Friday, June 15, 2012

Pembersihan jiwa

Sebelum kita berbincang lebih lanjut tentang bagaimana cara nak bersihkan jiwa, moleklah kita kenal dulu, apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan jiwa. Menurut kamus dewan, jiwa ialah nyawa, roh, dan unsur batin yang berada dalam diri manusia seperti perasaan, fikiran dan cita-cita. Berdasarkan Imam Ghazali pula, jiwa ialah satu unsur yang halus (lathifah), bersifat ketuhanan (rabbaniyah) dan bersifat dalaman (rohaniyah).



Berdasarkan penerangan di atas, boleh kita simpulkan bahawa jiwa ini menepati 3 daripada unsur JERI (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelektual) dalam diri manusia iaitu emosi yang dimaksudkan dengan perasaan, intelektual yang dimaksudkan dengan fikiran serta cita-cita dan rohani yang didefinisikan oleh Imam Ghazali. Manakala satu unsur sahaja yang berada di luar (jelas pada pandangan manusia) ialah jasmani. Jadi, bolehlah dikatakan bahawa jiwa itu adalah majoriti manusia keseluruhannya. Maka, jika jiwa kotor, maka kotorlah manusia keseluruhannya, dan sebaliknya jika bersih jiwa, bersihlahlah manusia itu keseluruhannya. Setuju?

Secara analoginya, kita ini ibarat iceberg yang berada di lautan. Yang timbul, jelas pada pandangan manusia, hanyalah sekadar 15% sahaja daripada manusia itu keseluruhannya. Selebihnya adalah jiwa tersebut, yang tersembunyi. Maka, kalau nak elak iceberg, kenalah jangka iceberg yang tersembunyi sekali. Begitu juga masalah yang melanda dewasa ini. Kalau nak selesaikannya, perlulah diselesaikan pada hakikat jiwa itu sekali, yakni punca kepada masalah. Bukan setakat mengubat masalah.
Namun cuba kita lihat pada realiti sekarang, permasalahan yang melanda selalu ditekankan pada zahirnya. Sebagai contoh, dalam masalah suami isteri yang berantakan, anak-anak yang bermasalah, tak pernah nak diselesaikan dengan penyucian jiwa. Lebih rela kita pergi kepada kelas pengurusan rumahtangga dan sebagainya. Contoh lain, masalah persaingan tidak sihat di pejabat, komunikasi yang gagal, kerjasama yang tidak dapat bertahan lama.

Baru-baru ini seorang pegawai HR daripada sebuah syarikat, berbincang kepada kami di Mantop Training & Consultancy tentang masalah yang disebut tadi, berlaku dalam syarikat mereka. Sudah puas mengadakan program pembinaan pasukan (team building), bengkel dan latihan kepada staf, tetapi masalah yang sama tetap berulang. Kalau berkesan pun, tak mampu bertahan lama. Soalan yang kami ajukan kepada pegawai tersebut adalah, ‘adakah syarikat ini pernah mengikuti program latihan berteraskan penyucian jiwa dan dalaman (spiritual)?’. Jawab beliau, ‘tidak, kami tak pernah cenderung untuk latihan sebegitu’. Justeru, kami mencadangkan bahawa staf di syarikat tersebut perlu ikuti kursus kami. Alhamdulillah, selepas program, masing-masing tersentak dan tersedar tentang punca masalah sebenar yang berlaku adalah daripada diri mereka sendiri, iaitu jiwa mereka yang perlu diservis. Hasilnya, pendekatan sebegitu berjaya membuahkan hasil. Setakat ini, syarikat tersebut tidak lagi mengalami masalah yang serupa.

Ada beberapa tahap jiwa manusia yang kotor. Tahap ini jugalah dapat kita kesan bahawa jiwa kita itu kotor atau tidak.

1. RASA BERSALAH DENGAN DOSA
Pertama kali terbuat dosa, jiwa akan diburu rasa bersalah. Jiwa resah kerana diri menentang fitrah. Fitrah semula jadi manusia adalah baik. Jadi apabila fitrah ini dikotori, manusia seolah-olah menentang jiwa kecilnya sendiri. Atas dasar itu,pakar psikologi mengakui bahawa setiap kali melakukan kesalahan atau dosa, manusia akan diserang oleh rasa bersalah. Kesalnya bukan main. Sesalnya sungguh merimaskan. Rasa bersalah itu memang menyeksakan, sebab apabila berdosa, manusia seolah-olah berperang dengan dirinya sendiri.

2. RASA BIASA DENGAN DOSA
Namun rasa berdosa itu tidak lama. Jika dosa yang sama dibuat kali kedua, ketiga dan seterusnya, rasa bersalah itu akan hilang, sedikit demi sedikit. Lalu akhirnya nanti, jiwa itu telah terbiasa dengan dosa. Rasa bersalah tidak akan datang lagi. Ia sirna dimamah oleh kebiasaan membuat dosa yang berulang-ulang. Jika dulu ada air mata yang mengalir kerana kekesalan dan penyesalan tetapi ditahap kedua ini, tiada air mata lagi. Alah bisa tegal biasa. Jiwa telah lega dan rela untuk berdosa dan terus berdosa.

3. RASA SERONOK DENGAN DOSA
Dosa itu racun yang disalut kemanisan dan keindahan. Dosa yang dilazimkan tidak akan terhenti kesannya pada jiwa. Dari tahap terbiasa dengan dosa, virus jiwa akan meningkat setahap lagi, yakni pada tahap ketiga rasa seronok dengan dosa. Pada tahap ini, diri manusia itu sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk melakukan dosa. Rasa ketagih dengan maksiat, rasa gian dengan kemungkaran, menghantui jiwa. Racun dosa bertukar menjadi nikmat. Tiada lagi rasa bersalah. Bisa dosa yang terbiasa ini menjelma menjadi fatamorgana nikmat yang berkubu kukuh di dalam jiwa.

4. JADI PEMBELA KEPADA DOSA
Nafsu tidak pernah puas. Kehendaknya tiada batas. Syaitan pula ialah musuh yang tidak pernah tidur. Usahanya tidak pernah kendur. Lalu jiwa yang seronok dengan dosa itu dihasut untuk maju setapak lagi. Itulah tahap keempat yang lebih dahsyat dan tenat. Keseronokan dosa menyebabkan pelakunya menjadi pembela dan pejuangnya. Di tahap yang kronik ini, dosa akan dipromosi dan dihiasi sebagai sesuatu yang indah, seronok dan menguntungkan. Jangan ada pembela agama yang bercakap tentang akhirat dan kiamat, pejuang dosa itu pun bangun menentangnya dengan seluruh upaya dan kudrat. Awas, jiwa yang sakit lama-kelamaan akan menjadi buta. Jiwa yang semacam ini sangat keras kerana mazmumah sudah semakin membarah menjadi syirik, kafir dan munafik.

Allah berfirman, “Dan sesiapa di dunia ini buta jiwanya, maka di akhirat nanti juga akan buta & lebih sesat lagi jalannya.”(Surah Al-Israk’)”


Jadi, cuba kita renung sebentar. Di mana tahap jiwa kita? Cuba tanya pada diri saat kita melihat rancangan hiburan di kaca televisyen yang sudah tentu mendatangkan dosa. Adakah kita akan tak rasa bersalah apabila melihatnya? Adakah kita lebih kerap menontonnya? Adakah kita seronok menjadi penontonnya? Malah lebih teruk, adakah kita turut serta berhabis duit dengan menghantar SMS demi mengundi peserta pilihan dalam rancangan hiburan tersebut?

Maka, jika ada salah satu jawapan ya pada soalan di atas, jaga-jaga, jiwa kita sudah perlu diperbaiki dan diservis.

Adakah jiwa yang kotor ini boleh dinilai dari luaran? Boleh. Kita boleh menilai seseorang dengan tingkah laku berikut. Orang yang mempunyai jiwa kotor adalah orang yang:
1. Membangga diri (al-'ujub)
2. Terpedaya dengan perasaan sendiri (al-ghurur)
3. Sombong atau bongkak (at-takabbur)
4. Suka menunjuk-nunjuk (al-riya')
5. Buruk sangka (su'al-zhann)
6. Kikir atau bakhil (al-syuhh)
7. Dendam (al-hiqd)

Jom kita nilai satu persatu ciri di atas dengan diri kita. Kalau ada sifat di atas pada kita, kita sudah tergolong dalam golongan yang berpenyakit jiwa.

Baiklah, kita dah mengenal sama ada jiwa kita kotor atau tidak. Tapi, adakah kita bersedia untuk mengubati jiwa kita yang kotor tersebut? Atau kita mahu terus selesa dengan jiwa yang sedemikian rupa bila menghadap ALLAH nanti?

Tuesday, June 12, 2012

Hijrah. Transformasi. Perubahan.

Salam, dah lama tinggalkan blog ni. InsyaALLAH, ada masa saya akan berkongsi dari masa ke semasa. Baru-baru ni, saya ditanya seorang sahabat yang pernah belajar bersama di zaman kampus dulu, tentang bagaimana nak berubah. Sungguh saya memahami situasi sebegini, sebab saya pernah melalui fasa perubahan yang sangat besar semasa di kampus. Pendapat saya bukanlah penentu sahabat saya itu dapat berubah ataupun tidak. Tapi, ingin saya kongsi pengalaman saya tentang bagaimana saya berubah. 1. Sentiasa tambah ilmu - tak kisah dengan membaca, hadiri kuliah, tengok video ceramah atau jumpa ustaz terus. Lepas dapat ilmu, saya selalu kongsi dengan orang lain. Bagi tazkirah, sembang dengan sahabat-sahabat atau kongsi dalam usrah. Bukan nak menunjuk pandai. Cuma nak pastikan ilmu yang diperoleh itu betul atau tidak, secara tak langsung, kita lebih hafal dan lebih faham. 2. Berubah sedikit demi sedikit - jangan terus buat perubahan drastik. Bukan tak bagus, sangat bagus sebenarnya. Tapi menjadi masalah bila nak istiqamah. Contohnya, kalau sebelum ni solat pun kadang-kadang, lepas ni buatlah solat 5 kali sehari. Cuba buat walaupun tak ke masjid, solat sendiri-sendiri saja dekat bilik pun tak kisah. Yang penting biar ada perubahan. Dah dah istiqamah solat 5 waktu, cuba pula solat di awal waktu, lepas tu berjemaah di masjid. Biar lambat asal selamat. 3. Amanah - saya tak pasti dengan orang lain, tapi saya dapat istiqamah dalam perubahan bila saya cuba bermuhasabah dan kenangkan amanah-amanah yang saya pegang. Ada pula penambahan amanah yang lain semasa di kampus, membuatkan saya lebih bermotivasi untuk berubah. 4. Pengaruh kawan - inilah sumbangan terbesar dalam fasa perubahan yang saya alami. Alhamdulillah, sampai zaman kerja sekarang pun, saya dapat suasana sekeliling yang sangat islamik. Sangat membantu. Bila ada sahabat yang baik di sekeliling kita, kita akan terpngaruh dengannya. Semasa di kampus, saya dapat sahabat, teman serumah yang terbaik. Terima kasih pada mereka. Bila ada waktu malas-malas nak bangun Subuh, ada yang tolong kejutkan, ada pula yang marah-marah bila tak bangun Subuh. Semuanya itu untuk kebaikan juga. Apa saja cara, apa saja petua, yang penting dan utama adalah dari diri kita sendiri. Sudah bersediakah kita untuk berubah? Sudah bersediakah kita untuk susah nak berubah? Bersediakah kita untuk susah nak beristiqamah? Bersediakah kita untuk ditohmah bila berubah? Bersediakah kita untuk diuji bila berubah? Saya doakan, semoga sahabat saya yang bertanya itu, ditetapkan hatinya dalam perubahan kepada ALLAH. InsyaALLAH. Jom berubah!

Wednesday, March 28, 2012

Relationship Trust

RELATIONSHIP TRUST

Ia adalah tingkah laku yang konsisten. Orang lain menilai kita pada tingkah laku, bukan niat. Orang ramai tidak dapat melihat hati kita, tetapi kelakuan kita.

13 ciri-ciri relationship trust
1. Cakap dari hati (talk straight) – Jangan sembunyikan agenda tertentu @ putar belit. Tapi perlu disertakan dengan kebijaksanaan. Tiada alasan untuk menjadi terlalu jujur sehingga menyakiti hati orang lain. Kebijaksanaan boleh dipelajari, dan bila disertakan dengan percakapan dari hati ia akan membina kepercayaan.

2. Hormati orang lain (demonstrate respect) – Amalkan Peraturan Emas (Golden Rule = one should behave toward others as one would have others behave toward oneself). Layan dan hormati orang lain seperti mana yang kita mahu dilayani dan dihormati. Tindakan kita mestilah jujur. Orang lain akan menyedari jika kita bertindak kerana niat tertentu (tak ikhlas). Rasa hormat ini boleh dilihat dalam perbuatan seharian kita yang kecil.

3. Bina ketelusan (create transparency) – Memberitahu perkara dengan cara yang betul. Ketelusan adalah berdasarkan prinsip-prinsip kejujuran, keterbukaan, integriti,dan ketulenannya. Sebahagian daripada ketelusan berkongsi maklumat. Rollin King, pengasas syarikat penerbangan Southwest berkata, “Kami menerima pakai falsafah bahawa kita tidak akan menyembunyikan apa-apa, termasuklah apa-apa masalah kita, daripada pekerja. Itulah ketelusan.”

4. Betulkan kesalahan (right wrongs) – Betulkan kesalahan adalah lebih kepada meminta maaf. Ia melibatkan restitution (giving back something that has been lost or stolen). Contohnya, restoran yang menghidangkan makanan yang salah kepada pelanggan, ia boleh memberi hadiah percuma bersama-sama dengan permohonan maaf secara ikhlas seperti pencuci mulut atau kupon percuma. Ada yang mewajarkan kesalahan mereka manakala ada pula yang akan cuba menutup salah laku mereka. Kedua-dua percubaan ini bukan sahaja akan gagal untuk membuat deposit dalam akaun kepercayaan, tetapi tentu membuat pengeluaran yang besar.

5. Menunjukkan kesetiaan (show loyalty) - Terdapat banyak cara-cara untuk menunjukkan kesetiaan kepada pekerja anda. Covey memberi tumpuan kepada dua. Pertama, memberi kredit kepada orang lain. Sebagai pemimpin yang anda perlu untuk memberi kredit kepada individu yang bertanggungjawab untuk kejayaan. Seorang pemimpin tidak pernah mengambil kredit untuk kerja keras orang lain. Memberi kredit kepada orang lain adalah perkara yang perlu dilakukan. Ia akan mewujudkan suatu persekitaran kreatif dan inovatif. Ia akan menambahkan kepercayaan dan mempunyai kesan langsung pada orang lain. Kedua, bercakap mengenai orang lain seolah-olah mereka ada di situ. Sesetengah orang fikir ia membina hubungan dengan bercakap tentang orang lain (mengumpat). Sebaliknya, mengumpat hanya akan mengurangkan kepercayaan pendengar tersebut kepada kita.

6. Buktikan dengan hasil (deliver result) - Cara terpantas untuk membina kepercayaan dengan klien atau bos adalah membuktikan dengan hasil yang terbaik. Hasil yang cemerlang memberi kredibiliti dan kepercayaan segera. Membuktikan dengan hasil yang terbaik dapat mewujudkan kepercayaan dalam perhubungan yang baru, dan mengembalikan kepercayaan yang telah hilang disebabkan oleh kekurangan kompetensi.

7. Peningkatan (get better) – Dalam zaman yang sentiasa berubah persekitaran kini, seseorang mesti terus memperbaiki diri. Anda tidak boleh mempelajari kemahiran baru dan menggunakan kemahiran tersebut untuk 30 tahun seterusnya. Anda perlu sentiasa ada peningkatan. Apabila orang lain melihat anda secara berterusan bertambah baik dan menyesuaikan diri, dapat menjadikan mereka menjadi lebih yakin keupayaan anda. Covey mencadangkan dua cara untuk menjadi lebih baik. Pertama, mendapatkan maklum balas daripada orang di sekeliling anda. Kedua, belajar daripada kesilapan anda.

8. Berhadapan dengan realiti (confront reality) - Kita tidak boleh menutup mata kita kepada realiti sukar yang kita hadapi. Jika kita jujur mengenai isu-isu yang sukar dan menanganinya, orang akan mempercayai kita. Jangan cuba untuk mengelakkan realiti atau bertindak seolah-olah kita menangani isu-isu sukar, tetapi kita sebenarnya mengelakkannya.

9. Menjelaskan jangkaan (clarify expactations) - Adalah penting memberi tumpuan kepada visi yang dikongsi untuk kejayaan di masa depan. Apabila jangkaan tidak jelas, kepercayaan dan kelajuan kedua-dua akan menurun. Kegagalan untuk menjelaskan jangkaan menyebabkan orang kekeliruan. Walaupun memperolehi hasil yang baik, tetapi kita tak akan benar-benar dihargai.

10. Amalkan kebertanggungjawaban (practice accountability) – Kajian Golin / Harris 2002 mendapati, tanggungjawab peribadi dan keupayaan telah disenaraikan sebagai faktor yang kedua tertinggi dalam membina kepercayaan. Pemimpin yang hebat meletakkan diri sendiri dalam tanggungjawab dan menjadikan orang lain merasa bertanggungjawab. Bertanggungjawab termasuklah mengambil tanggungjawab untuk hasil yang buruk. Sering berlaku kita respon dengan menyalahkan orang lain atas kegagalan tersebut. Apabila kita gagal, kita perlu lihat di cermin (muhasabah).

11. Dengar dahulu (listen first) - Mendengar sebelum bercakap akan membina kepercayaan. Cuba memberi nasihat sebelum mengetahui semua fakta adalah satu pembaziran masa dan tidak adil. Ingat komunikasi yang adalah lebih daripada sekadar kata-kata, jadi anda perlu mendengar kepada bahasa bukan lisan juga. Jika seseorang mempamerkan tahap emosi yang tinggi, mereka tidak mudah memahami. Teruskan mendengar. Juga, orang tidak mungkin meminta nasihat sehingga mereka merasakan anda memahami semua maklumat yang berkaitan. Jangan memberi nasihat terlalu awal.

12. Tunaikan janji (keep commitments) - Apabila anda membuat janji anda membina harapan. Apabila anda menunaikan janji, anda membina kepercayaan. Berhati-hati apabila membuat janji. Membuat janji yang boleh dilaksanakan sahaja. Juga, jangan membuat janji yang tak jelas. Ada janji yang tersirat dan tersurat, dan melanggarnya salah satu daripadanya adalah pengeluaran besar kepada akaun kepercayaan. Juga, ingat komitmen keluarga adalah sama penting atau tidak lebih penting daripada komitmen kerja.

13. Melebarkan kepercayaan (extend trust) - Ciri ini membantu anda menjadi seorang pemimpin yang dipercayai. Kita perlu menambahkan kepercayaan kepada mereka yang telah mendapatkan kepercayaan itu. Bersedia untuk melebarkan kepercayaan kepada mereka yang masih mencarinya. Perlu bijak dalam melebarkan kepercayaan kepada orang-orang yang tiada karektor untuk mendapat kepercayaan.



Sumber : The Speed of Trust by Stephen M.R. Covey

Friday, March 16, 2012

Kompas dunia.

Anda pernah tersesat dalam hutan? Pada yang pernah, mestilah ia adalah kenangan yang menakutkan, bukan? Yalah, hutan yang besar, pandangan yang terhad, binatang yang buas. Memang menakutkan.



Cuba pula bayangkan anda dikehendaki untuk mengembara berseorangan merentasi sebuah hutan belantara. Hutan Amazon contohnya, yang terkenal dengan ciri-ciri hutan yang menakutkan seperti yang dinyatakan tadi. Apakah peralatan yang paling penting untuk anda bawa? Makanan? Bukankah makanan boleh diperolehi di dalam hutan tersebut? Mancis? Kalian boleh belajar menyalakan api tanpa menggunakan mancis.

Disebabkan anda perlu merentasi hutan tersebut dan sampai ke destinasi yang telah ditetapkan, saya rasa peralatan yang paling penting ialah kompas. Menentukan arah tuju anda di dalam hutan tersebut. Tanpa kompas, perjalanan akan menjadi lebih panjang atau tak sampai langsung, betul? Begitulah pentingnya kompas ketika berada di dalam hutan.

Begitu jugalah kita di dunia ini. Di dalam hutan ada haiwan ganas, di dunia ada manusia yang lebih ganas dari haiwan. Di dunia juga ada dosa, pahala, kawan, lawan, syaitan. Sebab itu ramai yang tersesat. Untuk mengelakkan diri daripada tersesat di dalam dunia, kompas juga diperlukan. Apa kompas dunia?

Itulah namanya hidayah. Hidayah yang ertinya kurniaan, adalah kurniaan ALLAH kepada hambaNya sebagai kompas di dalam kehidupan ini. Oleh sebab pentingnya hidayah, kita diwajibkan memohon hidayah, sekurang-kurangnya 17 kali sehari. (Surah al-fatihah: 6, yang bermaksud “tunjukkanlah aku jalan yang lurus”)

PERINGKAT HIDAYAH
1. Hidayah tabii (asas hidup)
a. Semula jadi dikurniakan ALLAH kepada kita.
b. Contohnya, tangisan bayi yang baru lahir. Rangsangan tumbuhan kepada cahaya.
c. Ia menunjukkan keunikan dan kelebihan makhluk, tapi ia tak lebih kepada basic instinct semata-mata. Ia belum boleh menjadi kompas bagi manusia.

2. Hidayah pancaindera (merasai nikmat hidup)
a. Kurniaan pancaindera yang lima.
b. Mata untuk melihat, lidah untuk merasa, hidung untuk menghidu dan lain-lain.
c. Tapi ia juga terbatas. Mata hanya mampu melihat yang tersurat. Tetapi tidak mampu mentafsirkannya. Fatamorgana sebagai contoh, dari jauh kelihatan air yang bergenang, tetapi apabila dekat barulah kita sedar yang ianya hanya panas yang sangat membahang. Maka, pancaindera mudah tertipu.

3. Hidayah akal (memberi nilai hidup)
a. Untuk menjawab persoalan pancaindera, kita dikurniakan akal untuk menjelaskannya. Manusia dilebihkan daripada haiwan dengan hidayah ini.
b. Manusia kini dapat menjangkau ke alam semesta dengan pemikirannya, yang sudah tentu terbatas dengan pancaindera. Melalui akal, manusia mampu mencipta segala teknologi.
c. Dengan akal semata-mata, kehidupan semakin maju tetapi tetap tidak menjamin manusia untuk semakin baik dan harmoni. Sehebat mana akal fikiran, tetap terhad pada kemampuannya sebagai manusia.

4. Hidayah agama (panduan hidup)
a. Agama adalah pengikat kepada akal supaya akal tidak terpesong pada landasannya sebagai hamba ALLAH.
b. Analoginya, akal umpama kipas yang sedang laju berputar. Agama pula ialah pengikat kipas tersebut kepada dinding atau syiling. Bayangkan kipas yang berputar pasti akan tertanggal jika pengikatnya tidak kuat.
c. Kita mengakui bahawa agama Islam adalah agama yang terbaik. Masalahnya, ada juga umat Islam yang masih melakukan maksiat. Sehingga menjadi fitnah kepada orang lain. Oleh itu, hidayah Islam sahaja belum cukup untuk menjamin seseorang itu berjaya di akhirat kelak.

5. Hidayah taufik (jaminan hidup)
a. Hidayah ini akan terjadi apabila ada muafakat atau persetujuan antara perintah ALLAH dengan perlakuan seseorang. Ciri-ciri orang yang mendapat hidayah ini ialah:
i. Memahami ilmu – bukan sekadar tahu tetapi faham. Bukan seperti burung kakak tua yang tahu berkata-kata tetapi tidak mampu memahami apa yang dikatakannya.

ii. Mengamalkan ilmu – ilmu yang telah difahami wajib diamalkan. Orang yang berilmu tanpa amal, ibarat pohon tanpa buah.
iii. Membenci dosa – orang yang mendapat hidayah taufik akan merasa jijik dengan dosa, hatta dosa kecil sekalipun.
iv. Kemanisan dalam beramal – ibadat yang dilakukan akan terasa manis dan asyik.
v. Mendapat pertolongan daripada ALLAH – inilah bantuan yang telah diberikan kepada tentera Badar.

CARA MENDAPAT HIDAYAH TAUFIK
Hidayah taufik boleh diperolehi dengan mengamalkan hidayah Islam dengan bersungguh-sungguh. Walaupun belum terasa asyik beramal, tetapi tetap dan teruskan juga. Moga-moga ia terbiasa dalam hidup. Gunakanlah sepenuhnya hidayah-hidayah yang diterangkan tadi untuk mendapatkan hidayah taufik. Selepas berusaha barulah berdoa dan bertawakal kepada ALLAH.

InsyaALLAH moga-moga tergolong dalam golongan yang mndapat hidayah taufik.

Sumber: mukmin profesional, celik mata hati.

Saturday, January 14, 2012

Kita yakin, kita berjaya.

Assalamualaikum, selamat sejahtera.

Dengan Nama ALLAH.

Nampaknya sudah lama benar saya tidak menulis. Apa pun alasan, memang puncanya dari diri sendiri. InsyaALLAH dengan pos ini, saya akan terus menulis. Mohon didoakan bersama.


KITA YAKIN, KITA BERJAYA

Dalam mendefinisikan kejayaan, ramai yang mentafsirkan kejayaan seperti menjadi kaya, terkenal, mendapat keluarga yang bahagia. Tak kiralah apa definisi kejayaan bagi seseorang, semua manusia (yang normal) mahukan kejayaan. Tak ada orang di dunia ni yang suka bila tak berjaya atau gagal dalam hidup. Kejayaan adalah matlamat hidup semua manusia.

Jadi, apa yang membezakan individu berjaya atau tak?

Jawapannya ialah keyakinan. Jika seseorang itu yakin dengan matlamatnya, yakin dengan diri sendiri, yakin dengan usaha untuk berjaya, maka dia akan beroleh kejayaan itu. Pokok pangkalnya ialah yakin. Kalau tak yakin, tak akan tercapai matlamat kita (kejayaan).

Bila disebut begini, ramai akan memberi respon, "Takkanlah dengan yakin saja boleh berjaya."

Perlu diingat, keyakinan bukanlah kuasa supernatural yang boleh menjadikan kejayaan itu mampu dicapai dengan serta merta. Kuasa keyakinan bertindak sebagai langkah permulaan atau penunjuk jalan bagi seseorang bergerak menuju matlamatnya. Bila keyakinan sudah terpahat dalam diri seseorang, ia akan membentuk satu laluan dalam minda kita tentang bagaimana menuju matlamat.

Kebanyakan dari kita, bila dah mendapat kerjaya, dah selesa dengan situasi, sudah puas dengan apa yang dikecapi. Padahal dia mampu untuk pergi jauh dari itu. Antara puncanya ialah tak yakin dengan potensi diri. Kesudahannya lahirlah golongan 'cukup makan'. Asal boleh saja.

Bagaimana hendak menanam keyakinan?

1. Fikirkan kejayaan.
Bak dalam lagu Fikirkan Boleh, jika kau fikirkan kau boleh, kau pasti boleh melakukan. Jangan ada sikap atau prasangka negatif tentang diri sendiri. Kalau pada awal lagi sudah terfikir, "Susah sangat ni, mesti aku gagal", hasilnya gagal. Jadi tukar "Aku pasti gagal" kepada "Aku pasti berjaya".

2. Positif tentang kebolehan diri.
Tanam sikap dalam diri, kita lebih hebat daripada apa yang kita rasa. Jangan terlalu merendahkan diri sendiri, sehingga kita sendiri tak yakin dengan potensi diri. Bila kita rasa kita lebih hebat daripada apa yang kita tahu, kita akan berusaha mencuba untuk menjadi lebih hebat daripada kita sekarang.

3. Matlamat yang besar.
Tak lain tak bukan, ia tak lari daripada berkaitan dengan niat. Sesungguhnya setiap amalan kan bermula dengan niat. Kalau niat itu sudah salah, kejayaan juga payah. Begitu juga kalau niat itu mencapai matlamat yang kecil, kejayaan juga kecil. Jadi, setkan dalam diri, sasaran kita yang besar-besar.



P/S: Kan seronok bila yakin semula untuk menulis.

Saturday, November 5, 2011

Islam dan Perkahwinan

Islam merupakan sebaik-baik agama yang memandu manusia kepada kebahagian sejati baik di dunia mahupun akhirat. Islam juga menyediakan panduan yang lengkap dalam menjalani kehidupan sebagai manusia.

Firman ALLAH S.W.T, maksudnya:
“Sesiapa yang mencari agama selain daripada Islam, maka dia tidak diterima (di sisi kami) dan di hari akhirat kelak dia akan termasuk di kalangan mereka yang rugi.” – Surah Ali 'Imran: 85.

Manusia telah diciptakan oleh ALLAH S.W.T dengan bentuk kejadian yang unik dan berbeza daripada makhluk-makhluk-NYA yang lain. Bermula daripada Adam a.s dan seterusnya makhluk yang bergelar wanita pertama bernama Hawa. Daripada mereka berdua lahirlah generasi manusia berikutnya melalui proses percantuman benih antara lelaki dan wanita.

Kehidupan bermula apabila berlaku proses percantuman benih antara seorang lelaki dengan seorang wanita. Daripada perbuatan ini, lahirlah benih yang bernyawa di mana ia membesar dari rahim seorang wanita. Akhirnya muncullah seorang generasi baru yang kemudiannya bergerak dan berjalan di muka bumi.

Firman ALLAH S.W.T, maksudnya:
“Dari setitis air mani (air lelaki) ketika ia tertumpah ke dalam rahim.” – Surah al-Najm: 46.

Melalui proses ini, kehidupan sosial manusia terbentuk, lahir dan wujud di hadapan kita pada hari ini. Demi kelangsungan fitrah yang ditetapkan oleh-NYA dalam mentadbir urusan dan perjalanan kehidupan, DIA yang Maha Agung dan Maha Berkuasa telah menetapkan bahawa kejadian manusia yang berbeza jantina itu dipenuhi dengan sifat kasih sayang dan memiliki daya tarikan biologi secara semula jadi antara satu sama lain.

Firman ALLAH S.W.T, maksudnya:
“(Tetaplah atas) fitrah ALLAH yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu.” – Surah Ar-Rum: 30.

Secara fitrahnya manusia diciptakan untuk tertarik kepada kaum yang berlawanan jenis dengannya. Mereka saling menyukai dan ingin mendekati antara satu sama lain. Lalu hal itu akan mendorong berlakunya persetubuhan yang merupakan proses bagi memastikan kelangsungan generasi dan zuriat. Ini merupakan fitrah manusia yang sudah ditetapkan oleh ALLAH S.W.T.

Selain itu lelaki dan wanita juga diciptakan oleh ALLAH untuk memiliki perasaan senang dan bahagia dengan kewujudan pasangan. Hal ini disebutkan oleh ALLAH S.W.T secara jelas melalui firman-NYA yang bermaksud:

“Dan antara tanda-tanda kebesaran-NYA ialah diciptakan untuk kamu dari diri kamu akan isteri-isteri supaya kamu bersenang-senang kepadanya dan menjadikan antara kamu saling mencintai dan berkasih sayang.” – Surah al-Rum: 21.

Al-Imam Ibn Katsir ra berkata bahawa maksud (min anfusikum) ialah melalui kejadian yang sama dengan kamu, iaitu daripada kaum manusia. Bukan dari jin atau malaikat yang berbeza kejadian. Manakala maksud (litaskunu ilaiha) iaitu lelaki dan perempuan ini diciptakan untuk saling bersenang-senang antara satu sama lain. Bahkan dari segi kejadian fizikalnya pun saling melengkapi dan diciptakan untuk menyenangkan satu sama lain.

Tujuan ALLAH S.W.T menciptakan lelaki dan wanita saling memerlukan dari sudut biologi dan kejiwaan ialah untuk memastikan lahirnya keturunan dan generasi baru melalui perhubungan lelaki dan wanita.

Firman ALLAH, maksudnya:
"Wahai sekalian manusia! bertakwalah kepada TUHAN kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (Hawa) serta membiakkan daripada kedua-duanya (zuriat keturunan) lelaki dan wanita berkembang biak yang banyak."– Surah al-Nisak: 1.

Islam amat menitik beratkan hubungan harmoni antara satu sama lain dan sebaik-baik agama yang menghubungkan pertalian dan kebaikan antara sesama manusia. Walaupun manusia diberikan akal fikiran namun godaan syahwat, naluri dan daya tarikan antara lelaki dan wanita seringkali sukar dikawal dan mengakibatkan mereka kerap melanggar batasan dan melakukan kerosakan di atas muka bumi. Ini menyebabkan berlaku kerosakan pada aturan fitrah yang ditetapkan oleh ALLAH S.W.T.

Ketika zaman jahiliah dan zaman kuno dalam tamadun manusia, kaum wanita seringkali dijadikan alat pemuas nafsu seksual lelaki disebabkan keadaan fizikal mereka yang lemah. Sehingga para wanita hidup menderita dan tidak mendapat kebahagiaan. Begitu juga kaum lelaki. Mereka turut tidak mencapai kepuasan hidup yang hakiki kerana melampaui batas dan mengikut hawa nafsu untuk mencapai keseronokan. Akhirnya hanya merosakkan diri mereka dan menambah derita dalam kehidupan.

Oleh itu, Islam datang membawa rahmat ke seluruh alam. Ia benar-benar menepati tujuan kedatangannya apabila Islam mengajar manusia tatacara dan kaedah dalam menjalinkan hubungan antara satu sama lain serta menetapkan peraturan dan panduan bagi mencapai kehidupan yang bahagia.

Sebagai contohnya, dalam hadis riwayat Ismail bin Muhammad bin Sa'ad bin Abi Waqqas melalui bapanya daripada datuknya yang berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

“Empat perkara termasuk tanda kebahagiaan ialah memiliki wanita yang solehah, tempat tinggal yang lapang, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa. Juga empat perkara termasuk kesusahan (derita) ialah memiliki jiran yang jahat, isteri yang tidak baik, tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk.” Hadis sahih riwayat Ibn Hibban

Rasulullah s.a.w menyebut bahawa memiliki isteri yang solehah, tempat tinggal yang lapang, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa termasuk salah satu daripada tanda kebahagiaan. Sebaliknya, mempunyai jiran yang jahat, isteri yang tidak baik, tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk termasuk tanda-tanda kesusahan dan penderitaan. Oleh itu, Islam menyediakan peraturan dan petunjuk yang sempurna dalam pelbagai perkara termasuk soal kemasyarakatan dan kehidupan duniawi.

Agama Islam amat mengalakkan perkahwinan. Ia merupakan salah satu sunnah yang utama dalam agama. Bahkan sebagai perintah kepada setiap muslim dan muslimah.

Firman ALLAH, maksudnya:
"Jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap wanita-wanita yatim (jika kamu berkahwin dengan mereka), berkahwinlah dengan sesiapa sahaja yang kamu berkenan di kalangan wanita-wanita (lain yang bukan anak yatim): sama ada dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak mampu berlaku adil (antara isteri-isteri kamu), berkahwinlah dengan seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba wanita yang kamu miliki. Hal itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman." – Surah al-Nisak: 3.

Melalui hadis riwayat Anas r.a Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sesiapa yang membenci sunnahku, maka dia bukanlah daripada golonganku (umatku).” – Hadis sahih riwayat al-Bukhari
Perkahwinan merupakan jalan paling selamat dan terbaik dalam memenuhi fitrah dan naluri manusia. Disebabkan itulah ia menjadi salah satu daripada sunnah para nabi dan rasul serta diperintahkan kepada umat Islam.

Matlamat utama perkahwinan ialah untuk memenuhi keinginan naluri dan fitrah insan melalui jalan yang selamat dan menepati kehendak syarak. Ia juga bagi memastikan kesinambungan generasi manusia melalui konsep kekeluargaan yang dapat menjamin kestabilan hidup mereka.

Bahkan perkahwinan mempunyai manfaat yang cukup besar bagi manusia dalam mengawal dirinya daripada maksiat, kerosakan akal dan jiwa serta menyelamatkan diri mereka daripada godaan nafsu dan syaitan.

Abdullah bin Mas’ud r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Wahai sekalian para pemuda, sesiapa di kalangan kamu yang memiliki kemampuan untuk berkahwin maka dia hendaklah bernikah kerana sesungguhnya ia dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan.” - Hadis sahih riwayat al-Bukhari

Maksud kemampuan dalam hadis di atas ialah kemampuan untuk bernikah. Para ulama berbeza pendapat dalam menetapkan apakah yang dimaksudkan dengan 'kemampuan untuk bernikah'. Maksud yang paling benar ialah 'kemampuan untuk bersetubuh'. Hal itu dinyatakan oleh al-Imam Muhammad bin Ismail al-San’ani, pengarang kitab Subulussalam Syarah Bulughul Maram.

Begitu juga pendapat Imam Nawawi r.h dalam kitab al-Minhaj ketika beliau mensyarahkan hadis ini. Beliau berkata bahawa para ulama menyebut, maksud kemampuan dalam hadis di atas, iaitu kemampuan untuk bersetubuh. Inilah pendapat paling tepat dan merangkumi makna bahasa dan maksud baginda.

Walau bagaimanapun, banyak kitab fikah menyifatkan bahawa maksud kemampuan dalam hadis di atas, iaitu kemampuan dari segi fizikal dan kebendaan untuk memenuhi fitrah persetubuhan. Contohnya seperti menyediakan belanja. Juga kemampuan kebendaan atau material untuk berkahwin seperti rumah dan tempat tinggal bagi menempatkan isteri. Hal ini juga dinyatakan oleh Imam Nawawi r.h sebagai salah satu daripada pendapat ulama terhadap maksud kemampuan.

Pernikahan sepatutnya menjadi suatu ibadah yang dilaksanakan kerana ALLAH dan untuk kebaikan agama. Mengutamakan kepentingan agama lebih afdal daripada tujuan keduniaan. Rasulullah s.a.w menyatakan dalam sebuah hadis sahih bahawa baginda pernah menikahkan sahabatnya dengan hanya bermaharkan al-Quran disebabkan kemiskinan dan ketiadaan harta untuk dijadikan mas kahwin.

Hal ini sekali gus menjadi hujah bahawa pernikahan yang dilakukan atas dasar menyelamatkan diri daripada maksiat dan keinginan syahwat itu harus dilaksanakan kerana ALLAH. Walaupun kekurangan dari sudut kebendaan.

Pernikahan menjadi ibadah dan sunnah yang wajib ditunaikan bagi mereka yang mampu dalam erti kata mampu melakukan persetubuhan dan menunaikan fitrah melalui jalan yang dibenarkan oleh syariat. Dan juga bagi memastikan kesinambungan generasi manusia.

Menutut Ma’qal bin Yasar r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Berkahwinlah dengan wanita yang penyayang dan melahirkan anak yang ramai. Sesungguhnya aku berbangga memiliki umat yang ramai.” - Hadis sahih riwayat Abu Daud

Thursday, July 28, 2011

Musibah Uji Kesabaran Umat

MUSIBAH adalah bencana, kecelakaan atau malapetaka. Dalam erti kata lain sesuatu yang tidak baik dan mendatangkan penderitaan kepada seseorang.

Begitu pun, Allah menjadikan musibah sebagai ujian ke atas hamba-Nya. Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah Ayat 155 bermaksud:

"Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar."

Kemudian Allah jelaskan lagi mengenai orang yang sabar dalam firman-Nya di dalam Surah Al-Baqarah Ayat 156 yang
bermaksud:

"(Iaitu) mereka yang apabila ditimpa musibah lalu berkata sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nya (Allah) jugalah (tempat) kami kembali."

Dalam ayat di atas, Allah menyatakan bahawa setiap hamba-Nya akan diuji (al-Tabariy, 1996. Jami' al-Bayan fi Ta'wil al-Qur'an jld. 2 muka 45).

Ujian Allah itu berlaku dalam pelbagai bentuk seperti bencana alam, kematian, kekayaan, kemiskinan, kesihatan dan kesakitan. Perkara itu untuk membuktikan siapakah yang penyabar serta tetap bertuhankan Allah dalam apa juga keadaan yang ditempuhinya.

Jadi, jelaslah bahawa orang yang sabar itu adalah yang tetap beriktikad, bahawa diri mereka hamba dan milik Allah walaupun ditimpa musibah yang amat berat. Malah, mereka sentiasa mengharapkan balasan pahala daripada Allah dan sentiasa takuti azab-Nya.

Ibn Kathir ketika mentafsir ayat di atas (ayat 156, surah al-Baqarah) menjelaskan:

"Dengan melafazkan ayat ini menunjukkan seseorang itu menerima segala musibah yang menimpanya dan mengakui bahawa dirinya adalah hamba dan milik Allah. Allah berkuasa melakukan apa saja ke atas hamba-Nya." (Ibn Kathir, 1992. Tafsir al-Qur'an al-'Azim jilid 1, muka 203).



Untuk mengukuhkan tafsirannya, Ibn Kathir membawakan beberapa hadis, antara yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bermaksud:

"Ummu Salamah berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: Tiada seorang pun daripada kalangan orang Islam yang ditimpa musibah, lalu dia melafazkan apa yang diperintahkan oleh Allah (iaitu firman Allah ayat 156, surah al-Baqarah yang bermaksud) "Sesungguhnya kami adalah hamba dan milik Allah dan kepada-Nya kami akan dikembalikan. Ya! Allah berilah pahala bagiku dalam musibahku ini dan gantikanlah untukku yang lebih baik daripadanya, melainkan Allah menggantikan baginya dengan yang lebih baik."

"Ummu Salamah berkata: Ketika Abu Salamah meninggal dunia, aku sering bertanya kepada diriku sendiri, orang Islam manakah yang lebih baik daripada Abu Salamah? Dialah orang yang pertama hijrah kepada Rasulullah. Pertanyaan itu sering aku mengulanginya, lalu Allah menggantikan untukku Rasulullah sendiri."

"Ummu Salamah berkata: Baginda mengutuskan Hatib Bin Balta'ah untuk melamarku bagi dirinya sendiri. Lalu Ummu Salamah berkata lagi: Aku telah mempunyai seorang anak perempuan dan aku seorang wanita yang kuat cemburu. Jawab Baginda: Mengenai anak perempuannya, kita doakan semoga Allah cukupkan segala keperluannya dan aku mendoakan semoga Allah hilangkan rasa cemburunya itu." (al-Nawawiy, 1996. Syarh Sahih Muslim. hadis no. 918 jld. 6 muka 520)."


Berdasarkan kefahaman hadis di atas, balasan Allah atas kesabaran Ummu Salamah yang diuji dengan kematian suaminya, Abu Salamah, adalah beliau dikahwini oleh Rasulullah.

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Bin Hanbal bermaksud:

"Abu Sinan berkata: Setelah aku mengebumikan anakku, aku masih berada di kubur. Tiba-tiba datang Abu Talhah al-Khaulaniy, lantas memegang tanganku dan membawa aku keluar sambil berkata: Adakah engkau suka sekiranya aku menceritakan sesuatu yang menggembirakanmu? Jawab Abu Sinan: Baiklah. Lalu Abu Talhah berkata bahawa al-Dahhak bin Abd al-Rahman bin 'Azib menceritakan kepadaku daripada Abu Musa katanya: Sabda Rasulullah bahawa Allah berfirman (yang bermaksud): Wahai Malaikat Maut, engkau mencabut nyawa seorang anak daripada hamba-Ku, engkau mengambil buah hatinya dan anak kesayangannya. Jawab Malaikat Maut: Ya!. Lalu Allah berfirman, apa yang ia kata (ketika kematian anaknya itu)?. Jawabnya: Ia memuji Engkau dengan berkata kami ini hamba dan milik Allah dan kepada-Nya kami akan dikembalikan. Maka Allah berfirman: Binalah untuknya sebuah rumah dalam syurga dan berilah namanya dengan Bait al-Hamd" (Ibn Kathir, 1992. Tafsir al-Quran al-'Azim, jilid 1 halaman 204).

Hadis kedua ini pula menjelaskan sikap Abu Sinan yang tetap memuji Allah walaupun anak kesayangannya meninggal dunia. Sebagai balasan dibina sebuah rumah untuknya dalam syurga.

Jelaslah, ujian Allah untuk melihat kekuatan akidah hamba-Nya sama ada hanya bertuhankan-Nya dalam keadaan senang-lenang saja atau terus bertuhankan-Nya dalam apa juga keadaan sekalipun.

Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa Allah menguji keimanan hamba-Nya dengan pelbagai musibah. Musibah Allah itu, bukanlah sekadar kematian, malah didatangkan dalam berbagai bentuk dan keadaan.

Orang yang berjaya menempuhi ujian Allah dengan penuh kesabaran, akan dianugerahkan balasan pahala. Malah, Allah akan menggantikan sesuatu yang yang hilang itu dengan sesuatu perkara yang lebih baik, seperti yang dijelaskan dalam hadis di atas.

Jadi, dalam hal ini setiap umat Islam hendaklah mempunyai akidah yang betul iaitu dengan berakidahkan bahawa semua makhluk yang wujud di bumi ini adalah hamba dan milik Allah. Sebaik mengaku bahawa kita sebagai hamba dan milik Allah, hendaklah meredai apa juga musibah yang menimpa. Sebenarnya, di sebalik musibah itu mempunyai hikmah besar, di mana kita sendiri tidak mengetahuinya.

Maka dengan ketabahan hati menghadapi kesukaran, kesulitan dan penderitaan, ia sebenarnya sebagai latihan untuk menempuh banyak lagi penderitaan pada masa akan datang.

Orang yang tabah sentiasa diberikan perlindungan dan rahmat oleh Allah. Jiwa yang sering melalui proses ujian ini semakin lama semakin teguh kerana sentiasa digembleng dan disaring oleh zaman.

Secara khususnya kepada mangsa gempa bumi dan tsunami, baru-baru ini, diharapkan dapat menempuh musibah itu dengan banyak bersabar. Hanya dengan sabar semua kesulitan dan penderitaan dapat diatasi. Hal ini kerana sesuatu kehidupan itu tidak membeku begitu saja.

Mudah-mudahan hasil daripada kesabaran itu, Allah akan berikan ganjaran pahala dan gantikan segala harta benda yang rosak itu dengan harta benda lain yang lebih baik.