Thursday, May 27, 2010

Rupa ALLAH

Soalan:
Apa hikmah ALLAH tak menampakkan rupa bentukNYA kepada manusia? Seperti malaikat menjelma sebagai manusia pada zaman Rasulullah SAW.

Jawapan:
Biar kita mulakan jawapan ini dengan satu analogi. (Awas, ini adalah contoh semata-mata, jangan membayangkan pula).

Katakanlah, ALLAH itu muncul di masjid UMP. (Contoh ye ni.) Dengan sifatNYA tersendiri. Bagaimana rupanya? Katalah, ALLAH muncul dalam bentuk yang besar, putih dan macam-macam lagi-lagi. Kita pun dapatlah tengok sekejap rupa bentuk ALLAH. Kemudian ALLAH pun menghilang kembali. Muncul kat masjid UMP saja, kat tempat lain tak ada.

Kemudian si Ali yang duduk di masjid ni tadi, dan sempat menyaksikan ALLAH secara langsung, rasa teruja. Dia pun balik dari masjid cepat-cepat buat panggilan telefon kepada adiknya. Dia ceritalah peristiwa dari A-Z. Adik dia pun tanya, "Macam mana rupa ALLAH tu?" Si Ali ni pun ceritalah, besar, putih dan sebagainya.

Adik dia pun membayangkan rupa ALLAH, padahal dia tak pernah nampak pun. Jadi, dia percaya rupa ALLAH itu, seperti apa yang dibayangkan. Esok dia pergi sekolah, cerita pula pada rakan-rakan. Kawan dia pun kata, "Eh, susah sangatlah cerita kau ni. Cuba kau lukis, senang nak tengok." Adik Ali pun lukis mengikut gambaran yang diceritakan oleh Ali. Padahal lukisan itu belum tentu benar. Hanya gambaran semata. Adik Ali sendiri pun belum pernah lihat.

Cerita ini pun tersebar ke merata sehinggalah akhir sekali, "Susah sangatlah nak tengok lukisan ALLAH ni. Cuba buat bentuk tahan lama sikit. Buat dalam patung tanah liatlah." Maka, jadilah patung tanah liat ALLAH berdasarkan gambaran, lukisan, cerita-cerita dari mulut ke mulut.

Nak dipendekkan ceritanya, akhirnya orang akan percaya rupa ALLAH itu seperti patung yang telah dibentuk, seterusnya orang akan sembah patung tu, dan bukan lagi sembah ALLAH yang sebenar.

Tamat analogi...


Secara ringkas, jawapannya mudah sahaja, untuk mengelakkan manusia dari membayangkan dan menggambarkan rupa bentuk ALLAH, yang Maha Sempurna sifatNYA, dalam bentuk yang lain.

Ia berlaku dalam agama-agama lain. Hasilnya, jadilah patung yang bertangan banyak, dikiaskan bahawa Tuhan itu berkuasa. Dan banyak lagi kiasan-kiasan lain. Patung itu pula disembah sebagai Tuhan. Itulah istimewanya Islam berbanding agama yang lain.

Tengoklah keadaan sekarang pun, kita dah sedia maklum, orang bukan Islam cuba melukis wajah Nabi Muhammad. Bagaimana rupanya, ciri-cirinya, mereka merujuk pada kata-kata para Sahabat tentang perawakan Rasulullah. Mereka pun membayangkan Rasulullah seperti penceritaan para Sahabat. Tapi, mereka sendiri pun tak tahu lukisan itu betul atau salah. Hanya membayangkan mengikut imaginasi tersendiri. Akhirnya, dijadikan modal sebagai bahan persenda mereka.

Wallahu'alam.




P/S: Apabila bercerita kepada orang bukan Islam tentang perihal Islam, yang penting sekali, jangan merendahkan agama mereka dan membandingkan dengan Islam. Cukup sekadar bercerita tentang kelebihan Islam. Bila awal-awal kita dah merendah agama mereka, mereka pun tak akan teragak-agak untuk merendahkan agama kita. Padahal mereka dalam jahil, sedangkan kita tidak. jadi, lagi susah nak tarik minat mereka kepada Islam.

1 comment:

Radhiah Mardhiah said...

sekarang dah faham ceritanya..trima kasih bnyak2..