“Abang dulu bukan baik pun,” kata abang Din (bukan nama sebenar), pemandu bas kedua kami. Ketika itu dalam perjalanan pulang daripada UTM sempena pertandingan nasyid kebangsaan. Kebetulan bukan dia yang memandu. Kami berdua saja yang berbual, sedang yang lain dibuai mimpi.
“Bukan baik macam mana pula?” tanya saya. Sebelum itu, kami berbincang tentang persoalan agama. Sungguh, perbicaraan yang biasa-biasa. Kenyataan abang Din tadi, mengubah bicara dari yang biasa-biasa kepada sesi luahan dan muhasabah yang serius.
“Abang dulu sembahyang pun tunggang-langgang, rezeki halal haram pun lintang-pukang,” jawab abang Din. Dia tertunduk.
“Kenapa cakap macam tu?” Saya tahu, ini bukan soal main-main. Luahan abang Din bukan sekadar berbasi-basa pada perbualan semata. Ia kerana abang Din sedar, dulunya dia telah silap. Dia mahu berubah. Dan dia perlukan bantuan. Waktu itu, secara automatiknya mengisi jawatan itu. Ini tugas daie, saya takkan sia-siakannya.
“Yalah, abang ni tak solat, tak jaga ibadat. Anak-anak pun abang tak lengkapkan dengan ilmu agama.” Saya cuma menggangguk. Sebagai pendengar yang baik, yang penting jangan banyak soal atau banyak cakap. Dengar, dengar dan DENGAR.
“Macam mana abang nak buat ye? Anak dan isteri abang, kurang sangat ilmu agama ni. Abang pun. Abang ada anak berumur 6 tahun. Meninggal tahun lepas, kemalangan. Abang tak sempat nak corakkan dia dengan agama pun.” Saya lihat genangan air mata pada kelopak matanya. Dia ceritakan lagi kisah-kisah silamnya yang tak perlu saya ceritakan di sini.
Saya pegang bahunya lalu bertanya “Abang, mahu tak abang saya cerita kisah anak-anak kecil yang mati sebelum baligh di alam akhirat nanti?”
Dia mengangguk perlahan.
“Anak-anak yang mati sebelum baligh akan berada di pintu syurga menunggu ibu-bapanya. Mereka tak mahu masuk syurga, selagi tidak bersama ibu-bapanya. Setiap waktu mereka berdoa, ‘Masukkanlah ibubapaku kedalam syurga.’ Macam itulah keadaan mereka setiap hari, sampai hari kiamat nanti.” Saya terdiam seketika, menarik nafas.
“Sebaik saja hari kiamat nanti, mereka akan melangkah ke syurga bersama dengan ibu-bapa mereka. Bagi yang tak bernasib baik, iaitu ibu-bapa yang terkandas semasa titian sirat, anak-anak kecil ini akan menangis dan minta pada ALLAH supaya memasukkan ibu-bapa mereka ini ke dalam syurga. Mereka terus menangis, sehingga Rasulullah perasan akan keadaan tersebut.” Abang Din terus mendengar dengan penuh minat. Sekali-sekala ia mengangguk.
“Rasulullah pun bertanya kepada malaikat, ‘Apa yang membuatkan mereka menangis?’ Malaikat pun berkata, ‘Mereka menangisi ibu-bapa mereka yang tidak dapat masuk ke syurga bersama mereka.’ Rasulullah pun berdoa kepada ALLAH untuk memberi syafaat kepada ibu-bapa tadi. Dengan syafaat Rasulullah dan rahmat ALLAH, ibu-bapa mereka dapat masuk ke syurga bersama mereka.”
Abang Din memandang saya, mengisyaratkan untuk penjelasan yang lebih lanjut.
“Abang Din tak perlu risau keadaan anak abang tu. InsyaAllah, dia mati dalam keadaan belum baligh, suci dari sebarang dosa. Persoalannya, adakah abang layak untuk bersamanya melangkah ke dalam syurga?” jelas saya.
“Itulah…” katanya perlahan.
“Abang Din tak perlu malu untuk belajar.” Kali ini saya memandang tepat matanya. “Saya dulu pun bukanlah macam saya sekarang. Saya pun masih belajar lagi. Banyak salah dan silap saya dulu. Mujur ALLAH sempat tarik saya kembali pada jalanNYA. Abang Din pun, syukur pada ALLAH sebab bagi hidayah dan abang masih sempat untuk berubah, insyaALLAH. Sekarang mahu atau tidak. Usaha untuk belajar dan berubah saja, selebihnya serah pada ALLAH.”
Abang Din tersenyum dan memandang saya. Saya perasan ada kesan air mata pada pipinya. Perbualan kami hanya setakat itu. Bas berhenti untuk rehat dan makan. Selepas perjalanan disambung, abang Din mengambil alih tugas sebagai pemandu. Tidak sempat untuk saya berdialog dengan abang Din lagi. Saya tertidur dalam bas, hanya tersedar bila sampai di UMP.
Walaupun hanya perbualan yang sekejap dengan abang Din, saya tahu dia ikhlas. Sungguh saya bukanlah orang yang sesuai untuk menjadi daie dan bercakap panjang tentang perkara ini. Saya hanya buat apa yang termampu. Saya berdoa moga ALLAH menetapkan hatinya dan hati saya dalam perubahan. InsyaALLAH.
Wallahu’alam.
Firman ALLAH SWT dalam surah al-Furqan, ayat 70-71 (maksudnya):
"Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang itu, ALLAH akan menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal salih, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat."
p/s: Saya mengambil masa yang lama untuk memikirkan tajuk pos ini. Ketandusan idea untuk mencipta tajuk. Maaflah atas tajuk yang tak seberapa ni.
2 comments:
Macam mana kalau orang tak suka kita berubah? Situation has been hard for me lately. Buat baik orang kata nak ambil perhatian, dulu buat jahat pun orang kata nak ambil perhatian.
Kecewa dengan sikap manusia.
Berubah kerana orang, kita akan kembali ke tabiat lama, jika orang pergi jauh dari kita.
Berubahlah kerana ALLAH, DIA tetap ada bersama kita.
Biar orang tak suka, tapi ALLAH suka, insyaALLAH.
Pedulikan dengan apa orang nak cakap. Bukan cakap dia yang tentukan kita ke syurga atau neraka. Dan bukan dia yang bagi syafaat pada kita di hari kiamat nanti.
Lalu, untuk apa pedulikan mereka?
Bukan semua suka berada dalam kebaikan, malah lebih ramai lagi yang benci. Teladanilah sirah Rasulullah dan sahabat. Ambil pengajaran dari kisah pejuang-pejuang Islam dulu dan sekarang.
Post a Comment