Wednesday, November 10, 2010

Generasi masa hadapan

Zaman senantiasa mengalami perubahan. Menjelang berakhirnya alaf kedua dan memasuki abad baru terjadinya lonjakan perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi dengan pesat. Kayu ukur bagi lonjakan ini ialah dengan lajunya penyebaran teknologi komunikasi dan informasi (information technology). Semua ini adalah disebabkan oleh suatu gejala yang disebut sebagai arus globalisasi dan perdagangan bebas, yang memacu dunia ini dalam satu arena persaingan yang tinggi.

Menurut the American Heritage Dictionary, globalization is the act of process or policy making something worldwide in scope or application, iaitu suatu tindakan atau proses menjadikan sesuatu tersebar ke seluruh dunia (universal) di dalam skop ataupun aplikasinya. Di era globalisasi, hubungan komunikasi dan informasi menjadikan satu sama lain menjadi dekat hasil dari pengembangan ilmu pengetahuan dan teknologi.

Globalisasi membawa banyak tentangan dari aspek sosial, budaya, ekonomi dan politik kerana terma ‘dunia tanpa sempadan’ tersebut. Globalisasi juga menjanjikan harapan dan kemajuan. Setiap pemuda generasi masa kini harus arif dalam setiap yang terjadi pada perubahan zaman ini. Kita juga harus mempunyai visi yang jauh ke hadapan. Lebih-lebih lagi sebagai seorang Muslim, Islam tidak mengajar untuk tidak berusaha membangun dalam perkembangan globalisasi ini. Firman Allah dalam surah al-Qasas:77, yang bermaksud:

“Dan jangan sampai kamu melupakan nasib/peranan kamu dalam percaturan hidup dunia.”

Secara realitinya, kelemahan negara berkembang adalah lemahnya jati diri kerana kurangnya komitmen generasi muda sekarang kepada nilai-nilai luhur agama yang menjadi anutan setiap masyarakat bangsa. Kelemahan ini ditambah pula oleh tindakan pengasingan diri kerana tidak mampu menguasai ‘bahasa dunia’; politik, ekonomi, sosial dan budaya. Antara sebab lemahnya penguasaan teknologi ini adalah kerana kurangnya minat menuntut ilmu. Selain itu, selama ini pengukuran pencapaian dan prestasi di alam industri hanya berdasarkan kepada produktiviti semata-mata.


Sebagai penyelesaian, dalam suasana persekitaran yang berubah-ubah ini, elemen-elemen baru yang berasaskan kreativiti dan inovasi perlu dijadikan budaya dan amalan. Proses pembelajaran dan pendedahan berterusan kepada kaedah dan teknologi baru di institut pengajian tinggi amat penting bagi memastikan graduan yang dihasilkan dapat memenuhi kehendak industri dan pasaran. Kita tidak boleh sekali-kali terperangkap dengan sikap dogmatik mahupun nostalgik dalam menilai sesuatu pendekatan. Ini kerana apa yang berkesan atau relevan hari ini tidak semestinya masih berkesan atau relevan di masa depan. Janganlah cepat berpuas hati terhadap apa yang dicapai. Untuk terus berjaya kita mesti sentiasa berusaha untuk berada di hadapan keluk perubahan, bukan mengekorinya.

Selain itu, liberalisasi dalam sektor pendidikan misalnya, membolehkan siswazah tempatan mengambil peluang menambahkan kepakaran dan kemahiran mereka melalui transfer of technology. Usaha Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang dalam bekerjasama melibatkan kepakaran dari universiti German adalah salah satu langkah yang sangat baik. Penglibatan tenaga-tenaga mahir ini sekaligus akan membawa kepada aliran masuk pengetahuan, teknologi dan kemahiran teknikal yang pesat. Ini sekaligus akan menggalakkan perkongsian teknologi antara tenaga mahir asing dan tempatan memandangkan wujudnya peluang kepada tenaga kerja tempatan untuk mempelajari dan mendalami teknologi serta kemahiran teknikal tersebut.

Yang terakhir, nilai insaniah (softskill) sepatutnya menjadi kriteria utama dalam pembentukan generasi masa hadapan. Penglibatan generasi muda pada aktiviti-aktiviti yang meningkatkan kesedaran terhadap agama dan budaya dapat menjadi pendorong bagi melahirkan generasi penyambung yang bertanggung jawab. Aktiviti ini akan memacu peningkatan daya intetelektual di dalam pelbagai bidang melalui pendekatan holistik. Dengan penerapan nilai insaniah ini, akan tiada lagi masalah gejala social yang semakin teruk melanda kita. Selain itu, generasi yang lahir dari kemahiran ini adalah penuh dengan kesedaran tentang kepentingan menimba ilmu pengetahuan.

Sebagai generasi bakal memimpin masa depan, yang peduli dan proaktif dalam menyokong pembangunan masyarakat, kita seharusnya sedar tentang manfaat peningkatan globalisasi. Setiap usaha ke arah pemantapan kemahiran insaniah pada generasi mendatang tidak boleh dianggap enteng. Sebagai mahasiswa yang cakna tentang isu ini, marilah kita menyahut cabaran globalisasi ini supaya masa hadapan dapat dibentuk di tangan kita. Kita sedang merentasi cabaran di alaf baru. Untuk berjaya di dalam kerangka cabaran globalisasi yang sengit ini, kita harus mengubah paradigma dan pola pemikiran kita. Malaysia memerlukan setiap warga menyumbang kepada kemakmuran berterusan negara.

No comments: