Friday, September 11, 2009

Ukhwah...

Antara kata-kata hikmah yang kita boleh jadikan sebagai pengajaran; hadiah yang paling berharga adalah nasihat yang berguna. Ukhwah ialah ikatan persaudaraan antara sesama muslim, itu secara mudahnya. Ikatan ini antara manusia yang asalnya dari latar yang berbeza, dialek yang berlainan, gaya personaliti yang tak mungkin akan sama setiap orang. Pengikat antara semua manusia ini ialah ukhwah. Semua orang tahu pasal ukhwah. Tapi berapa ramai yang berhati-hati dalam kehidupan demi menjaga ukhwah? Berapa ramai yang setiap malam memafkan teman-teman semata-mata kerana ukhwah?

Secara jujurnya, sebelum saya IPT, saya adalah seorang yang pendendam. Sekali saya menyesal berinteraksi dengan seseorang, selama-lamanya saya tak akan berhubung lagi. Mungkin sebab itu juga, saya tak ramai kawan baik. Kalau ada pun, persahabatan itu malas nak dikenang. Tapi ada sesuatu nilai dalam sebuah persahabatan yang saya dapat dulu, jangan percaya pada sesiapa.

Ya, jangan percaya pada sesiapa. Termasuklah kawan baik sendiri. Mungkin ayat ini agak keras bunyinya. Tapi itu hakikatnya, dalam realiti hidup. Memang ada kawan yang akan membantu kita bila dalam kesusahan, tapi ingat, pertolongan itu mengharapkan sesuatu. Dan bila harapan itu tidak dapat ditunaikan, hilanglah semua kawan-kawan. Tapi ini bukan suatu masalah pada saya, sebab saya memandang secara positif. Untuk perlukan kawan, kena ada win-win situation, saya perlu sesuatu, mereka perlukan sesuatu. Saya dapat sesuatu, dan mereka dapat sesuatu.

Alhamdulillah, Allah tunjukkan jalan ke IPT. Dan akhirnya saya dapat bersama dengan orang-orang yang saya percaya adalah hebat-hebat belaka di sekeliling saya. Pada permulaannya, saya masih dengan pandangan skeptikal iaitu jangan percaya pada sesiapa. Tapi, cara orang-orang yang berpengalaman di sini telah menarik minat saya untuk belajar dan memahami konsep bersahabat.

Ukhwah yang mengekalkan saya dan memberi ruang untuk belajar mengenai perjuangan Islam. Kalaulah saya hidup di sisi Hasan al-Banna, saya akan suruh dia tukar ukhwah itu ke rukun baiah yang lebih tinggi berdasarkan pemikiran dangkal saya sebagai seorang manusia. Tetapi memang benar. Kalaulah saya diberi peluang untuk menyusun semula rukun baiah, saya akan letak ukwah di tempat lebih tinggi.

Sebab sedar atau tidak, mahu percaya atau tidak, semua orang, tak kira sehebat Hasan al-Banna sehinggalah sedaif insan seperti saya, masing-masing perlukan sokongan. Adakah Rasulullah sendiri berjuang berseorangan menegakkan Islam? Tidak. Allah letakkan Abu Bakar sebagai pendamping. Terfikir tak, kenapa insan semulia Nabi kita pun Allah menetapkan pendokong di sisinya. Sedangkan Allah boleh nak takdirkan Rasul itu berseorangan memperjuangkan Islam. Sebab apa? Sebab Rasulullah sendiri manusia biasa. Bila sibuk perlukan bantuan. Bila sakit perlukan pengganti. Bila lemah perlukan sokongan.

Apatah lagi kita yang bukan menuntut di Fakulti Pengajian Islam malah lebih jauh untuk menyamai taraf sahabat. Lalu apa? Semua akan bersetuju jika saya katakan kita perlukan sokongan. Tanpa sokongan, kita ibarat pohon renek, yang ditiup angin kencang. Bila-bila masa boleh tercabut akarnya. Dan sokongan ini asasnya adalah ukhwah.

Dan apa yang menghiasi dan membajai benih-benih ukhwah? Baja yang paling baik dan paling bagus adalah nasihat yang berguna untuk sahabat di sekeliling kita. Dan paling penting, ini bukan gerak kerja individu tertentu sahaja. Atau peranan AJK tertentu sahaja. Semua kena bertindak. Semua yang mengaku dia pejuang agama Allah perlu mainkan peranan sebagai penasihat kepada seseorang yang lain.

NASIHAT....NASIHAT....NASIHAT....BUKAN KRITIK!!!

Inilah salahnya kita. Kita bukan menasihati tapi lebih cenderung untuk mengkritik. Pantang nampak salah sahabat sikit, ada saja ayat yang kita kata nasihat untuk sahabat tadi. Pandang dan renunglah diri dalam cermin. Pernahkah ada usaha untuk kita membantu? Atau cukup sekadar tunjuk prihatin dengan beri nasihat?

Dalam buku Dr Fadzilah Kamsah, Bagaimana Menjadi Orang Yang Menarik, beliau ada tekankan mengenai cara-cara untuk menjadi orang yang menarik melalui nasihat. Antaranya ialah jangan terus kepada orang yang dituju, walau kita marah sekalipun. Contoh, kita terdengar ada sahabat pecahkan gelas, lalu kita bergegas sama. Jangan sesekali kata "Apa kau dah buat?", katakanlah "Apa yang dah terjadi?" Nasihat yang diiringi tanda-tanda untuk menyalahkan seseorang tak akan diterima. Lebih baik tutup mulut dari berkata-kata. Boleh juga nasihat itu didahulukan dengan pujian. Barulah orang akan membuka minda untuk mendengar nasihat.

Tak salah nak cakap direct, cuma perlu kena cara. Tidak menunjukkan kita menyalahkan dia. Susah, memang susah. Tapi itulah dia hakikat sebuah persahabatan, yang perlu diwarnai dengan sikap berlapang dada supaya ukhwah berkekalan.

Namun, dari sehari ke sehari, bila ada tekanan sedikit, kita mudah nak lemparkan pada sahabat-sahabat. Tambah pula bila sahabat ini memang ada masalah, kita dengan lagaknya untuk bagi nasihat. Sambil nasihat itu sendiri dicemari dengan emosi yang tak menentu. Adilkah kita? Ini zalim namanya. Zalim pada sahabat sendiri. Tak setuju? Tapi itu yang ada sekarang. Jangan nafi, jangan melenting. Buat sesuatu, ubahlah diri sebelum ubah orang lain.

Jadi, sahabat-sahabat. Setuju tak kalau saya katakan, jangan percayakan sesiapa termasuk sahabat sendiri? Sebab sahabat sendiri pun bersikap zalim.



P/s: maaf fiddarbi yasir...saya rasa memang saya lebih sesuai dengan tulisan semacam ini. Baru lebih terkesan rasanya. :)

1 comment:

Rasailul Ashwaq said...

Saya kira tak perlu perkataan maaf di situ. Tak ada kesalahan yang kamu buat. Sememangnya jadi diri sendiri itu lebih baik, di alam maya mahupun di luar sana.