Wednesday, June 17, 2009

Unsur tubuh manusia

Terdirinya tubuh badan manusia ini atas keserasian pelbagai unsur. Unsur-unsur ini yang menentukan siapa orang tersebut. Ibarat melokul air. Satu molekul air ini mempunyai dua unsur terpenting, iaitu 2 unsur hidrogen dan 1 unsur oksigen. Begitu juga tubuh badan kita. Tetapi, unsur tubuh manusia ini berlainan dari unsur di dalam molekul. Lalu, apa itu unsur tubuh manusia? Di dalam konteks perbincangan kita kali ini, penulis ingin berkongsi apa itu unsur tubuh manusia ini supaya kita sama-sama dapat memaksimakan potensi diri.


Unsur Tubuh Manusia

1. Akal
Akal fikiran adalah satu unsur yang sangat menonjol pada penciptaan manusia. Ini yang membezakan manusia dengan makhluk lain. Sehingga manusia itu layak menjadi khalifah di muka bumi kerana mempunyai akal.
Islam amat mementingkan dan memandang tinggi perkara akal ini. Buktinya, dalam al-Quran (al-Hasyr:21)

"Jika Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau lihat gunung itu tunduk serta pecah- belah kerana takut kepada Allah. Contoh perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya."

Keutamaan akal fikiran ini ditegaskan Rasulullah s.a.w dalam dalam satu hadis daripada Ibnu Hibban, maksudnya: "Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat setahun."


2. Rohani
Perkataan rohani dalam bahasa Malaysia sering dikaitkan dengan hati, kalbu, jiwa, mental, fikiran dan sebagainya yang mewujudkan sebagai suatu unsur peribadi manusia yang paling unik yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera. Tetapi gejala dalam kerjanya dapat dirasakan. Gejala itu misalnya menangkap dan menyimpan pengertian, mengingat, berfikir, berkemahuan, rindu, sedih, gembira dan sebagainya.

Imam Ghazali dalam kitab Ihyaa' 'Ulumuddin menerangkan bahawa roh itu ada dua makna. Pertama berupa jenis yang halus dan bersumber dari rongga hati jasmani dengan perantaraan otot-otot dan urat yang bermacam-macam tersebar ke seluruh bahagian-bahagian badan. Kedua, ianya berupa sifat halus pada manusia yang dapat mengetahui sesuatu dan dapat menangkap segala pengertian. Banyak pengertian yang dikemukakan mengenai jiwa namun begitu belum ada yang dianggap memuaskan.

Bahaya penyakit rohani telah dititip dalam al-Quran (al-Baqarah:10)yang bermaksud:

"Dalam hati mereka ada penyakit, maka Allah tambah penyakit mereka dan adalah bagi mereka siksaan yang pedih dengan sebab apa-apa yang mereka dustakan"


3. Hati
"Rasulullah saw pernah bersabda maksudnya: "Bahawa hati itu berkarat, seperti berkaratnya besi." Lalu orang bertanya, "Wahai Rasulullah, bagaimana membersihkannya?" Jawab Rasulullah: "Membaca al-Quran dan mengingati mati." Membaca al-Quran dijelaskan di sini bagi membersihkan kekotoran di jantung yang didatangkan syaitan mengikut saluran darah.


4. Nafsu
Nafsu adalah kemahuan diri yang mudah didorong oleh syaitan untuk melakukan kemungkaran. Namun, nafsu ini boleh dijinakkan dan mampu menjadi pendorong untuk seseorang agar lebih tekun beribadat. Terdapat pelbagai tingkat nafsu: amarah, lawwamah, mulhamah, muthmainnah, radiyyah, mardiyyah dan saffiyyah.


5. Jasad
Tidak perlu didefinisikan lagi tentang jasad. Kita semua sudah maklum apa itu jasad. Kepentingan untuk menjaga batang tubuh kita ini adalah demi meneruskan kesihatan tubuh badan agar dapat beribadat kepada Allah.



Jadi, semua unsur ini perlu dilatih dan digilap untuk menjadi seorang insan berpotensi.

No comments: