Wednesday, October 28, 2009

Sebat kerana arak: adilkah?

Wacana ilmiah yang bertajuk ‘sebat kerana arak: adilkah?’ yang berlangsung minggu lepas di UIA mendapat respon yang pelbagai. Tak kiralah yang positif atau negatif. Keseluruhannya forum ini memang padat dan sendat dengan fakta dan hujah serta input yang penting bagi kita semua, khususnya pada yang mengaku sebagai pembela agama Islam.

Audien yang begitu ramai menunjukkan betapa masyarakat prihatin tentang masalah yang melanda negara kita. Isu ini sepatutnya tidak diperbesarkan sehingga ke tahap ini, kerana ia memang telah termaktub di dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri. Jadi, tiada apa lagi yang perlu dipersoalkan. Tambahan pula yang mempersoalkan itu adalah dari kalangan yang bukan pakar dalam bahagian perundangan ini sendiri. Namun, disebabkan dengki dan takut Islam yang semakin naik, digunakan juga apa saja hujah, termasuk yang tak masuk akal, untuk menghalang perkara sebegini.

Biarkan apa yang berlaku di negara ini dengan ragamnya. Yang penting di sini, penulis ingin mengupas sedikit input-input terakhir yang diperolehi semasa forum tersebut. Iaitu mengenai faktor-faktor kenapa pengetahuan tentang Islam ini tidak sampai kepada keseluruhan masyarakat. Lalu, ramailah bilangan masyarakat yang beriktikad dengan pegangan yang mereka rasa betul, sedangkan hakikat adalah sebaliknya.

FAKTOR KETIDAKSAMPAIAN ILMU PADA MANUSIA
1. Kejahilan
Jahil ini bermakna tidak tahu, bodoh atau tiada pengetahuan. Masyarakat di serata negara kita ramainya yang semakin celik teknologi dan pelbagai lagi, tetapi malangnya semakin ramai pula yang buta agama. Secara terus terang penulis katakan, sebab terjadinya perkara adalah kerana sistem pendidikan di negara kita yang tidak menekankan sangat aspek agama. Selain itu, kurangnya ambil perhatian terhadap ilmu agama ini berbanding ilmu-ilmu lain.
Penulis lebih suka kepada punca yang kedua tadi iaitu kurang ambil perhatian. Bukan kerana apa, penulis berpendapat adalah lebih baik mengkaji dulu apa yang terjadi pada diri sebelum menuding jari menyalahkan orang lain.

2. Kebebalan
Jahil itu sudah menyusahkan dan memberi impak buruk. Namun lagi menyedihkan apabila si jahil ini bertindak alim dalam perkara yang dia sendiri tidak dalami dan pelajari. Sudahlah mahu memfatwakan hukum sendiri, malah lebih dahsyat lagi apabila pendapat ulama yang sepatutnya dalam bidang tersebut ditolak mentah-mentah seolah-olah mereka ini tahu segalanya. Inilah dikatakan bebal atau kata mudahnya bodoh sombong.

3. Islam gagal sampai kepada semua
Pendekatan badan-badan Islamik di negara ini gagal memaknakan tujuan sebenar mereka ditubuhkan. Kalau dihitung , sudah berlambak badan-badan Islam di negara kita, tetapi usaha untuk menyampaikan Islam itu tidak pernah dimurnikan sebagai satu tujuan utama. Pegawai-pegawai yang bertindak pun tidak menjalankan tugas yang sepatutnya sebagai seorang Islam. Lihat saja perbandingan pada persatuan agama lain. Tidak perlu penulis sebutkan satu persatu di sini.
Kesannya, orang Islam akan mengabaikan Islam dan orang bukan Islam akan terus jauh dari Islam.


CARA MENGATASI
Saya menulis dalam konteks sebagai pelajar, apa perlu kita lakukan dalam menangani masalah ini.
1. Berani
Berani bukanlah bermaksud berani berlawan atau bergaduh. Berani ini dalam menyampaikan kebenaran. Berani juga dalam mencari kebenaran. Kalau yang tahu, tugasnya menyebarkan kepada yang tidak tahu. Kalau yang tidak tahu pula, tugasnya mencari ilmu tersebut.
Muhasabahlah sendiri. Berapa ramai di antara kita yang sanggup menegur rakan-rakan melakukan kesilapan. Sebab kita disuapkan dengan sikap pentingkan diri dan fokus hanya pada pencapaian dunia semata.

2. Dekati semua orang
Pendekatan yang menyeluruh. Bukan kepada satu pihak sahaja. Ini ternyata berat sebelah. Satu pihak kita dekati dan kita berkongsi fakta. Satu pihak lagi kita jauhi dan kita sembunyikan fakta. Dalam menyebarkan ilmu, tidak perlu pilih bulu. Semua orang berhak untuk tahu. Pendekatan ini perlunya didahului dengan keberanian yang dinyatakan di atas. Tanpa keberanian, memang kebenaran tetap tersembunyi sampai bila-bila.

3. Bijak
Hujah yang songsang atau salah tidak perlu dipatahkan di dalam forum atau debat sahaja. Jika kita punyai ilmu, kebijaksanaan dalam berhujah pada diri sudah cukup untuk menjelaskan pada orang terdekat dengan kita. Bijak berhujah juga bukanlah bermaksud anda perlu berbahas dan sebagainya. Jawab secara hikmah sudah memadai. Bukankah Nabi juga berpesan dengan hikmah?


KESIMPULAN
Siapa betul siapa salah telah kita tahu sebelum ke forum ini. Tujuan utama audien memenuhi ruang auditorium malam itu bukan sekadar mencari maklumat. Audien rata-ratanya ingin tahu hujah yang digunapakai dalam sesuatu isu. Sedikit kecewa apabila forum ini tidak menjadi perbincangan dua hala disebabkan ketidakhadiran beberapa panelis. Namun, isi yang mantap, fakta yang tepat dan input yang berguna pada malam itu menaikkan kembali semangat.

No comments: