Wednesday, October 7, 2009

Pemimpin bukan Islam...

Pemerintahan dalam Islam – perkaitan antara bukan Islam dan Muslim

Sistem pemerintahan di dalam Islam, diperjelaskan dengan lebih jelas dalam Fiqh Imamiyah atau dalam Bahasa Melayu, Feqah Kepimpinan. Entri kali ini ditulis untuk menjawab satu persoalan, “Bolehkah orang bukan Islam menjadi pemimpin?”

Jawapan bagi soalan ini adalah bergantung kepada situasi kepada sesuatu tempat tersebut. Maka, secara ringkasnya, situasi ini terbahagi kepada 3, iaitu; majoriti Islam (berkuasa mutlak), perkongsian kuasa (tarik tali), minoriti Islam.


a) Majoriti Islam

Yang dimaksudkan dengan majoriti, bukanlah bilangan penduduk tempat tersebut. Majoriti di sini bermaksud, tampuk pemerintahan di tempat tersebut dipegang oleh pemimpin yang berfikrah Islam. Pemimpin bukan Islam hanyalah minoriti dan tanpa mereka pun, pemerintahan tersebut tetap berpihak kepada Muslim.

Pemimpin atau ketua utama mestilah beragama Islam dan wajib menjalankan hukum dan tugas berlandaskan syariat Islam. Orang bukan Islam boleh juga menjadi pemimpin, tetapi bukanlah pemimpin tertinggi. Sebagai contoh, Perdana Menteri mestilah beragama Islam, namun jawatan Menteri lain boleh dipegang oleh orang bukan Islam.

Secara realiti, sistem pemerintahan seperti ini boleh dilihat di negeri Kelantan. Wajib bagi pimpinan negeri tersebut menjalankan hukum Islam seperti hudud dan sebagainya. Tetapi bagi situasi di Kelantan, draf hukuman hudud telahpun dibuat dan dibawa ke Persekutuan. Cumanya, mendapat tentangan dari Persekutuan di bawah Perlembagaan Malaysia.


b) Perkongsian kuasa (tahalluf)

Tarik tali di sini bermaksud, berkongsi kuasa secara sama rata. Tanpa mereka, kita tidak mampu memerintah. Dan tanpa kita pun, mereka tidak dapat memerintah. Masing-masing memerlukan satu sama lain.

Dalam situasi ini, pemimpin Islam mestilah mempertahankan jawatan sebagai pemimpin tertinggi di tempat tersebut. Mereka juga mesti bersungguh dalam menegakkan hukum Islam. Namun, ia tidak jatuh kepada wajib menjalankan hukum Islam secara mutlak.

Situasi ini boleh disamakan dengan kisah Raja Najasyi yang memerintah Habsyah pada satu ketika dulu. Semasa pemerintahan Raja Najasyi, beliau telah memeluk agama Islam, sedangkan orang bawahan dan rakyatnya masih belum memeluk Islam. Beliau mesti mengekalkan jawatan sebagai ketua kerana dikhuatiri pengganti beliau adalah bukan Islam yang mungkin akan memerintah secara zalim dan menindas Islam. Pada masa sekarang, situasi ini dilihat pada negeri Selangor, Perak dan Kedah.


c) Minoriti Islam

Pemimpin di tempat tersebut dipegang oleh orang bukan Islam, manakala pemimpin Islam hanyalah sebilangan kecil saja. Mereka tetap menjadi pemerintah walau tanpa pemimpin Islam. Situasi ini sama seperti negeri Pulau Pinang.

Untuk menjalankan hukum Islam, pemimpin Islam tersebut mestilah mengamalkan konsep ‘kalau tak boleh buat semua, jangan tinggal semua.’ Dia perlu mencadangkan agar pemerintahan tersebut berdasarkan Islam walau sedikit sekalipun.

Kisah Nabi Yusuf boleh diteladani mengikut situasi ini. Pada zaman Nabi Yusuf, baginda menerima jawatan sebagai bendahara atau menteri kewangan walaupun pada ketika itu, keseluruhan pemerintahan tersebut bukanlah orang Islam termasuklah rajanya. Alasan baginda untuk menerima jawatan tersebut adalah kerana baginda berkebolehan dalam bidang tersebut dan beliau boleh menguruskan lebih baik dan jujur berbanding orang lain.



Sebagai kesimpulan, orang bukan Islam boleh menjadi pemimpin jika dan hanya jika berdasarkan situasi di atas. Wallahualam.

No comments: