Bengkel Dakwah 09
Alhamdulillah, tanggal 7 - 8 Feb 2009, Pusat Islam & Pembangunan Insan Universiti Malaysia Pahang dengan kerjasama Sahabat Masjid (SAHAM), telah berjaya menganjurkan program Bengkel Dakwah Kampus 09; BDK 09. Dengan temanya, "kami peduli Ummah".
BDK 09 ini menyaksikan pelbagai kumpulan dakwah di kampus, UMP terutamanya dan sekitar Kuantan berkumpul dalam mendapatkan ilmu tentang bagaimana untuk berdakwah di kampus mengikut peredaran zaman. Dengan matlamat yang satu, iaitu mencari keredhaan Allah, semua kumpulan dakwah ini mendapat input yang begitu berguna untuk kita amal dan hayati supaya risalah dakwah ini dapat disebarkan dengan meluas.
Antara input yang paling bermanfaat yang penulis dapat semasa slot bersama Ustaz Hasrizal b Abd Jamil, dengan tajuknya Rebranding Dakwah. Pengisian dari Ustaz Hasrizal ini telah mengubah pendapat ataupun cara fikir daie di kampus ini. Di mana untuk rebrand dakwah ini, daie tersebut perlu rebrand diri terlebih dahulu. Daie perlu ubah cara mendekati mad'u dengan lebih bersikap terbuka.
Manakala semasa slot Ustaz Mohamad Hazmi b Dibok yang bertajuk Menangani Kepelbagaian Kumpulan Dakwah di Kampus, beliau menyatakan bahawa kumpulan-kumpulan dakwah ini sebenarnya telah jauh dari matlamat asal sebenar mereka dengan bersaing antara sesama kumpulan dakwah. Sehinggakan sampai di satu tahap, persengketaan berlaku antara sesama kumpulan dakwah yang berlainan dan seterusnya melupakan orang yang patut didakwah atau mad'u. Sebagai solusi, kumpulan dakwah yang pelbagai ini perlu bersatu untuk membentuk satu gerak kerja dakwah yang baru. Jika cara ini tidak dipersetujui, cukuplah untuk tidak berbalah sesama kumpulan dakwah.
Saya teringat satu soalan dari seorang peserta yang bertanya tentang bagaimana hendak me'maintain'kan motivasi dalam diri. Jawapan yang diberi ustaz itu sudah cukup untuk menjadi amalan sebenarnya, iaitu dengan sentiasa dekatkan diri dengan program berbentuk tarbiyyah. Tapi, penulis sendiri ada satu pendapat yang mungkin boleh menjadi tambahan.
Motivasi Pagi
Untuk mengekalkan motivasi, usaha perlu dilakukan berterusan dari hari ke hari. Dan waktu yang paling optimum untuk memotivasikan diri ialah pada waktu pagi. Kenapa? Sebab waktu pagi, otak dan badan kita baru dapat rehat. Jadi, pada waktu ini, nilai positif mudah dibina sebagai persedian menempuh perjalanan pada hari itu. Jadi, wajarlah tips ini kita panggil Motivasi Pagi. Bukan rancangan TV3 pada awal pagi tu ye.
1. Bersyukur, bersyukur dan bersyukur.
Bersyukur kerana masih diberi kesempatan nyawa, kesihatan tubuh badan. Yang paling penting, bersyukur atas nikmat iman dan islam yang kita ada.
2. Tekad bermotivasi.
Pasangkan niat untuk bermotivasi pada hari tersebut. Sesungguhnya setiap amalan bermula dengan niat.
3. Dekatkan diri dengan sesi motivasi.
Dengar nasihat pada televisyen, radio dan sebagainya. Susah-susah sangat, pergi masjid dan dengar tazkirah subuh. Itu yang sebaik-baik sesi motivasi.
4. Mulakan dengan Basmalllah.
Sebagai Muslim, Allah adalah segalanya bagi kita. Dan dalam melakukan apa-apa aktiviti perlulah kerana Allah. Supaya mendapat keberkatan dalam pekerjaan tersebut.
5. Set kemajuan diri.
Tetapkan apa yang hendak dicapai pada hari tersebut. Tapi, jangan fikir masalah yang akan timbul dalam usaha mencapai target hari itu. Sebab ini umpama meneutralkan cas positif dalam diri.
6. Lihat warna cerah.
Warna mempengaruhi mood seseorang. Seelok-eloknya, warna yang baik dilihat pada waktu pagi ialah merah, kuning atau hijau. Tengok pemandangan hutan di tepi UMP pun sudah memadai. Di samping dapat menghayati keindahan dan kekuasaan ciptaan Allah.
7. Maafkan orang lain.
Kesalahan semalam merupakan satu sejarah. Kita tidak akan dapat mengubah kesalahan tersebut. Yang penting, jadikan ia sebagai satu pengajaran di hari mendatang. Ini juga merupakan satu sunnah yang perlu kita contohi dari Nabi Muhammad SAW.
Cukuplah 7 tips yang boleh diamal supaya kita dapat mengekalkan motivasi dalam diri. Pokoknya, usaha kita ini perlu berterusan. InsyaAllah, anda akan lihat hasilnya. Maaf, tajuk tidak berkaitan dengan artikel.
No comments:
Post a Comment