Walaupun telah 3 tahun melibatkan diri dalam penulisan blog, minat menulis saya telah ada sejak dari zaman persekolahan lagi. Seawal tingkatan 1, saya mula berminat untuk menghasilkan cerpen, puisi malah ada artikel-artikel berbentuk motivasi. Kebanyakan (90%) daripadanya disimpan untuk koleksi sendiri, dan tidak pernah dilihat oleh orang lain. Pernah salah satu daripada cerpen saya telah ditunjuk kepada seorang kawan. Akibatnya, satu kelas bergilir membacanya dan memberi komen. Tidak sedikit yang mengkritik. Tapi, saya diamkan saja. Proses belajar, fikir saya.
Semasa belajar di MRSM Muadzam Shah, minat menulis tidak juga hilang walaupun saya mengambil jurusan sains tulen. Malah, bila ada Kursus Sastera yang dianjurkan di sekolah lain yang berdekatan, saya turut serta. Kebetulan, guru homeroom saya, Cikgu Wani Mazni, adalah guru Bahasa Melayu. Lebih mudah untuk saya mengikuti dan mempelajari teknik penulisan yang betul. Saya juga aktif terlibat dalam sesi pembelajaran kelas Bahasa Melayu, tidak pula mengantuk dalam kelas tersebut berbanding dengan kelas Matematik Tambahan yang lebih memerlukan daya fikiran yang tajam.
Pengalaman-pengalaman ini membuatkan saya bertambah minat untuk menulis dan terus menulis. Saya kagum dengan penulis-penulis buku yang saya baca (walaupun tak kenal), kerana imaginasi dan susunan kata-kata mereka begitu hebat.
Di dalam bidang penulisan ini, tiga prinsip yang saya pegang ialah:
1) Menulis perlu membaca – penulis yang baik membaca lebih banyak daripada menulis.
2) Jadi diri sendiri – tulisan yang saya buat adalah tulisan saya sendiri meskipun ada artikel, buku, cerpen lain yang dirujuk, saya berusaha untuk menulis semula dari perspektif saya sendiri.
3) Tatabahasa - mestilah betul seperti ejaan dan sebagainya. (Walaupun terkadang saya pun ada terlepas pandang)
Sungguhpun 8 tahun sudah berlalu, saya masih bukan penulis yang baik, juga masih dalam proses belajar. Lebih sukar untuk mencapai kematangan penulisan, kerana saya sendiri bukan berada dalam pengkhususan tersebut. Tetapi, yang saya tahu, sebagai pesanan kepada rakan-rakan, menulis bukan sekadar copy, edit and paste.
2 comments:
Kepada umum: Penulis yang baik ialah penulis yang meningkatkan bahasa untuk penyampaian yang lebih baik.
Kepada tuan punya blog: "Dari" digunakan untuk masa dan tempat.
Baik~
Post a Comment