Thursday, January 8, 2009

Indahnya hidayah. (part 2)

Yasser tersedar dari lamunan. Laungan azan Subuh kedengaran dari surau darul amin yang terletak kira-kira 200m dari rumah Yasser. Yasser melihat jam loceng di atas meja tidurnya, 5.40 pagi. Yasser bingkas bangun lalu membersihkan diri. Selesai bersiap-siap, Yasser melangkah menuju ke surau darul amin. Kebelakangan ini Yasser tidak pernah terlepas solat fardhu 5 waktu secara berjemaah di surau itu.

Pili air dibuka perlahan. Dengan tenang Yasser mengambil wudhu. Seusai itu, dia lantas bersolat sunat sebelum subuh. Terasa begitu tenang.

“Awak ni betul-betul tak guna!!” tempik datin Wani Mazni, ibu Yasser. Ketika ini, Yasser baru selesai menjalani Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).

“Kenapa asyik saya yang disalahkan? Saya pun tak jangka perkara sebegini akan berlaku di Wirama,” balas Datuk Kamal Asri, membela diri. Ayah Yasser, Datuk Kamal Asri adalah seorang usahawan yang berjaya. Syarikat Wirama Sdn Bhd adalah syarikat yang didirikan dengan titik peluhnya sendiri.

Datuk Kamal Asri bermula dengan seorang jurutera biasa yang bekerja di Enersave Air Sdn Bhd. Tetapi atas usaha keras yang berterusan, Datuk Kamal Asri berjaya menjadi jutawan dalam membekalkan barang keselamatan kepada industri dengan tertubuhnya Wirama Sdn Bhd. Wirama berjaya mencuri tumpuan semua pihak industri untuk berurusan atas khidmat dan kualiti yang memuaskan. Cuma akhir-akhir ini, Wirama berada dalam keadaan yang kritikal. Rakan kongsi Datuk Kamal Asri telah melarikan diri bersama wang syarikat berjumlah RM 1.7 billion. Akibatnya, Wirama telah bankrup dan Datuk Kamal Asri sendiri hampir muflis.

Keadaan harmoni antara Datuk Kamal Asri dan isterinya, Datin Wani sudah hilang sama sekali. Rumahtangga yang dianggap paling romantik itu, akhirnya retak menanti belah. Semuanya gara-gara keadaan Wirama yang sudah kritikal itu.

Hari ini, mereka bertekak lagi. Kata-kata makian sudah menjadi rencah dalam perang mulut itu. Yasser berada dalam biliknya, sambil bermain komputer. Dia sudah tidak tahan dengan kerenah ibubapanya. Dia merasakan bahawa mereka hanya pentingkan diri sendiri. Keadaan Yasser yang baru menjalani PMR pun tidak dihiraukan oleh Datuk Kamal Asri dan Datin Wani Mazni.

“Kita berpisah saja. Saya dah tak sanggup tinggal dengan orang papa macam awak,” bentak Datin Wani Mazni.

“Baik. Kalau itu yang awak mahu, see you in court!!”

Akhirnya, perkahwinan antara Datuk Kamal Asri dan Datin Wani Mazni hanya bertahan sampai di saat itu. Mereka telah memutuskan untuk bercerai. Yasser yang tidak dapat menerima hakikat itu lantas lari dari rumah.

Hidupnya kini kosong. Tiada apa yang mampu mengisi kekosongan itu. Yasser tidak tahu ke mana arah yang hendak dituju. Baginya, di mana dia sampai nanti, itu tidak penting. Yang penting dia dapat lari dari masalah keluarganya. Yasser betul-betul hampa. Keluarga yang dulu dihiasi dengan senyum tawa akhirnya tidak kekal lama. Dia merasa kecewa. Putus asa. Putus asa dengan Tuhan yang telah mentakdirkan hidupnya sebegini.

“Ah! Tuhan itu tidak wujud. Kalau dia wujud, buktikan pada aku. Kalau dia wujud kenapa mahu mentakdirkan kesusahan sebegini,” bisik hati Yasser. Semenjak hari itu, Yasser sudah tidak percaya akan kewujudan Tuhan. Baginya, semua itu dicipta oleh orang yang mahu mengambil keuntungan di dunia.

Lima tahun Yasser hidup jauh dari pengetahuan keluarganya. Selama itu dia tinggal bersama Bro Zam yang mengambil Yasser sebagai adik angkat. Bro Zam ialah ketua kumpulan Street 69, kongsi gelap yang bergerak aktif di Titiwangsa. Bro Zam lah yang menjaga makan minum Yasser, sediakan tempat tinggalnya. Sebagai balasan, Yasser dikehendaki bekerja sebagai pengedar pil khayal kepada pelanggan atau digelar deliver boy. Tugas Yasser mudah. Cuma hantar pil tersebut kepada pelanggan yang telah menempah kepada Bro Zam di tempat yang telah ditetapkan. Disebabkan tubuh Yasser yang agak besar, kebanyakan mereka tidak menyangka umur Yasser hanyalah belasan tahun.

Begitulah kehidupan Yasser seharian. Sehinggalah pada suatu hari, Bro Zam ditembak mati oleh pihak polis setelah berlaku kejadian berbalas tembakan antara pihak polis dan anggota Street 69. Kegiatan haram Street 69 dapat dihidu oleh pihak berkuasa dan markas mereka diserbu. Lalu berlakulah kejadian tembak menembak semasa serbuan tersebut.

Yasser yang kebetulan ketika itu sedang menghantar barang, tidak berada di situ. Dia begitu berang dengan berita tersebut dan mahu membalas dendam.

“Sabar dulu Yasser. Kau pergi sekarang pun tak guna. Sama macam kau nak pergi mati je,” kata Fayreez, salah seorang anggota Street 69.

“Kau jangan sibuk campur urusan aku. Kau pergi basuh najis kau dulu, baru berani nak nasihat aku!” bentak Yasser. Bola matanya berapi. Kemarahan meluap-luap. Seperti gunung berapi yang menunggu letusan lava.

“Jangan macam tu! Aku cakap ni sebab nak ingatkan kau aje. Street 69 tinggal kita berdua. Baik kita tunggu dan kumpul orang dulu. Ada kekuatan baru boleh balas dendam. Kau ingat aku pun boleh terima ke kematian Bro Zam! Ha?!”

Yasser tunduk, amarahnya masih belum hilang. Cuma mampu dikawal. Dia mengepal-ngepal penumbuknya. Pemikiran Yasser sekarang begitu berserabut.

“Betul juga cakap kau tu. Sekarang tinggal kau dan aku. Aku perlukan kau untuk bina kekuatan Street 69 semula.” Yasser bersuara selepas mendiamkan diri beberapa seketika.

Fayreez tersenyum sambil menepuk bahu Yasser. Dia ada rancangan untuk menaikkan semula Street 69. (bersambung...)

No comments: