Pelik bukan jika dikatakan tekanan itu ada kelebihannya tersendiri. Kita sedar yang tekanan ini boleh mengakibatkan stress. Dan kita sedia maklum dari stress yang tidak terkawal akan menyebabkan tekanan jiwa. Betul kan? Tentu ramai yang tidak bersetuju bila perkataan kelebihan dikaitkan dengan tekanan. Dua perkataan yang tidak boleh ngam langsung.
Namun hakikatnya, tekanan yang berada di bawah kawalan mampu membantu kita menguruskan kehidupan seharian. Tidak setuju? Mari kita lihat kenapa penulis mengatakan sedemikian rupa.
Cuba ibaratkan dua pelajar yang mempunyai pandangan tentang tekanan yang berlainan. Seorang pelajar, andaikan pelajar A, mempunyai kehidupan seharian sebagai pelajar yang biasa. Terlalu biasa. Proses perjalanan seharian bagi pelajar A hanyalah pergi kelas, balik ke bilik, belajar, menyiapkan tugasan dan pergi ke cafe. Ya, dalam pemikiran kita pelajar A ini mesti seorang yang pintar dan keputusan akademiknya sentiasa cemerlang.
Kita andaikan pula seorang pelajar lain, pelajar B, yang mempunyai rutin harian yang sama seperti pelajar A. Tetapi yang berbeza di sini ialah pelajar B turut terlibat dalam pebagai aktiviti, terutamanya aktiviti berpersatuan. Tanggapan utama kita, pelajar B ini mestilah seorang yang sangat sibuk dengan aktiviti persatuan di samping jadual pembelajaran yang padat setiap hari. Agak-agak kitalah, pelajar mana yang lebih tertekan dalam menguruskan kehidupan hariannya?
Penulis percaya ramai di antara kita bersetuju untuk mengatakan pelajar B lebih tertekan. Betul? Jawapannya, pelajar B memang sentiasa bersaing dengan tekanan. Tetapi tekanan ini yang membantu dia dalam menjalankan aktiviti persatuan dan tugas sebagai pelajar. Tekanan ini dipanggil tekanan terkawal. Berbanding pelajar A, yang turut mempunyai tekanan, tetapi dia tidak mempunyai pilihan lain untuk melepaskan tekanan yang diperolehi selain hanya berkisar pada pembelajarannya. Secara tidak langsung, tekanan ini akan lebih memudaratkan dan akhirnya memakan diri. Tekanan ini dipanggil tekanan tak terkawal.
Kita kembali pada realiti. Sebagai contoh, program SAHAM baru-baru ini di pantai Balok. Penulis berpeluang menjadi salah seorang AJK Pelaksana program itu. Tipulah jika penulis mengatakan tiada tekanan dalam menguruskan aktiviti ini. Tambahan pula aktiviti yang dijalankan ini mempunyai pengurusan yang agak longgar, mungkin dari segi pengalaman AJK Pelaksana yang kurang. Namun syabas kerana telah berjaya juga mengadakan program ini. Pengalaman mendewasakan pemikiran.
Tekanan yang penulis maksudkan ketika dalam proses melaksanakan program ini terhasil dari program yang adhoc, kurang perancangan dan pengalaman, menggandakan usaha demi mengejar masa. Tetapi hasil dari tekanan ini, AJK Pelaksana dapat memotivasikan diri supaya program ini tetap dapat berjalan. Dan AJK Pelaksana telah pun membuktikan perkara ini dengan jayanya. Jadi, tekanan seperti ini dapat memberi kelebihan pada seseorang.
Kepada AJK Pelaksana program Sua Mesra SAHAM, tahniah diucapkan di atas usaha kalian, terutamanya pengarah. Jadikan program kali ini sebagai satu proses pembelajaran supaya lebih matang menguruskan aktiviti di masa hadapan.
P/S: Penulis semasa di MRSM dulu memegang jawatan sebagai MPP turut tidak terlepas dari masalah tekanan. Alhamdulillah, hasil dari pembelajaran dan pengawalan tekanan yang betul, penulis lebih selesa bekerja jika dan hanya jika ada tekanan. Ibaratnya, seperti pahat dan penukul. Tekanan adalah penukul yang sentiasa menggerakkan pahat supaya melakukan kerjanya.
No comments:
Post a Comment