoriti kerusi dipegang oleh DAP iaitu pemimpin bukan bumiputera. Pada saat ini, dapat dilihat bahawa golongan bukan bumiputera telah berani membuka mulut dengan mempertikaikan segala apa yang ada dalam perlembagaan. Kontrak sosial dan hak Raja-raja Melayu juga pernah dipersoalkan oleh mereka pada suatu masa dahulu. Terkini, YB Karpal Singh (daripada pihak pembangkang) telah dikecam kerana menghina institusi Beraja. Mungkin baginda sultan menjangkakan bahawa jika pilihan raya diadakan golongan bukan bumiputera akan terus menguasai kerusi dewan, yang akhirnya akan menyulitkan lagi keadaan. Maka, baginda berkeputusan untuk terus sahaja menabalkan BN sebagai kerajaan negeri yang baru. Namun adakah itu keputusan yang terbaik?

Jika ianya adalah yang terbaik, mengapa mesti ada rakyat yang masih memberontak? Mengapa ada rakyat yang menuntut untuk mengadakan semula pilihan raya baru? Dan, jika ianya adalah keputusan yang terbaik, mengapa hingga kini, masalah ini masih tidak dapat diselesaikan, malah semakin besar? Dalam usaha murni baginda memberikan keputusan yang terbaik kepada rakyat bumiputera Perak, masih ada golongan bumiputera Perak yang teraniaya dan dizalimi. Haknya sebagai menteri besar diambil begitu sahaja, tanpa mengambil kira Perkara 16 (6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Bukankan itu terang-terangan ditentang dan ditegah oleh Islam? Adakah Malaysia yang diiktiraf dunia sebagai negara Islam telah memberikan contoh yang terbaik kepada negara-negara lain? Kita berkata negara kita adalah negara Islam, tetapi pada masa yang sama, negara Islam kita ini terus-terusan hidup dengan rasuah[1] dan masalah jenayah[2] yang semakin hari semakin meruncing.

Menyelami sirah Kerajaan Islam Madinah yang telah bertahan selama 10 tahun, kita dapat melihat kebangkitan negara Islam Madinah ini berlaku dengan sangat cepat. Persefahaman yang telah dimeterai antara orang-orang Islam dan orang-orang bukan Islam, telah membolehkan daulah Islam dibentuk buat pertama kalinya. Piagam ini telah menjaga hak kedua-dua pihak yang akhirnya, telah membuatkan Islam dihormati oleh mereka yang bukan Islam. Qudwah hasanah (perlakuan baik) yang cuba ditonjolkan oleh Rasulullah SAW, sebagai pemimpin dan ahli politik, juga telah menyebabkan bilangan umat Islam bertambah. Dalam masa 10 tahun itu, bilangan orang Islam bertambah menjadi 124 000 orang, berbanding 300 orang pada 10 tahun yang sebelumnya. Apa yang mahu penulis katakan, pemerintahan yang dijalankan oleh Baginda SAW, adalah mengikut apa yang di suruh oleh Allah SWT, Tuhan seluruh alam. Baginda bersama para pemimpin yang turut bersama baginda seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, semuanya bekerja untuk Islam. Objektif dan matlamat mereka jelas, iaitu mengEsakan Allah SWT, dan menanamkan perasaan cinta akan Islam. Pemimpin sebegini lah yang sebenarnya diperlukan oleh Malaysia, malah dunia! Malam hari nya bertahajud kepada Allah SWT, meminta pertolongan hanya kepada Yang Maha Mendengar dan kepentingan bersama di utamakan.

Penulis juga teringat tentang sebuah kisah dimana pada zaman Khulafa' Ar-Rasyidin, iaitu pada zaman pemerintahan Umar Al-Khattab. Beliau sangat menjaga pemimpin-pemimpin yang telah ditugaskan oleh beliau untuk mentadbir sesebuah kawasan. Harta pemimpin ini akan sentiasa di kira dan perlu di isytiharkan. Amat tidak bersesuaian untuk menggunakan ungkapan ‘menjaga tepi kain orang' dalam hal ini. Hal ini adalah kerana apa yang dilakukan oleh beliau adalah untuk memastikan bahawa anak-anak buah beliau tidak makan hak rakyat atau pun berlebihan harta mereka. Adakah cara ini di implankan di negara kita? Jika benar, mengapa pernah suatu ketika dulu, timbul isu, rumah pemimpin yang disewa dengan harga RM 345,833.33 sebulan, sedangkan pada masa yang sama, ada rakyat di Gambang yang tidak mampu untuk membayar sewa rumah sebanyak RM50 sebulan, lalu dibiarkan merempat ke reban ayam!

Wa aqimussolah, tawa atuzzakah. Yang bermaksud, dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat. Ayat ini acap kali dinyatakan dalam Al-Quran yang bertujuan untuk menyuruh orang-orang beriman, menjaga hubungan mereka dengan Allah melalui solat, dan hubungan mereka dengan manusia melalui zakat. Maka, memang sudah dinyatakan oleh Allah SWT bahawa melalui zakat, manusia berupaya untuk menjaga hubungan sesama mereka. Bahkan bagi orang-orang bukan islam, mereka dikenakan untuk membayar jizyah, sebagai bayaran perlindungan kepada yang bernaung dibawah kerajaan islam. Malaysia negara islam. Jadi, tepuk dada, tanya iman. Sejauh mana kita sebagai umat islam, khususnya pemimpin telah berusaha untuk menanamkan benih islam ke dalam kepimpinan kita.

Sesuci-suci tempat iaitu masjid, hinggalah di bawah pokok mempelam dan beringin, rakyat terus menerus menampakkan ketidakpuasan hati mereka. Penulis sedikit keliru dengan cara pengusaian yang telah digunakan oleh pihak polis terhadap mereka yang berkumpul di bawah pokok beringin dan mempelai, dikawasan seluas 10X10 meter itu. Mengikut Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan, semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata. Inilah yang termaktub di bawah perlembagaan yang sering diguna pakai sebagai rujukan. Hal ini menyebabkan penulis berasa hairan dengan tindakan polis yang menggunakan gas pemedih mata kepada mereka yang berhimpun dalam ‘persidangan' itu secara aman dan tanpa menggunakan sebarang senjata.

Penulis kagum dengan alasan individu yang mengatakan bahawa jika pilihan raya diadakan semula, ia hanya akan menyebabkan ekonomi semakin teruk. Tidak dinafikan, bahawa jika pilihan raya diadakan semula, pemimpin akan kembali berusaha keras, untuk memancing undi. Kesana kemari, tidak kira siang atau malam; untuk menawan hati rakyat. Undian rakyat ini kelak akan membawa kepada penguasaan si pemimpin terhadap sesuatu kawasan. Jika benar si pemimpin seorang yang adil, seorang yang di puji cara pemerintahannya, penulis kira, segala macam manifesto memang tidak di perlukan. Semasa zaman kegemilangan Islam dahulu kala, tidak ada sistem pilihan raya digunakan untuk menentukan seseorang khalifah. Majlis syura yang dianggotai oleh mereka yang cerdik pandai dan berpengetahuan, sama sekali telah menunjukkan keberkesanannya, apabila khalifah-khalifah yang dilantik, berjaya menangani satu persatu masalah yang dialami pada zaman mereka. Salah satu contohnya ialah semasa pemerintahan Saidina Abu Bakar yang berjaya memerangi golongan murtad.

Melalui peristiwa-peristiwa yang berlaku di Perak pada ketika ini, satu perkara yang membuka mata penulis ialah, bagaimana kuasa dan harta berjaya menyamarkan pandangan seseorang. Penulis ingin membawakan satu hadis riwayat Abu Daud,

"Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda; "Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-­orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi saw. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan"'. Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi kita menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".

Apa yang mahu penulis bawakan disini ialah tentang perkataan ‘wahan' itu sendiri. Jelas dan nyata melalui apa yang telah terjadi, jika sesuatu pemerintahan yang dijalankan atas dasar kuasa, harta dan dunia semata-mata, maka, kaum-kaum lain tidak akan gentar untuk memerangi umat Islam. Tanpa meletakkan Allah dan hari akhirat sebagai matlamat, umat Islam yang kononnya berjuang untuk Islam tanpa menggunakan hukum-hukum Islam secara MENYELURUH, tidak mungkin akan dihormati oleh masyarakat sekeliling. Maka terjadilah dan bangkitlah golongan bukan Islam dalam usaha mereka untuk membolak balikkan umat Islam. Sungguh senang untuk musuh masuk jarum, jika umat Islam tidak berusaha untuk mendalami Islam secara keseluruhan.

Penulis secara keseluruhannya tidak menyokong kepada mana-mana pihak, tetapi penulis cenderung untuk menyokong corak pemerintahan Islam. Tetapi realitinya sekarang ialah sejauh mana pembawaan sesebuah pihak (sama ada kerajaan ataupun pembangkang) dalam usaha mereka menegakkan Islam di bumi Malaysia. Pihak pembangkang mungkin mempunyai agenda mereka yang tersendiri dalam menegakkan pemerintahan Islam di bumi Malaysia, namun mungkin kerana bukan mereka yang menguasai negara pada waktu ini, maka, apa yang cuba mereka tegakkan, tidak dapat dilihat oleh masyarakat sekeliling. Mungkin juga sebenarnya penulis yang masih samar-samar tentang pembawaan oleh pihak pembangkang ini. Maaf dipinta.

Cuma sebagai kata-kata semangat, "Islam dahulunya bukanlah bangkit daripada golongan yang majoriti, tetapi minoriti. Bermula daripada penyebaran Islam secara sembunyi-sembunyi, akhirnya turun wahyu daripada Allah, yang menyuruh Baginda SAW untuk berdakwah secara terus-terang." Dalam usaha kita untuk membawa Islam, dasarnya jagalah hubungan kita dengan Allah SWT dan sesama manusia. Patuhi suruhanNya dan jauhi laranganNya. Kuatkan dan tanamkan di dalam diri, keluarga dan anak-anak buah, iaitu daulah Islam sebagai matlamat. Bukannya dunia semata-mata. Kerana hasil yang dapat dilihat jika duit, harta dan dunia yang dijadikan matlamat ialah seperti apa yang terjadi sekarang.

Kerana kuasa, hak orang pun mahu direbut. Kerana kuasa juga, pemerintah di tentang dan keamanan dibiarkan. Kerana duit dan harta, kebajikan rakyat terabai. Bukankah pemimpin yang dimahukan ialah pemimpin yang adil dan bijak dalam mengatasi masalah-masalah kebajikan rakyat? Tidak salah memiliki kuasa, asalkan tahu menggunakan kuasa itu. Tidak salah memiliki duit dan harta, asalkan tahu cara untuk menyalurkan nya.

Konklusi yang dapat penulis buat ialah semua pihak sebenarnya perlu meneliti kembali perjuangan parti mereka. Memang tidak salah untuk memperjuangkan nasib bangsa seperti yang telah di buat oleh Bhagat Singh untuk memperjuangkan kemerdekaan India. Namun, Malaysia, sebagai sebuah negara Islam (seperti yang diiktiraf dunia), sepatutnya memiliki pucuk pimpinan yang benar-benar mahu menerapkan Islam di dalam sistem pemerintahannya dan bukan menidakkan segala hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Keyakinan dalam diri setiap individu Muslim, termasuk pemerintah; terhadap setiap baris ayat yang dinyatakan oleh Allah, dalam kitab suci Al-Quran, perlu di yakini, diikuti dan BUKAN dipertikaikan. Kita kata "kita belajar daripada sejarah", namun sejauh mana kita mengaplikasikannya? Sejarah Islam menunjukkan pemerintahan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW, dengan termetrainya Piagam Madinah dan Perjanjian Hudaibiyah, Islam berjaya dikembangkan ke seluruh pelusuk negeri, malah Islam dihormati oleh mereka yang bukan Islam! Bukankah ini yang kita mahukan? Maka, pastikanlah apa yang diperjuangkan oleh parti adalah betul dan sebenar-benar ikhlas kerana Allah SWT. Tanamkan pengetahuan Islam di dalam diri, keluarga dalam anak-anak buah supaya apa yang diperjuangkan oleh parti adalah jelas.

Disediakan oleh,
Nur Syamimi Mohamad Napis
Setiausaha Media I iLuvislam.com



Komen:


Pertamanya, saya mahu nyatakan disini bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara Islam. Malaysia amat bangga sekali dengan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi, maka saya ingin menjustifikasikan kelakuan para pemimpin Malaysia dan status Malaysia sebagai sebuah negara Islam atau tidak berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. Semasa Tunku Abdul Rahman mahu meminta kemerdekaan daripada pihak British di London, beliau telah berjanji bahawa Tanah Melayu akan kekal sebagai negara sekular, bukan negara islam,Islam hanyalah seperti yang termaktub dalam perkara 11 Perlembagaan Persekutuan sebagai agama rasmi negara.

Krisis politik di Perak yang semakin meruncing sebenarnya bermula apabila apabila 2 orang Adun PR dari PKR 'tiba-tiba hilang' dan kemudian bila muncul mengumumkan diri mereka sebagai wakil bebas dan mempertahankan kerusi masing-masing. Namun masalah makin meruncing apabila Tuanku Sultan Perak tidak memperkenankan pembubaran DUN serta baginda sendiri meminta Nizar meletakkan jawatan, setelah baginda mendengar kenyataan dari DS Najib dan Adun-adun yang melompat parti. Rasanya saya tak perlu lagi menjelaskan tntang peruntukan undang-undang tubuh Perak di sini kerana sudah dibincangkan di atas, dan dimana-mana ruang juga. Ya, tuanku sultan boleh saja menggunakan kuasa budi bicara baginda dalam membuat keputusan, namun perlu diingatkan bahawa kuasa budi bicara sultan atau YDPA bukan lah berkuasa mutlak(absolute discretion)

Sultan Perak pun sendiri mengakui bahawa tidak wujud apa yang dinamakan budi bicara mutlak kerana pernah di dalam satu kes yang beliau putuskan semasa menjadi hakim iaitu kes Pengarah Tanah dan Galian, Wilayah Persekutuan v Sri Lempah Enterprise Sdn Bhd (1979) 1 MLJ 135 menyatakan seperti berikut:

a33;Setiap kuasa di sisi undang-undang mesti mempunyai had dan batasannya di sisi undang-undang. Dengan lain perkataan setiap budi bicara tidak boleh bebas dari had dan batasan undang-undang. Kalau sekiranya budi bicara salah digunakan adalah menjadi tugas Mahkamah untuk campurtangan. Mahkamah sahajalah satu-satunya pembela kepada kebebasan rakyat di atas mana-mana salah laku dan kerakusan kuasa jabatan. Budi bicara yang tidak dikawal adalah satu istilah yang mengandungi percanggahan. Kuasa cenderung untuk merosakkan. Kuasa yang mutlak akan rosak juga secara mutlak."

Skiranya Sultan Perak enggan membubarkan Dun dan bertindak begini atas dasar untuk menyelamatkan bumiputera adakah ia merupakan satu tindakan yang 'justified'? Kerana seperti yang saudari penulis nyatakan, selepas saja Sultan membuat keputusan begitu, kita melihat dimana-mana saja rakayt menyaurakan rasa tidak puas hati mereka.

Mengenai tindakan Karpal singh yang mengambil tindakan menyaman Sultan Perak, dari sudut 'morality' kita mmg melihat telah bertindak menghina institusi beraja. Namun begitu tindakan beliau ini dari sudut undang-undang adalah 'legal' kerana, selepas tahun 1993 hak immuniti Raja-raja telah ditarik balik melalui pindaan perlembagaan. YDPA/sultan boleh didakwa atas kesalahan rasmi ataupun kesalahan peribadi di Mahkamah khas. Tindakan Karpal bolehlah dikatakan sebagai 'legally right and morally wrong'. Namun tindakan Karpal seorang bukanlah mewakili tindakan ataupun pandangan setiap orang dari pemimpin PR, dan Karpal juga menyaman Sultan atas kapasiti beliau sebagai seorang peguam yang sensitif dengan perkara 'ultra vires' dgn perlembagaan.

Mengenai sidang Dun bawah pokok. Secara legal, perkara ini adalah tidak bersalahan dengan perlembagaan, sebab tiada satupun peruntukan perlembagaan yang mengatakan bahawa persidangan di tempat selain DUN adalah tidak sah. Namun begitu, tindakan Sivakumar yang menggantung MB Zambry dan 27 Adun yang lain adalah tidak sah. Begitu juga tindakan beliau yang melantik Misbahulmunir sebagai setiausaha dewan yang baru bagi menggantikan setiausaha yang digantung adalah tidak selari dengan peruntukan perlembagaan. Mereka juga bersidang secara tidak sah, berdasarkan perkara 10 P.P apabila berhimpun tanpa permit. Namun begitu, persoalan di sini ialah atas alasan apakah injunksi dibenarkan oleh pihak Mahkamah untuk tidak membenarkan DUN bersidang? Dan kenapakah Sivakumar tidak dibenarkan melantik peguam beliau sendiri, melainkan beliau diwakili oleh peguam yang telah mewakili Dr Zambry.

Kesimpulan yang boleh saya berikan disini ialah seperti berikut:
1. bagi mengelakkan perkara ini terus berlaku pada masa akan datang, undang-undang lompat parti perlulah diwujudkan(walaupun seakan bersalahan dengan perkara 10 P.P, namun kuasa mahkamah boleh digunakan untuk menjustifikasikan maksud 'morality' sila rujuk tulisan saudara Imakubex dalam Isu Perak dan Falsafah Politik)

2. Apa yang terbaik boleh dilakuakn sekarang ialah Sultan Perak haruslah membubarkan DUN, sebagai satu langkah yang adil untuk semua pihak, samada pembangkang, kerajaan dan rakyat.

Bagi mereka yang mempelajari undang-undang Perlembagaan, mereka pasti mahir dengan istilah 'convention' (amalan). Secara mudahnya 'convention' di dalam konteks Undang-Undang Perlembagaan bermaksud amalan-amalan yang telah diterima pakai sebagai salah satu kaedah untuk menafsirkan peruntukan Perlembagaan.

Menurut Geofrrey Marshall, 'conventions' adalah apa yang kita namakan sebagi satu akhlak positif Perlembagaan (positive morality of the Constitution). 'Conventions' menurut sarjana tersebut adalah satu peraturan yang mana para aktor politik wajib mematuhinya.

Di dalam konteks apa yang berlaku di Perak, apakah 'convention' yang patut dipatuhi oleh Sultan apabila MB Perak meminta baginda membubarkan Dun Perak? Jawapannya 'convention' yang terpakai adalah Sultan dengan penuh hormat, sewajarnya membubarkan Dun apabila dengan secara munasabah diminta berbuat demikian oleh MB Perak iaitu Datoa33; Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

Philip T.N Koh, salah seorang peguam Perlembagaan di dalam tulisannya "Constitutional conundrums and conventions" (The Edge, 23 Feb 2009 di m/s 55) menyatakan seperti berikut:

"Adalah berfaedah untuk dicatatkan di sini berdasarkan amalan-amalan di negara Komanwel boleh dikatakan tidak pernah berlaku keadaan di mana Gabenor (di Malaysia Sultan) menolak mana-mana permintaan yang munasabah (untuk membubarkan dewan) oleh Menteri Besar. Di United Kingdom, kini telah diterima dan diakui meskipun keistimewaan diberikan kepada Raja untuk membubar Parlimen namun perlaksanaannya bergantung, dalam keadaan biasa bergantung kepada perkiraan dan keputusan Perdana Menteri."
(Mohammad Hanipa Maidin)

Ya, pilihanraya semula akan melibatkan duit yang banyak. Tapi rasanya ini lebih baik dari terus bergolak begini, dan menyebabkan rakyat terus resah dan cemas. Sekiranya keadaan sekarang terus dikekalkan, saya percaya, lebih byk lagi tindakan yang bersalahan dari segi undang-undang akan terus dibuat dari pihak BN ataupun PR.

3. Jumlah kerusi yang banyak di Parlimen tak menjamin keutuhan dankekuatan jiwa sesebuah parti. Ini yang dapat kita lihat dari PKR(memiliki kerusi yang paling banyak, diikuti dgn DAP). Secara peribadi, DS Anwar perlu mentarbiyyah ahli-ahlinya supaya tidak terlalu mencintai wang dan pangkat.

wallaha'lam.

No comments: