Menurut buku Nafahat Al-Jumaah: 12 Peribadi Cemerlang Ibadurrahman, karangan Syeikh Yusuf Al-Qaradhawiy, Ibadurrahman bermaksud mereka yang layak mendapatkan rahmat ALLAH dan selalu berada dalam naunganNya. Hal ini dinisbahkan kepada dzat ALLAH iaitu Ar-Rahman. Ciri-ciri golongan ini telah disebutkan oleh ALLAH dalam surah al-Furqan.
Firman ALLAH dalam surah al-Furqan : 63-67
"Dan hamba Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang yang berkelakuan kurang adab hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat daripada perkara yang tidak diingini. Dan mereka yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri.
Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: 'Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahanam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu mengerikan.' Sesungguhnya neraka Jahanam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang buruk. Dan juga mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil, kedekut, dan sebaliknya perbelanjaan mereka adalah betul sederhana antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu."
Antara ciri Ibadurrahman ialah:
1. Merendah diri (berjalan di bumi dengan sopan santun)
Sopan santun yang disebut dalam firman ALLAH di atas, bukanlah menyuruh berjalan lambat dan perlahan seperti orang sakit. Tetapi, Mukmin yang bersikap sopan merendah diri, tidak sombong apabila berjalan di muka bumi ALLAH. Tidak memalingkan muka dari orang lain, dan tidak takbur lagi membangga diri. Itulah yang dimaksudkan dengan berjalan di bumi dengan sopan santun.
2.Murah hati
Orang Mukmin yang mendapat redha ALLAH, tidak akan membalas kata-kata cacian atau makian dengan keburukan semula. Tetapi, mereka membalas dengan kebaikan dan kata-kata yang selamat; yang menjauhkan diri dari masalah yang lebih besar.
3. Mendirikan solat malam
Individu yang rajin mengerjakan qiamullail, terutamanya pada 1/3 malam, adalah salah-satu contoh Ibadurrahman. Nabi Muhammad SAW yang terpelihara dari dosa sendiri solat malam sehingga bengkak-bengkak kakinya, apatah lagi kita yang banyak dosa ini.
4. Takut neraka
Apa yang mendorong Mukmin untuk berada dekat dengan ALLAH? Tidak lain tidak bukan, adalah rasa takut kepada azab ALLAH dan berharap kepadaNYA. Golongan Ibadurrahman sentiasa berdoa supaya dijauhkan dari api neraka.
5. Sederhana membelanjakan harta
Tidak boros dan tidak pula kedekut. Tida boros ialah tidak membelanjakan harta sesuka hati tanpa kepentingan. Tidak pula ia kedekut dalam membelanjakan hartanya kepada jalan ALLAH.
Firman ALLAH lagi dalam surah al-Furgan: 68
"Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu selain ALLAH, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan ALLAH untuk membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak dan tidak pula berzina; dan sesiapa yang berbuat demikian akan mendapat balasan dosanya."
6. Bertauhid
Diterangkan lagi dalam ayat seterusnya surah al-Furqan seperti di atas, bertauhid ialah tidak menyekutukan ALLAH dengan segala sesuatu.
7. Tidak membunuh dan menghormati kehidupan.
Iaitu mereka yang tidak membunuh kecuali yang disyariatkan sahaja, juga menghormati kehidupan sendiri dan orang lain. Ia juga bermaksud tidak mensia-siakan hidup diri sendiri dan orang lain seperti membunuh diri dan sebagainya.
8. Menjauhi zina
Zina ini dijauhkan oleh golongan Ibadurrahman. Kerana ingin menjaga keturunan mereka daripada kecelaruan. Zina juga adalah lambang kerosakan akhlak satu masyarakat, sepertimana riba adalah lambang kerosakan ekonomi.
9. Taubat nasuha
Firman ALLAH SWT dalam surah al-Furqan, ayat 70-71 (maksudnya):
"Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang itu, ALLAH akan menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal salih, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat."
Orang yang berdosa perlu bertaubat dengan syarat; 1)penyesalan 2)hasrat untuk tidak mengulangi dosa 3)memutuskan hubungan dengan perkara yang boleh melibatkan dosa.
10. Tidak bersumpah palsu dan melakukan perkara sia-sia.
Al-Furqan : 72
"Dan mereka yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara yang dilarang, dan apabila bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya."
Kesaksian palsu bermaksud berbohong dan memutarbelitkan fakta. Memberi kesaksian palsu mempunyai persamaan dengan syirik kepada ALLAH; kerana ia tersembunyi pengabaian hak dan mencetus permusuhan. Ibadurrahman juga menjauhkan diri dari tempat-tempat mungkar agar ia tidak terpalit sama dengan keburukan tempat tersebut. Selain itu, mereka juga tidak bersubahat dengan perkara sia-sia.
11. Menyelami kata-kata ALLAH
"Dan juga mereka yang apabila diberi peringatan dengan ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara pekak dan buta." (al-Furqan:73)
Al-Quran merupakan kata-kata ALLAH yang mempunyai banyak keterengan tentang kekuasaanNYA, kebesaranNYA dan juga hukumNYA. Untuk tergolong dalam Ibadurrahman, seseorang itu perlu membaca al-Quran, memahaminya dan mengamalkannya.
12. Memohon kebaikan untuk isteri dan keluarga
"Dan juga mereka (yang diredhai ALLAH ialah) yang berdoa dengan berkata: 'Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat-zuriat kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang mahu bertakwa'." (al-Furqan:74)
Apakah makna sifat ini? Mereka berdoa kepada ALLAH agar dianugerahkan isteri dan keturunan yang baik, yang melapangkan dada serta menggembirakannya. Mereka juga memohon untuk dijadikan pemimpin bagi orang bertakwa. Ini kerana dalam membentuk generasi Ibadurrahman, ia bermula dengan institusi kekeluargaan. Oleh itu, anak-anak yang lahir, akan dididik dengan Islam dan dicorakkan untuk menjadi Ibadurrahman.
No comments:
Post a Comment