Tuesday, May 4, 2010

Mati dan kita

Apa yang paling dekat dengan kita? Itulah saat kematian kita. Mati itu pasti. Tiada yang pasti di dunia ini melainkan mati. Kita belum tentu menjadi seorang suami atau isteri. Kita juga belum tentu jadi ayah atau ibu. Jika pelajar, belum pasti kita akan sempat bergelar graduan. Jika wanita yang sedang mengandung anak pertama, belum pasti sempat bergelar sebagai ibu. Maka apa yang pasti? Kamu pasti menjadi ahli kubur. Kamu sudah tentu bakal bergelar jenazah.

Wahai bakal jenazah,
Mati adalah satu kejadian yang hebat dan pasti akan dihadapi oleh setiap yang bernyawa. Ia merupakan satu perkara yang tidak dapat dihindarkan walau dengan apa cara sekali pun. Manusia juga akan menghadapi saat kematian. Mahu tidak mahu, suatu hari nanti akan tiba masa masing-masing.

"Tiap-tiap yang bernyawa (bernafas) pasti akan merasai maut."
(Surah Ali Imran: Ayat 185)



Wahai bakal jenazah,
Mati adalah satu rahsia Allah. Tidak ada seorang pun manusia yang berani mendabik dada mengatakan bahawa ia mengetahui saat kematiannya. Dan tidak ada seorang pun yang berani mengatakan bahawa ia akan hidup kekal di dunia ini buat selama-lamanya. Saat ini kita sedang menghirup nafas, apa kita tahu mungkin itu nafas yang terakhir? Saat jari ini masih lancar menaip perkataan demi perkataan, mungkin ini episod pengakhiran. Detik ini, anda sedang ketawa, tak mustahil itu adalah derai tawa perpisahan. Ketika ini, kita semua sedang beribadah, boleh jadi itu saat penghabisan kita di dunia.

Berkata Ibnu Omar r.a : Pada suatu hari aku datang berjumpa Rasulullah s.a.w yang sedang berada ditengah para sahabat yang terkemuka. Lalu berdiri salah seorang sahabat dari Ansar bertanya Rasulullah:- `Ya Rasulullah ! Siapakah yang paling pintar dan siapa pula yang paling cerdas akalnya ?’ Rasulullah menjawab:-`Yang paling cerdas dan yang paling pintar ialah orang yang paling banyak mengingati mati dan yang banyak bekal menghadapi mati. Merekalah yang paling pintar dan yang paling cerdas kerana mereka mendapat kemuliaan di dunia dan kehormatan di akhirat.’


Wahai bakal penghuni kubur,
Mengingati mati adalah suatu perbuatan yang perlu dilakukan oleh setiap orang yang menghuni alam yang fana ini. Orang yang mengerti akan hakikat mati, yang mempunyai kepercayaan dan keyakinan tentang masalah mati, bererti orang ini mengerti akan hakikat hidup. Orang yang mengingati mati dengan pengertian dan kesedaran serta dengan keyakinan dan kepercayaan, hidupnya tidak akan merasa derita dan sengsara. Sebaliknya, orang yang tidak pernah memikir dan mempelajari masalah mati dalam hidupnya dan tidak percaya kepada Tuhan, akan menghadapi matinya dalam keadaan derita dan sengsara.

Sesungguhnya mati akan mengunjungi sesiapa saja dan ia tidak mengenal pangkat atau darjat, kaya atau miskin, senang atau susah.

"Dimana saja kamu berada pasti mati mendatangi kamu sekali pun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat."
(Surah An Nisa’: Ayat 78)



Peringatan untuk kita bersama:

Bismillahhirrahmannirrahim.

Mahasuci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa' dan Qidam, Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa, Mahasuci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa. Mahasuci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup.

Ingatlah! Bahawa sekalian mahluk Allah akan jahanam dan binasa,melainkan zat Allah Taala. Ialah Tuhan yang Mahabesar kuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap hadirat Allah Taala.

Wahai SAYA Bin IBU SAYA, wahai SAYA Bin IBU SAYA,wahai SAYA Bin IBU SAYA, hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini.

Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat.

Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawa senya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.

Ingatlah wahai SAYA Bin IBU SAYA, apabila datang kepada kamu 2 orang malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Mungkar dan Nakir, maka janganlah berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu susah-hati dan terkejut.

Ketahuilah wahai SAYA Bin IBU SAYA, bahawasanya Mungkar dan Nakir itu hamba Allah Taala, sebagaimana kamu juga hamba Allah Taala.

Apabila mereka menyuruh kamu duduk, mereka juga akan menyoal kamu. Mereka berkata:
Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?

Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar, janganlah cuak dan janganlah bergopoh-gapah, biarlah tenang dan berhati-hati.
Hendaklah kamu jawab begini:

Allah Taala Tuhanku,
Muhammad nabiku,
Islam agamaku,
kitab suci Al-Quran ikutanku,
Baitullah itu qiblatku, malahan solah lima waktu, puasa di bulan Ramadhan,mengeluark an zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku.Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku, bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap: "La ila ha illallah Muhammaddur rasulullah".

Wahai SAYA Bin IBU SAYA tetapkanlah hatimu, inilah dia suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal didalam alam Barzakh, sehingga sampai satu masa kelak, kamu akan dibangunkan semua untuk berkumpul di Padang Mahsyar.

Insaflah wahai SAYA Bin IBU SAYA, bahawa senya mati ini adalah benar, soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar, bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar,berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar, minum di kolam air nabi adalah benar, ada syurga dan neraka adalah benar.

Bahawa senya hari Kiamat tetap akan adanya, begitu juga Tuhan yang maha berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur.

Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala.

Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah mudahan Allah Taala menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini. Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.

Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak disiksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW.

Subhana rabbika rabbil izati amma ya sifun wassallamu alalmursalinwalham dulillahi rabbil alamin.

P/s: Al-Fatihah atas pemergian seorang sahabat, senior, dan juga pejuang dalam lapangan dakwah. Perginya arwah (Muhamad Syafiq bin Msduki) adalah satu kehilangan. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Peringatan kepada kita semua yang masih hidup. AL-FATIHAH.

No comments: