Wednesday, November 4, 2009

Agama itu nasihat

Dalam satu hadis Nabi SAW, ada menyebut tentang agama itu adalah nasihat.

Dari Tamim Ad Dary bahwasannya Nabi bersabda: "Agama adalah Nasihat". kami bertanya: Untuk siapa? Baginda bersabda: "Untuk Allah, KitabNya, Rasul-Nya dan para pemimpin kaum muslimin serta seluruh Umat Islam". (H.R Muslim dan An-Nasa' )

Agama yang dimaksudkan pula, semestinya adalah Islam. Jadi, Islam itu adalah nasihat. Berkenaan dengan definisi Islam, Nabi Muhammad SAW telah memberi pelbagai definisi Islam kepada orang yang berlainan. Bukannya mahu mengelirukan, malah ini membuktikan kekreatifan Nabi dalam menarik minat orang terhadap Islam. Tidaklah pula menjadi kesalahan dalam mentakrifkan Islam dalam banyak definisi kerana semua yang dijelaskan oleh Nabi adalah benar dan betul tentang Islam.

Fokus pula pada tajuk entri kali ini. Agama Islam itu sendiri adalah nasihat. Nasihat secara etimologi berasal dari kata nashaha yang bererti khalasa iaitu murni. Manakala nasihat menurut Abu Amr bin Salah adalah menghendaki suatu kebaikan untuk orang lain dengan cara ikhlas baik berupa tindakan atau kehendak. Di sini, Nabi Muhammad SAW mahu menunjukkan betapa penting dan tingginya perbuatan nasihat ini. Dalam pandangan Islam, nasihat adalah asas agama yang sangat penting. Kerana manusia itu perlukan nasihat. Tak kiralah sesiapapun, ahli biasa, mahupun pimpinan. Manusia tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan. Dan kesilapan itu boleh dan perlu dibetulkan dengan nasihat.

Hal ini dikuatkan lagi dengan firman Allah dalam surah al-'Asr (yang bermaksud):

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Melainkan yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesan dengan kebenaran. Dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Merujuk kepada ayat ke3 surah di atas, orang yang tidak rugi adalah orang yang beriman dan beramal soleh. Rujuk pula ayat ke4, dan berpesan dengan kebenaran (nasihat). Secara logiknya, berpesan dengan kebenaran itu sudah termasuk dalam amalan soleh. Allah telah menyebut amalan soleh secara am, sepatutnya tidak perlu untuk ditambah dengan ayat seterusnya. Tetapi, Allah telah mengkhususkan antara amalan soleh itu, yang pentingnya adalah berpesan dengan kebenaran. Ini juga membuktikan betapa Islam mengangkat amalan nasihat ini.

Dalam ayat seterusnya, Allah menambah dengan berpesan dengan kesabaran. Ini bermaksud bila mana kita mengamalkan berpesan dengan kebenaran (nasihat), perlu dan mesti ada sifat kesabaran dalam menyampaikan misi tersebut. Tidak kira apa jua mehnah dan tribulasi yang membuatkan perjalanan misi itu tersangkut dan tersadung, sifat sabar inilah yang menggerakkan supaya kita istiqamah dalam memberi nasihat.

Pesanan penulis, kepada semua sahabat sekalian, nasihatilah dan istiqamahlah dalam perkara tersebut. Jangan tanya diri, sampai bila aku mahu menasihati dia. Tetapi tanyalah diri, bagaimana aku mahu menasihatinya. Jangan sesekali menyerah kalah dan berputus asa.



Bekal bagi orang yang menasihati

1. Ikhlas dalam memberi nasihat.

Nabi Muhammad bersabda kepada Abdullah bin Amr:' Wahai Abdullah bin Amr jika kamu berperang dengan sabar dan ikhlas, maka Allah akan membangkitkan kamu, sebagai orang yang sabar dan ikhlas dan jika kamu berperang karena riya', maka Allah akan membangkitkan kamu sebagai orang riya dan ingin dipuji". (HR. Abu Daud)


2. Menjauhi segala macam niat atau keinginan peribadi.

Seorang yang menasihati sebaiknya meninggalkan segala cita-cita dan keinginan peribadi untuk mendapatkan sesuatu. Para ulama salaf telah banyak memberi contoh dan suri tauladan, seperti Sufyan Atsaury, beliau sering menolak pemberian para penguasa khuatir bila pemberian tersebut menghalanginya untuk mengingkari kemungkaran.


3. Mendahulukan sikap kejujuran dan keberanian

Seorang yang ingin menasihati hendaknya bersikap jujur dan pemberani sebagaimana sabda Nabi: "Jihad yang paling utama adalah menyampaikan kebenaran kepada pemimpin yang dhalim". (HR Abu Daud).


4. Berdoa kepada Allah dengan doa-doa ma'tsur

Dari Ibnu Abbas bahwa beliau berkata: Jika kamu mendatangi penguasa yang kejam (atau orang yang sukar dinasihati), maka berdoalah:

Allah Maha Besar, Allah Maha Tinggi seru semua makhluq-Nya, Allah Maha Tinggi dari semua yang aku takuti dan khuatiri. Aku berlindung kepada Allah yang tiada Tuhan yang haq selainNya, Dialah yang menahan langit yang tujuh sehingga tidak jatuh ke bumi dengan izin-Nya dari kejahatan hamba-Mu dan para pengikutnya, bala tentaranya dan para pendukungnya baik dari jin atau manusia. Ya Allah jadilah Engkau pedampingku dari kejahatan mereka, Maha Tinggi kekuasaan Allah dan Maha Agung serta Maha Barakah NamaNya tiada Tuhan selain Engkau - dibaca tiga kali- (H.R Ibnu Abu Syaibah)

No comments: