Thursday, April 2, 2009

Naqib & Usrah

Senja mula merangkak malam. Perlahan-lahan suasana gelap mengganti langit. Lampu-lampu jalan mula bercahaya. Unggas hutan pula mengambil tempat untuk mengisi tugas malam. Cengkerik pun sudah mula mendendangkan iramanya. Masing-masing ada peranan tersendiri. Aku yang dari tadi tercongok, melayan perasaan. Entah apa yang bermain dalam fikiran, aku pun tak tahu. Bila berada di kampong, ini lah rutin harian aku. Termenung di tepi beranda ni. Dari petang sampai senja. Tunggu masuk waktu Maghrib. Bila dah bekerja, mana sempat nak relaks begini. Kalau nasib baik, boleh tengok budak-budak bermain. Kejar sana. Kejar sini. Lepas tu, ada yang menangis. Ada yang bergaduh. Aku jadi tersenyum sendirian. Gelagat kanak-kanak yang belum tahu beza baik buruk ini memang mencuitkan hati. Kalau boleh, nak je aku jadi budak-budak balik.
Tapi, nak buat macam mana. Masa kanak-kanak aku dah berlalu. Sekarang dah beranjak dewasa. Nak tak nak, aku sudah ada tanggungjawab sendiri. Pada diri. Pada ayah ibu. Pada keluarga. Pada masyarakat lagi. Teringat pesan arwah atuk aku. Kita hidup ni, perlu satu bekalan. Untuk bawa ke alam kekal sana. Tapi, bila muhasabah balik. Tenung-tenung diri. Telek-telek iman. Apa sebenarnya aku sudah buat sepanjang hidup ni. Apa bekalan aku. Apa sumbangan aku. Pada diri. Pada semua orang. Dan paling penting, apa sumbangan aku pada Islam?
Zero. Kosong. Sumbangan aku is equal to zero. Bekalan pun.
Sebak dada. Bila aku dapati aku tak pernah menyumbang langsung. Selumpuh-lumpuh Syeikh Ahmad Yassin pun, sumbangan dia memang mantap. Kekalnya Palestin di tangan Islam sekarang pun, atas usaha dia juga.
Tapi aku…hmm.
Mengeluh. Tu saja yang mampu. Mengeluh.
Masa kat UMP dulu, nak turun masjid pun malas. Padahal blok sebelah masjid je. Apatah lagi nak berjuang untuk agama. Jauh panggang dari api. Nasib baik aku tak main awek-awek ni. Kalau tak, tambah satu perkara lagi nak fikir. Untunglah aku pun tak suka bab-bab jiwang ni.
Entah kenapa, tiba-tiba saja aku teringat pada Abang Razif. Naqib teman bilik aku di UMP dulu, Rahmat. Selalu juga Abang Razif datang bilik aku. Untuk jumpa Rahmat lah. Bukan aku. Dia yang menceritakan tentang gerakan Islam pada aku. Kalau nak harap pada kepala otak aku ni saja, jangan harap aku boleh fikir tentang muhasabah-muhasabah ni. Aku bukan belajar agama sangat. Kat sekolah dulu ada lah. Tu pun sebab nak lulus periksa je.
Sebenarnya sebelum ni, istilah naqib pun aku tak pernah dengar. Rahmatlah yang terangkan pada aku. Apa itu naqib. Apa itu usrah.
Bukan penerangan Rahmat tu yang menarik perhatian aku. Tapi, Abang Razif. Penampilan dia. Cara dia bergaul. Aku jadi hormat betul. Segan dengan orang begitu. Sebelum ni aku dengar, geng masjid ni antisosial. Tapi, perwatakan Abang Razif tu membuktikan telahan aku selama ni, salah. Aku lihat, Abang Razif boleh jadi kawan. Boleh jadi abang. Boleh jadi penasihat peribadi. Semua serba serbi boleh.
Lalu, aku tertarik untuk dekati kumpulan mereka. Yang mereka panggil usrah. Maksudnya keluarga. Ya, keluarga. Hubungan keluarga. Itu yang aku perlu. Mungkin kerana keadaan keluarga aku sendiri, yang dah bercerai-berai sebabkan aku kehilangan kasih sayang.
Pertama kali aku berkumpul dengan mereka, satu malam tu. Abang Razif ajak kami semua ambil wudhu sebelum mula. Aku jadi pelik. Nak mula usrah pun kena ambil wudhu ke? Getus hatiku. Abang Razif bagai menduga persoalan yang bermain di benakku berkata, “Wudhu ni untuk tambah keberkatan pada kita. Wudhu juga bermaksud kita dalam keadaan suci. Mana mungkin kita berwudhu andai kita sendiri dicemari najis. Andai kita dalam keadaan hadas. Betul?”
Aku mengangguk. Bersetuju dengan kata-kata Abang Razif.
Selepas itu, kami mula dengan bacaan al-Quran. Malam ni surah al-Waqiah. Masing-masing kena baca. Aku runsing. Tak tentu arah dibuatnya. Yelah, bacaan aku ni sangkut-sangkut. Malulah nak baca depan orang. Si Rahmat pula tak cerita pasal kena baca al-Quran. Aduh…
Lepas seorang, seorang pula baca. Last-last sampai giliran aku. Aku diam. Membatu. Abang Razif pandang aku. Semua yang ada pun begitu. Lantas aku dekatkan diri, berbisik pada Abang Razif. Mujur aku duduk sebelah dia.
“Abang, saya tak pandai sangat baca.” Kata aku. Antara dengar tak dengar. “Malulah baca sangkut-sangkut.”
Aku lihat Abang Razif senyum. Lalu dia berkata pada semua, “Husni sakit tekak malam ni. Tak boleh baca. Kamil, sambung baca.”
Fuh, lega betul. Nasib Abang Razif backup. Kalau tak, buat malu saja. Selesai saja semua baca al-Quran, Abang Razif mula bercerita. Dia tak komen pun pasal bacaan al-Quran tadi. Terus saja sambung bab lain. Abang Razif cerita tentang seorang budak, berumur 4 tahun, ditinggalkan ibu bapanya. Bersendirian.
“Agak-agak semualah, apa akan jadi pada budak tu?” tanya Abang Razif.
“Menangislah, apa lagi” balas seorang tu.
“Kasihanlah, tak ada siapa nak bagi makan. Nak jaga kesihatan dia” balas seorang yang lain pula.
“Bagus. Semua itu betul. Cuba bayangkan situasi tadi pada kita. Tentu sedih. Tak tahu mana arah nak dituju. Takut. Semua ada” Abang Razif memandang kami semua. Ada yang mengangguk.
“Begitu juga kita dengan Allah” sambung Abang Razif lagi. “Bayangkan kita ditinggalkan tanpa kasih sayang Allah. Nasib kita juga akan jadi seperti budak tadi. Takut. Sedih. Sepatutnya kita bersyukur. Kita dapat bernafas. Dapat makan, minum. Semuanya sebab kasih sayangNya. Tapi, kita ni. Apa tanda kita bersyukur. Kita bersyukur dengan tinggalkan solat. Kita bersyukur dengan buat perkara maksiat. Derhaka pada ibu bapa.”
Aku tunduk. Terasa kata-kata itu tepat menuju aku. Selama ini, solat aku buat mainan saja. Tiba-tiba kelopak mata aku terasa panas. Air mata bergenang. Aku cuba tak berkedip supaya air mata tak mengalir. Kata-kata Abang Razif betul-betul menyedarkan aku. Bukan sekadar kata-katanya saja. Cara Abang Razif menyampaikan dengan penuh kelembutan dan hikmah membuatkan maksud yang tersirat disebalik kata-katanya sampai tepat di lubuk sanubari aku.
Seusai usrah malam itu, Abang Razif memanggilku. Dia mengajak aku ke kafe. Aku sekadar mengangguk, menurut ajakan Abang Razif.
Dalam perjalanan ke kafe, Abang Razif bertanya pada aku, “Husni, sebelum ni belajar al-Quran dari siapa?”
“Erm, mak saya. Tapi sampai umur 14 tahun je. Lepas itu, parents saya bercerai. Saya tinggal dengan ayah. Ayah sibuk sangat dengan kerja. Tak sempat nak ajar pun. Saya belajar al-Quran sampai takat tu saja la.”
“Jadi, macam mana Husni baca al-Quran? Solat?” tanya Abang Razif lagi. Tutur kata Abang Razif sentiasa disulami kelembutan. Wajahnya redup dengan senyuman.
Aku tunduk, terdiam. Membiar persoalan itu tak berjawab. Selama ni aku solat ke? Baca al-Quran apa lagi.
“Husni, nak belajar al-Quran?” tanya Abang Razif selepas beberapa ketika.
Aku mengangguk. Diam lagi.
“Tak apa, abang yang ajar. Bila-bila ada masa free, cakap je dengan abang. Ok?”
Aku pandang Abang Razif. Dia tersenyum. Lalu, aku pun turut tersenyum.
Di dalam hati aku, hanya Allah saja yang tahu. Betapa beruntungnya aku. Jumpa orang macam Abang Razif.
Semenjak dari itu, Abang Razif yang mengajar aku membaca al-Quran sehingga lancar. Yang menerangkan tentang solat pada aku hingga sempurna. Yang mengingatkan aku pada Allah. Yang mengembalikan aku ke jalanNya.
Minggu demi minggu, aku tak pernah miss usrah dengan Abang Razif. Pengisian yang diberi memang menjadi amalan bagi aku. Sehinggalah pada satu minggu, tiada sms yang datang dari Abang Razif sebagai pemberitahuan tentang usrah pada minggu itu. Pada mulanya, aku anggap biasa saja. Tapi, 2,3 hari selepas itu, aku rasa tak sedap hati. Kelibat Abang Razif di masjid pun tak nampak. Sms dari aku yang sebelum ini sentiasa berbalas, masih tak dapat jawapan dari Abang Razif. Aku cuba menghubungi telefon bimbitnya, tapi sentiasa gagal. Tak dapat disambung.
Aku mula risau. Bimbang. Macam-macam imaginasi yang aku bayangkan. Sibuk sangat ke Abang Razif ni? Tapi bila telefon, tak dapat. Ada program ke? Tapi tak bagitahu pun. Sakit ke? Atau…
Oh, janganlah. Minta-minta tak ada yang buruk berlaku. Abang Razif sudah seperti abang kandung aku. Selama ini, aku tiada adik-beradik. Abang Razif lah yang mengisi kekosongan itu. Aku tak nak sesuatu yang tak diingini berlaku pada Abang Razif.
Ya Allah, kau lindungilah Abang Razif.
Malam itu aku tak dapat tidur. Bayangan-bayangan negatif menghantui aku. Abang Razif kemalanganlah. Macam-macamlah. Perasaan aku mula berkecamuk. Resahku mula mendadak. Aku tekad. Keesokannya, aku mesti ambil tahu apa yang jadi pada Abang Razif.
Esoknya, awal-awal pagi lagi, selesai Subuh berjemaah di masjid, mata aku meliar mencari Abang Ikhwan, kawan Abang Razif. Aku mesti tanya dia. Akhirnya, mata aku tertangkap susuk tubuh Abang Ikhwan di suatu sudut masjid. Aku mendekatinya.
“Assalamualaikum, Abang Ikhwan.” Abang Ikhwan yang sedang khusyuk membaca al-Quran, menghentikan bacaannya.
“Wa’alaikumsalam” balas Abang Ikhwan.
“Abang Ihkwan, boleh saya tahu tentang Abang Razif. Kat mana dia sekarang?”
Abang Ikhwan diam. Kemudian tunduk. Dia menggelengkan kepalanya. “Abang Razif tak benarkan abang cerita pada sesiapa tentang keadaan dia.”
Jantung aku mula berdegup kencang. Andaian yang bukan-bukan muncul kembali dalam kepala. “Kenapa dia tak nak bagitahu? Ada apa-apa jadi pada dia ke?” aku terus mendesak Abang Ikhwan.
Abang Ikhwan memandang aku. Ditenung mata aku. Kelihatan matanya mula berkaca. Perlahan-lahan, air matanya jatuh. Membasahi pipi. “Abang Razif sekarang… Dia…”
“Kenapa dengan dia? Kenapa?” tanpa tahu apa-apa sebab, air mataku mengalir juga. Aku menggoncang bahu Abang Ikhwan. “Tolong bagitahu apa yang terjadi” pintaku perlahan. Sebak.
“Abang Razif… menderita barah otak. Lama dah dia tahu tentang perkara ni, tapi… dibiarkan saja” Abang Ikhwan mengesat air mata dengan telapak tangan. “Baru-baru ni… dia jatuh pengsan. Kemudian dikejarkan ke hospital. Doktor cakap, memang dah tak ada harapan. Barahnya sudah di tahap tiga.”
Air mataku tak tertahan lagi. Ia terus mengalir, semakin deras. Perkara yang paling tak aku ingini berlaku, sudah pun terjadi. “Sekarang dia masih ada di hospital?”
“Tak. Dia sekarang ada di rumah. Kami baru melawat dia tempoh hari.”
“Tak apa, terima kasih Abang Ikhwan. Terima kasih.” Aku lantas meninggalkan Abang Ikhwan sendirian. Tak sanggup aku berhadapan dengannya. Aku berlari ke bilik. Aku menangis semahu-mahunya. Orang yang aku sayangi. Yang aku anggap macam abang sendiri. Sudah tiada harapan untuk hidup. Tak sangka dia sanggup merahsiakan perkara ini pada aku.
Aku bertekad. Aku mesti pergi rumah Abang Razif. Tanpa membuang masa aku bersiap. Aku membuat keputusan untuk menaiki bas saja. Lagipun, aku kenal benar tempat di situ. Aku pernah ke sana. Sedang aku bersiap-siap, telefon bimbit aku berbunyi. Menandakan ada sms masuk. Pantas aku membaca isi kandungannya;
Salam. Dukacitanya dimaklumkan, sahabat kita, Mohd Razif bin Salamin, telah pulang ke rahmatullah. Marilah kita sama-sama sedekahkan al-Fatihah padanya. InsyaAllah, malam ini akan diadakan majlis tahlil di masjid.
Aku terduduk. Tiada apa yang dapat aku lakukan. Terasa lemah seluruh badan. Air mata sudah tak terdaya mengalir lagi. Akhirnya, aku beristighfar panjang. Teringat cerita Abang Razif tentang kewafatan Rasulullah. Semua sahabat tak dapat menerima kewafatan baginda. Kata Umar, siapa yang kata Rasulullah telah wafat, aku pancung lehernya. Bangun Abu Bakar mendamai suasana. Sesiapa yang beriman pada Rasul, kini baginda telah wafat. Sesiapa yang beriman pada Allah, Dia hidup kekal selamanya…


Lamunan aku tersentak. Kedengaran azan berkumandang menandakan telah masuk waktu Maghrib. Aku bergegas berwudhu lalu menapak ke masjid.
Terima kasih Abang Razif. Kerana menyedarkan aku. Moga-moga rohnya bersama orang-orang soleh. Amin.
Abang Razif, tak mengapa kau pergi tanpa ucapan selamat tinggal. Kerana kita akan berjumpa lagi. InsyaAllah, di syurgaNya nanti.

2 comments:

Rasailul Ashwaq said...

Tinta saudara? Bagus sorotan ceritanya. Penulis membawa pembaca menjadi Husni. Gaya bahasanya biasa tapi membangkitkan emosi. Saya suka permulaan cerita yang lama-kelamaan menyelusuri drama. Karya yang baik. Kisah yang baik.

Mohamad Noradli Bin Hashim said...

Alhamdulillah...juz beginner je
Cuma tak pandai bermain dgn bhse...
Tq 4 ur komen...sila tnjuk ajar ye
Byk lg perlu diperbaiki...