Tuesday, June 9, 2009

Dilema sang pejuang

Kita sedia maklum. Dilema penggerak jemaah ialah di antara gerak kerja dan akademik. Dua-dua sama penting. Tidak ada yang nombor 1 atau 2. Namun, hakikat yang melanda sang pejuang dewasa ini ialah tidak dapat mengimbangkan antara kedua elemen penting ini. Ada yang aktif dalam gerak kerja, sempurna, pantas, efektif dan sebagainya. Tetapi dalam akademik, dia terus berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

Penulis bukan mahu menuding pada mana-mana individu. Penulis sendiri pun tidak terlepas dari masalah yang sama. Bukan nak menunjuk pada sesiapa yang bersalah atau tidak. Tudinglah semua jari kita pada diri sendiri. Kita sentiasa yakin dengan janji Allah. Kalau kita tolong agama Allah, Allah akan tolong kita. Tetapi kenapa dalam akademik kita semacam tidak mendapat pertolongan dari Allah? Justeru, muhasabahlah diri. Suluhlah jiwa. Selama kita melibatkan diri dalam jemaah, apakah betul perbuatan kita? Ikhlaskah kita dalam perjuangan?

Nah, mungkin di sini yang terdapat sedikit cacat celanya. Sebab itu dalam perjalanan akademik bagaikan tak memihak pada kita. Jadi, salah siapa? Gerak kerja yang sentiasa menyibukkan diri kita? Masa yang selalu mencemburui kita? Peluang yang kita susah nak dapat? Bukan, ini semua bukan jawapannya. Yang salah diri kita. Yang kurang molek diri kita. Yang buat kita jatuh juga adalah diri kita.

Kita jangan sesekali memandang ringan dalam akademik. Sebab bila kita pandang ringan, dan akhirnya jatuh. Kita dah mengkhianati harapan semua orang, terutamanya ibu bapa. Bukan itu saja, kita juga mengkhianati peluang yang Allah bagi kepada kita supaya menceduk ilmu. Analogi antara gerak kerja jemaah dan akademik boleh diibaratkan seperti ini, jika gerak kerja itu diandaikan seperti solat. Maka akademik ialah wudhu'. Setuju?

Jadi, apa lagi. Buatlah yang terbaik dalam jemaah dan akademik. Allah tak pandang hasil sesuatu perbuatan kita sebab Allah dah tahu kesudahannya. Tapi Allah melihat pada usaha kita untuk mencapai apa yang ingin kita hasilkan.


Nabi saw pernah bersabda:
Tiga orang yang akan selalu diberi pertolongan oleh Allah:
1. Seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah
2. Seorang penulis yang selalu memberi penawar
3. Seorang yang menikah untuk menjaga kehormatan dirinya
(HR at-Tarmizi)

No comments: