Ya Allah, jangan engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh kami sendiri.
Walau sekadar sekelip mata atau lebih cepat dari itu.
Amin Ya Rabbal Alamin.
Yasser mengaminkan bacaan doa oleh Haji Yusuf, imam surau Darul Iman. Orang tua yang berusia 70 tahun ini masih gagah ke surau dan mengimamkan jemaah. Haji Yusuflah yang selalu menasihati Yasser. Yang setia mendengar luahan hati Yasser.
“Pak Usop, sihat hari ini?” tanya Yasser sambil bersalaman dengan Haji Yusuf. Seribu kedutan pada wajah Haji Yusuf, namun berseri-seri dan tenang orang melihatnya.
Haji Yusuf tersenyum, “ baik saja, nak. Cuma hari ini Pak Usop penat sikit. Biasalah dah tua-tua macam ni.”
“Takpelah Pak Usop. Pak Usop balik rehat. Biar saya tutup pintu surau nanti. Saya nak bertadarus sekejap.”
“Hmm, jangan lupa tutup lampu dan kipas. Kunci surau ada di tepi sana.” Haji Yusuf menunjuk ke arah mimbar surau. Haji Yusuf sudah mengganggap Yasser sebagai anaknya. Begitu juga Yasser. Yasser sudah mengenali keluarga Haji Yusuf ketika dia belajar mengaji di rumah Haji Yusuf.
“Baik, Pak Usop. Jangan lupa kirim salam pada Makngah Kiah.”
“InsyaAllah,” jawab Haji Yusuf sambil menyarungkan sepatunya. Dia lantas berjalan pulang menuju ke rumah. Makngah Kiah ialah isteri kepada Haji Yusuf. Mereka dikurniakan tiga orang anak, seorang perempuan dan dua orang lelaki. Anak perempuan mereka, Siti Hawa melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gombak dalam jurusan Syariah. Kedua-dua anak lelaki Haji Yusuf dan Makngah Kiah telah meninggal dunia dua tahun lepas dalam kemalangan jalan raya. Kerana itulah mereka amat sayang pada Yasser yang sudah dianggap seperti anak sendiri. Lagipun rumah Yasser dan Haji Yusuf tidaklah begitu jauh. Hanya dipisahkan oleh dua blok rumah sahaja. Yasser selalu berkunjung ke rumah Haji Yusuf dan Makngah Kiah. Itupun jika Siti Hawa sedang berada di UIA. Biasanya sebulan sekali Siti Hawa akan pulang ke rumah.
Seingat Yasser, hanya sekali dia bertemu Siti Hawa di rumah Haji Yusuf, ketika Yasser diminta Haji Yusuf untuk membantu membaiki paip air yang bocor di rumahnya. Siti Hawa tidaklah begitu cantik jika hendak dibandingkan dengan GRO ROX yang pernah Yasser temui. Namun, wajah Siti Hawa itu kelihatan berseri-seri dan sentiasa dihiasi dengan nur ketakwaan. Apabila bersama dengan lelaki yang bukan ajnabi, Siti Hawa tetap menjaga batas pergaulan. Inilah hasil didikan yang sempurna mengikut acuan Islam yang sebenar oleh ayahnya, Haji Yusuf.
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
“Yasser, sekarang kami semua dah berkumpul di rumah kau. Apa hal sebenarnya ni?” tanya Fayreez sambil duduk bersila panggung di atas sofa kuning. Di sebelahnya terdapat empat orang lelaki. Ternyata mereka berkumpul di rumah ini atas arahan Yasser.
“Baiklah semua. Aku panggil semua ke mari sebab aku dah fikirkan satu cara untuk bangkitkan semula Street 69” lantas Yasser menerangkan segala rancangan dan strategi untuk mencapai misinya.
Lelaki yang berada di sebelah kiri Fayreez, menganggukkan kepala beberapa kali menandakan dia faham dengan penerangan Yasser. Lelaki yang mempunyai tanda di bahagian muka ini bernama Dean. Seterusnya, dia menoleh kepada rakannya yang berkumis tebal, Rafael. Lelaki ini kelihatan agak selekeh berbanding yang lain disebabkan mempunyai kumis yang tebal.
Di hadapan mereka pula, Eyrull dan Eyuanie, adik beradik kembar yang mempunyai nasib seperti Yasser satu ketika dulu. Mereka berdua adalah yang paling muda di kalangan lelaki-lelaki tadi.
Mereka mendengar kata-kata Yasser dengan khusyuk.
“Bagus, aku setuju betul dengan rancangan kau. Aku baru nak mencadangkan perkara yang serupa,” reaksi Fayreez setelah selesai Yasser berkata-kata.
“Kau semuanya sama.” Kata Yasser diikuti dengan deraian tawa. Malam itu mereka berpesta.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
“Patutkah mereka menyangka bahawa , mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)” (Al-Ankabut:2)
Penjelasan yang terang dan nyata dalam Quran untuk menjawab segala persoalan. Yasser kini sedar, apa yang terjadi pada dia dan keluarganya dulu adalah salah satu ujian untuk menguji imannya. Ujian itu juga menunjukkan bahawa Allah memandang dia, hamba yang tidak pernah bersyukur padaNya. Dan dia gagal dalam ujian itu.
“Masih adakah peluang untukku mendapat perhatian dariMu,” getus Yasser. Fikirannya dibiarkan menerawang entah ke mana. Selepas selesai membaca al-Quran di surau tadi, dia tidak bergegas pulang. Dia beriktikaf di surau. Hatinya tenang di situ.
Yasser bersandar pada dinding, menghadap jam antik yang berada di hadapannya. Entah kenapa pagi itu terasa begitu hening. Terasa kosong. Sekosong hatinya. Yasser melunjurkan kaki. Diurut perlahan kakinya itu untuk menghilangkan kebas. Dia menghela nafas panjang. Pada wajah Yasser, terlukis sejuta kedukaan. Peristiwa pahit yang dilaluinya, menjadikan dia tampak lebih tua dari umur sebenar.
Yasser tersedar dari lamunan apabila namanya dipanggil. Terdengar sayup-sayup suara itu. Dia cukup kenal suara itu. Suara yang menemani Yasser ketika kesunyian. Yang menghadirkan keriangan. Dia tersenyum.
“Abang Yasser,” suara kecil itu memanggil.
“Itai, abang ada dalam surau ni,” balas Yasser separuh menjerit.
Itai berlari-lari mendapatkan Yasser dengan termengah-mengah. Itai yang baru berumur lima tahun itu menarik nafas panjang untuk menghilangkan lelah. Yasser tersenyum lagi. Didudukkan Itai ke sebelah tubuhnya.
Itai ialah anak kepada jiran sebelah rumah Yasser, Ramli. Selain Pak Yusuf, Ramli juga hanya satu-satunya kenalan yang sanggup membantu Yasser.
“Kenapa Itai cari abang?”
“Ada orang cari abang di rumah tadi. Itai tengok macam orang jahat. Itai cakap, Itai tak tahu abang pergi mana,” jawab Itai, pelat.
“Orang jahat? Macam mana Itai tahu orang tu jahat ke baik? Itai tanya dia ke?” tanya Yasser hampir tergelak.
“Sebab Itai tengok muka dia ada parut. Tangan dia ada gambar ular.”
Yasser tersentak dengan kata-kata Itai. Dia kenal benar dengan orang tersebut. Tambahan pula pada tangan orang itu terdapat gambar ular. Tatu ular, kumpulan Street 69.
Tangan Yasser menggeletar. Peluh dingin mula merecik di dahi. Serta merta ia terdiam seribu bahasa. Dalam kepalanya bermain pelbagai andaian.
Siapa yang cari aku? Macam mana diorang tahu aku di sini?
Itai sedar perubahan riak wajah Yasser. “Kenapa abang diam? Abang pinjam duit ah long ye?” gurau Itai.
Yasser tersenyum. Senyuman yang dibuat-buat. Dia terpaksa tersenyum untuk meredakan gelora di hatinya. Ya Allah, bala apa pula nak datang pada aku. Lindungilah aku, Ya Allah. (bersambung...)
No comments:
Post a Comment