Untuk memasak masakan yang sedap, bahan dan cara penyediaan sangatlah penting bagi memastikan masakan itu sempurna dari pelbagai aspek. Mungkin ada pelbagai cara untuk memasak masakan yang sama, tetapi resepi yang terbaik adalah bila ia menepati cita rasa yang dikehendaki dan mudah untuk disediakan.
Sebagai pelajar, saya sudah lali dengan cara belajar yang pelbagai. Ramai kalangan pelajar, termasuklah saya, bukan saja belajar di saat terakhir, tetapi cara belajar pun salah. Lupakah dengan pepatah study smart, not study hard?
Kaedah belajar yang mudah dan berkesan, bukan saja menjimatkan masa malah menjimatkan tenaga untuk belajar. Ramai yang berkata, yang penting mahu atau tidak. Salah sebenarnya konsep ini. Semua orang mahukan kejayaan dan kesenangan. Siapa yang nak jadi susah? Faktor terpenting dalam menggerakkan keinginan menjadi kenyataan ialah rajin atau malas.
Contohnya, semua orang mahu kaya. Jadi, semua orang ada kemahuan. Tapi untuk mencapainya, perlulah ada sikap rajin. Seorang yang rajin berusaha, pasti akan dapat apa yang dikehendaki. Tapi, ramai yang malas menggunakan cara rajin berusaha. Mereka gunakan jalan singkat untuk kaya. Lalu, muncullah profesion sebagai pencuri, perompak dan macam-macam lagi.
Penyakit malas adalah penyakit yang menular di zaman sekarang, khususnya pada remaja. Seiringan dengan zaman teknologi, segalanya ada di tangan ada. Biasanya, bila beli barang, ke shoping complexlah jawabnya. Tapi sekarang, klik saja di internet, anda boleh dapat apa yang anda mahu. Nak bayar bil air dan elektrik pun pakai komputer saja. Mudahnya hidup. Inilah yang merencatkan sikap mahu berusaha. Sebab segalanya disediakan.
Mahu praktikkan resepi belajar? Boleh saja. Pokoknya, rajin atau malas!!
Terus terang saya katakan, saya bukanlah pelajar cemerlang atau mendapat anugerah dekan setiap semester. Saya ini berada di kelompok sederhana saja. Orang kata, biasa-biasa saja. Tambahan pula, jurusan yang saya ambil bukanlah jurusan yang saya minat sejak dari sekolah. Malah, ia adalah jurusan yang paling lemah semasa di sekolah.
Biar saya bahagikan dua jenis mata pelajaran yang diambil semasa sekolah dulu. Pertama, subjek mengira, iaitu matematik moden, matematik tambahan, fizik dan kimia. Kedua, subjek menghafal, iaitu sejarah, pendidikan Islam, biologi dan mungkin subjek bahasa.
Kemahiran saya terletak pada bahagian kedua, iaitu menghafal. Ditambah pula minat yang mendalam kepada subjek sejarah dan biologi. Sebelum peperiksaan SPM, saya khatamkan buku teks sejarah dan biologi tingkatan 4 dan 5. Dan saya hafal semuanya.
Jadi, saya ingin berkongsi tentang bagaimana mahu aktifkan otak kita supaya dapat menghafal. Khusus bagi subjek menghafal. Sebelum itu mari saya terangkan mengenai perbezaan antara lelaki dan perempuan dalam kemahiran ini.
Lelaki kebiasaannya senang memahami sesuatu tajuk, atau cepat tangkap kata orang. Jadi, masa yang diperlukan untuk belajar mungkin lebih sedikit dari perempuan. Namun, lelaki adalah makhluk yang cepat lupa. Lupa dengan apa yang dipelajari.
Perempuan pula berbeza. Mungkin perempuan sukar atau lambat memahami sesuatu. Tetapi daya ingatan mereka sangatlah kuat. Keseimbangan antara lelaki dan perempuan itu memang sengaja diciptakan oleh Pencipta kita, supaya saling memperkukuhkan satu sama lain.
Bagi golongan lelaki, saya cadangkan waktu belajar anda tak perlulah mengambil masa yang lama. Setengah jam sahaja sudah cukup. Tapi, waktu belajar anda perlulah konsisten dan selalu atau frequent. Seterusnya, bila sudah faham apa yang dipelajari, sentiasalah rujuk semula. Agar apa yang difahami itu, melekat dalam kepala.
Untuk kaum perempuan, waktu belajar anda tak perlu selalu seperti lelaki. Sekali anda belajar, mungkin akan mengambil masa untuk faham dan ingat. Dan bila sudah faham dan ingat, anda bolehlah bergerak ke bab atau subjek yang lain.
Semasa di sekolah, saya memang betul-betul berminat terhadap subjek yang menghafal. Sebab itu saya boleh hafal semua yang dipelajari. Jika anda tanya saya, bagaimana mahu menanam minat terhadap subjek tersebut. Saya memang tiada jawapannya. Sebab bagi saya, minat itu datang dari diri anda sendiri. Tapi, ingin saya pesan, minat ini boleh dipaksa. Mula-mula paksa, hinggalah jadi terbiasa. Maka minat itu akan datang dengan sendiri.
Ramai yang merungut mengatakan, sukar untuk menghafal. Apatah lagi banyak yang perlu dihafal. Mari saya kongsikan cara-cara untuk menghafal:
1) Baca Basmallah dan berdoa (bagi yang Muslim), bagi non-Muslim bolehlah bertafakur seketika.
• Kenapa saya tekankan perkara ini, supaya otak kita mendapat ketenangan sebelum anda mahu kerah ia untuk bekerja. Ini akan membuatkan anda lebih mudah untuk belajar. Dapat keberkatan lagi.
2) Susunkan plot bagi setiap sub-topik yang anda belajar.
• Plot ini mungkin boleh disusun mengikut turutan masa, ini sesuai untuk subjek seperti sejarah. Sebagai contoh, anda boleh mulakan dengan tahun sebelum tanah Melayu dijajah dan seterusnya.
• Plot juga boleh disusun mengikut turutan yang ringkas kepada lebih kompleks. Ia boleh digunakan untuk subjek seperti biologi. Contohnya, anda akan belajar bahagian badan secara umum, kemudian barulah masuk kepada sistem yang lebih kompleks seperti sistem pernafasan dan sebagainya.
3) Bentukkan plot tadi, kepada sebuah cerita.
• Melalui plot-plot yang sudah tersusun, sesebuah cerita itu pasti ada bahagian-bahagiannya. Bermula dari pengenalan, peningkatan, klimaks dan penutup.
• Teknik penceritaan juga mesti mengikut aliran dan format plot masing-masing.
4) Hidupkan cerita anda dalam imaginasi.
• Bayangkan anda adalah salah seorang watak dalam cerita anda tadi. Anda akan terlibat sekali dalam cerita tersebut. Ini lebih mudah untuk menghafal subjek yang mungkin anda rasa tidak menarik dan bosan.
• Remaja adalah manusia yang paling hebat daya imaginasinya. Kenapa tidak gunakan kehebatan ini sebagai cara anda belajar?
P/s: Anda mungkin Hang Tuah dalam cerita imaginasi anda. Tidak salah berangan dalam belajar. Setiap kejayaan bermula dengan angan-angan. Tips untuk mahir mengira? Ops, saya bukan orang yang sesuai untuk menjawab soalan itu.
Semoga berjaya dalam peperiksaan akhir semester.
No comments:
Post a Comment