Wednesday, September 29, 2010

Terima kasih, cikgu.

Kita bersuka ria dengan gurau senda,
Lebih baik bimbang bila akhirnya kita.

Kita bergembira akan adanya teman di dunia,
Lebih baik takut tiadanya amal sebagai teman di sana.

Kita seronok dibuai enak mimpi dalam lena,
Lebih baik risau itu lena selamanya.



Salam,
Alhamdulillah, puji dan syukur ke hadrat ALLAH SWT yang telah menghidupkan setelah mematikan manusia sementara (tidur). Dan kita antara yang terpilih untuk hidup lagi pada hari ini, diberi peluang untuk menjadi baik, lebih baik dan paling baik. Kita juga mungkin antara yang terpilih untuk diberi hidayah oleh ALLAH SWT supaya bangun solat Subuh, lebih baik yang berjemaah. Dan yang paling baik, yang berqiamullail, lalu solat Subuh berjemaah.

Subuh pagi ini, saya teringat pula nostalgia lama semasa berada di alam persekolahan dulu. Belum begitu banyak tanggungjawab, rutin harian kebanyakannya hanyalah ke sekolah. Tiada perkara besar. Lain pula sekarang, banyak cabaran, banyak tanggungjawab, banyak pula dosanya. Sampaikan kalau nak dibanding, sewaktu persekolahan lebih mudah menghafaz dan menghafal. Bayangkan sebelum peperiksaan SPM, saya boleh mengkhatam buku teks Sejarah tingkatan 4 dan 5. Tapi sekarang, susahnyalah nak berbuat demikian.

Peristiwa yang paling diingat, diulang tayang dalam fikiran ialah tentang cikgu Kimia merangkap penasihat Majlis Pemimpin Pelajar (MPP) sewaktu di MRSM dahulu, Cikgu Julia. Garang betul Cikgu Julia. Saya pernah dihalau kelas sebab tak menyiapkan kerja sekolah (nakal betul dulu). Tetapi, selepas keluar keputusan ujian, sayalah yang mendapat tempat duduk belakang sekali dalam kelas (markah rendah duduk hadapan, semakin ke belakang, semakin tinggi markahnya) bersama dengan beberapa kawan perempuan (biasanya perempuan saja dapat markah tinggi). Semasa itu, belumpun berkacamata, susahnya nak tengok apa yang ditulis di papan hitam. Ujian seterusnya, saya berjaya dapat tempat di tengah sedikit (sengaja). Senang sedikit nak tengok papan hitam, alhamdulillah.

Detik-detik terakhir berada dalam kelas Cikgu Julia, beliau banyak memberi pesan kepada kami semua tentang kehidupan seterusnya, di kolej, di universiti. Kebanyakan dari cara hidup, prinsip saya sekarang adalah berdasarkan kata-katanya. Antara pesannya adalah tentang motivasi; motif (motive) dan tindakan (action). Motivasi perlu ada tujuan, baharulah digerakkan dengan tindakan.

Beliau juga pernah mencabar saya sewaktu itu, kalau begini sikap saya semasa di sekolah (nakal), sampai bila-bilapun akan sebegitu. Tetapi sekarang, saya dah buktikan, walau bukan sepenuhnya, saya bukan seperti dulu. Kerana hidayah ALLAH, didorong pula cabaran itu, saya bermotivasi untuk berubah.

Tak lupa juga, Cikgu Sahlawati, cikgu subjek matematik tambahan. Garang tetapi penyayang. Sempat lagi menangis sebelum berpisah. Tetapi, dulu sayalah selalu dimarahnya. Kerana hidayah ALLAH, atas marahnya itu saya ingin berubah.

Sekarang baru saya sedar, mereka bukan sekadar guru atau cikgu. Mereka adalah pendidik. Yang membentuk anak muridnya, bukan sahaja dalam akademik, tetapi dalam hidup. Garang mereka bukan sengaja, garang mereka mendidik. Saya juga ingin mengikut jejak langkah mereka sebagai pendidik. Biarpun dulu saya tak berpeluang untuk ucapkan terima kasih (sebenarnya ego untuk jumpa cikgu, kecewa asyik kena marah). Harapannya, ucapan terima kasih ini dapat sampai pada cikgu.

Terima kasih, cikgu. (Ini bukan sekadar ucapan selepas tamat kelas ye).

P/S: Terima kasih juga kepada cikgu-cikgu lain, terutamanya kepada Cikgu Marinda, Cikgu Bahri @ Abah, Cikgu Faisal, Sifu. Banyak yang saya peroleh dari kalian. Halalkan ilmu yang cikgu beri dulu. TERIMA KASIH.

No comments: