Monday, September 28, 2009

Tazkirah Aidul Fitri

Walaupun sudah seminggu lebih kita menyambutnya, rasanya masih tak terlambat untuk mengucapkan salam aidilfitri. Bukan main seronok kita sambut raya. Dengan baju barunya. Dengan gaya barunya. Semua serba serbi baru.

Namun, penulis ingin mengutarakan satu persoalan kepada semua yang membaca artikel ini. Kenapa kita sambut aidlifitri? Sebab ia satu adat? Sebab sejak dari dulu, zaman datuk nenek kita pun sambut? Sebab setiap kali 1 syawal, umat islam memang akan berhari raya?

Kalau ditanya, kenapa sambut hari kemerdekaan? Pasti jawapannya ialah, untuk memperingati segala jasa, peristiwa untuk mencapai merdeka. Kalau ditanya apa sekali perayaan pun, pasti akan ada sebab. Bukan saja suka-suka nak seronok berhari raya.

Berapa ramai dari kita, yang boleh jawab soalan pokok tadi? Percayalah, cubalah tanya anak muda dan remaja sebaya penulis, memang susah nak menjelaskan persoalan tadi. Pasti dan pasti, jawapan yang akan keluar ialah sebab memang dah orang lain sambut, kita pun sambutlah. Tiada makna lain. Maka, jadilah perayaan itu hanya seronok semata-mata. Seronok kumpul duit raya. Seronok pakai baju baru. Seronok dapat jumpa kawan-kawan. Seronok memanjang.

Itulah yang hilang dalam umat islam khususnya di Malaysia. Maka jadilah 1 syawal itu tiada erti melainkan untuk berseronok belaka. Seronok yang belum tentu ke syurga dan belum pasti dapat elak dari seksa api neraka.

Dan masa musim raya ini juga, kita dapat tengok ibadat yang jadi adat. Apa dia? Solat sunat aidilfitri, lawat kubur, lawat jiran tetangga, memaafkan kesalahan. Kenapa jadi adat? Sebab kalau tak buat, bukan hari raya namanya.

Solat sunat aidlifitri, masjid penuh sampai jemaah terpaksa solat atas jalan tar, tempat parking. Tapi cuba tanya jemaah-jemaah kita, berapa ramai yang solat subuh pagi tu. Tak perlu kiralah, sama ada berjemaah atau pun tak, di masjid atau di rumah. Yang penting, solat atau tidak?

Justeru, mereka yang menjawab ya, solat sunat itu jadi ibadat. Dan jika sebaliknya, solat sunat hanyalah adat semata-semata. Bukan adat orang Islam, tapi adat orang Melayu. Sebab itu, Islam di negara kita tersangatlah rapuh. Kalau dihembus, pasti berderai. Apatah lagi kalau dijentik, disepak, ditendang.

Khutbah aidilfitri di masjid tempat penulis, di masjid manapun, pasti akan cakap, bersyukurlah di negara kita, aman damai, tiada kekacauan. Namun, ketenangan dan aman damai inilah yang membunuh iman Muslim di Malaysia, perlahan-lahan, secara diam-diam.

Kenapa sambut aidilfitri
Ibaratkan kita ini mempunyai sehelai baju seragam, yang perlu dipakai 5 hari seminggu. Pasti kotor, dan perlu dicuci, bukan? Jadi, hari ke 6, adalah hari untuk mencuci baju. Dan esoknya, baju itu kembali bersih. Dan kita selesa untuk memakainya semula.

Itulah ibarat diri kita. Setelah 11 bulan, hati dan iman perlu dicuci dan dibersihkan. Dan Allah kurniakan, Ramadhan sebagai waktu mencuci yang paling sesuai. Selepas dicuci, kita akan guna dan pakai untuk 11 bulan berikutnya. Lalu, hari raya itu disambut untuk menyatakan hasil pencucian kita selama bulan Ramadhan.

Tapi, berapa ramai yang betul-betul mencuci di bulan Ramadhan? Berapa ramai yang betul kembali bersih hati dan iman sebagaimana fitrah ia dilahirkan? Sebab itu hari raya ini dipanggil aidul fitri. Kembali pada fitrah.

Nah, sahabat. Sudah cucikah hati dan iman kalian? Kita ni nak menempuh 11 bulan lagi. Kalau hati dan iman belum bersih, maka makin kotor dan kotor lagi dalam 11 bulan akan datang. Dan tak perlulah nak berseronok sambut hari raya. Tiada makna hari raya ini bagi mereka yang tak tahu atau tak ambil tahu tentang perkara ini.

No comments: