Tuesday, December 21, 2010

Keyakinan kita pada Syahadah

Di sini, ingin saya ceritakan dua kisah di zaman Rasulullah, berkaitan dengan keyakinan masyarakat pada masa itu dengan kata-kata Rasulullah, baik orang Islam ataupun kafir Quraisy.

Kisah yang pertama ialah kisah Umaiyyah bin Khalaf. Sebelum perang Badar, Umaiyyah telah diancam bunuh oleh Rasulullah sendiri. Pada 624, orang Mekah memutuskan untuk menghadapi pasukan Muslim yang mengancam kafilah dari Syria yang dipimpin oleh Abu Sufyan bin Harb, yang ketika itu membawa hasil jualan barang rampasan umat Islam yang ditinggalkan di Mekah. Abu Jahal mengumpulkan orang-orang untuk berperang.

Namun Umayyah yang cemas dengan ancaman Rasulullah, tidak mahu untuk meninggalkan Mekah. Ini kerana dia betul-betul yakin bahawa Muhammad akan membunuhnya. Lalu Abu Jahal berkata kepadanya, "Wahai Abu Safwan, jika orang-orang melihat anda tinggal di belakang, maka mereka akan tetap di belakang dengan anda kerana anda adalah ketua orang lembah."

Abu Jahl mendesak sehingga Umayyah berkata, "Kerana anda telah memaksa saya untuk berubah fikiran saya, demi Allah, saya akan membeli unta terbaik di Mekah". Umayyah berkata kepada isterinya, "Wahai Ummu Safwan, persiapkan apa yang saya perlukan untuk perjalanan."

Setibanya di medan pertempuran, Umayyah yang lengkap berpakaian baju besi menutupi seluruh badan kecuali sebelah mata sahaja, bergerak ke hadapan untuk menentang Rasulullah secara berseorangan. Walaupun dalam ketakutan, dia mampu menyembunyikan ketakutannya dan masih mampu berlagak dengan memanggil Rasulullah untuk berlawan.

Rasulullah dengan tenang mengambil anak panah lalu membalingnya dengan tangan. Kalau nak diikutkan kuat manalah sangat balingan tu, tapi dengan takdir ALLAH, anak panah tu terkena sedikit pada kelopak mata Umayyah yang tidak dilindung dengan perisai besi. Umayyah yang memang sangat cemas dengan ancaman Rasulullah jatuh tersungkur daripada kudanya, bukan kerana anak panah tadi, tetapi lantaran ketakutan yang ada dalam dirinya. Dia pun berkata kepada orang kafir Quraisy, "Sesungguhnya, sudah aku katakan, Muhammad akan membunuhku! Muhammad akan membunuhku!"

Itu kisah tentang keyakinan orang bukan Islam terhadap kata-kata Nabi Muhammad. Bagaimana pula keyakinan para sahabat dengan Rasulullah? Kita lihat saja peristiwa Saidina Abu Bakar dengan susu. Setelah habis meminum susu tersebut, barulah beliau menyedari susu tersebut syubhah, yakni ragu-ragu tentang status halal haramnya. Lantaran yakin dengan kata-kata Rasulullah, iaitu menjauhkan yang syubhah adalah lebih baik, Abu Bakar sanggup untuk memuntahkan semula susu yang diminumnya. Saidina Abu Bakar muntah sehingga semua susu tersebut keluar dari tubuhnya. Di pengakhiran, Abu Bakar sangat kelelahan disebabkan muntah tadi.

Tetapi, apa kata-kata Abu Bakar? "Seandainya masih ada susu yang syubhah itu dalam diriku, aku lebih rela mati daripada membiarkan ia berada dalam tubuhku."

Nah, inilah keyakinan para Sahabat dengan Islam, dengan Rasulullah.

Tetapi, lihatlah pada diri kita, masyarakat di sekeliling kita? Bagaimana keyakinan kita dengan Tiada Tuhan Berhak Disembah Melainkan ALLAH, Nabi Muhammad Itu Pesuruh ALLAH? Apakah semua kewajipan yang ALLAH suruh telah kita penuhi? Sekurangnya, semua kewajipan yang kita mampu laksanakan. Sudah buat atau belum? Solat, sudah sempurnakah? Atau lebih malang, langsung tidak solat? Janganlah mengaku diri sebagai orang Islam, sibuk nak beramar ma'ruf nahi mungkar, mulut tak henti berbicara tentang jihad, mengaku pula 'saya sayang ALLAH' semasa isu penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam, seandainya Rukun Islam yang kedua pun kita tak laksanakan!

Bagaimana pula dengan sunnah Rasulullah? Berapa banyak yang kita sudah lakukan?Pesanan baginda, adakah kita ikut? Peribadi baginda, banyak mana yang kita contohi? Sekurangnya, buatlah sunnah yang kita mampu laksanakan. Bukankah Rasulullah pernah bersabda, "Sesiapa yang tidak beramal dengan sunnahku, dia bukan dari golonganku." Jadi, jangan mimpi nak berada dalam syurga ALLAH, seandainya Rasulullah pun tak mengaku kita sebagai umat!

Tengoklah sekarang. Atas nama berjuang untuk kebebasan, ada pula yang berjuang membela nasib gay, lesbian, pondan dan sebagainya. (rujuk http://www.seksualitimerdeka.org/) Yang lebih menyedihkan, orang Melayu pun terlibat sama dalam kumpulan ini. Orang Melayu, yang ditakrifkan di dalam perlembagaan sebagai orang yang beragama Islam, pun turut menyokong pertubuhan semacam ini! Melayu apa ini?! Islam apa ini?!

Sama-samalah renung-renungkan. Kalau berterusan begini, nantilah azab ALLAH yang maha dahsyat menimpa kita. Acheh sudah terbukti. Padang sudah terbukti. Bukti bagaimana lagi mahu kita tunggu??

Sesungguhnya semasa menulis artikel, saya pun seolah-olah sedang menyakiti diri sendiri, atau paling tidak pun seperti sedang mencampakkan batu ke langit, lalu batu itu jatuh ke muka saya sendiri. Kerana saya juga masih banyak kekurangan, masih penuh selut dan lumpur dosa. Dan saya mahu berubah. Anda bagaimana?

(Ditulis dan diolah oleh Mohamad Noradli bin Hashim daripada penceritaan kuliah Fiqh Imam Syafie, Syeikh Muhammad Noeruddin al-Banjari al-Makkiy, 21/12/2010, Masjid Negeri Kuantan)

No comments: